Rabu, 14 Disember 2011

Indah

Yang indah
di mata
hingga
ke jiwa
seputar alam
ini ada.
Aduhai sayang
di bibir
juga di jemari
yang hebat dicanang
adalah sebaliknya.

Pikat

Po po po oooo li tik tik tik
tumbuh sedari budak
yang memikat
hati hati menggeletek
sampai ketawa terbahak
tergeletak.

Sisih

Andai besok
masih lagi samar ....
Entah-entah
kelmarin yang berlalu
mungkin berdaya
menyisih mendung
yang menyelubungimu
tika ini.

Suara

Dinding di sekelilingku
seakan berbisik
setiap kali
aku bersuara.

Selasa, 15 November 2011

Langkah Kita

Usah
jejaki
langkahku.

Ku tak rela
menjadi
penyebab
keterlewatanmu.

Teruskanlah
langkahmu
tanpa 
aku
.
.
.
.


Cukuplah

Di antara kita
ada sungai kecil
yang mengalir tenang
kusentuh dengan hujung jemariku
... dingin ...
di seberang sana
kulihat dirimu bercanda riang
senyum tawa menjadi halwa
di jiwaku.
kupandang langit nan membiru
dihiasi kepul-kepul awan nan memutih
kusentuh lagi air sungai 
dengan hujung jemariku
... masih dingin ...
aku bahagia melihatmu gembira
cukuplah bagiku
sungguh.

Selasa, 1 November 2011

Pantas

Pantas memberi reaksi. Ramai dalam kalangan kita bersikap begitu. Syabas!

Apapun, mengutamakan yang benar, jujur, dan tidak menokok tambah dalam menyampaikan berita adalah lebih baik. Menjadi tanggung jawab kita memberi 'tempoh bertenang' pada berita atau cerita 'hangat' yang sampai kepada kita untuk mengelak diri kita daripada menjadi penyebar khabar angin tanpa kita sedari.

Khamis, 27 Oktober 2011

Burung Kecil

PMA

Ada sedikit novel dalam simpanan saya sejak sekian lama. Sudah sekian lama saya mahu menambah nilai ke atas semua buku yang saya ada. Hanya saja saya belum nampak cara yang sesuai kerana banyak 'jalan yang sedia ada, saya tutup rapat' sehingga menyebabkan semua idea yang muncul di benak nampak mustahil untuk dilaksanakan. Novel-novel berkenaan lazimnya hanya sekali saya baca. Kemudian, saya simpan dan pandang sahaja. Pustaka Mini Aranam (PMA). Sewa dan baca. Buat masa ini, memikirkan tentang PMA sahaja mampu bikin hati saya berbunga-bunga. :)





Burung Kecil

Beberapa bulan sudah, ada seekor burung kecil yang suka mendekati kereta saya.  Burung kecil itu hanya datang bertandang pada waktu pagi. Selepas beberapa bulan tidak menampakkan diri, beberapa hari sudah dia datang lagi. Bercermin. Entah kenapa sebelum ini, burung kecil itu menghilang. Mungkinkah merajuk dengan burung kecil di cermin yang jadi 'teman' bergurau'? Apapun, saya terhibur melihat gelagat burung kecil itu. Saya masih belum berjaya menangkap gambar burung kecil itu menggunakan kamera yang bagus.


~ Selamat Menyambut Aidil Adha ~


Selasa, 25 Oktober 2011

Sebagai Insan

Sebagai insan
ada waktunya ku ingin bersendiri
tatkala ...
mendung berarak di langit hatiku atau
ribut taufan berputar rancak di seluruh hatiku atau
lahar berbahang di serata hatiku.

Waktu itu adalah
waktu aku ingin bersendiri dan
bermohon agar diriku diberi petunjuk
moga diriku dikasihi dan dikasihani olehNya.

Isnin, 24 Oktober 2011

Tidak Boleh Rugi

Beberapa hari lepas, saya mengambil gambar beberapa item yang mahu saya jual. Semasa menetapkan harga yang saya fikir patut, anak perempuan saya menjadi pemerhati. Sehinggalah bertubi-tubi soalannya tiba.  Semuanya harus saya jawab. Selesai sesi soal jawab maka keluarlah kenyataan yang menarik perhatian saya.

Kata anak perempuan saya, "Mama, kalau jual barang, mesti ada untung.  Tidak boleh rugi."

Serentak itu juga saya teringat.  Pernah sebelum ini, buah hati saya yang berumur sepuluh tahun itu ada menunjukkan wang kertas yang memenuhi poket baju kurungnya.  Saya tanya dari mana datangnya duit itu.

Katanya sambil tersenyum lebar, "Projek kelas. Ini untung yang adik dapat.  Adik cuma tolong jual barang."

Mengingat kisah itu, saya tersenyum memandangnya yang masih lagi nampak musykil.

~ Mama tahu sayang mama betul.  Jual barang mesti untung. ~

Khamis, 20 Oktober 2011

Semua Orang Ada Facebook

Teringat iklan di radio kelmarin yang berbunyi, semua orang ada Facebook.  Benarkah?

Anak perempuan saya pernah memberitahu bahawa ada kawan sekolahnya yang ingin membukakan akaun Facebook untuknya.  Saya bertanya, baguskah begitu? Anak perempuan saya jawab, tidak.

Pernah juga anak perempuan saya bercerita bahawa ramai kawan sekelasnya yang ada akaun Facebook. Saya tanya, mahu jugakah? Jawab anak saya, tidak.

Walaupun tidak ada akaun Facebook, sekali-sekala apabila ada tugasan yang memerlukan mereka melayari internet, saya akan mengizinkan mereka mencari maklumat yang diperlukan.  Terus mencari tanpa perlu singgah ke 'tempat-tempat' lain yang tidak berkenaan. Setakat ini, mereka akur ... alhamdulillah.  

Saya fikir, mereka belum cukup bersedia untuk melayari dunia tanpa sempadan ini.  Ada waktunya, terkilan juga rasa di hati.  Kisah-kisah dalam internet ataupun Facebook yang begitu terkenal ini dikongsi secara terbuka.  Tetapi, yang bagusnya ... kisah-kisah yang mereka dengar, akan mereka kongsi dengan saya.  Bergilir-gilirlah mereka bercerita.  Penuh semangat.  Saya fikir, jikalaulah anak-anak ada akaun Facebook sendiri ... kemungkinan besar, mereka tidak akan bercerita serancak ini lagi.  Mereka akan ada dunia di hujung jemari. Dunia yang hidup dan meriah pada pandangan mata, di telinga pula sunyi sepi.

Semoga penangguhan penglibatan anak-anak dalam dunia internet ini adalah pilihan yang terbaik.  Mereka masih terlalu muda.  

~ Mama sayang anak-anak mama ~



Isnin, 17 Oktober 2011

Masa Sudah

Jejak-jejak
masa sudah
akan selalu
bersamaku
mengharungi
esok yang
mendatang.
Dengan izinMu.

Diam

Kesunyian akan 
menghimpit dunia
saat seluruh 
manusia
memilih diam
serentak!

Memilih diam 
kerana merenung bulan di dada langit
Memilih diam
kerana merenung damai tasik 
Memilih diam
kerana merenung alam yang kelam.

Selagi nyawa masih dikandung badan
Sebagai manusia, memilih diam eloklah bertempat
Sebagai manusia, memilih bersuara eloklah bertempat.

Ahad, 9 Oktober 2011

Cantik

Duduk bersimpuh mengupas betik,
Anggur dicuci satu persatu,
Apalah guna berwajah cantik,
Jikalau hati hitam berkematu.

Sabtu, 1 Oktober 2011

Rasa

Segala rasa 
yang menggeletek
yang mengusik
yang menyeksa
yang menguja
silih berganti 
datang dan pergi ....

Jumaat, 22 Julai 2011

Menelan Resah

Resah bertamu
meluru datang
tanpaku undang.

Resahku
kerana jalan 
di hadapanku
bergegar-gegar 
seperti dilanda gempa.

Resahku
membawa aku 
kembali
menabal sabar 
di persada hati
menebal harap 
agar gegaran 
segera berhenti.



Selasa, 12 Julai 2011

Selepas Hujan

Pabila
awan kelabu gelap
di belantara 
fikir 
menipis ...
bunga-bunga 
neka warna
di taman hati 
memekar ...
lalu terbitlah 
segaris cahaya 
di kanvas wajah
untukmu untukku.

Selasa, 5 Julai 2011

Riuh Rasa

Si pengasap itu
bagaimana mungkin dia memahami
riuh rasa di hati ibu pabila
melihat dia melepaskan kepul-kepulan asap
dari hidungnya, dari mulutnya sedang di tangannya
dia sedang menggendong si pemilik jari-jari kecil ...
lebih kecil daripada jemarimu, sayangku ....

Pencari

Wahai diri
bertahanlah
walaupun
di hadapanmu ada kebenaran yang masih samar
di belakangmu ada kebenaran yang belum terbela
di kiri kananmu ada kebenaran yang kekal terpisah
berusahalah
mencari tanpa henti
kebenaran yang hakiki
kejapkanlah dalam pegangan batinmu
hanya Dia yang menghidupkanmu
hanya Dia yang melindungimu
hanya Dia yang Maha Mengetahui
kebenaran hakiki pada benar yang samar di hadapanmu.

Rabu, 8 Jun 2011

Marah



Kerana marah
kita kata semua yang ada di dunia ini
tidak bermakna.

Kerana marah
kita kata apa pun jua yang dibuat
tidak bermanfaat.

Kerana marah
kita kata kau kau dan kau juga mereka
tidak berakal.

Di sebalik hijab
syaitan dan iblis tertawa suka
melihat kita marah-marah terus.

Sejuk sejuk sejuk dan sejuklah
Istighfar segera ... astaghfirullahalazim.

Kita makhluk pilihan Allah
umat Rasulullah kekasih Allah
untuk menunai amanat
di bumi ini buat bekal
di negeri abadi.

Sabtu, 4 Jun 2011

Sayang




Pagi ini
langit membiru indah dengan
tompok-tompok putih menghiasi dadanya
teratur bagai disusun-susun adanya.

Sayangnya hati
gundah belum menyisih.

Sayangnya mata
melihat endah tak endah.

Sayangnya kata
terkunci bicara.

Jari-jemariku
mengelus-elus
tubuhmu yang mulus
jemarimu yang halus

Sembuhlah segera
buah hati mama.

Kupohon ...

Tuhanku ya Rabb
perkenankanlah ....


Rabu, 1 Jun 2011

Hapus

Di ruang itu
kami berkumpul menziarahi dia yang sudah hilang derita sakit di kepalanya dek tekanan darah mencanak naik menyeksa seluruh jasad tanpa belas; sebak di dada isteri, pilu di hati anak-anaknya, simpati kami yang tiada putusnya.

Kata sahabatnya,
Sakit itu penghapus dosa.

Tatkala jasad menderita sakit selera menyusut, tubuh mengecut dan tatkala jasad semakin sembuh selera perlahan-lahan kembali, tubuh perlahan-lahan mengembang segar namun segala dosa-dosa yang telah pergi tidak akan kembali terhapus sirna ke ruang yang tidak tercapai dek akal manusia sesungguhnya sakit itu penghapus dosa insan yang reda, katanya. 

Isnin, 23 Mei 2011

Bungkam

Pagi ini
biru langit bersembunyi
di balik awan putih kelabu.

Baru sebentar tadi
kuiring ibu ayah ke muka pintu
selepas kusalam kukucup kudakap
senyum kami berbalas tentu
dengan harapan bertemu lagi
minggu hadapan dengan izin-Nya.

Di hatiku
terasa-rasa
seolah-olah
dicubit-cubit
bungkam.

