Khamis, 30 April 2009

Asap

Catatan ini mungkin akan lama di sini. Mungkin lebih daripada tiga hari, catatan ini akan kekal berada di bahagian atas ini. Kali ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita yang dikutip daripada pengalaman hari ini, dan juga hari sebelum hari ini.

- i -

Warna Kenangan, saya cipta awal pagi tadi. Sebenarnya, bait-baitnya ataupun mungkin keseluruhan isinya, bukanlah mewakili diri saya sepenuhnya. Kalau pun ada, mungkin sedikit cuma. Kalau saya masih 'akur pada kelmarin', maka tidak wujudlah saya di sini hari ini, selama beberapa bulan ini sebagai Aranam... :)

- ii -

Tengahari tadi, saya keluar. Ketika pemandu teksi sedang menunggu saya di tempat letak kereta, dia sempat menyalakan dan menghisap sebatang rokoknya di bawah sinar matahari yang terik membahang di dalam teksi yang semua tingkapnya diturunkan. Udara nyaman musim bunga tidak begitu terasa tengahari tadi. Tidak seperti semalam dan kelmarin. Hari ini cuaca terik sekali. Langit biru bersih, indah pada pandangan saya.

Dalam keadaan yang kurang senang, saya masuk juga ke dalam teksi dan cuba bertahan dengan kepulan asap yang berkali-kali singgah ke wajah saya, dan begitu mengganggu saya. Beberapa kali saya terbatuk-batuk. Sebenarnya, batuk itu sebagai isyarat. Isyarat supaya pemandu teksi itu berhenti menikmati rokoknya yang entah bila akan tinggal puntung.

"Ya ne magu, izvinitye," kata saya. Maksudnya, saya tidak boleh, maafkan saya.

"Ya ne magu," saya ulang lagi. Saya tidak boleh, begitu kata saya sambil saya memberi isyarat seperti memegang rokok.

Dengan pantas, dia membuang rokoknya. Lantas, dia berkata pada saya kenapa saya tidak memberitahunya dari awal lagi. Dan, dia meminta maaf.

- iii -

Lama dulu, ketika kurang separuh daripada usia saya sekarang ini, saya sering menaiki bas untuk ke bandar Kota Kinabalu. Ada di kalangan penumpang yang sering mengambil kesempatan menghantar nikotin dan lain-lain lagi memasuki sistem badan mereka tanpa mempedulikan pelekat larangan merokok yang ditampal di dalam bas yang boleh dilihat dengan jelas.

Bukan tidak pernah saya berkata dengan hormat, meminta mereka supaya tidak menyalakan rokok milik mereka, yang mereka beli dengan duit sendiri...pernah. Tetapi, pada kebanyakan waktu juga, saya terpaksa berdiam dan menahan diri daripada bersuara. Menahan nafas ketika asap menyinggahi wajah saya. Melepaskannya dengan pantas. Kemudian, menarik nafas ketika tiba waktunya udara yang patut saya hirup itu telah bersih. Begitulah...begitulah selalunya.

- iv -

Dulu, saya fikir saya benci perokok. Tetapi, sekarang saya sedar yang saya benci itu sebenarnya ialah rokok. Rokok yang dinyalakan. Rokok yang diasapkan. Asap rokok yang singgah ke ruang pernafasan saya. Asap rokok yang singgah ke ruang pernafasan keluarga saya. Kalaulah ramai orang boleh membenci rokok seperti saya membenci rokok, kan bagus!

Pernah suatu ketika, di sebuah kedai di Kerteh, salah seorang anak saya yang waktu itu baru berumur dua tahun menarik-narik baju saya. Dia mengatakan begini,

"Nanti otak Pakcik tu berdarah," katanya dengan wajah risau.

"Kenapa Adik cakap macam tu," saya tanya dengan wajah hairan.

"Sebab dia hisap rokok," begitu jawabnya dengan yakin.

- v -

Masa berlalu terlalu pantas. Tinggal lapan bulan saja lagi, tahun 2009 akan jadi sejarah. Memang, masa tidak pernah berubah. Tetap bergerak seperti dulu-dulu juga. Tetapi, dalam sedar ataupun tidak, kitalah yang sebenarnya menjadikan masa itu semakin tidak boleh dikejar-kejar. Semakin jauh meninggalkan kita. Benarkah begitu?

Warna Kenangan

Color 032

Kenangan demi kenangan
Berlegar-legar nyata
Memenuhi ruang minda
Menjalar ke segenap rasa.

Hari ini
Aku terkenangkan
Semalam yang penuh tangis
Semalam yang penuh duka.

Pabila esok
Menjelang tiba
Pastilah hari ini
Juga akan menjadi semalam
Juga akan menjadi kelmarin
Saling bertindih dengan warna
yang tiada beza.

Hari ini
Yang bakal menjadi semalam
Yang bakal menjadi kelmarin
Wujud warna yang tetap serupa.

Hanya
Gara-gara aku yang
Terus tunduk pada kelmarin.

Hanya
Gara-gara aku yang
Terus akur pada kelmarin.

Hingga kelmarinku
Menguasai semalam
Hingga kelmarinku
Menguasai hari ini.

Jikalau aku terus begini
Mengenang semalam
Mengenang kelmarin
Yang saling tindih-menindih
Dengan warna yang serupa...

Bila agaknya aku mampu
Memberi warna lain
pada sebuah kenangan
Memberi makna lain
pada sebuah kenangan?


Jumaat, 24 April 2009

Kerabu Sedap

IMG_3700

Kerabu ini sedap. Saya pasti bukan saya seorang saja yang mengatakannya sedap. Ini terbukti ketika menghadap hidangan di meja makan. Ramai yang memuji keenakannya. Dan, sekarang saya sudah terliur apabila teringatkan betapa sedapnya kerabu ini.

Minggu lepas, saya dan keluarga mengunjungi rumah seorang kenalan. Kenalan saya yang baik hati. Sempat saya bertanya tentang resepinya. Sambil menggaul kerabu itu, resepinya meluncur hinggap di telinga saya.

Ada kalanya apabila meminta resepi, kemungkinan memperolehinya sama banyak dengan kemungkinan tidak memperolehinya. Orang yang biasa meminta resepi tentu tahu bagaimana keadaannya.

Menurut beliau, bahan untuk membuat kerabu ini ialah daging yang dibakar pada suhu 180 darjah selama 15 – 20 minit, sayur-sayuran, dan sos ikan yang dicampur lemon dan gula.

Selain itu, untuk menambah keenakannya, setelah siap digaul, ditabur pula lada hitam yang ditumbuk kasar dan juga kacang goreng.

Boleh juga ditambah hirisan bawang merah (sekarang ini, di sini belum ada bekalan bawang merah), hirisan serai, dan hirisan cili api. Pun begitu, tanpa tiga jenis bahan ini, kerabu itu tetap menyengat.

***Memang sedap kerabu ini…kerabu Siam. Hmm…kenalan saya itu berasal dari Kelantan.


Lagman Berkuah

IMG_3590_1

Lagman yang mampu memancing selera
…ala-ala mi kuah.
Lagman, antara resipi Uzbek.
Ada daging lembu dan sayur-sayuran
seperti lada benggala, kacang panjang
tomato, dan mi home made.
Taburan ukrob atau dill
menambah lagi kelazatannya.
Saya menikmati Lagman Berkuah ini
di Halol Restoran berhampiran
Chorsu Bazaar di bandar Tashkent.

Khamis, 23 April 2009

Andai Tujuh Dekad, Aku

IMG_3684

Aku duduk di tepi jendela
Mengenang nasib diri
Mengusung sesal
di sudut kalbu.

Cita-citaku berciciran
Tertinggal di halaman
Warna-warni kenangan
Hendak kukutip
Kudrat tiada
Telah lenyap
dimamah waktu.

Kini
Usiaku
Tujuh dekad
Kataku alangkah
Moleknya jikalau
Kini usiaku setengah abad.

Pastilah
Ada peluang untukku
Memeluk impian.

Berundur usiaku dan
Kini aku berusia
Setengah abad
Kataku alangkah
Bertuahnya jikalau
Usiaku tiga dekad.

Pastilah
Peluang untukku
Terbentang megah
Seluas lautan.

Terpana aku seketika
Usiaku kini
Tiga dekad
Kataku lagi alangkah
Bertuahnya jikalau
Aku menjadi kecil semula
dibelai ibu dimanja ayah
Makan dan pakai semua dijaga.

Kicau burung pulang ke sarang
Mengusik gegendang telingaku lantas
Menyedarkan aku dari lamunan.

Mataku menangkap
Keindahan lembayung senja.

Dan aku
Tetap juga duduk di sini
Aku duduk di tepi jendela
Mengiringi mentari
Yang baru saja
Hendak beradu.


Rabu, 22 April 2009

Keamanan

IMG_3644a

 

Bayang-bayang

mendambakan

keamanan.

Kita?

Selasa, 21 April 2009

Kedekatan

Amirah9

Suatu kedekatan
Apakah hanya
Bisa dirasai
Pabila kita
Perlu melalui
Suatu kepedihan
Yang namanya
Perpisahan?

Isnin, 20 April 2009

Congkak


Kata anakku,

"Adik suka main tapi Adik takut. Adik ingat cerita hantu, Congkak."

Dalam takut-takut, anakku main juga congkak itu. Untuk bermain, perlu belajar dulu kerana anakku tidak tahu bermain congkak.

Bertemu dan Berpisah



Kelmarin
Kita bertemu
Semalam
Kita berpisah.

Sobat
Begitu gelar
Kuberi padamu
Kerana dirimu terasa
Dekat di hatiku.

Dan
Erat dakapanmu
Membuatkan aku tersentak.

Mungkinkah engkau jua
Menganggap diriku
Sebagai sobatmu?

Yang pasti
Tiada jawapan
Untuk soalanku ini.

Kerana di antara kita
Belum pernah kata diungkap
Belum pernah kata ditafsir
Belum pernah kata dicapai
Saling sepakat mengaku
Kita berdua saling bersobat.

Selepas semalam
Kau di sana dan
Aku di sini
Namun dirimu
Tetap dekat di hatiku.

Dan di sini
Lewat desir angin
Yang berhembus dingin
Mengusik-ngusik jiwaku yang sayu.

Sobatku
Aku berdoa untukmu dan keluarga
Moga bahagia tetaplah kan menjadi milik kalian.

Sabtu, 18 April 2009

Aksara (Ulang Siar)

AKSARA

Jika aku hanya aksara
yang tidak mengisi akalmu
maafkan aku.

Jika aku hanya lembaran
yang membuang waktumu
maafkan aku.

Jika aku hanya paparan
yang menyakitkan matamu
maafkan aku.

Jika aku mesti ditegur
tegurlah aku.

Moga aku sebagai aksara
dapat diterima akalmu
moga aku sebagai lembaran
dapat dihargai waktumu
moga aku sebagai paparan
dapat disenangi matamu.

ARANAM
Tashkent

Sumber Siaran : Berita Harian, April 18, 2009.

Pautan ke Berita Harian di sini.


Nota untuk Hafizah :

---> Terima kasih kerana sudi memaklumkan. Saya amatlah menghargainya... :)




Rabu, 15 April 2009

Kita Pernah Mencipta Tawa Bersama, Atuk














Atukku sayang
Saat ini kenangan terhadapmu
Menari-nari segar di hadapan mataku.

Belakangan ini
Sering aku berkisah tentang dirimu
Yang pernah dulu menggeletek hati kecilku
Yang pernah dulu mengejarku dalam suram pelita
Memecahkan hening malam di hujung kampung
Memecahkan derai tawa manja dari bibir kecilku.

Atukku sayang
Aku berkisah pada cicitmu
Pernah dulu dirimu meminta
Aku mencari helai-helai putih
Di celah-celah rambutmu
Yang telah memutih.

Sebagaimana aku
Cicitmu jua menguntum senyum
Membayangkan tiada lagi sehelai pun rambut
Kerana yang putih pasti habis kucabut.

Saat kulihat senyum cicitmu
Aku seakan-akan melihat diriku
Sedang mengukir senyuman
Di hadapanmu.

Atukku sayang
Dirimu telah kembali kepadaNya
Saat aku belum sepenuhnya mengerti
Yang jasadmu tika itu bukanlah lena
Kerana aku masih jua menaruh harap
Ada ruang dan peluang untuk kita
Mencipta tawa bersama
Memecah hening malam
Ditemani suram pelita
Di hujung kampung
Yang pernah mendengar
Tangisanku yang pertama.

Al-Fatihah buat Atuk Burajak.

Selasa, 14 April 2009

Nasib dan Padam

Bunga dahlia disapa bayu
Gugur kelopak menimpa batu
Apalah nasib nama Melayu
Lupa lalai ditanda begitu.

Anggun bergaya lunak suara
Wajah menawan semua suka
Bangun Melayu bangkit segera
Padam gelaran aib di muka.

Aranam
April 14, 2009

Isnin, 13 April 2009

Kembang Seroja

Bait-bait indah ini nukilan Surinit. Saya salin sepenuhnya dari sini dan hanya menukar huruf pertama sahaja. Terima kasih, Surinit.


Tika ini
aku di sini

semalam...
kelmarin...
aku juga ada di sini
berkunjung
membaca puisi-puisimu yang manis...

esok
aku akan datang lagi
membaca lagi...

kalau hari ini
yang kulihat adalah kuntuman tulip,
mungkinkah esok
ada kembang seroja?

Ahad, 12 April 2009

Kita


Tika ini
Kita di sini.

Dan semalam
Membentuk kita
Yang ada ini.

Esok pula
Bertitik tolak
Dari kita hari ini
Dari kita yang ada di sini.

Sabtu, 11 April 2009

Ikhlas


Diberi maaf dengan seikhlas hati
lebih bermakna daripada
diberi emas berkati-kati.

Kaut, Kembali

Bumi digegar gempa
Menghancurmusnahkan
mahligai-mahligai indah
Yang nilainya bukan sahaja
beratus-ratus ribu
malah ada yang berjuta-juta.

Jikalau ingin membina semula
Jikalau ingin memiliki semula
Mahligai idaman segah itu
Mahligai megah serupa itu
Dari manakah mahu dikaut
Nilai sebanyak itu
Dari kocek sendirikah ataupun
Dari kocek orang lainkah?

Mahu mengaut lagikah ataupun
Mahu kembali merenung diri....

Gegar dan Goyang

Prak!

Bunyi itu begitu jelas kedengaran. Dia terasa rumahnya bergegar. Debar di hatinya semakin kencang. Saat itu dia hanya mampu berdoa, agar tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Bum!

Kali ini cemasnya semakin bertambah. Bunyi itu terlalu kuat, seperti bunyi letupan bom. Bunyi itu begitu menggerunkan. Dan sekarang, dia terasa rumahnya bergoyang.-goyang. Bergegar dan bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Dia tidak dapat menerka dengan tepat, keadaan apakah yang sedang dilaluinya ketika itu. Ada letupan bomkah? atau ada gempa bumikah? Dia benar-benar tidak tahu. Dia mahu segera menghubungi suaminya.

Ah! dia tidak ingat di mana telefon bimbitnya. Talian kediamannya pula tidak berfungsi sejak beberapa hari yang lalu. Saat ini, hatinya benar-benar dihambat kerisauan yang teramat sangat. Dalam kesukarannya untuk melangkah dengan teratur, dia teringat sesuatu yang tiba-tiba begitu meruntun hatinya.

"Ain, Ain!" dia memanggil nama itu sekuat-kuat hatinya. Jantungnya terasa begitu kencang degupannya. Seluruh badannya menggeletar. Cemas, bingung, dan semua kerisauan menyatu dalam dirinya. Air matanya mula mengalir. Dia tidak tahu kenapa dia menangis. Dia tidak mahu menangis sebenarnya, tetapi tanpa dipinta, air matanya tetap juga mengalir membasahi pipinya. Baru sahaja dia mahu menuruni tangga, dia terdengar suara Ain.

"Ibu, Ain di dalam bilik!" jawab Ain sambil menjerit ketakutan. Mujurlah dia dapat menangkap suara Ain, anaknya yang baru berusia enam tahun itu. Anaknya tetap menyahut panggilannya dalam suasana mencemaskan itu.

"Syukur Alhamdulillah," dia mengucap syukur. Bulu romanya merinding. Dia sedar anaknya ketakutan. Dia juga takut. Tetapi, ketakutan anaknya pastilah lebih lagi daripada dirinya.

Dalam cemas dan gemuruhnya yang masih belum menghilang, dia segera menuju ke bilik Ain. Dia ingin segera memeluk anaknya, dan menenangkannya. Dia mesti. Mesti menggagahkan dirinya yang juga sedang menggigil hebat pada waktu itu.

Jumaat, 10 April 2009

Pejam Mata, Tutup Telinga

Pejam mata
Tutup telinga.

Di sana ada yang menangis
Di situ ada yang ketawa
Menangis dan ketawa bersama-sama.

Di sana ada yang menyokong
Di situ ada yang membantah
Menyokong dan membantah beramai-ramai.

Di sana ada yang bergembira
Di situ ada yang berduka
Bergembira dan berduka bersilih-ganti.

Tetap jua kupejam mata
Tetap jua kututup telinga
Namun jiwaku terus berkocak
Dan mindaku terus mencongak.

Khamis, 9 April 2009

TAHNIAH!

Tahniah, buat seluruh barisan kabinet baru negara Malaysia. Antaranya, empat menteri dari Sabah.

Mereka ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernad Dompok; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman. - Utusan


Salah seorang dari mereka berempat, pernah mengatakan ini kepada saya,

"Jaga ******* baik-baik. Dia baik itu."


Kata-kata seperti di atas, amat jarang ditujukan kepada saya. Lebih-lebih lagi diungkapkan oleh seorang yang baru saja ditemui, pertama kali. Saya mampu mengingatinya dengan mudah, bukan semata-mata kerana kata-kata tersebut telah diungkapkan oleh seorang menteri tetapi kerana kelangkaan itulah sebenarnya.

Amat langka terutama bagi diri saya secara peribadi menerima nasihat sedemikian dari insan yang baru dikenali, pada ketika itu. Lebih-lebih lagi penilaian beliau terhadap insan yang dimaksudkan sama seperti apa yang saya sedia maklum.

Dengan tidak perlu bersusah-payah menjemput, beliau sudi berkunjung ke rumah kami, dan kami menjamunya dengan hidangan makan malam yang seadanya. Saya memilih untuk tidak menyebut sebarang nama.

TAHNIAH daripada kami sekeluarga sekali lagi untuk beliau yang saya maksudkan. TAHNIAH juga kepada keluarga beliau kerana sentiasa memberi sokongan padu untuk setiap langkah beliau mencurah bakti kepada rakyat dan negara. Semoga dipermudahkan segala urusan demi agama, bangsa, dan negara Malaysia yang amat kita cintai.

Selasa, 7 April 2009

Angkatan Aksara

Diriku diwakili
aksara demi aksara.

Wujudku di celah-celah
liuk-lintuk gemalai yang
kekadang teratur
kekadang tersungkur.

Pun diriku amat beruntung
tika hampir rebah ditiup angin
yang sering berkocak di laut rasa
yang sering berderu di laut minda
ada seangkatan bala aksara
yang sering mendukung
yang sering menyokong.

Telah berdaya menghalangku
dari terus rebah
dari terus menyatu
dengan bumi ataupun
tenggelam di lautan aksara
yang lebih perkasa, yang lebih berjiwa.

Terima kasih dariku
buat seangkatan bala aksara
yang membantu aku
agar terus berdiri.

Limpah syukurku padaMu
yang membuka laluan
yang luas terbentang
walau aku hanya
sederetan aksara.

Tangguh Dahulu

Di atas meja kopi, yang dialas dengan kain putih yang bersulam cantik, terhidang secawan kopi dan sepiring karipap. Kopi masih panas, karipap juga tidak kurang panasnya. Dihidang di dalam piring selepas ditos sekejap di atas kertas minyak ketika di dapur tadi.

Mata sang suami masih lagi tertumpu ke arah siaran berita di kaca televisyen. Kopi belum dihirup, karipap juga langsung belum disentuh. Di sebelahnya, isterinya terus menunggu.

"Minum, Bang," ini kali ketiga dia bersuara. Ada sesuatu yang ingin dikatakannya lagi. Dia mahu suaminya minum kopi dulu, ataupun makan karipap yang dihidangnya dulu, sebelum dia membuka bicara seterusnya.

Ketika siaran iklan mengambil tempat, suaminya memandang isterinya sekilas sambil menghela nafas, panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Sempat dia menangkap senyum yang menguntum di bibir isterinya. Dia mula menghirup kopi, perlahan-lahan.

