Selasa, 19 Oktober 2010

Cebis Demi Cebis

Kongsi
Menyedari bahawa perlu berhati-hati apabila mahu berkongsi khabar gembira kerana kegembiraan dan kebahagiaan yang singgah di hati kita itu bisa mengundang kesedihan di hati insan lain.  Kedengaran pelik tetapi itulah hakikat.

Diskaun 
Berusaha mencari masa terluang.  Ada diskaun sehingga 95% di Dawama, Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, sehingga 5 November 2010.

Peluang
Terpaksa melepaskan peluang menghadiri bengkel pada 23-24 Oktober ini.  Ada tanggungjawab yang perlu dipenuhi.

Apabila Rindu ....

Saat ini, tidak kenampakan warna indah langit yang membiru cerah berteman cahaya mentari seperti yang selayaknya. Yang ada hanyalah suramnya hari.  Yang kedengaran adalah bunyi dedaunan yang ditiup angin, tiada kelembutan pada bunyi itu.  Titis hujan menimpa bumbung.  Tidak kedengaran kicau burung dan kukur tekukur.  Besar kemungkinan tempias dari taufan Juan yang melanda Filipina sudah tiba ke negeri di bawah bayu ini.  

Pada ketika mentari bersinar cerah, tidak ada perkara yang perlu dirisaukan.  Aktiviti seharian pasti berjalan lancar tanpa perlu memikirkan jalan yang licin ataupun pandangan yang terhad ketika memandu disebabkan angin kencang dan hujan yang datang seiring.  Yang agak mengganggu hanyalah terik mentari yang terasa menyengat di kulit wajah ataupun pandangan terganggu disebabkan silau cahaya mentari.

Apabila hujan begini, ada jalan-jalan tertentu yang cepat benar ditenggelami air.  Satu yang paling melekat di ingatan adalah Jalan Penampang.  Pernah sekali, saya dan suami tersangkut dalam kesesakan jalan raya semasa hujan lebat.  Debar juga sempat bertamu sebab jalan sudah dinaiki air.  Di bahagian kiri jalan, sudah ada kereta yang tersadai.  Mujurlah, tidak ada kerosakan berlaku pada kenderaan kami pada ketika itu.

Waktu itu, kami baru berpindah balik ke Kota Kinabalu.  Masih jelas dalam ingatan saya betapa anak lelaki saya terlalu teruja melihat kapal terbang di udara yang kelihatan besar dan kuat bunyinya.  Setiap kali melintasi kawasan lapangan terbang, dia pasti akan tertinjau-tinjau.  Dia kenal benar dengan 'Malaysia' dan juga 'Air Asia'.  Ada kalanya, keterujaan anak lelaki saya itu merimaskan kakak-kakaknya.  Sehinggalah pada suatu waktu, kakak-kakaknya tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka apabila melihat kapal terbang yang baru berlepas, besar dan kuat sekali bunyinya.  Mereka bertiga menjerit hampir serentak, "Wowww!".

Sekarang ini, selepas beberapa bulan menetap di Kota Kinabalu, keterujaan mereka kian berkurang.  

Menyangkut hal yang berkaitan dengan anak-anak ini, ada satu lagi yang saya ingat.  Ketika di luar negara dahulu, bunyi guruh jarang kedengaran.  Tidak mustahil ada.  Mungkin juga, waktu guruh berdentum ... bukan waktu kami jaga ... :-)

Ketika guruh berdentum, amat jelas ketakutan di wajah mereka.  Saya sempat berseloroh, "Selamat datang ke Sabah!"  

Anak-anak saya datang merapati saya.  Dengan cara itu, saya kira ketakutan yang bertandang dapat mereka atasi. Jauh di sudut hati, saya juga sebenarnya terkesan dengan bunyi guruh.  Apalagi tatkala mendengar bunyi hujan lebat yang menimpa atap zink ... saya lebih suka menarik selimut menutupi sekujur tubuh! Tapi, itu dulu ....

Di luar, biru langit masih jua belum kelihatan ... sedikit pun tidak ada!

Langkah

Berlinangan titis-titis jernih
menuruni pipi
saat menyedari
diri sedang mengatur langkah
mengubur mimpi yang
dahulunya indah
bak warna pelangi.

Kini,
tiada lagi pelangi
tiada lagi warna ...
yang tinggal hanyalah
pusara sepi
yang tidak bernisan.

Isnin, 30 Ogos 2010

Sebelum Ogos Berundur

Sebelum Ogos berundur ....

Sudah lebih tiga bulan saya dan keluarga kembali ke tanahair.  Masing-masing berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran yang serba baru.  Bagi saya, anak-anaklah yang perlu berdepan dengan situasi yang begitu mencabar.  Rutin harian mereka benar-benar berubah. Mereka perlu berhadapan dengan persekitaran yang serba baru ; sekolah, kawan-kawan, guru-guru, pelajaran ... semuanya baharu!

Syukur alhamdulillah ... setakat ini semua yang mendatang dapat ditangani dengan begitu baik sekali. Semoga segalanya terus dipermudahkan.

Banyak peristiwa yang akan berlaku tidak lama lagi terasa tidak ubah bagai kali pertama, hanya kerana sudah agak lama tidak dilalui.  Sudah terbayang-bayang suasana menyambut Aidilfitri beramai-ramai bersama sanak-saudara.  Pada masa yang sama, tetap juga terkenang pengalaman selama beberapa tahun beraya di tempat orang.  Sudah terngiang-ngiang tangisan bayi, jari-jemari kaki dan tangannya yang kecil dan halus.  Ah! keindahan benar-benar ada di hadapan sana.  

Pun begitu, saat terpaksa memilih keutamaan, minat yang lama menyebati di dalam diri terpaksa dibiarkan sendiri .... Saat diri terpaksa memilih, begitulah.

Besok, genaplah lima puluh tiga tahun usia kemerdekaan negara kita.  Semoga kita terus bersatu dan negara kita terus dianugerahkan keamanan agar dapat dinikmati oleh generasi kita yang akan datang.

Selamat Menyambut Hari Merdeka!

Sabtu, 10 Julai 2010

Kongsi

Jikalaulah ...
aku perlu membuka
satu demi satu
lipatan kenangan ...

yang akan kubuka
yang akan kunikmati
yang akan kukongsi
hanyalah yang manis-manis
hanyalah yang indah-indah.

Sementara
yang pahit menyeksa wajah
yang masam menjeruk rasa
yang tawar mengganggu jiwa
biar kusimpan tak mungkin kukongsi ....

Khamis, 24 Jun 2010

Daerah Ilmu

Kembali ...
Aku menjejak
Ke daerah ilmu
Yang telah bermusim kutinggalkan.

Saat tiba di pintu
Daerah itu
Aku mendepani
Wajah berbeza
Yang jauh lebih indah
Pun kusedari ...
Kakiku berpijak
Di daerah yang sama.

Mujur aku
Menzahir jua impian
Yang lama kuukir di benak
Kerana ...
Jikalau aku terlewat sedikit
Bukan sahaja daerah ilmu ini malah
Penghuninya jua
Tiada seorang pun yang
Kukenali ataupun mengenaliku
sama ada kelmarin mahupun semalam.

Yang ada ...
Hanyalah hari ini
Dan hari esok yang belum tentu.

Di daerah ilmu itu
Aku belajar tentang hidup
Aku belajar menjadi manusia ....

Ahad, 20 Jun 2010

Mimpi

Meminggirlah segera
wahai mimpi di dalam jaga
kerana aku tahu
dan benar pasti
kau cemburu melihatku
bahagia ....

Ahad, 9 Mei 2010

Selamat Hari Ibu

Ibu,
nantikan kami
kita cipta lagi
tawa bersama
saling melerai
rindu yang amat.

Moga esok
segala mimpi dan
segala harapan
yang pernah hidup
dalam kelmarin kita
... bisa jadi nyata.

Sesungguhnya
Dia Maha Mendengar
Lagi Maha Mengetahui
betapa dalam diam
kita saling menganyam rindu.

Selamat Hari Ibu ....

Selasa, 27 April 2010

Sampai Terus

Ditolak
dibuang
dipandang sepi
aduh!
bisanya
sakitnya
pedihnya
sampai
terus
ke
hati
.
.
.
.

Rabu, 21 April 2010

Tunai

Janji tertunai
sedikit demi sedikit
berlumba-lumba
berkeluaran
dari kotak fikir dan bukan
dari kocek sempit
yang lapang
adalah akalku, hatiku
dan jiwaku.

Dunia

Saat kata-kata
berlegar-legar
berputar-putar
berkeliling
di ruang sempit ...
Hatiku meronta
dan berkata-kata
keluarlah
lihatlah
dunia luas
di luar lingkunganmu.

Cari

Teman ...
tahukah engkau
aku tercari-cari
pabila dirimu
tak ada di sana ....

Musim Bunga Tiba


Musim bunga sudah tiba.  Gambar di bawah menunjukkan suasana berkabus pada hari kesembilan dalam bulan April baru-baru ini.   



Bunga di atas ini, harum baunya.



Beberapa orang tempatan sedang berniaga.



Kura-kura dan burung-burung cantik berwarna-warni pun ada dijual.  



Wanita ini, malu-malu semasa gambarnya saya ambil.  Sungguhpun malu-malu tetapi saya yakin dia menyukainya.

Di bawah ini pula, gambar-gambar yang sempat saya ambil dalam misi mahu membeli beberapa pokok bunga mawar untuk ditanam di tanah yang sekangkang kera.











Sabtu, 13 Mac 2010

Penjual Suzane

Langit membiru murni
udara nyaman mengelus pipi
pepohon kering ranting melulu
bunga-bungaan pun malu-malu
walau dinginnya musim sudah berlalu.

Sedang asyik meneliti memerhati
sulaman cantik berwarna-warni
coraknya indah terselit makna
suzane dihampar di dada jalan.

