Khamis, 19 Februari 2009

Rupanya Kau Terlupa

Dahulu kau pernah berkata bahawa kau tidak akan mensia-siakan aku. Aku akan kaujaga seperti kau menjaga nyawamu. Ketika itu aku hanya tersenyum bangga sambil terasa begitu megah kerana kausudi menjaga aku sampai begitu sekali.

Aku juga sungguh terharu. Benar. Sekian lama kau telah menunaikan kata-katamu. Janji. Aku tidak pernah sekalipun menganggap seluruh kata-katamu itu sebagai janji.

Sekarang ini, aku sering teringat kata-katamu itu. Dan ketulusanmu menunaikan tanggungjawabmu. Aku tertanya-tanya. Benarkah kau yang menjaga aku? Kalau kau menjaga aku, siapa yang menjaga engkau...Kau jaga dirimu sendiri? Siapa yang menjaga kita? Aku pasti kata-katamu itu hanya luahan rasa penyedap hatiku.

Aku pasti yang menjaga kita adalah Tuhan. Tuhan kita ialah Allah. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Kau juga pasti menyedari kebenaran itu. Dialah Yang Maha Berkuasa ke atas setiap makhluknya dan seluruh alam ini. Termasuklah kita berdua.

Kalaulah tiba-tiba, aku terjatuh dari pokok ini. Apa yang mungkin akan kauperbuat, jika darah mengalir dari kepalaku dan di sana sini tulang-tulangku patah. Aku pasti kau tidak akan dapat membantu memulihkan aku sepenuhnya.

Pasti kau akan sedaya-upaya menenangkan aku dengan pujukan kata-katamu seperti selalu yang kau lakukan padaku. Andainya kau perlu bantuan, apa jalan yang kaupilih? Panggil ambulans? Silap-silap peluru yang meluru ke arahku, dan kau pula dihantar ke zoo. Kau sudah lupa kita ini apa?

Tiada ulasan: