Sabtu, 28 Februari 2009

Pak Pandir

Alahai PPSMI!

Terkedu AKU melihat pemimpin
Resah AKU melihat bahasa
Gundah AKU melihat bangsa
Simpati AKU melihat ibu bapa
Keliru AKU melihat anak-anak
Gembiralah, yang pandai
Sedihlah, yang tidak
Apalah nak jadi
Ditelan salah
Diluah salah
AKU jugalah yang sakit kepala.

Kalau ingin bertanya, usah ditanya pendapat Hang Nadim, tanya saja pada Pak Pandir. Kalau Hang Nadim buah fikirannya tepat, tumpahlah lagi darahnya kelak. Lebih baik tanya Pak Pandir. Tepat atau salah buah fikirannya, paling teruk dia akan dicemuh. Dia akan ditertawakan. Orang yang ketawa itu tidak sedar, kepakpandirannya lebih lagi daripada Pak Pandir. Alahai PPSMI!

Mari kita baca dua tiga baris ayat Pak Pandir...

PPSMI...PPSMI
kenapalah kaudatang
kenapalah kaumuncul
kan lebih baik kalau kautiada
tiadalah AKU dan AKU yang sakit kepala.

Tuan Pandai dan Tuan Pintar
Tuan Pandai mahu PPSMI
Tuan Pintar tak mahu PPSMI
Mana pergi Tuan Pandai Pintar
Selesaikan segera sebelum terlewat
Usah lagi ditangguh-tangguh
Nanti AKU bertambah sakit.
Nanti AKU bertambah tenat.

Tuan-tuan mencari nahas
Berani berani menggadai jiwa
Inilah dia kesan akibat
Yang benar sudah tak nampak
Yang salah pun sudah tak nampak.

Tiba-tiba saja
Kuman dan gajah di mata Pak Pandir
Bersilih dan berganti menayangkan diri.

Tuan Pandai Pintar
Tuan di mana...
Tolong aku! Aku Pak Pandir...
Kuman dan gajah ada di sini
Tolong aku! Tolong aku!
Kenapa PPSMI ada di sini!!!

''Bang! Bang! bangun, Bang.''

Pak Pandir bersilat sebelum terjaga. Tangannya menumbuk lantai. Matanya terbuka. Dia menggosok-gosok matanya yang tidak gatal. Silau. Tanpa ditanya, dia segera membuka bicara.

''Tadi, aku mimpi. Perempuan tu namanya Pipi...''

Pak Pandir cuba mengingat mimpinya sebentar tadi.

''Mmm....aaa....Pipi....esemai. Hah! Pipiesemai. Betul...memang betul. Pipiesemai . Semua orang tak boleh berfikir dengan baik gara-gara dia.''

''Cantikkah dia, Bang?''

''Entah. Aku tak tengok pun. Aku tak jumpa pun Pipiesemai tu. Tapi, sana-sini orang bercakap pasal Pipiesemai...aku pun sama.''

Pak Pandir ketawa mengusik isterinya. Isterinya mula menarik muka masam. Masam yang tak terlalu masam. Masam yang minta dipujuk. Masam-masam manis. Pak Pandir tersenyum. Suka. Dia suka tengok isterinya menarik muka masam begitu. Dia selalu terhibur melihat isterinya begitu.

''Entah-entah bunian tak Pipiesemai ni...''

Bersuara juga isterinya dalam rajuk yang dibuat-buat. Rajuk yang sengaja cuba ditambah-tambah lagi. Mengharap dirinya dipujuk.

''Tak tahulah aku. Mungkin juga...''

Pak Pandir terus menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

''Mimpi kan mainan tidur. Abang tidur senja macam ni. Entah-entah syaitan datang mengganggu.''

Terkebil-kebil mata Pak Pandir. Benarlah seperti kata isterinya. Hari sudah senja. Pak Pandir beristighfar panjang.


Jumaat, 27 Februari 2009

Yang Sering Tidak Peduli

Kadang-kadang kita
sering tidak peduli
pada insan yang menyayangi kita
pada insan yang merindui kita
Tika dia di depan mata.

Bila jauh
Mulalah tahu mencari
Barulah mahu menghargai.

Jika yang sering tidak peduli itu adalah kita
Rugilah ...
kalau kita masih memilih untuk tidak ambil peduli.

Khamis, 26 Februari 2009

Landasan Insaf

Pohon jati tinggi melangit
kian lupa rumput di bumi
pernah dulu bergurau senda
berlumba-lumba mengejar mentari.

Pohon jati tinggi melangit
menyusun kata hebat belaka
mendabik dada hingga terlupa
Tinggi dirinya tiada lama
Kelak bernoktah di hujung waktu.

Rumput melangut ke arah jati
simpati dan hasad bersilih ganti
hingga terlalai maksud diri
dicipta berbeza sedemikian rupa
meratap hiba nasib sendiri.

Moga rumput dan pohon jati
bertemu segera landasan insaf
yang terbentang luas untuk ditelusuri
yang terbentang luas untuk dinikmati.

Rabu, 25 Februari 2009

Belum Terlewat

''Tidurlah...''

Lembut suara ibunya kedengaran menusuk ke kalbu. Ada getar di situ. Ada sesal di riak wajah Ibu. Dia mengangguk. Lemah.

''Sekejap lagi Ibu nak pulang. Besok Ibu datang lagi.''

''Bila Kakak boleh pulang, Bu?''

Tersekat-sekat dia menutur butir bicaranya. Dadanya kembali terasa sakit.

Baru siang tadi dia mula ditahan di wad itu walaupun sudah hampir sebulan lamanya dia menanggung sakit yang tidak kunjung sembuh. Badannya semakin susut. Wajahnya semakin cengkung.

''Kita tunggu apa kata doktor. Kalau rawatan antibiotik berkesan, tak lama lagi tentu Kakak boleh pulang.''

Ibu menjelaskan sambil cuba menguntum senyum. Siang tadi, sebaik mengetahui Kakak menghidap pneumonia, ibu tersentak. Ibu agak terkilan kerana sudah beberapa kali dalam tempoh sebulan ini ibu menemani Kakak ke klinik swasta. Tiada sebarang cadangan rawatan susulan yang pernah dikemukakan.

Baru siang tadi Ibu meminta doktor di klinik swasta itu supaya merujuk kes kakak ke hospital kerajaan. Ibu tidak sanggup melihat Kakak dalam keadaan tidak bermaya begitu. Mungkin Doktor Kamil menganggap batuk yang Kakak hidapi tidaklah serius. Lagipun, beliau sedia maklum tentang penyakit yang Kakak alami.

Ibu teringat ketika Kakak kecil. Lelah yang kakak alami sering mengganggu tidur malamnya. Ketika di sekolah rendah, Kakak tidak diizinkan untuk mengikuti aktiviti senaman yang berat. Ibu risau lelah Kakak akan datang lagi.

Kini, Kakak menghidap pneumonia. Sejak seminggu lalu, batuk Kakak semakin bertambah teruk. Seringkali Kakak menghadapi kesukaran untuk bernafas. Baru siang tadi doktor mengesahkan bahawa sebahagian daripada paru-paru Kakak berisi cecair dan rawatan segera perlu dilakukan. Menurut doktor, nyawa pesakit boleh terancam jika lewat mendapatkan rawatan. Mendengar penjelasan Doktor Tan, mata ibu mula berkaca.

Ibu hanya mampu berdoa agar Kakak segera sembuh.

''Kakak, Ibu pulang dulu. Kakak tidurlah. Rehat cukup-cukup. Insya-Allah...besok Ibu datang lagi.''

Aku dan Insan

Pabila aku memberi simpati
pada insan yang berkeluh kesah
semata-mata kerana aku belas.

Pabila aku memberi harap
pada insan yang berhati murni
semata-mata kerana aku mengerti.

Pabila aku memberi setia
pada insan yang berjiwa tulus
semata-mata kerana aku percaya.

Pabila aku memberi nasihat
pada insan yang bermuka-muka
semata-mata kerana aku sayang.

Aku ada di antara kamu
Entah sedar entahkan tidak
Aku ada di dalam kamu
Entah benar entahkan tidak.

Selasa, 24 Februari 2009

Bang dan War

Suatu pagi yang nyaman, Kumbang dan Mawar berkisah sesama sendiri. Matahari bersinar lembut menebarkan cahayanya. Burung-burung berkicauan meraikan kehadiran siang. Bunyi ombak menghempas pantai sayup-sayup kedengaran dibawa bayu pagi umpama alunan muzik yang mendamaikan. Pohon-pohon nyiur melambai-lambai disapa sang bayu. Mawar memulai bicara.

Mawar : Bang, tidakkah kau melihat suasana tidak tenteram di sekeliling kita sekarang ini?

Kumbang : Apa maksudmu, War? Kulihat suasana pagi ini baik-baik saja. Nyaman sekali.

Mawar : Bukannya tentang keindahan alam persekitaran kita ini yang kumaksudkan. Aku kini memikirkan tentang manusia yang tidak sudah-sudah berkelahi sesama sendiri. Umpat dan keji seolah sudah sebati dalam kelompok mereka. Pelbagai punca membuatkan mereka bertelagah. Dari hal-hal kecil hinggalah kepada hal-hal yang lebih besar.

Kumbang : Mereka tidak belajar dari kesilapan. Mereka tidak mengambil iktibar dari sejarah. Mereka sudah semakin kurang perasaan malu. Semakin hilang jati diri. Selain itu, mereka juga rakus menurut hawa nafsu.

Mawar : Betapa ruginya manusia yang tidak menikmati hidup di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Bersama-sama berkasih sayang, hidup dalam aman dan damai. Tidakkah mereka sedar semua itu, Bang...

Kumbang : Betul, War. Kenapalah mereka bersikap begitu?

Mawar : Hmmm...

Kumbang : Sudahlah, War. Tenang-tenanglah. Aku ingin terbang ke sana dulu ya, War. Besok pagi kita berkisah lagi!

Saya, Tuan

''Sampai sekarang ni, berapa banyak yang dia sudah hutang?''

Tanpa menjawab, Ali menghulur fail di tangannya. Butiran yang diperlukan oleh Tuannya jelas tertera di situ. Tuan memandang Ali. Walaupun ada riak kehairanan di wajahnya melihat gelagat Ali tetapi dia segera mengalihkan pandangan melihat fail yang kini ada di tangannya.

''Saya fikir, elok kita hubungi ahli keluarganya dan tuntut daripada mereka.''

Ali membisu. Entah apa yang difikirkannya ketika itu.

''Kita boleh tuntut daripada keluarganya, bukan begitu?''

Tuan Eric bertanya Ali. Serius. Tiada tanda dia bergurau.

''Walaupun hutangnya tidak banyak, saya fikir lebih baik kita tuntut. Lagipun, kita dibenarkan menuntut hutang daripada keluarga si mati, kan?''

''Betul, Tuan.''

Keesokan pagi, Tuan memanggil Ali ke biliknya.

''Bagus, Ali. Awak berjaya juga kutip hutang daripada keluarganya. Sekarang ni, ekonomi sedang gawat.''

''Saya tidak menghubungi keluarga beliau, Tuan.''

''Kalau begitu, siapa yang langsaikan hutang ini?''

''Err...saya, Tuan.''

Jika Kita Memberi

Jika kita memberi
Tetapi...
Dalam diam mengharap balasan
Patutkah...?

Jika kita memberi
Tetapi...
Tidak cuba memahami
Patutkah...?

Jika kita memberi
Tetapi...
Mengharap diri dipuji
Patutkah...?

Jika kita memberi
Tetapi...
Sekadar harapan palsu
Patutkah...?

Jika kita memberi
Tetapi...
Gagal menunai janji
Patutkah...?

Jika kita memberi
Tetapi...
Tidak peduli akibatnya
Patutkah...?

Jika kita memberi
Seterusnya...
Patut bagaimanakah kita...

Isnin, 23 Februari 2009

Senyum, Buku, dan Terima Kasih


Redup mata penuh rahsia,
Sambil menghulur sekuntum bunga,
Ole-ole dibawa dari Malaysia,
Senyum terukir sampai ke telinga.

Jalan-jalan sampai ke Kedah,
Sambil mencari daun turi,
Sebaris buku tersusun indah,
Terkandung ilmu untuk ditelusuri.

Air diminum sesudah makan,
Disambung kerja mengetam padi,
Terima kasih saya tujukan,
Buat tuan yang berbudi.

Melukut di Bumi Bertuah


Pantai indah
di tanahku yang permai
Menjadi saksi sebuah sengketa.

Air mata deras mengalir
dari jiwa yang kian parah
tidak dihirau tidak diendah.

Di tepi gantang ia melukut
walau yang dijunjung
adalah langit di bumi sendiri.

aranam
Tashkent
Februari 15, 2009


Sumber siaran : Berita Harian Sabtu - Februari 21, 2009



Ahad, 22 Februari 2009

Pasar dan Roti


Pergi ke pasar membeli somsa,
Keringat mengalir lekas diseka,
Anak muda harapan bangsa,
Usah lalai usahlah leka.



Tidak kira miskin kaya,
Mengail ikan di pinggir kali,
Roti kahwin berinti kaya,
Anak-anak gemar sekali.

Pilih Bulu

Tuan
alangkah mulia
seandainya jiwamu tulus
memimpin kami yang telah memilihmu
tanpa perlu kaumemilih bulu.


Sabtu, 21 Februari 2009

Jumaat, 20 Februari 2009

Episod Luka Cinta

Suara-suara sedih luka dan pilu
Suara-suara lantang memperjuangkan cinta
di depan mata tidak diendah
hilangkah sudah putih warna di jiwa

Tangisan menyayat hati
gundah dikecewakan cinta penuh pancaroba
telah mengejutkan lena yang panjang
di kamar beradu yang bertilamkan lantai papan
telah meragut sisa-sisa waktu
di ruang istirahat yang bertemankan remang senja
telah memutik semangat juang segar
di muka pintu yang baru bersua fajar sidik
berganding bahu seia dan sekata
turut membasuh luka dan air mata
menjunjung kembali martabat
cinta yang telah dicemari noda.

Aku bermohon kepadamu Ya Rabb
agar episod luka ini segera berakhir
Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui
Tentang kebenaran cinta ini
meniti tulus di jalanMu yang lurus.

Khabar Dibawa Angin

Kehadiranku di sini, usahlah kau gentar. Kalau kaugentar bermakna ada sesuatu yang mencuit hatimu. Hilangkanlah rasa itu. Hilangkanlah punca kau berasa gentar. Aku ini bukan siapa-siapa.

Aku bukan tikus yang membaiki labu. Aku juga bukan berudu yang baru menjadi katak. Aku di luar kelompok itu. Aku ingin melihat sebuah kedamaian, keamanan, kebersamaan, dan segala-gala yang baik-baik dan benar-benar sahaja.

Di sana-sini aku mendengar keluh dan kesah. Ke mana-mana aku pergi, yang kudengar adalah desir hampa yang dibawa angin nun dari kejauhan. Aku tahu kau ada di sana. Kau hampir benar dengan angin yang membawa khabar kepadaku di sini.

Tidakkah angin itu membawa khabar kepadamu? Atau kausengaja pura-pura tidak peduli kehadiran angin yang berkali-kali menggugat keberadaanmu?

Bila-bila masa saja jika yang bertiup itu bukan lagi sekadar angin yang mendesir, tidak mustahil satu-persatu pelepah tuaku akan menyembah ke bumi. Paling merisaukan aku lagi, jika angin itu bertukar kencang. Kencang sekencang-kencangnya. Pasti sebiji demi sebiji kelapa tua yang bergayut di atas ini akan jatuh dan menimpa sesiapa sahaja yang berada di bawah.

Tidak mengira siapa atau apa. Mungkin juga harta bendamu. Atau mungkin juga rumahmu. Sudah kukatakan sejak awal lagi, usah gentar padaku. Nah! Sekarang tentu kau tahu aku siapa, kan? Tentu kau tahu yang rasa gentar di hatimu itu hanyalah sia-sia. Benarkah?

Benarkah gentar yang hadir sebentar tadi sia-sia? Mungkin juga gentar itu perlu kausimpan untuk direnung kembali. Lebih jauh. Mudah-mudahan gentar yang singgah di sanubarimu sebentar tadi pernah dibawa oleh angin yang selalu singgah menyapamu.

Ikatan

Hidup dalam suatu ikatan. Selain percaya, kita perlu setia. Kita sedia maklum untuk membina sebuah ikatan yang utuh dan kukuh, begitu banyak yang perlu kita penuhi. Perlu disedari oleh setiap yang terlibat dalam ikatan tersebut.

Tidak perlulah disenarai satu-persatu ikatan apa yang memerlukan setiap ahlinya sedar dalam memikul tanggungjawab demi menjaga sesebuah ikatan. Atau ada yang ingin menyenaraikan?

Kalau ada yang tidak sedar tentang tanggungjawab yang perlu dipikul, mudah sekali ikatan itu akan menjadi longgar. Tegang pun tidak diperlukan kerana lebih cepat pula ikatan itu terputus. Pun begitu kehadiran unsur tegang itu akan menjadikan sesebuah ikatan lebih berwarna. Terserah kita bagaimana mahu menanganinya.

Ketegangan atau konflik yang timbul dalam sesebuah ikatan jika tidak ditangani dengan kadar segera dan juga secara bijaksana sudah pasti akan mengundang padah. Begitu juga jika konflik yang wujud ditambahburukkan lagi dengan penglibatan kelompok lain yang datang dari luar. Benar. Kadang-kadang memang amat membantu.

Tidak kurang juga yang menyumbang kepada terlerainya sebuah ikatan. Sering kali menjadi bertambah rumit. Seelok-eloknya usah libatkan pihak ketiga. Cuba sedaya-upaya selesaikan sendiri. Saling memaafkan amat penting.

Apabila sudah memberikan kemaafan, pastikan kemaafan itu ikhlas. Jika tidak, tentu akan memakan diri. Bagaimana dengan anda? Adakah panduan yang boleh dikongsi demi menjaga sesebuah ikatan? Panduan menangani konflik? Kalau ada, sudi-sudikanlah berkongsi di sini.

Diam

Diam. Kadang-kadang kita lebih suka memilih untuk diam. Tiada salah pun kalau memilih diam. Apa lagi kalau kita bersuara, ramai orang serta-merta memandang jelek. Bukan. Bukan kerana kita ini jelek. Tetapi kerana mata mereka yang ada di wajah, di hati, dan di minda itulah yang memandang kita jelek.

Buat seketika, kita tiada masalah dengan pandangan semacam itu. Selepas memandang jelek ke arah kita, mereka mula bersuara. Tong! Tong! Kos! O! oong! Kalau begitu, kita yang memilih diam pasti sedar secara langsung kita terpaksa mendengar. Pura-pura tidak mendengar pun boleh.

Kalau suara-suara yang terkeluar dari mulut mereka itu cuma dusta, yang kita pasti memang dusta, buat apa mahu didengar. Biarlah mereka sendiri yang bercakap.

Dan, telinga mereka pasti sedia untuk mendengar suara-suara gendang mereka sendiri. Diam. Sampai bila kita mesti berdiam.

Biasanya, orang-orang yang memilih diam seperti kita mahu diam sampai bila kalau mulut mereka masih tidak mahu berhenti berdusta. Sudah tentu ada batasnya diam kita itu.

Lantas, apa pilihan yang kita ada? Terus diam membatu...terus diam sambil berlalu menjauh dari kelompok mereka...atau kita bersuara menyuruh mereka diam? Yang mana satu patut kita pilih?

Khamis, 19 Februari 2009

Rupanya Kau Terlupa

Dahulu kau pernah berkata bahawa kau tidak akan mensia-siakan aku. Aku akan kaujaga seperti kau menjaga nyawamu. Ketika itu aku hanya tersenyum bangga sambil terasa begitu megah kerana kausudi menjaga aku sampai begitu sekali.

Aku juga sungguh terharu. Benar. Sekian lama kau telah menunaikan kata-katamu. Janji. Aku tidak pernah sekalipun menganggap seluruh kata-katamu itu sebagai janji.

Sekarang ini, aku sering teringat kata-katamu itu. Dan ketulusanmu menunaikan tanggungjawabmu. Aku tertanya-tanya. Benarkah kau yang menjaga aku? Kalau kau menjaga aku, siapa yang menjaga engkau...Kau jaga dirimu sendiri? Siapa yang menjaga kita? Aku pasti kata-katamu itu hanya luahan rasa penyedap hatiku.

Aku pasti yang menjaga kita adalah Tuhan. Tuhan kita ialah Allah. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Kau juga pasti menyedari kebenaran itu. Dialah Yang Maha Berkuasa ke atas setiap makhluknya dan seluruh alam ini. Termasuklah kita berdua.

Kalaulah tiba-tiba, aku terjatuh dari pokok ini. Apa yang mungkin akan kauperbuat, jika darah mengalir dari kepalaku dan di sana sini tulang-tulangku patah. Aku pasti kau tidak akan dapat membantu memulihkan aku sepenuhnya.

Pasti kau akan sedaya-upaya menenangkan aku dengan pujukan kata-katamu seperti selalu yang kau lakukan padaku. Andainya kau perlu bantuan, apa jalan yang kaupilih? Panggil ambulans? Silap-silap peluru yang meluru ke arahku, dan kau pula dihantar ke zoo. Kau sudah lupa kita ini apa?

Telinga

Puas sudah kakiku melangkah. Lenguh dan sengal mula terasa. Aku menuju ke bangku kayu yang setia menunggu di pinggir tasik. Aku ingin meneruskan pembacaanku di sini. Sambil menikmati kehijauan alam. Namun, aku memilih untuk menangguh kerana terkenang lelaki itu. Baru sebentar tadi aku bertemu seorang lelaki sebaya ibu. Sebaya ibu tapi memiliki perwatakan bapa. Ah! Memang tidak silap lagi. Memang seperti bapa. Bukan cuma sekadar wajahnya. Termasuk juga semangatnya. Semangat apa yang sama kalau lelaki sebaya ibu tetapi memiliki perwatakan bapa itu sebenarnya bukanlah bapaku. Mungkin juga persamaan yang hadir berasal dari persamaan darah bangsa yang mengalir di tubuh mereka. Bangsa ibu kepada bapa dan bapa kepada bapa lelaki itu adalam serupa. Bangsa itu bangsa yang kuat jiwanya. Bangsa yang tidak mudah gentar atau tunduk. Sanggup berpantang maut sebelum ajal.

Keturunan bangsa itu majoritinya memiliki semangat tegar. Berprinsip teguh. Tidak mudah digugah. Kalau mahu marah memang marah yang bukan main-main. Marah yang betul-betul. Jadi, jangan sekali-kali cuba main-main. Salah? Jadi pemarah begitu salah. Ya! Memang salah kalau marahnya tidak kena pada tempatnya. Tetapi, kalau lelaki itu dan bapaku mahu marah pun, biarkanlah mereka marah. Pasti ada perkara bertentangan dengan prinsip yang mereka pegang. Prinsip yang sering dipandang remeh oleh kebanyakan orang. Orang yang tidak memiliki prinsip. Hal itu yang sering mengundang kemarahan mereka. Aku yakin benar tentang itu.

Telingamu mungkin akan bertukar menjadi merah warnanya. Kenapa telingamu mungkin merah? Kaukah yang dimarahi mereka? Kauhairan kenapa marah mereka juga sama. Ya! Harus kau faham benar-benar. Jangan pula kau buat-buat tidak faham. Bangsa mereka sama. Darah mereka sama. Semangat mereka sama. Jadi, kalau mereka mahu marah, yang akan bertukar merah pasti bukannya telingaku. Aku faham benar kenapa mereka marah. Mari sini sekejap. Cuba kulihat telingamu yang ditutupi rambut itu. Kulitmu hitam pekat. Kulitku juga seperti kulitmu. Pekat hitamnya. Pun demikian, aku pasti sangat telingaku tidak merah. Kalau merah pun telingamu, pasti aku tidak bisa melihatnya. Lebih senang, beritahulah aku. Kaufikir kalau kulitmu putih cerah, telingamu sekarang ini sedang merah atau tidak?

Jika

Jika dapat kudakap
sebuah keizinan
Jika dapat kurebut
sebuah kesempatan
Jika dapat kugapai
sebuah ukhuwah
Akanku telusuri
onak duri denai itu
yang menanti kehadiranku
demi mengutip buah ilmu
demi mengisi lohong minda
yang kehausan
yang ketandusan
untuk bekalan meniti
sebuah kehidupan.

Yang Datang, yang Pulang

Setiap saat
ada yang datang
ada yang pulang
yang datang
membawa harapan
yang pulang
meninggal kenangan.

Untuk yang pulang
dijemput Tuhan
Moga damai engkau di sana
Al Fatihah....

Cenderawasih

Cenderawasih tinggi di awan
melayang-layang turun ke bumi
melambai-lambai indahnya awan
berkepul-kepul bak kapas memutih
memendam gelisah lara di jiwa
kesal menyaksikan sengketa
yang kian berjela.

Cenderawasih tiba di bumi
terkapai-kapai tiada berteman
harapan tinggi menjulang ke awan
yang tidak mungkin dicapai lagi
yang tidak mungkin dinikmati lagi.

Selamat tinggal awan gemawan
Kita tak bisa bersua kembali.

Warkah dari Bonda

Untuk kalian anak-anakku,

Derita dijajah dirasai insan-insan emas menuntut sebuah nikmat yang namanya merdeka bukan kita yang kini cuma bersenang-senang menikmati buah perjuangan. Tubuh-tubuh dan jiwa-jiwa mereka pernah merasa kesakitan dan kehinaan hingga luka berdarah perit dihina maruah dipijak tanpa belas walau sekelumitpun. Jasad terus-terusan sengsara menanggung azab dunia di tanah tumpah darah yang dicintai.

Terpahat nyata dalam lembaran demi lembaran sejarah yang dibelek-belek dan diselak-selak kisah tiada jua kau jadikan iktibar. Segala rasa gerun dan gementar sekujur jasad yang bebas menjengah pantas kerana kecut menguasai dirimu yang tidak ingin hitam mewarna tanahair berdaulat. Baguslah kau cinta juga tanahairmu tempat kau menumpang hidup.

Katamu, pergilah menjauh dan usah datang lagi menghampiri mengganggu dan menggugat kedamaian yang kau dakap dan tidak kau sedar akan terlepas jua jika tidak dipegang kejap cuma sayang keinginanmu itu berlandaskan sebuah kebenaran yang samar-samar dan dilitupi kabus, hanya nafsu duniawi semata-mata.

Kehairanan membelenggu mata jiwa hati dan akal warasku bila kau didakap damai dan bebas yang tiada luka mengalirkan darah bertukar menjadi hanyir bau nanah parut membekas kau cinta akan dirimu lebih tinggi dan memesongkan sebuah matlamat hidup jauh dari jalan lurus yang di penghujungnya ada damai abadi.

Betapa mudahnya engkau tanpa silu dan malu tiada sakit dan bisa menusuk mengelar dan memijak keberadaanmu akhirnya yang kau gadai adalah maruahmu. Jika sekali ini kau teruskan jua penggadaian maruah jiwamu usah kau berharap mampu menebus lagi walau sisa-sisanya kerana mereka mengintaimu dalam diam bersedia membaham dan mengoyak penuh rakus dirimu yang kaucintai itu hingga kau tak bisa lagi bangun untuk menebus maruahmu yang telah kau gadai.

Dariku, bonda.

Bukannya Bersuluh Batang Pisang, Bersuluh Bulan Matahari



''Jadi sekarang hampir lengkaplah gambaran penentangan PPSMI itu iaitu dari rakyat yang tua hingga kepada yang muda: cendekiawan dan pelajar.::Dato' Bahazain::''


Sila kunjungi laman blog DesaKota atau klik pada tajuk entri ini. Saya pasti tentu ramai di antara kita sudah sedia maklum bahawa pihak yang terbabit dengan pelaksanaan PPSMI sudah bertegas tidak akan mendengar suara penentangan itu jika datangnya hanya daripada satu kelompok 'kecil'. Nah! Ternyata suara penentangan itu semakin besar dan jelas.

Rabu, 18 Februari 2009

Nasihat Seorang Guru

Tebarkanlah aksaramu. Aku menyenangi aksaramu kerana selalu kulihat warnanya putih dan hijau berkilat. Aku menyenangi aksaramu duduk rapat-rapat dan ada sedikit ruang untuk malaikat sama-sama melihat. Kulihat aksaramu kecil dan besar berdiri bahu-membahu, sesekali bergerak perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri dengan tabah menapak ke hala tuju. Kudengar aksaramu bergumam berbaur geram di sisi kapal hampir karam. Kini aksaramu berdiri menyanyi menguliti hidup ini. Tebarkan aksara budi yang wangi di hadapanku, aksara budi daripada denai ilham yang kautelusuri, tebarkanlah, tebarkanlah.


Nasihat dalam susunan kata-kata indah di atas adalah nukilan Cikgu Mohd. Isa bin Abd. Razak. Terima kasih, Cikgu.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi kubawa mati.

Saya pindahkan dari sini untuk tatapan dan renungan rakan-rakan sekalian. Buat sesiapa juga yang sentiasa berusaha mencari dan menyebar kebenaran.



Maafkan Aku

Jika aku hanya aksara
yang tidak mengisi akalmu
Maafkan aku.

Jika aku hanya lembaran
yang membuang waktumu
Maafkan aku.

Jika aku hanya paparan
yang menyakitkan matamu
Maafkan aku.

Jika aku mesti ditegur
Tegurlah aku.

Moga aku sebagai aksara
dapat diterima akalmu
Moga aku sebagai lembaran
dapat dihargai waktumu
Moga aku sebagai paparan
dapat disenangi matamu.

Peribahasa

buat di sini

Ada banyak lagi peribahasa di sini dan juga di sini.




PUISI : Benar-benar lurus

Kaki terus melangkah,
di rimba yang suram.

Hidup penuh pancaroba,
penuh onak dan duri,
di jalan yang penuh liku,
rintangan bertimpa-timpa.
Moga aku ada di jalanMu
yang lurus lagi benar.

Yang baik kuambil,
Yang buruk kubuang,
Kumohon petunjuk hanya dariMu.

Selasa, 17 Februari 2009

Pertahankan Bahasa Melayu

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil. Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia. ::Dato' Dr. Hassan Ahmad::

Dipetik dari : Gerbang Hasyuda Abadi

Buat Renungan


buat di sini

Kuharap Dirimu, Tuan

Musim dingin kian berlalu
desir angin lembut menerpa
hangat mentari mula terasa.

Seingat aku
pernah kita bersua dulu
kulihat damai di wajahmu, Tuan
putih bersih bak salju beradu di bumi.

Saat itu
umpat keji yang dilempar padamu
tiada berbekas di sanubariku
air beku yang mula terbentuk
segera mencair dipanah mentari
mengalir laju memenuhi tasik
menjadi sumber air mutlak
membasuh segala kekotoran yang
pernah terpalit.

Kuharap dirimu, Tuan
cekal dan tabah mendepani dugaan
demi kami teruskanlah berjuang.

Isnin, 16 Februari 2009

Kemudilah Bahteramu, Nakhoda

Wahai nakhoda
usah biarkan bahteramu
dikemudi tanpa arah
ketika lautan hebat dilanda gelora.

Wahai nakhoda
usah tunduk pada ribut taufan
kini engkau di tengah lautan
kembalilah merayu Tuhan
bermohonlah setulus hatimu
agar bahteramu dalam lindunganNya.

Puisi Sahabat

Sayang sekali membiarkan puisi ini terus berada di sini. Jadi, saya memasukkannya ke dalam entri. Terima kasih kepada Saudara KABASARAN.

Bundaku,
Dalam manis dan lezatnya kehidupan
Cintamu ada dalam syukurku
Dalam pahit dan getirnya kehidupan
Kasihmu ada dalam Sabarku
Dalam sulit dan berlikunya jalan
Kompasmu ada dalam pikiranku
Dalam gesekan dan benturan pergaulan
Bijakmu ada dalam hatiku
Adakah cinta yang melebihi cinta sang bunda ?
Adakah kasih yang melebihi kasih sang bunda ?
Tidak seperti sang matahari yang masih menyisakan malam
Tidak seperti sang udara yang masih mengosongkan ruang hampa
Tidak seperti samudra yang masih menghamparkan daratan
Cintamu adalah sejati-jatinya cinta
Kasihmu adalah sebenar-benarnya kasih
Dalam darahku mengalir darahmu
Dalam dagingku menempel dagingmu
Dalam pikiranku menumpuk pintarmu
Dalam hatiku menggunung bijakmu
Harimu adalah hari-hari ku
Dalam kasih ku ada kasih mu
Tak satupun mampu memisahkannya
Tidak jarak, tidak waktu dan tidak juga dimensi
Setiap hari adalah hari-hari mu, Bunda

Ahad, 15 Februari 2009

BUKAN SINOPSIS : Trilogi Bagaikan Puteri

Trilogi ini mengisahkan tentang empat watak utama iaitu Laksamana Sunan – Ratna – Haryani – Dani. Ia berkisar tentang pengembaraan keempat-empat watak yang melangkaui batas waktu. Plotnya juga disusun dengan begitu menarik sekali oleh pengarang yang tidak asing lagi iaitu novelis thriller tanahair, Sdr. Ramlee Awang Murshid. Anda pasti tidak akan menyesal mengikuti trilogi ini dari awal hingga akhir. Trilogi ini dimulai dengan Bagaikan Puteri, diikuti Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta sebagai penutup tirai.

Ketika saya memulakan pembacaan trilogi ini, saya pernah bertembung dengan isu yang menarik perhatian pelbagai golongan penulis iaitu sastera elit dan sastera pop yang mewarnai persada penulisan di tanahair kita sekitar dua tiga tahun yang lepas. Atau mungkin juga lebih lama daripada itu. Sempat saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya telah salah memilih bahan bacaan? Perasaan itu cuba saya kikis perlahan-lahan dan saya meneruskan juga pembacaan kerana saya ingin belajar sesuatu tentang penulisan.

Namun saya berpendapat, trilogi ini memberi makna dan manfaat yang cukup besar kepada saya yang baru kembali berjinak-jinak memilih novel sebagai bahan bacaan. Selain itu, saya sebenarnya amat meminati bidang penulisan kreatif dan baru kembali memesrainya setelah sekian lama sekadar menjadi pemerhati. Saya tidak mahu meniru lagak Mat Jenin. Oleh yang demikian, secara perlahan-lahan saya mula mengorak langkah biarpun kecil.

Kisah di dalam ketiga-tiga novel ini walaupun cuba mengajak kita berfantasi tetapi ada nilai-nilai murni yang hakiki terselit di dalamnya. Perkara itu langsung tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Walaupun kita diajak berfantasi, kita sentiasa dalam keadaan sedar bahawa kebenaran dalam sesebuah perjuangan itu amatlah penting. Pengarang berjaya menonjolkan Laksamana Sunan sebagai watak yang dekat di hati pembaca. Menegakkan kebenaran dan menumpaskan kebatilan tidak mengira batas waktu.

Penggunaan bahasa yang lancar amat membantu bagi golongan yang mahukan bahan pembacaan yang mudah. Diharap juga agar para pembaca budiman tidak mudah berpuas hati dengan segala macam perkara yang serba mudah hingga tidak mampu mencabar minda. Minda kita hendaklah sentiasa dicabar dengan perkara-perkara baru yang menjurus kepada niat yang murni dan jauh sekali memesongkan kita dari landasan kebenaran. Kebenaran yang kita perolehi di dunia ini akan membantu kita meniti kehidupan yang lebih aman dan bahagia di akhirat kelak. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat.

Sabtu, 14 Februari 2009

Adik Sayang Abah

Anak kecil itu sejak tadi lagi masih memuncungkan mulutnya. Ditambah lagi dengan kerut di keningnya. Matanya sekadar memandang makanan di hadapannya yang masih menanti untuk disuap ke mulut. Kakak-kakaknya terus menunggu. Ibunya pun begitu juga. Sekadar memerhati gelagat anak kecilnya kerana dia tahu dan sedar punca anak kecilnya jadi begitu. Setelah ayahnya bersuara, barulah muncungnya perlahan-lahan hilang. Kerut di keningnya juga beransur hilang. Tangan ditadah dan satu-persatu doa sebelum makan dibaca yang dimulai dengan Bismillah....

''Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar.''

Maksudnya ialah Ya Allah, berkatilah apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab neraka.

Rasa tidak puas hati anak kecil tadi kelihatannya seperti hilang begitu sahaja tapi sebenarnya tidak. Hanya muncung dan kerutnya sahaja yang hilang dari pandangan. Tanpa dipinta dia memberitahu betapa dia tidak senang selalu ditinggal-tinggalkan oleh ayahnya. Dia menuntut agar ayahnya segera pulang. Dia mahu ayahnya sentiasa berada di sisinya. Kakak-kakaknya saling berpandangan. Mereka hairan mendengar butir bicara yang meluncur laju dari mulut satu-satunya adik lelaki mereka itu. Mereka bertanya apa yang membuatkan adik mereka berkata demikian. Menurutnya, dia tahu ayah akan berpergian lagi. Padahal baru seminggu dia bersama ayah selepas berpisah selama seminggu pada minggu sebelumnya. Dan sekarang, perlu berpisah lagi. Barangkali setalah selang seminggu, barulah dapat bertemu ayah. Selepas meluahkan apa yang terbuku di hatinya, anak kecil itu memberanikan diri memandang ayahnya. Katanya, ''Adik sayang Abah....''

Bonda di Kanvas Dunia

Di celah-celah kanvas dunia
Ditemani desir angin yang tidak sehala
Dia berbual mesra dengan Bonda.

Dia bertanya kepada Bonda
''Siapakah yang dituntut untuk berjuang demimu?''

Bonda menjawab dalam kepiluan
''Bonda meniti waktu di pertengahan abad usia.
Sesiapa sahaja yang merasakan dia anak Bonda
maka berjuanglah kalian tanpa mencalar mengaib
wajah Bonda. Berjuanglah kalian agar maruah
Bonda tidak tergadai. Jiwa Bonda kian terabai.
Jiwa Bonda jadi debat.
Mengertilah anak-anakku!
Jiwa Bonda jiwa kalian jua.
Jiwa Bonda jiwa kalian jua.
Jiwa Bonda jiwa kalian jua.
Usah biar Bonda terus-terusan
menjadi saksi kisah semalam yang diulang dan diulang.
Bonda bermohon setulus rasa
Moga Ilahi menganugerahi hidayah dan taufikNya
ke atas kalian duhai permataku.''

Sepuluh Yang Pertama

Yang Pertama

Ketika baru mengenal huruf, mula-mula kita diajar angka satu hingga sepuluh. Angka-angka itu boleh disebut dan dihafal dengan mudah dalam masa sehari. Untuk memahami setiap angka, tempoh sehari seakan tidak mencukupi. Kita memerlukan masa lebih dari itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada kalian kerana sudi mengikuti Menelusuri Ilham. Memang sejak awal lagi telah terniat untuk membuat satu entri khusus setelah bilangan sahabat yang mengikuti blog ini mencecah angka sepuluh. Terima kasih ini saya tujukan buat abdnaddin, LittleMike, AragangTandik, Hasyuda Abadi, KABASARAN, JONK, NONG, Cikgu Mohd. Isa bin Abd. Razak, Nazri Aldusuni dan Pie. Kini Sdr. Hasyuda Abadi telah memiliki sebuah laman khusus untuk memperjuangkan bahasa dan sastera iaitu Gerbang Hasyuda Abadi. Jika anda ada sesuatu untuk disuara atau dikongsi bersama, silalah ke sana dan sudi-sudikanlah mendaftar sebagai ahli.

Terima kasih sekali lagi buat kalian kerana sudi mengikuti Menelusuri Ilham. Juga terima kasih kerana menerima saya seadanya sebagai aranam.


Warna-Warni Insan

Di bawah label ini, selain kalian yang mengikuti blog, turut saya masukkan pautan ke blog Hafizah Iszahanid, Lenny Deen Erwan, dan Saudara Marsli N.O. Semoga kita beroleh manfaat.

Di sini
kita berjuang
mengusir derita
mengusir sengsara
yang terpendam
di dalam diam
yang tersembunyi
di dalam nyata.

Yang benar ditegak
Yang batil dilumpuh
Demi jalanNya yang lurus dan abadi.

Khamis, 12 Februari 2009

Kasih Sayang

Dilambangkan sebagai Hari Kasih Sayang
Februari empat belas setiap tahun

Kasih sayang
raikanlah setiap hari
semoga utuh ikatan murni
bukan gah cuma sehari.

Ditinggalkan Masa

Ditinggalkan masa,
aku berpaling memandang ke belakang...
Cuba mendengar suara-suara itu,
bukan asing namun tenggelam.

Memandang ke hadapan,
aku tetap ditinggalkan masa...
Cuba mendengar suara-suara itu,
semakin jauh meninggalkan aku.

Tukar dan Tukar Lagi

Menukar template sejak semalam. Juga sejak beberapa minggu yang sudah. Melakukan perkara atau kerja yang kita tidak ada kemahiran mengenainya akan menuntut waktu yang begitu panjang. Dari dua column, tukar kepada tiga. Rupa-rupanya setelah column jadi tiga, pun masih mahu ditukar lagi. Tukar juga. Tukar lagi sehingga hilang terus wajah asal.

Cuma saja yang masih sama, ia masih template untuk blog dan isinya atau widget yang ada masih hampir sama kerana ada yang dikekalkan dan ada yang dilupakan terus kerana langsung tidak sesuai diguna pakai di dalam template yang berwajah baru. Senyuman pun mula terukir. Seolah-olah kerja itu sudah berakhir.

Jadi, bolehlah diteruskan dengan mengisi catatan demi catatan. Ditenung dan direnung dari atas sampai ke bawah. Sampai di bawah, ada juga cacatnya. Mahu membetulkan tidak tahu. Pencarian diteruskan lagi. Akhirnya, mungkin juga pengakhiran yang sementara... template inilah jadi pilihan. Berlatar belakang biru. Perkara yang tidak begitu mengecewakan kerana template ini ada tiga column.

Template yang diberi nama Blue ini ditemui di sini. Saya dapati, ada di antara pengunjung budiman yang tiba ke Menelusuri Ilham ketika sedang dalam pencarian seperti yang pernah saya lalui dan mungkin juga pengunjung itu, anda. Oleh yang demikian, lebih baik dinyatakan terus dari mana template ini berasal. - Februari 22, 2009

Ini cuma menukar template. Kalau yang ditukar dan diubah itu adalah jasad yang dipinjamkan ALLAH SWT...akhirnya siapa atau apa yang dapat membantu kita untuk kembali?

Rabu, 11 Februari 2009

Cikakak di Rumah Nenek

Ketika itu umurku baru sembilan bulan. Aku dijaga oleh Nenek. Setiap pagi, aku dihantar Abah dan Mama ke rumah Nenek. Sebelum Maghrib, Bu Na akan menghantar aku ke hujung titi yang dipanggil jambatan oleh penduduk sekitar. Jambatan itulah yang digunakan sebagai laluan oleh penduduk kampung. Pernah jambatan itu rosak. Bersusah-payah Bu Na mengimbangkan badannya agar kami tidak terjatuh. Bu Na ialah anak Nenek. Anak Nenek yang lebih muda daripada Mama. Entah-entah ketika Mama sebaya Bu Na, Mama juga pernah melalui pengalaman seperti ini. Bersusah-payah berjalan di atas jambatan yang rosak. Aku memeluk Bu Na erat. Bu Na mendakap aku kemas-kemas. Ramai orang pernah berkata bahawa jambatan itu perlu dibaiki. Aku setuju dengan mereka. Jambatan itu memang perlu dibaiki. Begitulah rutin hidupku setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Rutin itu bermula sejak umurku baru dua bulan.

Suatu petang, kami dikejutkan dengan kehadiran Abah dan Mama. Biasanya, Bu Na yang akan menghantar aku hingga ke hujung jambatan. Sambil duduk bersembang di ruang tamu, kami makan kuih karipap yang digoreng Nenek. Aku juga mahu makan karipap. Abah kata, karipap yang Nenek buat, sedap. Mama rancak berbual dengan Nenek. Antara yang menarik perhatianku ialah tidak lama lagi rutinku akan berakhir. Tidak lama lagi aku akan dijaga Mama sepenuh masa. Tidak lagi ditinggal-tinggalkan di rumah Nenek. Aku memandang Nenek. Di wajahnya ada senyum terukir. Cuma senyum itu agak asing bagiku. Tawar.

Berkali-kali Mama memujuk Nenek. Menurut Mama, kami tetap akan sering bertemu Nenek. Lagipun, jarak rumah kami dan rumah Nenek tidak sampai sepuluh minit. Aku tahu Nenek sedih. Aku ini cucu pertama Nenek. Apa yang boleh aku buat supaya senyuman Nenek tidak setawar itu. Sambil mengunyah karipap yang sudah dikeluarkan intinya, aku memandang ke dinding rumah. Aku segera menuding jari tepat ke arah dinding berwarna biru muda itu sambil menjerit, ''Cikakak! cikakak!''

Tiba-tiba semua yang ada di sekelilingku ketawa. Berderai. Aku tercengang sendiri. Nenek ketawa. Ketawa yang sering aku lihat. Aku gembira melihat Nenek ketawa. Aku juga turut ketawa. Tapi, kenapa mereka ketawa? Akukah yang diketawakan mereka?

Selasa, 10 Februari 2009

Rindu

Anak muda berkain pelekat,
Berkain pelekat kereta dipandu,
Bila jauh rindu mendekat,
Bila dekat menjauhkah rindu?

Kuih keria digaul disira,
Dimakan habis sebelum senja,
Anak-anak riang gembira,
Menyambut ayah pulang kerja.

Upah sedikit buat belanja,
Pergi ke pasar beli belanak,
Ketika menginjak usia senja,
Terbayang wajah si kecil anak.

Badang gagah lagi perkasa,
Merajuk hati duduk di rawa,
Anak kecil sudah dewasa,
Rindu disimpan di lubuk jiwa.

Isnin, 9 Februari 2009

Cahaya

Peluh mengalir lekas diseka,
Nyala lilin diganti pelita,
Cahaya terang kita suka,
Dalam terang kita gelita.

Sabtu, 7 Februari 2009

Dunia

Terbang tinggi si burung helang,
Terlihat tikus menuju perangkap,
Dunia dikejar dunia dijulang,
Hanyalah dunia kita dakap.

Pak Ali mengait rambai,
Rambai dikait di kebun nyonya,
Dunia dikejar akhirat diabai,
Dunia sedetik akhirat selamanya.

Susah Dahulu Kemudian Senang

Si ambuk masuk ke rumah,
Masuk ke rumah ternampak pisang,
Kita hidup mesti berhemah,
Susah dahulu kemudian senang.

Jumaat, 6 Februari 2009

Manusia dikalahkan Semut dan Lebah

''Kita-kita ini sewajarnya bersatu. Tidakkah kita malu melihat semut? Semut lebih bersatu daripada kita. Tidakkah kita malu melihat lebah? Lebah lebih bersatu daripada kita. Malah, koloni lebah mampu menghasilkan madu. Ya! madu. Bukan...bukan madu yang itu. Ini madu lebah. Madu yang tidak akan basi. Madu yang mampu mengubati penyakit. Bukan sahaja lelaki tetapi wanita juga. Bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga.''

''Tai, apa yang kau membebel tu...''

''Iang, aku kesian pada manusia. Aku sekadar membayangkan kalaulah aku menjadi manusia. Ada otak, ada akal. Tapi, kalah oleh semut. Dengan lebah juga mereka kalah. Mereka asyik berpecah. Bersengketa hanya kerana soal yang enteng-enteng.''

''Sudahlah, Tai. Engkau lantai...aku ni tiang. Engkau yang selalu dipijak ni masih sudi kesian pada manusia. Alangkah pemaafnya kau, Tai.''

''Tidak mengapalah, Iang. Aku sedar aku ni cuma lantai...''

Khamis, 5 Februari 2009

Bukan Orang Media

Ain kelihatan sedih. Dia sedih mendengar luahan ibu bapanya. Menurut mereka, tidak lama lagi rumah mereka akan dirobohkan. Ain tidak selalu bertemu mereka. Setahun cuma sekali. Ain ingin tahu dengan tepat bila agaknya rumah-rumah di Kampung Sebintang akan diroboh. Malang sekali, ibu bapanya tidak tahu. Ain resah. Ain gusar. Dia tidak betah duduk diam. Diam menunggu. Menunggu begitu terasa menyeksakan.

Dicapainya telefon. Dia menghubungi operator telefon dan meminta nombor yang diperlukannya. Pantas sahaja dia mendail nombor-nombor yang baru diperolehinya sebentar tadi. Dia terpaksa mendail beberapa kali sebelum panggilan dijawab. Akhirnya, di hujung talian kedengaran suara seorang wanita. Orang tempatan.

Ain menceritakan serba sedikit tujuan dia menelefon. Wanita itu memaklumkan bahawa Ain perlu menghubungi Encik Doremi berkenaan perkara yang telah disebutkannya itu. Ketika itu, Encik Doremi tiada di pejabatnya. Dia keluar kerana ada urusan. Ain tanpa berlengah berusaha mendapatkan nombor handphone Encik Doremi daripada wanita itu. Wanita itu agak keberatan. Tetapi, Ain tetap memujuk wanita itu supaya memberikannya nombor handphone Encik Doremi. Wanita itu beralah juga. Itupun setelah Ain memberikan nombor handphonenya sebagai jaminan.

Sejurus itu juga, Ain menghubungi Encik Doremi.

''Assalamu'alaikum, Encik Doremi.''

''Wa'alaikumsalam.''

''Encik Doremi, saya Ain. Saya ada beberapa soalan. Saya harap Encik Doremi tidak keberatan menjawabnya.''

''Err...Cik Ain ni orang mediakah?''

''Tidak. Saya bukan orang media. Saya cuma prihatin tentang nasib ibu dan ayah saya serta orang kampung yang tertanya-tanya tentang nasib mereka yang mendiami kawasan Kampung Sebintang. Encik Doremi tentu arif tentang maksud saya. Tapi, jangan risau sebab segala maklumat yang Encik Doremi dedahkan hanya akan saya kongsi dengan ibu dan ayah saya saja.''

''Apa yang Cik Ain nak tahu?''

''Saya nak tahu...adakah rumah-rumah di kawasan yang berdekatan dengan sungai di Kampung Sebintang ini akan diroboh dalam masa terdekat ni?''

''Tidak. Kawasan yang berhampiran sungai itu tidak terlibat. Cuma kawasan yang berhampiran dengan projek shopping mall sahaja yang terlibat buat masa ni.''

Ain sedikit lega dengan jawapan itu. Bermakna ibu dan ayahnya masih boleh menarik nafas lega.

''Mmm...untuk pengetahuan Cik Ain. Semua rumah di Kampung Sebintang akan diroboh menjelang 2010. Maknanya, pada tahun 2010 tidak akan ada lagi Kampung Sebintang seperti yang ada sekarang ini.''

Berderau darah Ain. Hampir-hampir saja menitis air matanya. Baru juga kegembiraan tergambar di wajahnya. Sekarang kegembiraan itu sudah bertukar rupa. Serta-merta sirna. Pun begitu digagahkannya juga menanyakan soalan berikutnya.

''Encik Doremi, adakah sebarang pampasan akan diberikan kepada penduduk kampung?''

''Tidak. Pihak kami tidak akan memberi sebarang pampasan.''

''Walaupun untuk memindah barang-barang?''

''Ya. Kami tidak memberi sebarang pampasan.''

''Baiklah. Terima kasih, Encik Doremi.''

''Cik Ain...awak bukan orang media, kan?''

''Bukan. Saya bukan orang media. Encik Doremi...tolong sampaikan salam saya kepada isteri Encik Doremi, Daliko. Kami saudara. Saudara jauh.''

Geli-geleman atau Geli?

Ramai orang geli-geleman apabila melihat katak. Entah benar-benar geli-geleman atau cuma pura-pura. Yang tua, yang dewasa, yang baru mula dewasa mudah geli-geleman apabila melihat katak. Belum lagi dilompati. Baru melihat sahaja. Yang geli melihat katak, kanak-kanak. Yang suka mengejar katak, kanak-kanak. Jadi, katak-katak itu kenapa terus melompat? Untuk menghibur kanak-kanakkah? Atau membuatkan orang-orang yang geli-geleman terus termuntah?

Eh! terlupa pula. Katak...memang kerjanya melompat!

Selasa, 3 Februari 2009

Jerat

Cinta kasih pada keindahan
Obsesi menjerat diri
pada kepalsuan yang amat nyata
hingga mengubah ciptaanNya
berlapik sejuta alasan
yang diangguk setuju para sekutu
dunia dilumuri kehitaman dosa
nanah mengalir kian membusuk
menjadi takungan kehinaan.

Kemuliaan Sebuah Ikatan

-i-

Berpijak di laluan ini
aku jadi saksi sebuah pertalian
yang tidak terungkai
meski jauh melewati usia

Persahabatan
mulianya sebuah ikatan.

-ii-

Dalam meniti sebuah kehidupan
qada dan qadar setiap insan
sudah tertulis sejak azali
ada hitam ada putih
ada tangis ada tawa
ada duka ada suka
kita iringi dengan doa
kita terima dengan reda.

Isnin, 2 Februari 2009

Nilai Sebuah Kejujuran

-i-

''Kakak, kenapa...saya ini bukan orang baikkah?''

Raut wajahnya muram. Aku cuba untuk tidak memandangnya.

''Kali ini, saya bercakap benar. Dia balik kampung. Hari ini dia tidak datang kerja.''

Pemuda itu cuba memujuk lagi. Namun, aku tetap mengatakan tidak kepadanya. Aku mencadangkan agar dia mencari orang lain. Aku tidak mahu. Aku serik. Kalaupun kali ini dia bercakap benar, aku tidak sanggup untuk memberi peluang itu kepadanya. Aku tidak akan memasukkan barang-barang di tanganku ke dalam trolinya. Sungguhpun agak berat, aku rela mengangkatnya sendiri. Aku tidak akan mengupahnya. Aku harap dia akan menjadikan keenggananku itu sebagai pengajaran baginya. Sebelum ini, aku sudah pernah memberinya peluang. Dia dapat peluang itu dengan cara yang salah. Dia membohongi aku.

Akibatnya, sampai bila-bila pun aku tidak akan memberi peluang kali kedua untuknya. Bukan sahaja dia malah orang lain juga.

Kadang-kadang aku sekadar menguji. Orang yang lulus ujian hanyalah orang yang jujur. Jika dia jujur, aku akan mengupahnya lagi. Menemui orang yang jujur tidak mudah. Aku pernah memuji orang-orang yang kuanggap jujur.

Pernah kukatakan kepada mereka, ''Teruskanlah bersikap baik seperti ini.''

Mengatakan lebih daripada itu, aku tidak mampu kerana aku tidak mahir menggunakan bahasa mereka.

-ii-

Kebiasaannya, aku akan sangat memerlukan khidmat penolak troli setelah selesai membeli telur sesarang dua. Setiap kali juga, aku akan membeli telur dengan penjual yang sama. Dia selalu bersikap ramah, memberi potongan harga dan memilih telur-telur yang segar untukku.

Saat aku sedang tercari-cari, datang seorang penolak troli menghampiriku. Dia tersengih-sengih menampakkan barisan gigi-gigi emasnya. Aku mula risau. Sebenarnya, aku selalu mengelak penolak troli itu. Sebelum ini, dia selalu melambai-lambai ke arahku sambil tersenyum. Kali ini, aku tersepit. Aku memandangnya. Dia tersenyum lagi seperti selalu.

Aku memandang penjual telur di hadapanku. Wanita itu tersenyum. Lalu, aku meminta bantuannya untuk bertanya kepada penolak troli itu berapa upah yang perlu kubayar. Aku juga ingin kepastian sama ada kadar upah yang diminta itu tetap atau tidak.

Ketika wanita penjual telur itu bertanya si penolak troli, aku cuma memerhatikan. Rupa-rupanya si penolak troli itu bisu. Perasaan bersalah mula menerpaku. Menurut wanita si penjual telur, di pasar itu ada dua tiga orang seperti itu. Ada dua tiga orang penolak troli bisu yang boleh dipercayai.

Setelah selesai berbelanja di pasar itu, aku menuju ke teksi yang sedia menungguku. Satu demi satu barang-barang belian dimasukkan ke dalam teksi sehingga habis muatan di dalam troli. Lalu, aku bertanya si penolak troli berapa jumlah perlu kubayar. Dia menunjukkan jari...dua. Jumlah itulah yang ditetapkannya sejak awal lagi. Aku menghulur wang kepadanya. Kebiasaannya, penolak troli yang jujur akan mendapat upah di dalam dua bentuk. Upah yang diminta dan upah yang tidak diminta. Kali ini, aku menemui lagi seorang yang jujur. Si penolak troli bisu yang jujur.

-iii-

Jemur ikan di tepi jalan,
Bila hujan cepat diangkat,
Jujur ikhlas jadi amalan,
Semoga hidup mendapat berkat.