Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan

Ahad, 6 Julai 2014

Sembang Petang di Kedai Alatan Bakeri


Kongsi. Internet dan golongan yang suka berkongsi segala kebaikan berkaitan kehidupan; termasuklah petua rumahtangga, resepi masakan, tips menjaga kebersihan, petua bercucuk-tanam, dan segala macam perkongsian yang baik-baik di dunia siber, tersangatlah membantu golongan yang berkeperluan. Terima kasih buat anda yang suka berkongsi segala hal yang baik-baik di ruang terbuka yang boleh diakses oleh lebih ramai orang.

Di sini, bercerita sendiri. Terima kasih buat anda sama ada yang sengaja singgah ataupun sebaliknya. Saya amat menghargainya.

Selamat menunaikan ibadah dalam bulan Ramadan yang mulia ini. :-)

Baru-baru ini semasa membeli barang keperluan di kedai alatan bakeri, sempat bersembang dengan taukenya. Kebetulan pelanggan pun tidak ramai. Kedai pula sudah menghampiri waktu tamat operasi pada hari itu.

Banyak juga ilmu yang dikongsi. Sempat bercerita tentang isu coklat yang sekejap halal, sekejap tidak. Tentang sabotaj dalam dunia perniagaan. Tentang resepi; coklat mana yang sesuai untuk biskut almond london yang mahu dikerjakan, keju mana yang sesuai untuk biskut pelangi lidah kucing berkeju (rainbow cheese butter cookies), sehinggalah sejauh mana keterbukaan individu mahu berkongsi ilmu -- dalam hal ini resepi. 

Ilmu itu untuk dikongsi. Benar. Tetapi perkongsian itu tidak berlaku dalam semua situasi. Ada hal-hal yang menjadi rahsia sama ada secara personal atau rahsia yang dipegang erat oleh satu kelompok tertentu. Sebenarnya, keadaan itu sudah lama disedari. Tentu sekali sudah ramai yang sedia maklum. Hanya sengaja menafikan hakikat.

Setakat ini dulu. :-)






Isnin, 15 Februari 2010

Sempurna

Seseorang yang mementingkan kesempurnaan, sering kali bersikap tidak adil terhadap orang lain tanpa disedarinya.  Dia sering terlupa bahawa jalan menuju kesempurnaan itu sering kali dipenuhi dengan pelbagai ruang-ruang kosong yang perlu dipenuhi, duri-duri tajam yang menyakitkan dan pelbagai ranjau yang mesti dilalui.  Dan, dia sering terlupa hakikat bahawa di dalam dunia ini tidak ada seorang manusia pun yang benar-benar sempurna.  Pada saat dia merasakan dirinya sempurna, dia sebenarnya sedang menjauhi kesempurnaan itu tanpa disedarinya.

Sabtu, 9 Mei 2009

Ibu

Saat ini, sebak menemaniku. Saat ini, aliran jernih menuruni pipiku. Saat ini, aku ingin berkisah. Di kalbuku penuh keharuan. Di kalbuku penuh kerinduan. Ibu, sebentar tadi kita berbicara. Melepas rindu yang tak pernah hilang. Jika dicongak usiaku kini, kita sebumbung hanya sehingga dua pertiga usiaku. Dan, kemudian kita berjauhan. Berbeza rumah. Kemudian, berbeza negeri. Dan, sekarang berbeza negara.

Walau jarak dan masa memisahkan kita, rinduku padamu tidak pernah sirna. Hanya rinduku sering kusembunyi di tempat paling istimewa di ruang kalbuku. Rindu itu akan berbunga, kembang dan mengharum tika tiba waktunya kita hampir bertemu. Aku sengaja menyembunyikan rindu yang ada agar aku bisa meneruskan hari-hariku tanpamu di sisiku.

Oh, Ibu yang kusayang. Tidak mungkin aku melupakan hari-hari kelmarin, kita bergurau senda bersama. Kita berkongsi kisah kelmarinmu. Kisah kelmarinmu yang turut mengakrabkan kita. Tidak mungkin aku melupakan hari-hari kelmarin, tatkala dirimu dihimpit gundah mengenang diriku yang sering sakit-sakitan. Sungguh aku berasa berdosa kerana sering menyebabkan titis-titis jernih bergenang menuruni pipimu.

Ibu, aku sayang padamu. Aku sedar kini. Kesukaranku meluah bicara, kesukaranku mengungkap kata yang lahir dari hatiku yang tulus buatmu semata-mata kerana aku tidak cukup kuat. Aku tidak cukup kuat. Setiap kali aku melayan rinduku, aku pasti kalah. Aku cuba berdiri dan bertahan. Sering aku malu sendiri.

