Khamis, 19 Februari 2009

Telinga

Puas sudah kakiku melangkah. Lenguh dan sengal mula terasa. Aku menuju ke bangku kayu yang setia menunggu di pinggir tasik. Aku ingin meneruskan pembacaanku di sini. Sambil menikmati kehijauan alam. Namun, aku memilih untuk menangguh kerana terkenang lelaki itu. Baru sebentar tadi aku bertemu seorang lelaki sebaya ibu. Sebaya ibu tapi memiliki perwatakan bapa. Ah! Memang tidak silap lagi. Memang seperti bapa. Bukan cuma sekadar wajahnya. Termasuk juga semangatnya. Semangat apa yang sama kalau lelaki sebaya ibu tetapi memiliki perwatakan bapa itu sebenarnya bukanlah bapaku. Mungkin juga persamaan yang hadir berasal dari persamaan darah bangsa yang mengalir di tubuh mereka. Bangsa ibu kepada bapa dan bapa kepada bapa lelaki itu adalam serupa. Bangsa itu bangsa yang kuat jiwanya. Bangsa yang tidak mudah gentar atau tunduk. Sanggup berpantang maut sebelum ajal.

Keturunan bangsa itu majoritinya memiliki semangat tegar. Berprinsip teguh. Tidak mudah digugah. Kalau mahu marah memang marah yang bukan main-main. Marah yang betul-betul. Jadi, jangan sekali-kali cuba main-main. Salah? Jadi pemarah begitu salah. Ya! Memang salah kalau marahnya tidak kena pada tempatnya. Tetapi, kalau lelaki itu dan bapaku mahu marah pun, biarkanlah mereka marah. Pasti ada perkara bertentangan dengan prinsip yang mereka pegang. Prinsip yang sering dipandang remeh oleh kebanyakan orang. Orang yang tidak memiliki prinsip. Hal itu yang sering mengundang kemarahan mereka. Aku yakin benar tentang itu.

Telingamu mungkin akan bertukar menjadi merah warnanya. Kenapa telingamu mungkin merah? Kaukah yang dimarahi mereka? Kauhairan kenapa marah mereka juga sama. Ya! Harus kau faham benar-benar. Jangan pula kau buat-buat tidak faham. Bangsa mereka sama. Darah mereka sama. Semangat mereka sama. Jadi, kalau mereka mahu marah, yang akan bertukar merah pasti bukannya telingaku. Aku faham benar kenapa mereka marah. Mari sini sekejap. Cuba kulihat telingamu yang ditutupi rambut itu. Kulitmu hitam pekat. Kulitku juga seperti kulitmu. Pekat hitamnya. Pun demikian, aku pasti sangat telingaku tidak merah. Kalau merah pun telingamu, pasti aku tidak bisa melihatnya. Lebih senang, beritahulah aku. Kaufikir kalau kulitmu putih cerah, telingamu sekarang ini sedang merah atau tidak?

Tiada ulasan: