Khamis, 29 Januari 2009

Pen dan Pensel


''Aku harap kau tidak akan ulang lagi perbuatan begini.''

Lelaki di hadapannya sekadar mengangguk. Tanpa sepatah bicara. Malu-malu mengangkat wajah memandang tuannya.

''Terima kasih, Tuan. Terima kasih kerana memberi aku peluang untuk berubah.''

Seketika Tuan tersedar dari lamunan. Tuan memandang lelaki di hadapannya. Rupa-rupanya dia lupa. Lelaki itu cepat lupa. Kesalahan itu diulangnya lagi. Kesalahan yang tidak jauh bezanya dari yang dulu malah lebih teruk lagi.

''Benarkah kau melakukannya?''

''Melakukan apa, Tuan?''

Soalan Tuan dibalas dengan soalan juga. Di wajahnya tergambar kepura-puraan yang nyata.

''Kau ambil lagi pen dan pensel dari stor?''

''Ya, ada. Tapi untuk aku guna di pejabat ini saja.''

''Betulkah? Ada kau guna di tempat lain selain di pejabat?''

''Ya, ada. Aku guna di rumah. Aku beri anak-anakku untuk mereka guna di sekolah.''

''Lagi...ada sesiapa lagi?''

''Ya, ada. Aku beri kepada isteriku untuk digunakan di pejabatnya.''

''Jadi, kau mengaku bahawa bukan kau sahaja yang menggunakan pen dan pensel pejabat? Kau mengaku semuanya?''

''Ya. Aku mengaku. Kadang-kadang aku turut menghadiahkan pen dan pensel yang kuambil dari pejabat ini kepada saudara-maraku juga.''

Lelaki itu mengaku satu-persatu. Mulanya dia agak takut-takut. Kemudian, timbul pula keberaniannya. Dia berharap Tuan akan memaafkannya lagi kali ini. Dulu, Tuan pernah memihak kepadanya. Ketika itu, Tuan Besar sudah tidak mahu lagi melihat mukanya. Mujurlah Tuan mempertahankannya. Tuan meminta agar Tuan Besar memberi peluang kepadanya. Lagipun, dia cuma mengambil pen dan pensel. Pen dan pensel itu diberi kepada ahli keluarganya. Dia sudah banyak berjasa. Apalah salahnya dia mengambil pen dan pensel itu. Kalaupun dia bersalah, sudah tentu tidak sampai diberhentikan kerja. Dia pasti tentang itu. Dia pasti Tuan akan memaafkannya lagi seperti sebelum ini.

Tuan menarik nafas panjang. Dan melepaskannya. Berat. Tuan memandang lelaki di hadapannya. Dia merenung lelaki di hadapannya. Lelaki itu...tiada siapa yang akan percaya dia sanggup melakukannya. Lelaki itu kelihatan seperti orang baik. Dia puasa. Dia solat. Cukup susah melihat orang baik yang seperti itu di pejabat tempat mereka bekerja. Orang lain seakan tidak mahu berhenti merokok. Tidak mahu berhenti minum air haram. Tetapi, lelaki di hadapannya tidak melakukan semua itu. Tuan keberatan melanjutkan butir bicaranya. Fikirannya berat. Jiwanya berat. Tuan menahan kemarahan. Dia tidak mahu tersilap langkah lagi kali ini. Dulu, peluang sudah diberikan. Lelaki itu cuma tahu yang dia telah diberi peluang cuma sekali. Lelaki itu tidak tahu ada dua kali lagi peluang sudah diberikan tanpa dia menyedari. Lelaki itu cuma tahu dia melaksanakan tugasnya dengan baik di pejabat. Perkara yang tidak baik yang dilakukannya tidak dikesan oleh rakan sepejabat kerana dalam diam lelaki itu telah mengaburi mata orang dengan kebaikannya. Orang nampak lelaki itu baik. Lelaki itu memandang dirinya sebagai baik.

Lelaki itu lupa tentang amanah. Kali ini, lelaki itu terpaksa menanggung akibat atas perbuatannya. Dia diberhentikan kerja. Lelaki itu cuba merayu. Menurutnya, jasa dan sumbangan yang dicurah di pejabat itu amat banyak. Katanya lagi, khidmat baktinya tidak dihargai. Mungkin dia lupa lagi. Dia lupa setiap bulan diberi gaji. Hujung tahun diberi saguhati. Namun, lelaki itu tetap tidak puas hati. Dia masih mahu mempersoalkan tentang tindakan Tuan memberhentikannya. Tuan masih cuba menahan marah. Memandang Tuan, lelaki itu terdiam. Dia sudah tidak berani untuk bersuara. Entah di hati lelaki wujud atau tidak perasaan bersalah...Tuan tidak tahu. Lelaki itu meminta nasihat. Tuan memberikannya dengan ikhlas. Walaupun kemarahan yang dirasai Tuan masih ada, Tuan tetap memberi nasihat seikhlas hatinya. Dia masih mahu lelaki itu berubah menjadi lelaki yang betul-betul baik.

''Aku harap kau kekalkanlah perkara baik yang kau amalkan sekarang. Tapi, perkara yang tidak baik itu kau cubalah ubah.''

''Tapi, Tuan...aku masih mahu bekerja di sini. Berikanlah aku peluang sekali lagi.''

Lelaki itu seolah tidak mempedulikan nasihat yang diberi oleh Tuan. Dia terburu-buru menyuarakan hasrat yang dipendamnya sejak tadi. Lelaki melihat kemarahan Tuan yang hampir berlalu itu sebagai peluang keemasan baginya.

''Kalau begitu...kau cubalah merayu kepada Tuan Besar. Jangan lupa sertakan sekali salinan surat pengakuan yang telah kau tandatangani tadi.''

Lelaki itu terkedu.

Rabu, 28 Januari 2009

Janji yang Berkibar

Kala rindu datang bertamu
kukembalikan ia padaMu jua
tidak tertanggung sendu menerpa.

Sayup sudah kicauan burung
yang pernah berlagu riang
di tanahku yang permai...
Kedengaran cuma keluh dan kesah
mengharap sengketa segera menjauh
mengharap damai kembali bertandang.

Aku rindu kedamaian dulu
Aku sangsi janji yang berkibar
hanya sekadar di awangan cuma
tidak terpacak di alam nyata
bakal beranjak walau yang bertiup
cuma angin yang berbisik merdu.

Selasa, 27 Januari 2009

Mulut, Semoga Dikau Bertemu Insaf

Mulut yang suka mengata
Mulut yang cinta segala dusta
dulu cakap-cakapnya cuma sekadar di langgar rumah
kemudian di helaian-helaian kertas menjangkau ke dunia siber
berkisah tentang orang lain ikut suka sesedap rasa
betapa mudahnya menempah neraka
seakan lupa dosa pahala.

Mulut yang suka mengata
ditemani jari
disokong hati
ditunjangi akal
ditertawa nafsu
roh jua akan terseksa
dosa menimbun setinggi gunung.

Mulut terus berkata-kata...
yang benar diragu...
yang salah disokong...
yang ragu dibenar...
yang benar tetap benar
yang salah tetap salah.

Mulut terus berkata-kata...
mengipas bara menjadi api
menyuluh sinar ke langit kelam
mengepal salju sehingga beku
menjaga kain yang bersidaian.

Mulut terus berkata-kata
entah bila akan berhenti
mencetus angkara
menyemai sengketa
sudah terlupakah mulut
untuk diam tidak mengata
untuk menjaga tutur bicara
untuk bersuara menyeru kebaikan
untuk mendakap reda Ilahi.
Lupakah sudah...

Mulut, semoga dikau bertemu insaf.

Sabtu, 24 Januari 2009

Kita yang Merdeka

-i-

Anak haruan di celah dahan,
Terintai-intai nelayan merambat,
Jiwa bangsa jadi taruhan,
Henti segera sebelum terlambat.

-ii-

Biji mangga rasanya kelat,
Langit dipandang terus diludah,
Kita ini bangsa berdaulat,
Mindah dijajah tiada sudah.

-iii-

Bulan terang dipandang sudah,
Badan sakit hutan diredah,
Sebucu bintang di biru indah,
Bersuara lantang tidak diendah.

-iv-

Pak Ali diri terpencil,
Merindu anak tidak terkata,
Suara itu pemiliknya kecil,
Dipandang cuma sebelah mata.

-v-

Pergi ke hutan mencari makan,
Duduk di rumah si anak tiri,
Orang kanan pandang kanan,
Orang kiri pandang kiri.

Jumaat, 23 Januari 2009

'Bahasa Jiwa Bangsa'

Nashville di mana? Di Malaysiakah? Bukan. Nashville letaknya bukan di Malaysia. Di Nashville sana mereka juga rupanya sedang memperjuangkan penggunaan seratus peratus bahasanya. Bahasa Inggeris. Bahasa itulah yang mahu digunakan sepenuhnya di dalam pengajaran Sains dan Matematik di negara kita yang tercinta. Di Nashville...bahasa itu kelihatan tidak digunakan sepenuhnya kerana ada golongan imigran yang agak ramai juga. Mereka menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Tetamu yang ditemubual di dalam siaran berita CNN secara 'video conferencing' itu ada mengemukakan hujah bahawa dia menyedari kepentingan mempelajari bahasa asing jika kita mengunjungi negara luar. Jika ke China misalnya perlulah belajar bahasa Cina, jika ke Russia perlulah belajar bahasa Russia dan begitulah seterusnya jika berkunjung ke negara-negara lain. Di negara Malaysia yang kita cintai, kita yang mengaku berbangsa Malaysia, mengubur halus bahasa sendiri. Bahasa itu jiwa bangsa. Siapa yang pernah menyetujuinya? Siapa yang berpaling tadah? Orang-orang yang samakah...? Memupuk rasa cinta kepada negara tapi tidak kepada bahasanya laksana memupuk cinta sekadar zahir tapi tidak bersekali batinnya. Jadilah ia sia-sia.

Khamis, 22 Januari 2009

'Drama Radio Sabah'

Article:
Unit Sabah FM, Radio Television Malaysia Sabah region call sabahan who interested in Radio Drama to attend the audition on 29 and 30 November 2008. There are three categories: 1. Children 2. Teenage 3. Adult Time: 9 am until 4pm Location: Foyer Studio C, RTM Kota Kinabalu. Any inquires contact Pengelola Drama,Unit Sabah FM.

Dipetik dari : http://starznews.blogspot.com/2008/11/sabah-fm-called-sabahan-for-radio-drama.html

'Artikel' di atas tiba-tiba saja menarik perhatian penulis ketika mencari-cari melalui 'google'. Lantas, menghimbau kenangan ketika menghadiri ujibakat sebagai pelakon drama radio yang pada ketika itu dikendalikan oleh Saudara Hj. Awang Shari. Alhamdulillah...berjaya walaupun kini sudah bernoktah. Mungkinkah noktah itu sementara cuma....

Nampaknya, tahun 2009 ini bakal membuka peluang yang tidak disangka-sangka oleh para penulis yang tentunya agak kecewa ketika siaran drama radio ditamatkan. Entah bila ditamatkan, penulis juga tidak tahu kerana ketika itu penulis menetap di Terengganu. Semoga peluang ini digunakan dengan sebaik-baiknya agar tidak tertutup lagi. Tidak boleh dinafikan bahawa drama radio bukan sahaja mampu memberi hiburan malah turut menjadi medium untuk menyedarkan masyarakat.

Keputusan menamatkan siaran drama radio dikatakan kerana kurang sambutan atau tidak mampu menarik pendengar. Ini bermakna tanggungjawab yang perlu dipikul untuk mengekalkan kewujudan semula slot ini perlu dipikul oleh lebih ramai orang. Selain pihak Radio Sabah yang sentiasa menghebah tentang jadual siarannya, penulis dan pelakon sendiri wajar mengambil peranan untuk menarik lebih ramai pendengar. Semoga selepas ini, siaran drama radio akan mampu menarik lebih ramai golongan masyarakat untuk menjadi pendengar setia dan kesinambungannya tidak akan terhenti lagi kali ini.

Takkan Melayu Hilang di Dunia

Kata Hang Tuah,
''Takkan Melayu hilang di dunia.''

Kita mengulang mengulang dan terus mengulang
Suara lantang semakin suram dan semakin suam
Menatang Melayu yang mudah lupa
Menatang Melayu yang kian alpa
Menatang Melayu yang entah di mana kemelayuannya.

Aku, Dia, Mereka

-i-

Aku bukan seorang penulis
Aku bukan seorang pejuang
namun aku...
menghargai mereka

-ii-

yang tersindir...aku
yang terasa...aku
yang menulis...dia

-iii-

Wahai penulis yang berjuang
Berjuanglah demi hakikat
Berjuanglah demi kebenaran
Berjuanglah demi Allah.

Rabu, 21 Januari 2009

Luka, Harap, Lupa

-i-

Anak watan menapak mengah,
Rawan di hati tidak terkata,
Luka Gaza di Timur Tengah,
Luka bahasa di depan mata.

-ii-

Abu Nawas suka berperi,
Sambil makan buah cempedak,
Apa diharap orang memberi,
Entah cukup entah tidak.

-iii-

Bagai pungguk merindu bulan,
Tidak hirau didatangi bala,
Mengata orang jadi amalan,
Hingga lupa dosa pahala.

Isnin, 19 Januari 2009

Yang Bertanya Itu, Anak Kecil

Setelah sekian lama, penulis tidak ke luar ke mana-mana sama ada ke pasar atau berjalan-jalan seperti kebiasaan semata-mata mahu mengelak diulit kedinginan. Berada di rumah lebih selesa tanpa perlu menghirup udara dingin yang agak mengganggu. Baru-baru ini penulis keluar. Ketika di dalam kenderaan, anak kecil penulis yang usianya belum menginjak angka lima, bertanya,
''Mama, kita tak boleh nampak suara, kan?''
''Iya...kita tidak boleh nampak suara tapi kita boleh dengar. Macam angin juga. Kita tidak boleh nampak angin tapi kita tau angin itu ada sebab kita nampak pokok bergoyang.''
Penulis tersentuh dengan soalan itu. Sejauh itu anak kecil boleh berfikir. Hakikat bahawa suara yang tidak kelihatan itu memang tidak dipedulikan oleh golongan yang lebih dewasa. Mungkin kerana orang dewasa lebih arif bahawa suara itu memang tidak mampu dilihat. Lantas, ayat itu jarang sekali dibina oleh orang yang lebih dewasa termasuklah penulis.

Mimpikah

Derita
membanjiri dunia
sengsara
membentengi bahagia
kejam
menguliti mimpi
di dalam tidur
di dalam jaga.

Gaza Menarik Aku

Gaza...
dukamu
deritamu
sengsaramu
menarik aku keluar
dari sepiku
dari diamku
dari ketidakpedulianku

Berakhirkah?

Keperitan dan kesengsaraan di Gaza mendapat simpati hampir seluruh masyarakat dunia yang mencintai keamanan dan membenci keganasan. Kelihatannya, penderitaan penduduk Gaza akan berakhir untuk episod pencerobohan kali ini. Benarkah penderitaan mereka akan berakhir? Pernahkah penderitaan mereka berakhir?

Penulis pernah bertanya kepada seseorang tentang bilakah sengsara Gaza akan berakhir. Jawapan yang penulis terima, ''Tidak lama lagi. Akan surut menjelang peralihan tampuk pemerintahan kuasa besar itu''. Penulis terdiam mendengar jawapan sedemikian. Sekadar bermain-main di benak fikiran, 'sekadar permainankah semua ini?'

Anda dari Mana?

Setiap kali berjalan-jalan di bandar Tashkent sama ada ke pasar untuk membeli barang atau sekadar bertanya harga, pasti akan ada soalan diaju...''anda dari mana?'' yang merujuk negara asal penulis. Adakalanya penulis membiarkan sahaja mereka meneka. Bermacam-macam yang boleh didengar. Mereka akan menyebut Pakistan, Hindustan, Singapura, Indonesia, Jepun, China. Kadang-kadang apabila mereka meneka Hindustan, penulis sekadar berkata bahawa hidung penulis bulat dan tidak semancung hidung orang Hindustan. Jika yang bertanya itu kelihatan agak serius, penulis akan segera menjawab, ''Malaysia''. Namun, itu dulu. Ketika penulis mula-mula sampai di Tashkent.

Sekarang ini, soalan-soalan itu sudah jarang ditanya kerana di pasar sudah ramai yang mengenali penulis. Hampir setiap minggu, penulis akan ke pasar membeli barang keperluan dapur ditemani anak yang masih kecil. Biasanya, penulis akan pergi ke pasar yang sama, Oloyski (disebut Aleyski) Bazaar. Orang-orang di pasar biasanya lebih ramah berbanding orang-orang yang ditemui di 'supermarket'. Rasanya di Malaysia juga begitu. Orang-orang yang ditemui di pasar lebih banyak butir bicaranya berbanding orang-orang yang ditemui di 'supermarket'. Tahap keramahan itu sahaja yang berbeza-beza.

Rabu, 14 Januari 2009

Anak Kecil, Si Pembedil, Lelaki Tanpa Wajah

Menonton derita Gaza di kaca televisyen
Ngeri anak kecil buah hatiku melihat
darah merah di tubuh anak kecil yang lain.

Kukhabarkan kepada anak kecil buah hatiku,
''Itu bukan sekadar lakonan...
Kesakitan yang ditanggung,
keperitan yang dirasai,
tidak akan hilang sekelip mata.
Lihatlah...bagaimana rumah mereka ranap dibedil tanpa belas....''

Anak kecil buah hatiku memandang lagi
derita Gaza di kaca televisyen
Lalu, muncul susuk lelaki yang tidak kelihatan wajah cuma mata.

Aku ditanya lagi,
''Orang itu jahatkah...?''

Kukatakan,
''Kalau yang kita label jahat itu ialah
si pembedil yang menghancur dan meranap
rumah si anak kecil yang berlumuran darah...
Lelaki itu pula ialah musuh si pembedil.
Jahatkah lelaki itu...?''

Gaza medan sandiwara

Tentang derita sengsara di Gaza,
Tentang masa depan yang tiada manusia yang tahu,
Benarkah tiada...

Pernah aku bertanya pada insan yang dekat denganku,
Bila agaknya berakhir segala-gala,

''Mungkin berakhir setelah kuasa besar yang satu itu
setelah yang lama turun, yang baru dan sedang menunggu itu
naik dan berada di tempat itu.''

Lantas, aku tertanya-tanya sendiri,

'Apakah dosa yang terpampang ini sekadar sandiwara
yang akan terhenti bila tiba waktunya...yang kemudian
akan disambung lagi, akan dimulai lagi pada ketika
yang lain pula, pada dekad yang lain pula...'

Kalau ingin menuding jari,
apalah maknanya jika jari yang dituding itu
sekadar menuding ke cermin yang telah retak.

Isnin, 12 Januari 2009

Tarap


Buah tarap

harum baunya memancing selera
khusus buat penggemar setia
yang tetap menanti musim tiba

Jika baru berjinak-jinak
ingin mengenali ingin merasai
usah sesekali ia dibawa
ke ruang nyaman yang dingin hawanya
kelak cinta yang baru berputik
terkulai layu sebelum berkembang

Kalau sudah jatuh cinta, masih juga ingin mencuba
Usah kesal menjalari jiwa
Usah sesal mengasak dada


Nama saintifik : Artocarpus odoratissimus





Ahad, 11 Januari 2009

Suri

Dunia suri...
usah dijauhi
usah ditakuti
tuntut ilmu jadi bekalan
mohon petunjukNya sentiasa
mohon hidayahNya sentiasa
akan ada sinar menemani
bukan cuma di hujung jalan
bukan cuma di pangkal jalan
sinar Nur itu akan menerangi
sepanjang perjalanan
...dunia suri.

Memandang Gaza

Sepasang mata...
cuba menembusi ke dasar sengsara
cuba menyelami ke laut darah
cuba memandang ke jiwa insan
cuba menyatu ke bumi Gaza

Sepasang mata...
bersatu dengan jiwa
menimbang dengan akal
mengundang kepiluan menderu-deru

Di bumi Gaza
bukan cuma jasad derita
berlarian dihujani bedilan
malah kedinginan mencengkam siang dan malam
lihatlah pakaian mereka bukti kehangatan tiada hadir
walau mentari memancar sinar terang menyilau
bukan cuma jiwa sengsara
diburu resah sedih perit ditanggung jua
maruah insani di takuk bawah rendah
tubuh merana jua menahan lapar dahaga

maruah Gaza dilurut sentap pijak paksa
maruah zionis adakah...

Hanya padaMu Ya Allah...
Pencipta seluruh alam ini bersekali isinya
Tempat kami memohon pertolongan
Tempat kami memanjat doa
semoga Gaza bertemu damai
semoga Gaza bertemu aman
Hambamu ini sepasang mata
memohon kepadaMu Ya Allah....