Dia si penjual suzane
yang serba tahu
tinggi rendah mutu dagangan
datang dekat menghampiri aku
lantas dibuka topi hitamnya
sambil dia membelakangi aku.

Mulanya tiada aku mengerti
kenapa dia bersikap begitu.

Lalu katanya:

"Lihat kepalaku ada 
terbentuk kalimah Allah."

Kutanya sejak bila, jawabnya:

"Sejak aku dilahirkan."

Setibanya aku di Tashkent
yang jaraknya beratus kilometer
dari Khiva tempat bersejarah
baru kusedar yang aku
tidak tahupun nama 
si penjual suzane itu.

Yang ada denganku kini
hanyalah gambar 
sebagai kenangan.


Selasa, 2 Mac 2010

Rindu

"Ma, kakak nak tengok tv, boleh tak?" tanya puteri sulungku.

"Boleh.  Tapi, jangan lupa ... bila kita balik nanti, perlu kurangkan aktiviti menonton tv.  Bukan sikit, banyak tau!" aku sengaja berkias kata.  Sambil berharap ada soalan selanjutnya daripada puteri sulungku.

"Kenapa ma? Kenapa kakak tak boleh selalu tengok tv?" tanyanya lagi.

"Nak tahu kenapa?" aku sengaja menjawab tanya dengan tanya juga.

Anggukannya dan renungannya, benar-benar mengharap jawapan dariku.

"Sebab ... kakak dan adik-adik perlu belajar banyak perkara.  Antaranya, bahasa.  Bahasa Melayu," jelasku padanya.

Dia mengangguk tanda faham.  Aku sedar, anak-anakku sudah mula rindu mahu berada di tanahair sendiri.  Pada masa yang sama, aku mahu mereka tahu dan bersedia dari sekarang kerana ada tanggungjawab menanti saat rindu mereka terhadap tanahair terlerai nanti. 

Ya Allah ... permudahkanlah. 

Sabtu, 27 Februari 2010

Tahun Lima Sahaja


Dua gambar di atas adalah karya puteri sulung saya yang bertajuk My Family (disiapkan di rumah).  Sebaik membaca masukan semalam, puteri sulung saya membetulkan bahawa dia menang bagi kategori Tahun Lima sahaja, bukannya seluruh sekolah.

Manakala yang di bawah sekali, Me and My Pet, juga karya puteri sulung saya (disiapkan di dalam kelas).  

Langkah pertama yang kecil tetapi akan bernilai sebagai antara kenangan paling manis dalam hidupnya kelak.  Insya-Allah.

Jumaat, 26 Februari 2010

Sijil Besar

"Mama, kakak rasa mesti mama happy," ujar puteri sulungku sambil mengeluarkan sesuatu dari beg sekolahnya, petang semalam.

"Mama tengoklah ni.  Kakak menang.  Sijil kakak yang paling besar.  Tiada sesiapa di sekolah yang dapat dapat sijil macam ini.  Cuma kakak seorang yang dapat," tambahnya lagi dengan senyuman yang tidak kunjung sirna.

Aku menyambut sijil yang dimaksudkannya.  

"Tahniah!" ucapku padanya sambil mengucup dahinya.

"Mama sayang kakak," tambahku lagi.

Puteri sulungku menang peraduan menulis cerita pendek.  Dia amat gembira kerana menurutnya dia menulis sebagaimana yang aku cadangkan tempoh hari.  Dia perlu menulis tentang keluarga.  Namun, saat mahu meneruskan tulisannya, ideanya terputus. 

Lalu, aku cadangkan supaya dia menulis sesuatu yang berbeza.  Aku mengingatkannya tentang peristiwa ketika air matanya menitis melihat adik bongsunya yang menangis menahan kesakitan sewaktu menerima rawatan di klinik beberapa minggu lalu.

Menurutku, dia harus menceritakan tentang perasaannya dalam cerita yang dikarangnya nanti.  Selepas bantuan yang sedikit amat itu, dia menyudahkan ceritanya dan menghantarnya pada hari berikutnya.

Semalam, aku katakan padanya bahawa aku memerlukan salinan karyanya itu.  Dan, sebentar tadi dia menghubungiku dari sekolah.  Menurutnya, karyanya akan diterbitkan dalam majalah sekolah kelak.  Jelas sekali, dia amat gembira.  

Melihat kejayaan dan kegembiraannya, aku teringat sesuatu.  Sesuatu yang sudah tertangguh hampir setahun lamanya ....
 




Sengaja Bertangguh

Sikap Bertangguh.  Tulisan Ruhani Matdarin ini menarik perhatian saya dan membawa ingatan saya kepada pengalaman sendiri beberapa tahun yang sudah.

Menurut beliau, 'mengetahui itu lebih baik daripada tertanya-tanya' dan kebanyakan kita tidak terlepas daripada keinginan ini termasuklah saya.  

Keinginan mahu melihat sahabat sendiri menemui jawapan pada persoalan yang lama bermukim dalam fikiran dan perasaannya menyebabkan saya dengan sukarela menjadi orang tengah, si penggali jawapan.   Penggali yang berusaha menggali dalam diam.  Mahu menggali kerana simpati.  Mungkinkah ini simpati yang keterlaluan?

Perigi tidak mungkin mencari timba, itu prinsip sahabat saya.  Prinsipnya saya hormati.  Buat seketika, saya meminggir silu dan menyandang persoalan sehingga memungkinkan saya berhadapan dengan si pemilik jawapan.  

Alangkah! Jawapan yang saya perolehi membuat saya terkedu.  

Saat itu, saya tahu penantian bukanlah pilihan yang tepat.  Saat itu, saya mahu sahabat saya mengerti bahawa saya mahu dia berhenti menanti, berhenti menunggu.  Saya berusaha menyampaikan  pendapat saya tentang penantiannya itu dengan berhati-hati supaya hatinya tidak terguris.  

Namun, siapalah saya.  Kalaupun dia mahu terus menanti, tiada apa lagi yang mampu saya lakukan.  Mungkin jikalau jawapan yang diluah oleh si pemilik jawapan itu didengar sendiri oleh sahabat saya yang mahu terus menanti, barulah sahabat saya itu mengerti.  Mengerti bahawa dia harus berhenti menanti.

Yang terdaya saya lakukan, hanyalah tersenyum (pahit tentunya) mendengar kisah demi kisah tentang si pemilik jawapan yang jawapannya sudah berada dalam genggaman saya.  Yang jawapannya, tidak berani saya pindahkan secara langsung ke dalam genggaman sahabat saya.  

Saya terus menangguh dan menangguh sambil berdoa agar sahabat saya itu menyedari hakikat bahawa dia harus berhenti menanti.  

Akhirnya, penantian itupun berakhir.  Mereka memilih jalan hidup yang berbeza.  Sesungguhnya si pemilik jawapan itu tidak berdusta.  


Salam Maulidur Rasul.


Khamis, 25 Februari 2010

Turut Berduka

Sebentar tadi
kau kehilangan
bunga hatimu
yang kau belai
dan kau rawat
sekian lama.

Semoga harum
wangi kasihmu
dan doa tulusmu
mendakapnya
lembut di sana.

(Takziah buat Tuan Hasyuda Abadi dan keluarga atas kehilangan isteri beliau yang tercinta.  Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat.  Al-Fatihah.)


Isnin, 15 Februari 2010

Soalan Bodoh

Dalam mesej yang saya hantar, saya menggunakan frasa 'suami saya' (penerima mesej itu mengenali suami saya). Oleh sebab itu, muncul soalan penerima mesej bertanyakan siapa saya. Seharusnya saya jawab apa?

Walaupun agak hairan, saya jawab juga dengan menyebutkan nama suami saya. Berkali-kali saya lihat mesej yang telah saya kirim. Saya tercari-cari di mana silapnya sehingga soalan sedemikian boleh diajukan. Jikalau dilihat sepintas lalu, boleh saja soalan penerima mesej itu dianggap sebagai soalan bodoh.

Selepas berfikir lanjut, saya akhirnya menemukan jawapan kepada situasi yang tidak seharusnya wujud itu. 'Kesilapan' yang saya lakukan adalah tidak menyebutkan nama saya di hujung mesej. Terus sahaja kepada ucapan terima kasih.

Si penerima mesej, bukanlah penerima asal mesej yang saya kirim itu.  Penerima asal sedia maklum bahawa pengirim mesej itu ialah saya. Disebabkan dia mengenali sayalah, keperluan menyebut nama di akhir mesej itu, tidaklah perlu.

Dan, saya sedar bahawa soalan yang boleh dianggap bodoh itu wujud disebabkan keterlupaan saya. Barangkali sahaja penerima kedua tidak menyimpan rekod nombor telefon genggam saya. Dengan menjawab soalannya, dia dengan mudah dapat memenuhi permintaan saya ....

Sempurna

Seseorang yang mementingkan kesempurnaan, sering kali bersikap tidak adil terhadap orang lain tanpa disedarinya.  Dia sering terlupa bahawa jalan menuju kesempurnaan itu sering kali dipenuhi dengan pelbagai ruang-ruang kosong yang perlu dipenuhi, duri-duri tajam yang menyakitkan dan pelbagai ranjau yang mesti dilalui.  Dan, dia sering terlupa hakikat bahawa di dalam dunia ini tidak ada seorang manusia pun yang benar-benar sempurna.  Pada saat dia merasakan dirinya sempurna, dia sebenarnya sedang menjauhi kesempurnaan itu tanpa disedarinya.

Ahad, 14 Februari 2010

Gelombang Dua

Anda seorang yang hebat!

Anda hebat apabila anda mampu membaca buku dalam kenderaan yang sedang bergerak.

Gelombang kedua menyusul selepas kejayaan cemerlang BACA@LRT yang julung kali diadakan pada 16 Januari 2010.

BACA@LRT yang dijangka lebih hebat sambutannya akan berlangsung pada 20 Februari ini.  Berikut adalah maklumat tentang BACA@LRT gelombang kedua yang perlu anda ketahui:

BACA@LRT Kembali!

Versi Februari menjanjikan kelainan.

Kali ini kita baca buku dengan tema "Baca Sastera".

Bawa buku sastera pilihan anda dan kita baca bersama-sama sepanjang perjalanan!

"Bagaimana jika saya tiada buku sastera?"
Tidak mengapa, bacalah bahan yang tuan-puan suka.
Tiada kekangan, tiada halangan!

Tarikh 20 Februari 2010
Masa jam 10 pagi
Bermula dari Terminal Putra LRT Gombak sehingga LRT Taman Jaya.

Mengapa Taman Jaya? Jikalau tuan dan puan merancang membeli buku, di situ terdapat sebuah kedai buku yang menjual buku-buku baru pilihan tuan dan puan pada harga yang rendah iaitu di Book Xcess, Amcorp Mall.

Tentatif program

9.45 pagi - berkumpul di stesen masing-masing.  Kenali, tegur dan ikut ejen BACA@LRT di stesen anda.

Tuan dan puan boleh memilih sama ada mahu menaiki dari stesyen Terminal Putra Gombak,
Stesen KLCC (dipimpin oleh Kelab Tidur dengan Buku)
Stesen Masjid Jamek (dipimpin oleh tim Sindiket Soljah)
dan Stesyen KL Sentral (dipimpin oleh tim Ramlee Awang Mursyid Fan Club RAMFC)

Foto akan diedarkan melalui Facebook dalam tempoh terdekat.

10.00 pagi - Kumpulan Terminal Putra akan bergerak dari stesen.  Ejen dalam tren akan sms ejen di setiap stesen sebelum tren dari Terminal Putra tiba di stesen berikutnya.

11.45 pagi - Tiba di Stesen Taman Jaya. Sesi berkongsi pengalaman dan mengambil gambar kenangan.

------

Nota: Tidak ada taklimat rasmi di stesen. Sama seperti edisi Januari.

Sumber : BACA@LRT : 20 Februari 2010






Si Buta

Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Allah yang menciptakan segala yang ada di langit dan bumi.

Cinta yang lahir antara lelaki dan wanita, yang dicipta Allah untuk manusia adalah salah satu bentuk nikmat yang tidak ternilai. Gemersik halus yang menggetar sukma, sukar diungkap dengan kata-kata. Saat cinta itu hadir, seluruh alam bagai berlagu, menari bersama mengikut rentak irama hati yang sedang diulit bahagia belaka. Setiap detik, setiap ketika, mahu bersama insan yang dicintai.

Perasaan cinta itu hadir tanpa dapat dipaksa-paksa. Pertemuan yang kerap adalah salah satu sebab memutikkan bibit-bibit cinta tanpa diduga. Jikalau dua hati yang saling mengasihi itu belum menjadi milik orang, kata sepakat menuju bahagia, pelamin idaman destinasi tujuan, tidaklah jauh dari genggaman. Lebihlah lagi tambah membahagiakan apabila dua hati bertaut kasih mendapat restu orang tua tercinta. Tertunailah hasrat yang lama diimpi. Alangkah indahnya apabila impian menjadi nyata.

Pun begitu, ada juga segelintir insan yang dilamun cinta, gagal menuju ke pelamin idaman. Pelbagai sebab muncul tanpa diduga sehingga menjadi penghalang untuk mereka bersatu. Antaranya, apabila seorang lelaki bergelar suami mengasihi wanita lain dan ingin menyuntingnya sebagai suri. Hubungan begitu sering kali mencetuskan percik-percik api yang bila-bila masa sahaja boleh marak membakar; hangatnya yang membahang bisa menggugah ketenangan.

Apabila situasi ini berlaku, tipikalnya masyarakat akan menyalahkan orang ketiga yang sering dianggap sebagai perosak rumahtangga orang lain. Saat konflik ini wujud, jiwa yang terlibat bukan cuma dua ataupun tiga malah lebih daripada itu.  

Hidup bermadu adalah keadaan yang tidak pernah hadir 'dengan rasa manis' dalam benak majoriti wanita. 'Bertuahlah' sang isteri andai wanita yang baru hadir dalam hidup suaminya berpegang teguh pada prinsip 'takkan berkahwin dengan suami orang'. Tiga jiwa yang sedang berhadapan dengan kemelut cinta tiga segi ini tentu sekali hebat geloranya, tidak ubah bagai dihempas badai yang tidak diketahui bila waktunya akan reda.

Dalam jiwa sang isteri pasti terdampar sejuta persoalan. Apatah lagi jikalau mahligai yang dibina sudah mencecah belasan tahun malah berpuluh tahun lamanya. Janji seia sekata, hidup bersama selagi hayat ada tentulah tiba-tiba terasa bagai bicara kosong tanpa makna.

Bagaimana pula dengan pasangan yang bertaut kasih mereka pada saat mereka tidak menduga. Pada saat sang suami dilimpahi kebahagiaan dengan keluarga tercinta. Ada waktunya, kasih sayang yang wujud dalam hati insan, tidak dapat dimengerti oleh insan lain. Mata tidak buta, hati tidak buta, cinta juga tidak buta. Usah dicari siapakah yang buta sebenarnya. Mencari si buta pada ketika hati disinggahi cinta adalah pencarian yang sia-sia ....

Itulah sebenarnya salah satu bentuk dugaan yang datang dalam hidup insan.  Jodoh pertemuan kuasa Allah.  Setiap insan, dugaan yang diterima adalah berbeza-beza. Tidak sama. Lain orang, lain dugaannya. Ada yang diduga dengan kebahagiaan, ada yang diduga dengan kesengsaraan. Ada yang diduga dengan keindahan, ada yang diduga dengan kehodohan. Dan senarai itu semakin panjang sehingga ada masanya tidak terjangkau dek akal fikiran.

Semoga kita semua sentiasa tabah ketika berhadapan dengan dugaan. Semoga kita semua menjadi insan yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Dan, semoga kita semua berada dalam lindunganNya.

*** Hari ini, aku mendengar sebuah kisah. Kisah yang membuat bulu romaku meriding. Aku seperti sedang berhadapan dengan sebuah novel dengan cerita segar yang digarap rapi sehingga berdaya menyentuh naluriku. Dan, kisah itu membuatkan aku terharu. Dia ... sanggup berkongsi kisah suka dukanya denganku walhal belum setahun pun dia mengenaliku.

Sahabat,
kuhargai kepercayaanmu
kukagumi ketabahanmu
kusenangi kamu seadanya.

Semoga
dirimu terus tabah
menghadapi liku-liku
hidup ini.

Semoga
dirimu terus kuat
merintis jalan yang telah
kau pilih.

Semoga
dirimu sentiasa
dalam lindunganNya.

Amin ya Rabb.


Jumaat, 5 Februari 2010

Menangislah

Hati terasa ngilu bagai dihiris sembilu ....

"Menangislah sampai rasa sakit itu hilang, sayang," hanya itu yang mampu kukatakan padanya tatkala aku sendiri berusaha menahan rasa ngilu di hatiku yang tiba-tiba saja datang tanpa diundang.

Tangan kanannya menggenggam erat tanganku. Dia memandang tepat ke arahku. Selang dua minit, perlahan-lahan tangisannya menyurut.

"I'm not a bad person. I just want you to be healthy. That's all. I'm so sorry," ujar doktor wanita itu dengan lembut sambil memandang mesra ke arah anak kecilku yang sudah reda tangisnya.

Kemudian, dia menoleh ke arahku.

"I'm so sorry," ujarnya lagi sambil menghulur sekotak tisu kepadaku.

Khamis, 4 Februari 2010

Sesi Sembang Sihat

Dup! Dup!

"Pastikan bunyinya begini.  Itu tandanya nasi sudah cukup masak."  begitu katanya sambil menepuk-nepuk nasi yang ditanak dengan senduk.  

Kami mengangguk tanda faham.  Masing-masing berpeluang menghasilkan sendiri bunyi 'dup' itu.  Seorang demi seorang mencubanya termasuklah saya.

Kemudian, periuk yang dipanggil 'kazan' itu ditutup selama dua puluh minit dan api dikecilkan.

Kelas memasak plov siang tadi benar-benar sempurna!  Berkomunikasi dengan bahasa yang difahami, itu sudah cukup melegakan. 

Alangkah beruntungnya kami kerana tuan rumah begitu baik hati.  Saya senang sekali dengannya.  Dan, sudah pasti kawan-kawan lain pun begitu juga.  Tuan rumah yang serba boleh dalam hal memasak, menjamu kami dengan pau berinti kacang merah dan muffin pisang.  Sungguh sedap!


Sebelum beras dimasukkan, sebelum 'kazan' itu ditutup, kami dibekalkan dengan pelbagai tips memasak plov, makanan tradisi masyarakat Uzbek.

Antaranya adalah beras yang dipanggil 'alanga' perlu berada di bahagian atas sahaja tanpa perlu digaul.  Selama beberapa minit, beras 'alanga' itu dikacau dan pada masa yang sama beras itu tetap kekal berada di bahagian atas juga. Begitu jugalah jika kita menggunakan beras lain sebenarnya.

Selain itu, selepas memasukkan kacang kuda (yang merupakan salah satu bahan yang ada di dalam plov), api mestilah dikecilkan supaya kacang kuda itu cepat lembut.

Seperkara lagi yang masih melekat dalam ingatan adalah selepas tempoh dua puluh minit berlalu, penutup 'kazan' mesti dibuka, tidak boleh tidak.  Kemudian, bolehlah nasi digaul dengan daging yang ada di bahagian bawah.  Itu langkah terakhir sebelum plov dihidang.  

Menurut guru kelas memasak kami, majoriti masyarakat mereka berpendapat bahawa plov yang dimasak oleh golongan lelakilah yang lebih sedap.  Dia ada menjelaskan juga sebabnya majoriti mereka beranggapan sedemikian.  

