Khamis, 19 Februari 2009

Warkah dari Bonda

Untuk kalian anak-anakku,

Derita dijajah dirasai insan-insan emas menuntut sebuah nikmat yang namanya merdeka bukan kita yang kini cuma bersenang-senang menikmati buah perjuangan. Tubuh-tubuh dan jiwa-jiwa mereka pernah merasa kesakitan dan kehinaan hingga luka berdarah perit dihina maruah dipijak tanpa belas walau sekelumitpun. Jasad terus-terusan sengsara menanggung azab dunia di tanah tumpah darah yang dicintai.

Terpahat nyata dalam lembaran demi lembaran sejarah yang dibelek-belek dan diselak-selak kisah tiada jua kau jadikan iktibar. Segala rasa gerun dan gementar sekujur jasad yang bebas menjengah pantas kerana kecut menguasai dirimu yang tidak ingin hitam mewarna tanahair berdaulat. Baguslah kau cinta juga tanahairmu tempat kau menumpang hidup.

Katamu, pergilah menjauh dan usah datang lagi menghampiri mengganggu dan menggugat kedamaian yang kau dakap dan tidak kau sedar akan terlepas jua jika tidak dipegang kejap cuma sayang keinginanmu itu berlandaskan sebuah kebenaran yang samar-samar dan dilitupi kabus, hanya nafsu duniawi semata-mata.

Kehairanan membelenggu mata jiwa hati dan akal warasku bila kau didakap damai dan bebas yang tiada luka mengalirkan darah bertukar menjadi hanyir bau nanah parut membekas kau cinta akan dirimu lebih tinggi dan memesongkan sebuah matlamat hidup jauh dari jalan lurus yang di penghujungnya ada damai abadi.

Betapa mudahnya engkau tanpa silu dan malu tiada sakit dan bisa menusuk mengelar dan memijak keberadaanmu akhirnya yang kau gadai adalah maruahmu. Jika sekali ini kau teruskan jua penggadaian maruah jiwamu usah kau berharap mampu menebus lagi walau sisa-sisanya kerana mereka mengintaimu dalam diam bersedia membaham dan mengoyak penuh rakus dirimu yang kaucintai itu hingga kau tak bisa lagi bangun untuk menebus maruahmu yang telah kau gadai.

Dariku, bonda.

Tiada ulasan: