Ahad, 27 September 2009

Kazama

Petang itu, saya berbual-bual dengan mak cik dan anaknya di halaman rumah mereka. Saya duduk di atas papan yang asalnya merupakan sebatang pokok kayu yang telah ditebang dengan menggunakan chain saw. Serpihan dan habuk kayu masih berselerak di situ.

Sesekali saya mengusik anak kepada sepupu saya yang ketika itu berada dalam dakapan ibunya, malu-malu melihat saya.

Mungkin kerana saya ini dianggap asing dalam hidupnya. Memang itulah kali pertama kami bertemu. Dia pupu dua kali dengan anak-anak saya.

Sesekali, saya melemparkan pandangan melihat anak-anak saya yang sedang sibuk main rumah-rumah dengan sepupu mereka. Mereka sedang sibuk dengan dunia mereka. Di wajah masing-masing tergambar kepuasan kerana rumah dari batu-bata dan kepingan papan sudah siap dibina. Rumah yang cuma ada tempat duduk tanpa dinding dan atap. Saya tersenyum sendiri.

Kemudian, saya kembali mengusik anak kecil itu, yang malu-malunya saya lihat berubah pula menjadi takut-takut. Sambil itu, telinga saya menangkap sedikit butir percakapan mak cik dan ibu saya. Mak cik saya bercerita tentang Kazama. Menurutnya, Kazama itu anaknya ada tiga. Kazama itu kalau ditegur, dia akan menjeling dengan pandangan yang tajam. Kemudian, dia akan berlalu begitu sahaja tanpa mengendahkan teguran terhadapnya. Begitulah lagak Kazama.

Saya tertarik mendengar cerita tentang Kazama. Selain kerana namanya Kazama, saya juga suka mendengar cara mak cik saya itu berkisah tentang Kazama. Lalu, saya tanya siapa Kazama. Dengan wajah yang serius, mak cik saya memberi tahu yang sebentar tadi Kazama ada berdekatan kami. Siapa Kazama? Setahu saya, selain kami, tidak ada sesiapa pun di situ.

Hanya sesekali selama saya duduk di situ, telinga saya dapat menangkap suara memberi salam. Tahun lepas, saya sudah bertemu dengan pemilik suara itu. Bulunya hitam dan tempat tinggalnya cuma sangkar kecil di tepi tingkap dapur rumah mak cik. Salam yang diulang-ulang itu, saya biarkan saja.

"Tu...Kazama datang." sepupu saya memberi tahu sambil menunjuk ke arah Kazama.

Waktu itu, barulah saya tahu yang mana satu Kazama. Waktu itu, barulah juga saya diberi tahu, yang sedang mengiau-ngiau di bawah rumah itu, anak-anak Kazama.

Tanpa berlengah, saya segera mengambil gambar Kazama. Mungkin disebabkan sedikit terganggu, Kazama si kucing jantan terus berlalu tanpa mempedulikan saya yang masih memanggil-manggil namanya. Kazama berpaling sambil menjeling tajam ke arah saya, kemudian dengan pantas berlari menyusup masuk ke dalam belukar.

Khamis, 17 September 2009

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri...

Buat semua yang mengenali saya dalam ruang yang tersendiri.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf andai dalam ruang perkenalan kita, saya ada menyinggung perasaan anda.

Selamat Menyambut Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin.

Ayam Goreng





Semalam, Hari Malaysia...anak sulung saya genap sepuluh tahun usianya. Setiap tahun, hari lahir AS menjelang tiba selepas abahnya dan adiknya, AN, yang menyambut hari lahir masing-masing pada tarikh yang berturut-turut sekitar pertengahan bulan Ogos.

Sehari sebelum hari lahirnya, ketika saya menanyakan tentang menu berbuka keesokannya...AS memilih ayam goreng pistol (kepak ayam) dan sayur kobis...sayur kegemarannya. Saya menambah satu hidangan lagi iaitu sosej masak merah. Gembira sungguh apabila melihat AS makan dengan begitu berselera sekali ketika berbuka puasa.

Selamat hari lahir, sayang...