Katanya, jikalau lelaki yang memasak plov, mereka menumpukan sepenuh perhatian dari mula proses memasak sehinggalah selesai.  Mereka tidak akan berganjak ke mana-mana.  

Manakala jikalau wanita pula, sentiasa sibuk dengan aktiviti lain dan kurang menumpukan perhatian pada masakan mereka.  Kebarangkalian terlebih membubuh garam agak tinggi dan begitu jugalah sebaliknya, katanya lagi.

Setengah jam sebelum jam dua belas, plov siap.  Kami menikmatinya bersama-sama sambil meneruskan sesi sembang sihat.  Bertukar-tukar maklumat berguna tentang ilmu masakan.  Suasana begini pasti akan saya rindui kelak.

Di bawah ini, resepi penuh yang saya catat semasa mengikuti kelas masakan siang tadi.  Semoga ada manfaatnya untuk kita.

Bahan-bahan :
  • 1 kg beras
  • 2 senduk minyak masak
  • 1 labu bawang besar - dihiris
  • 1/2 kg lobak - dipotong nipis memanjang
  • 1/2 kg tulang - direbus
  • 1/2 kg daging
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 1 sudu besar kismis
  • 1 sudu kecil lada hitam biji
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak.  Tumis bawang besar hingga kekuningan ataupun sehingga garing (ikut suka).
  2. Masukkan daging dan tulang.  Kacau rata sehingga mati air.
  3. Masukkan lobak.  Kacau rata sehingga sedikit lembut.  Masukkan sedikit garam.
  4. Sesudah lobak benar-benar lembut, masukkan air.  Lebihkan seinci dari paras daging.
  5. Masukkan kacang kuda yang sudah direndam.  Kecilkan api.
  6. Masukkan kismis, lada hitam, dan serbuk kunyit.
  7. Masukkan jintan putih yang baru ditumbuk.
  8. Sesudah daging lembut, masukkan beras sehingga menutupi bahagian permukaan sahaja.  Paras air hendaklah sama rata dengan beras.  Bubuh garam secukup rasa.
  9. Kuatkan api.  Kacau beras sahaja. Kawal api, jikalau perlu, kecilkan sedikit.
  10. Apabila tanak, ratakan nasi.  Tepuk dengan sudu.  Jikalau bunyi 'dup! dup!' kedengaran, nasi sudah cukup masak.
  11. Tutup 'kazan', kecilkan api.  Buka penutup selepas dua puluh minit.  Sekarang, bolehlah gaul nasi dan daging.
  12. Sedia untuk dihidang.

Selasa, 2 Februari 2010

Buku Untukku

Singgah juga aku akhirnya.  Sudah berbulan-bulan aku tidak berkunjung ke Barakhon.  Apa salahnya kalau aku singgah.  Singgah sebentar sahaja pun, jadilah, fikirku.  Biasanya, jarang benar aku tidak singgah membelek buku-buku di situ.

Satu-persatu buku-buku yang ada kuperhatikan.  Buku berbahasa Inggeris menjadi tumpuanku.  Pantas saja 'Mysterious Asia' menarik perhatianku.  Kemudian, 'Young Temur' pula.  Dua buku itu kucapai satu demi satu.  Kubelek-belek lembarannya.  Menarik.

Lalu, kutanyakan harganya.  Aduh! punah segala harapanku yang baru mula berputik sebentar tadi untuk memiliki buku-buku tersebut.  Perlahan-lahan, bagai putik yang tidak jadi berkembang, kuletakkan 'Young Temur' perlahan-lahan ke tempat asalnya semula.  Mahu tawar-menawar pun hatiku jadi tawar.

Lambat-lambat pula aku meletak kembali 'Mysterious Asia'.  Kutatap lagi muka hadapannya.  Barulah ternampak 'Forgotten legends of the Great Silk Road'.  Kuselak kembali lembarannya.  

'Aku mahu buku ini,' desis hati kecilku.

Apabila balik ke tanahair kelak, tentulah tidak mudah bagiku untuk mencari buku-buku dari sebelah sini.  Jikalau pun ada, entah-entah melihat harganya sahaja, hatiku jadi tawar.

Aku pandang penjual buku yang kuyakin sejak tadi menunggu aku bersuara.  Kuagak-agak, lelaki di hadapanku itu dalam lingkungan empat puluhan usianya.  Kami sudah saling mengenali.  Sebelum ini, aku sudah pernah singgah membelek-belek buku yang disusun rapi di meja yang terletak di hadapan kedai.  Dan, pernah juga aku membeli buku-buku yang dijualnya.  

Sesi tawar-menawar pun bermula.  Harganya kurang sehingga hampir mencapai empat puluh lima peratus!  Mahu saja kutawar sehingga lima puluh peratus tetapi tidak adil pula baginya.  Aku sedar, dalam musim sejuk begini, bukannya mudah menjalankan perniagaan.  