Jumaat, 9 Januari 2009

Jauh

Menyusun kata-kata
membentuk sebuah bicara
aku jauh

Menyusun kata-kata
membina lembaran demi lembaran
aku jauh

Menyusun kata-kata
menangkis sebuah nista
aku jauh

Menyusun kata-kata
terkunci di sudut hati
jauhkah....

Khamis, 8 Januari 2009

Di Situ Kampung

Kedamaian kampung melambaiku pulang
Masih indahkah lagi kampungku itu

Ketika lambaian kampung kusambut
Seseorang pernah berkata,

''Kerbau-kerbau itu biarlah berkeliaran,
kebun-kebun itu biarlah berpagar.''

Sangkaku kata-kata itu cuma gurauan
rupa-rupanya benarlah.

Suatu pagi yang indah
ditemani anak-anak kecilku
diganggu nyamuk-nyamuk yang menghurung
Kami mengatur langkah menuju ke pantai

Di situ...
Di tepi pantai yang dulunya indah
bertompok-tompok milik si kerbau mencemari hamparan pasir.

Di pantai itulah takuyung dikutip
buat mengisi perut, buat mengisi poket
kalau sudah milik si kerbau ada di situ mahu lagikah mengutip takuyung...

Sampai bilakah kerbau-kerbau itu dibiar begitu
Tiada siapakah yang mahu peduli...

Di situ kampung
orang-orangnya masih ada yang
mengerah tulang empat kerat
memerah keringat yang bukan sedikit
keluar ke laut menangkap ikan
atau membina kelong yang menyebutnya mudah, membuatnya tidak.

Kalaulah tuan-tuan kerbau-kerbau itu terus-terusan lepas tangan
sampai bila harus begitu.

Seseorang itu berkata lagi,

''Dulu-dulunya sudah ada perjanjian itu
kerbau dilepas, kebun dipagar.''

Benarkah kata-kata orang itu atau aku tertipu
kerana setahu aku...
ada di antara kerbau-kerbau yang berkeliaran itu
adalah kerbau-kerbaunya.

Berlalulah...

Melihat Gaza...
bukan sekadar memandang
bukan sekadar memerhati
bukan sekadar simpati
di dalam hati
ada amarah yang melingkari
ada ketidakpercayaan menyelubungi
betapa kezaliman kekejaman bermaharajalela.

Doa dipanjat ke hadrat Ilahi
semoga lekaslah berlalu derita mereka
semoga lekaslah berlalu perit menimpa
semoga lekaslah berlalu bahang durjana.

Sengsara Damai

Detik ini
Warga Gaza
didakap kesengsaraan
maruah mereka dipijak ditelanjang
...tanpa belas
Warga Gaza diburu keresahan
dalam kedinginan yang mencengkam
dalam gejolak rasa tidak keruan perit pedih
semua rasa menyeksa jiwa menjadi satu.

Detik ini
ada insan didakap kedamaian
maruah ditelanjang tanpa paksa
mengejar tanpa jemu nikmat dunia di laut dosa
mengejar dunia tanpa sedar penghujung abadi di akhirat sana.

Rabu, 7 Januari 2009

Manusiakah Mereka...

Ke mana sudah perginya suara
yang beria-ia memerangi keganasan
Tiada sudah ranap punah ditujah bedilan mortar
Apabila sekutu melakar angkara zionis berpesta darah.

Biarpun kepala terus-terusan digeleng
Suara yang terkeluar dari mulut pemilik kuasa yang kononnya besar...
cuma omong kosong yang hanya bisa diterima akal
yang letaknya bukan lagi sekadar di lutut tapi lumat di telapak kaki.

Manusiakah mereka
yang mulut mereka berkata-kata dusta semata-mata
Manusiakah mereka
yang jiwa mereka hilang sudah nikmat simpati
mengidam darah anak-anak kecil yang tidak berdosa
memijak maruah insan-insan yang menggapai kedamaian di gugusan bintang tidak tercapai
meratah ganas harapan yang tinggal sisa jasad terus dimamah jiwa yang hidup terus diseksa.

Manusiakah mereka
Manusiakah mereka yang memandang mereka sebagai manusia....

Selasa, 6 Januari 2009

Selamat Meniti Tahun Baru...


Di sini...

kedinginan salju mendaki ke puncak

Selamat meniti tahun yang baru

Buat kalian yang singgah ke sini

secara sengaja ataupun tidak.