"Ah...sedap! Pandai isteri Abang bancuh kopi," pujinya seperti selalu. Kemudian, dia makan karipap pula. Karipap berinti daging dan kentang kegemarannya.

"Mmm...sedap sungguh! pandai betul isteri Abang buat karipap," kali ini dia kelihatan terkejut. Setahunya, selama mereka menjadi suami isteri, belum pernah lagi isterinya membuat karipap untuknya. Sebelum ini, lama sebelum ini, pernah juga dia berasa hairan. Bukannya isterinya tidak tahu, karipap memanglah kesukaannya. Tetapi, belum pernah lagi isterinya membuat karipap untuknya. Inilah pertama kali isterinya membuat karipap kegemarannya, yang pertama dan paling sedap. Selalunya, bila-bila dia teringin makan karipap, gerai yang ada di tepi jalan masuk ke rumahnya itulah yang jadi tumpuan.

"Sedap sungguh, lain kali buat lagi tau," pesannya bersungguh-sungguh. Isterinya tersipu-sipu malu.

"Karipap di gerai Kak Mah lagi sedap, Bang," isterinya merendah diri. Mungkin dia berasa dirinya tidak layak dipuji begitu, bertalu-talu.

"Lepas ni, Abang tak akan beli karipap di situ lagi. Abang cuma nak makan karipap yang isteri Abang buat saja," tanpa memandang ke arah isterinya, dia mengambil karipap terakhir di dalam piring di atas meja kopi di hadapannya, karipap yang kelima. Niat isterinya yang mahu menyuarakan sesuatu, yang mungkin saja akan melenyapkan kegembiraan suaminya ketika ini, ditangguhnya dahulu.

Dia tidak mahu kegembiraan suaminya ketika ini menjauh pantas. Kegembiraan paling manis dan bermakna, jauh dari jangkauan akal fikirannya sebelum ini. Kegembiraan suaminya sehingga mampu menghabiskan sepiring karipap hasil air tangannya. Hasil daripada resepi yang baru sahaja disalinnya daripada Kak Mah petang kelmarin. Sesungguhnya, kegembiraan suaminya adalah kegembiraannya juga.


Jumaat, 3 April 2009

Debar

Kota Kinabalu

Matanya terpaku pada iklan di surat khabar di hadapannya. Surat khabar tempatan. Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Oh, tarikh tutupnya hari ini! desis hati kecilnya. Udara panas yang membahang sedikit mengganggunya. Bunyi kenderaan membingit, hon bertalu-talu, memang begitulah lumrah sebuah kota.

Dia segera menyeluk poket seluar panjangnya. Seluar jeans, biru lusuh. Mujurlah, ada beberapa keping duit syiling. Matanya melilau tercari-cari. Pondok telefon awam. Dia segera menuju ke situ. Kebetulan tidak ada sesiapa yang menggunakannya. Gagang diangkat, duit syiling dimasukkan. Dia menekan-nekan, enam nombor. Dia mahu segera bercakap dengan Emak, untuk meminta izin. Dia teringin menyertai Minggu Penulis Remaja!

"Terima kasih, Mak. Terima kasih," dia kelihatan begitu gembira. Hatinya berbunga, riang. Sungguh, dia tidak menyangka begitu mudah keizinan diperolehi. Lazimnya, tidak begitu. Biasanya sesudah mendapat keizinan Emak, dia perlu mendapatkan keizinan Bapa pula.

Hmm...mungkin Bapa ada berhampiran Emak. Mungkin Bapa sudah memberikan isyarat setuju kepada Emak. Mungkin saja begitu, tidak mustahil. Dia tersenyum, lega. Pun begitu, rasa tidak percaya masih lagi menguasai dirinya.

Kemudian, dia memasukkan pula duit syiling dua puluh sen, dan mula mendail nombor-nombor yang baru dihafalnya sebentar tadi. Dia berharap agar dapat bercakap sendiri dengan Encik Matlin Dullah. Ya, itulah nama yang tertera di dalam iklan yang baru dilihatnya sebentar tadi.

Sebenarnya, dia boleh pergi terus ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dari pondok telefon awam tempat dia berada, dia boleh melihat dengan jelas bangunan itu. Di tangannya pun dia sedang menjinjing beg plastik. Di dalamnya ada beberapa buah buku yang baru dibelinya. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, dia memilih untuk menelefon sahaja. Lebih baik begitu fikirnya.

Sementara menanti panggilannya dijawab, debaran dadanya bertambah kencang. Dia risau kalau-kalau penyertaan sudah ditutup. Bermacam-macam lagi yang berlegar-legar di fikirannya. Dia belum pernah menulis karya kreatif.

Dia risau kalau-kalau tidak diterima. Menyumbang suara untuk drama atau sandiwara di radio pasti tidak mencukupi. Pasti mereka memerlukan sesuatu yang lain, yang lebih besar fikirnya.

'Aku akan cuba juga,' tekadnya bulat. Dia tidak akan berundur walau selangkah sebelum mencuba. Lagi pun, tidak ada ruginya mencuba. Tidak cuba, tidak tahu.

Dalam debar, dia terus menanti. Dan debar itu semakin kencang. Debar menanti panggilan telefon dijawab.

Maafkan Aku, MI

MI
Maafkan aku
Membiarkanmu sendiri-sendiri
Sekadar dijengah tidak dirapi.

Maafkan aku....

Panahan Rasa

Serta-merta matanya berkaca. Kemudian, tangisnya kedengaran. Mula-mula perlahan, dan kemudian meninggi. Anak kecilnya yang sedang bermain-main dengan kereta kecil berwarna biru berhampirannya, kelihatan hairan dan tergamam seketika. Kereta mainannya ditinggalkan dan dia pun menapak sambil bertanya perlahan.

"Kenapa Mama? kenapa Mama menangis? Ada orang sakitkah, siapa?" pertanyaannya bertalu-talu. Mamanya sekadar menggeleng, berkali-kali. Hatinya tersentuh menerima mesej lewat telefon bimbitnya, sebentar tadi. Bukan sayang, tiada sesiapa yang sakit, bisiknya di dalam hati. Dia tidak mampu untuk mengungkapkan sebarang kata. Ngogoinya masih belum hilang lagi.

Ketika ini, tiada siapa tempatnya mengadu. Tiada bahu untuknya menumpahkan air matanya. Tiada tangan yang boleh membantu menyeka air matanya. Dia menghadap komputer kesayangannya. Jari-jemarinya mula mengetik-ngetik, sambil matanya yang masih dibasahi air mata menatap sayu setiap kata yang mula tersusun. Dan di situ dia menumpahkan rasa, yang sedikit, yang ditapis-tapis. Dan tetap juga kurang, tidak sama dengan sejuta rasa yang sedang ditanggungnya. Puisinya, 'Panahan Rasa'...

Saat ini
Aku seolah karam di laut rasa.

Sungguh
kecewa yang kurasa
membuatku sengsara
membuatku lemah dan tidak berdaya.

Panahan rasa akibat
Disalah anggap dan tidak dimengerti
menjalar rakus ke seluruh urat sarafku
merobek-robek tangkai hatiku
merusuh-rusuh jauh di mindaku.

Dan di sini
Aku seolah hilang arah
Sendiri-sendiri tercari-cari
Bagai anak ayam kehilangan ibu.

Ya Allah, ampunilah aku.

Wahai yang tersalah menilaiku
Maafkanlah aku
Derita ini biarkanlah aku tanggung sendiri.

Dia meniti setiap bait. Seolah-olah melimpah dari kolam hatinya. Dia sedar. Ada aksara yang membentuk kata-kata yang tidak manis untuk diteruskan. Tetapi, dia tetap membiarkan. Membiarkan saja perkataan-perkataan yang kedengaran tidak patut, bukan saja di matanya, tetapi juga di hatinya, di mindanya, di bibirnya, dan di telinganya. Dia sekadar memandang, bait demi bait 'Panahan Rasa'.

Tangisnya kian menyurut. Dan derita itu, ingin ditanggungnya sendiri-sendiri. Anak kecilnya didakap, erat....

Rabu, 1 April 2009

Hanya Foto (4) - Hast Imam, Tashkent


Untuk melihat gambar-gambar yang lain, anda dijemput berkunjung ke
http://flickr.com/aranam

***Saya menghadapi kesukaran memuat naik di sini.
Semoga teman-teman sekalian dan Saudara ANS
khususnya berpuas hati dengan
gambar-gambar tersebut.