Aku anak yang sulung. Sepatutnya aku kuat, aku tabah. Tetapi, rindu yang mengisi kalbuku sering berjaya membuatku kalah. Aliran jernih pasti akan menjadi temanku yang setia. Sebak yang tidak mampu kutahan pasti bertandang. Hanya doa yang sering kutitipkan menjadi penawar rinduku ini.

Sempena Hari Ibu ini, aku mengucapkan Selamat Hari Ibu buatmu Ibuku yang tercinta. Juga buat Ibu Mertuaku yang dikasihi. Buat Adik Perempuanku yang telah bergelar Ibu. Buat Adik-adik Lelakiku sayangilah wanita dalam hidup kalian...Buat Ibu-ibu Saudara, Sepupu-sepupuku.

Buat sahabatku yang seramai 30 orang dalam M.I...Selamat Hari Ibu kutujukan untuk kalian dan juga untuk wanita-wanita hebat dalam hidup kalian.

Buat pengunjung M.I...Selamat Hari Ibu buat anda dan wanita-wanita hebat dalam hidup anda.

Untuk Ayah, usah salah sangka terhadapku. Hebatnya rinduku untuk Ibu, begitulah juga hebat rinduku untukmu, Ayahku yang tercinta...kurang sepurnama lagi kita bertemu. Bersabarlah menanti kepulangan kami, anakmu, menantumu, dan cucu-cucumu yang bertiga. Nantikan kami.

Cintaku
untuk Ibu
ada pada setiap hari
ada pada setiap detik
ada pada zahir dan batin
mengalir dan bernafas
bersamaku.

Tetapi
hari ini
detik ini
dalam getar
rindu yang sarat
dalam titis
rindu yang mengalir
bergenang di pipi
aku berani
aku kuat
untuk
mengungkapkan
kata-kata
yang sering bermain
dalam kalbuku
kata-kata
yang sering tidak bisa
aku ungkapkan
kata-kata
yang sering gagal
aku jalinkan
menjadi luahan rasaku
untukmu
Ibuku yang amat kusayang.


Khamis, 7 Mei 2009

Sahabat Karib

Sahabat. Sahabat karib. Rupa-rupanya saya ada. Selama ini, saya tidak sedar yang saya sebenarnya memiliki sahabat karib. Entah kenapa. Kenapa saya boleh terlupa yang saya sebenarnya memiliki mereka.

"Kita ni, sahabat baikkah?" saya memberanikan diri bertanya soalan berisiko seperti itu.

"Kenapa tanya begitu? kau lupakah kita ini sahabat baik?" soalan berbalas soalan itu membuat hati saya sedikit kecut.

"Nda. Aku saja jak tanya," begitu saya menjawabnya.

Ada dua orang yang saya tanya soalan berani mati itu. Seorang saya tanya lewat sms manakala seorang lagi saya tanya lewat ym. Kedua-duanya memberi pengakuan bahawa saya ini adalah sahabat karib mereka. Dan, saya percaya.

Apabila saya cuba menarik ingatan dan kenangan yang telah lama tenggelam di benak, saya berjaya. Itulah yang membuatkan saya percaya. Ya, mereka memang pernah menjadi sahabat saya. Sahabat yang paling akrab. Saya terharu. Sungguh.

Saya tertanya-tanya sendiri. Bagaimana saya boleh berfikir bahawa selama ini, sahabat karib, tidak lagi saya miliki. Adakah mungkin kerana ketidakakraban yang wujud sejak sekian lama telah menyebabkan saya berasa demikian? Adakah ketidakakraban itu telah menindih rasa keakraban yang pernah kami nikmati?

Ya, memiliki sahabat karib merupakan suatu nikmat. Nikmat yang indah kurniaan Ilahi. Alhamdulillah...saya bersyukur kerana akhirnya saya punya sahabat. Sahabat karib yang saya sangka, saya tidak punya. Mungkin saja, masih ada lagi beberapa nama yang tenggelam di benak saya. Saling bertindih dan bersembunyi jauh di dasar minda sedang menanti untuk saya tarik naik ke permukaan agar jelas kelihatan.

Khamis, 30 April 2009

Asap

Catatan ini mungkin akan lama di sini. Mungkin lebih daripada tiga hari, catatan ini akan kekal berada di bahagian atas ini. Kali ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita yang dikutip daripada pengalaman hari ini, dan juga hari sebelum hari ini.

- i -

Warna Kenangan, saya cipta awal pagi tadi. Sebenarnya, bait-baitnya ataupun mungkin keseluruhan isinya, bukanlah mewakili diri saya sepenuhnya. Kalau pun ada, mungkin sedikit cuma. Kalau saya masih 'akur pada kelmarin', maka tidak wujudlah saya di sini hari ini, selama beberapa bulan ini sebagai Aranam... :)

- ii -

Tengahari tadi, saya keluar. Ketika pemandu teksi sedang menunggu saya di tempat letak kereta, dia sempat menyalakan dan menghisap sebatang rokoknya di bawah sinar matahari yang terik membahang di dalam teksi yang semua tingkapnya diturunkan. Udara nyaman musim bunga tidak begitu terasa tengahari tadi. Tidak seperti semalam dan kelmarin. Hari ini cuaca terik sekali. Langit biru bersih, indah pada pandangan saya.

Dalam keadaan yang kurang senang, saya masuk juga ke dalam teksi dan cuba bertahan dengan kepulan asap yang berkali-kali singgah ke wajah saya, dan begitu mengganggu saya. Beberapa kali saya terbatuk-batuk. Sebenarnya, batuk itu sebagai isyarat. Isyarat supaya pemandu teksi itu berhenti menikmati rokoknya yang entah bila akan tinggal puntung.

"Ya ne magu, izvinitye," kata saya. Maksudnya, saya tidak boleh, maafkan saya.

"Ya ne magu," saya ulang lagi. Saya tidak boleh, begitu kata saya sambil saya memberi isyarat seperti memegang rokok.

Dengan pantas, dia membuang rokoknya. Lantas, dia berkata pada saya kenapa saya tidak memberitahunya dari awal lagi. Dan, dia meminta maaf.

- iii -

Lama dulu, ketika kurang separuh daripada usia saya sekarang ini, saya sering menaiki bas untuk ke bandar Kota Kinabalu. Ada di kalangan penumpang yang sering mengambil kesempatan menghantar nikotin dan lain-lain lagi memasuki sistem badan mereka tanpa mempedulikan pelekat larangan merokok yang ditampal di dalam bas yang boleh dilihat dengan jelas.

Bukan tidak pernah saya berkata dengan hormat, meminta mereka supaya tidak menyalakan rokok milik mereka, yang mereka beli dengan duit sendiri...pernah. Tetapi, pada kebanyakan waktu juga, saya terpaksa berdiam dan menahan diri daripada bersuara. Menahan nafas ketika asap menyinggahi wajah saya. Melepaskannya dengan pantas. Kemudian, menarik nafas ketika tiba waktunya udara yang patut saya hirup itu telah bersih. Begitulah...begitulah selalunya.

- iv -

Dulu, saya fikir saya benci perokok. Tetapi, sekarang saya sedar yang saya benci itu sebenarnya ialah rokok. Rokok yang dinyalakan. Rokok yang diasapkan. Asap rokok yang singgah ke ruang pernafasan saya. Asap rokok yang singgah ke ruang pernafasan keluarga saya. Kalaulah ramai orang boleh membenci rokok seperti saya membenci rokok, kan bagus!

Pernah suatu ketika, di sebuah kedai di Kerteh, salah seorang anak saya yang waktu itu baru berumur dua tahun menarik-narik baju saya. Dia mengatakan begini,

"Nanti otak Pakcik tu berdarah," katanya dengan wajah risau.

"Kenapa Adik cakap macam tu," saya tanya dengan wajah hairan.

"Sebab dia hisap rokok," begitu jawabnya dengan yakin.

- v -

Masa berlalu terlalu pantas. Tinggal lapan bulan saja lagi, tahun 2009 akan jadi sejarah. Memang, masa tidak pernah berubah. Tetap bergerak seperti dulu-dulu juga. Tetapi, dalam sedar ataupun tidak, kitalah yang sebenarnya menjadikan masa itu semakin tidak boleh dikejar-kejar. Semakin jauh meninggalkan kita. Benarkah begitu?

Sabtu, 11 April 2009

Ikhlas


Diberi maaf dengan seikhlas hati
lebih bermakna daripada
diberi emas berkati-kati.

Sabtu, 21 Februari 2009

Selasa, 17 Februari 2009

Pertahankan Bahasa Melayu

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil. Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia. ::Dato' Dr. Hassan Ahmad::

Dipetik dari : Gerbang Hasyuda Abadi

Buat Renungan


buat di sini