Dia sanggup menjual dengan harga yang kumahu pun sudah mencukupi bagiku.  Kesanggupannya itu yang diiringi senyum yang tidak lekang di bibirnya menandakan yang dia tidak mengalami sebarang kerugian pun.  Entah-entah dia mendapat keuntungan seratus peratus! (Kalau betul pun, itu bukan urusanku.)

Selesai sudah urusanku di Barakhon.  Di pintu utamanya, aku berhenti sambil memandang ke hadapan.  Sempat kurakamkan gambar ini sebagai kenangan.  Masjid Hast Imam.  

Selepas itu, aku berjalan merentasi dataran.  Langkahku tidak lagi melaju.  Akhirnya, aku dapat apa yang kumahu ....

Isnin, 1 Februari 2010

Bukan Untukku

Siang tadi, aku menelusuri bandar Tashkent mencari-cari sesuatu yang berkenan di hati.  Langit membiru dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dingin menyapa wajah.  Pun begitu tetap juga terasa terik mentari memesrai wajah dan menyilau mataku.

Dua hari sudah, pencarianku sia-sia.  Yang dicari tidak muncul, yang tidak dicari pula kubawa pulang.  

Dari pasaraya Soum, aku menuju ke Barakhon.  Sambil itu, fikiranku masih teringat-ingat beg-beg comel yang diperbuat daripada kain denim dan dihias indah dengan jahitan sulaman mesin dengan benang yang berwarna-warni.  Ada juga yang diperbuat daripada kain baldu.  Kemas sekali buatannya.  

Sebaik sahaja kereta berhenti, langkahku melaju menuju ke Barakhon.  Semakin hampir ke tempat yang dituju, langkahku kian perlahan.  Hatiku sedikit lega kerana kedai yang kutuju beroperasi.  Misi seterusnya adalah mencari.  Mencari yang cantik dan menarik.  

Sejak mula tiba di sini, hasil seni sulaman Uzbek dengan mudah menarik perhatianku.  Hasil seni sulaman ini lebih dikenali sebagai suzane.  Perkataan suzane itu sendiri bermaksud jarum.  Suzane yang sudah siap ada yang dibuat sarung kusyen, alas meja, hiasan dinding, beg ataupun dibingkai mengikut selera masing-masing. 

Ada waktunya, aku berminat dengan sulaman berwarna-warni yang terang dan garang pada kain baldu berwarna hitam.  Ada waktunya, aku lebih berminat dengan sulaman berwarna-warni yang lembut pada kain berwarna putih.  

Yang pasti, setiap kali mataku terpaku lama pada hasil seni yang ada di depan mata ... aku tahu, itulah yang kumahu.  Ataupun jikalau ada sepuluh pilihan tetapi yang kerap kusentuh suzane yang sama, itulah juga yang kumahu.  Jikalau aku perlu memilih antara suzane sulaman mesin ataupun sulaman tangan, pilihan utamaku adalah suzane sulaman tangan.

Tidak sukar untukku memilih kerana tidak banyak suzane yang berjaya memikat hatiku.  Kebetulan hari ini, aku mencari yang terang dan garang.  Yang terang dan garang boleh dihitung dengan jari banyaknya.  Jikalaulah ada banyak pilihan, pasti aku akan sukar membuat pilihan sedangkan masa yang aku ada amatlah terhad.  Lagi satu yang paling aku risaukan adalah kalau-kalau aku rembat satu untuk diriku! 

Pun begitu, ada juga yang mahu kujadikan koleksi peribadi.  Yang kulakukan hanyalah mengambil gambar suzane itu sahaja.  Memadailah buat sementara waktu.  


Sesudah puas tawar-menawar, suzane yang kumahu kini dalam genggaman.  Yang sudah berada dalam genggamanku, bukanlah suzane yang ada dalam gambar di atas ini.

Niat di hati ingin segera meninggalkan Barakhon kerana ada tempat lain yang ingin kutuju.  Aku pandang ke kanan.  Singgah ataupun tidak?  Perlukah aku singgah?  Kenapa aku mesti singgah?

Isnin, 25 Januari 2010

Lukisan Harapan


Gambar hiasan

Selalu
langkahku

terarah ke sana.

Di terataknya
ada kata yang
membisik bicara
ada bisik yang
menyentuh rasa
ada rasa yang
membuka rahsia
ada rahsia yang
menyentuh jiwa
ada jiwa yang
terlukis harapan.


Ketulusannya
dengan mudah
menyentuh hatiku
dan syahdu itu pun
kerap menyapa.

Andaiku bisa
mengungkap kata
seperti dia ....

*** Baru tiba dari Semanggol.com

Selasa, 19 Januari 2010

Kutemui, Dia

Semalam
dalam kebersendirianku
aku teringatkan dia.

Sesudah sekian lama
musim berlalu
sebentar tadi
kutemui dia.

Dia hadir
dengan wajah malah
dengan jiwa yang berbeza.

Sesungguhnya
Dia Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui.

Kupanjatkan syukur
ke hadratMu, ya Ilahi
keranaMu
kutemui, dia.