Ahad, 22 Mei 2011

Menebak Hati

Siapa kita di hati orang? Mampukah kita mengetahuinya. Ada waktunya kita dapat mengesan, ada waktunya tidak. Sebaik sahaja kita tahu, saat itu ada pilihan yang perlu kita buat. Jikalau yang dapat kita kesan itu bernada baik, dekatlah kita dengan orang itu. Jikalau sebaliknya, mungkin sebaiknya kita meminggir ataupun berlalu terus. Bukan mudah menebak apa yang ada di hati orang. Bagaimana pula hati kita. Adakah mudah menebaknya ....

Setiap waktu dan pada setiap hela nafas, hendaklah kita sentiasa ingat dan percaya sepenuhnya bahawa hanya Dia Yang Maha Mengetahui setiap apa yang ada di hati setiap orang termasuklah diri kita.

Jumaat, 20 Mei 2011

Hadirlah

Pernahkah kau terasa
keramahan angin yang berdesir
menjamah lembut pipimu
seolah berbicara lalu
terus bermesra menyentuh
lembut jiwamu mengusir gundahmu
mengusir rajukmu yang rajin bertandang
pada saat-saat sepimu ....

Oh angin
hadirlah
moga Dia
mengutusmu
untukku ...

Sabtu, 14 Mei 2011

Kepala




Pohon Tidak Berdaun

Pandanganku
selalu singgah ke pohon itu
walaupun dahan-dahannya tidak dihiasi dedaunan
apatah lagi bunga-bungaan ataupun buah-buahan.

Di pohon itu
selalu kulihat beburung hinggap 
melepas lelah
mengumpul tenaga
kadang-kadang seekor
kadang-kadang sepasang
kadang-kadang sekawan.

Di balik pohon itu
sering kusaksikan wajah langit nan luas terbentang
berubah-ubah warnanya
kadang-kadang umpama langit musim luruh, juga musim sejuk
dipenuhi awan putih kelabu
kadang-kadang umpama langit musim panas
birunya indah bersih memikat
namun tak pernah sekalipun kulihat langit musim bunga
tiada daun, tiada bunga, tiada buah di sana.

Pohon itu
entah-entah tidak lama lagi
kan menjadi ranting-ranting cuma
kerana tanahnya akan diratakan
dibangunkan binaan; mungkin kedai, mungkin rumah.

Entah besok entah lusa
tiada lagi pohon itu ....

Kepala

Awal pagi ini, aku dikejutkan dengan berita bahawa ada kepala orang (?) di luar jendela rumahku. Rambutnya hitam, tak nampak mata.  Entah kepala itu kepala siapa. Jawapan tetap juga tiada, hingga terasa meremang bulu roma. Sempat menyedapkan hati sendiri ... Ah! Entah-entah itu bukan kepala siapa-siapa. Dan, kalau itu bukan kepala, yang hitam itu tentu juga bukan rambut siapa-siapa. Entah-entah itu hanyalah burung yang suka hinggap di tepi jendela!

Selori Papan

Pagi ini juga. Tetapi tidaklah seawal kisah tentang kepala di luar jendela. Sedikit lewat kisah ini muncul. Aku mendengar bunyi kenderaan lalu di hadapan rumah. Lalu kuintai lewat jendela kamar.  Sangkaku itu bunyi lori sampah. Hampa. Lori itu bukan lori sampah. Lori itu, muatannya papan. Mungkin sekadar mengambil jalan pintas. Eh! lori itu berpatah balik menuju ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menebas, membakar (kalau boleh kusebut belukar) berhampiran kawasan rumah yang kudiami ini. Sekonyong-konyong lori itu berhenti, sekumpulan lelaki itu berhenti melakukan kerja-kerja membersih yang mereka lakukan sebelumnya. Mereka memunggah papan dari lori itu dan menghimpunnya satu demi satu. Kemas. Teratur. Untuk apa selori papan itu? Soalan yang bermain di fikiranku itu terjawab beberapa jam kemudian. Kini, di kawasan itu sudah terbina sebuah pondok (mungkin pondok pekerja --- cepatnya!). Mungkin ada bangunan yang lebih besar yang mahu mereka bina. Lalu, bertalu-talu tanya demi tanya meluru di benakku.

Keris di Hujung Cinta

Ini adalah judul puisi tokoh penyair Sabah, Hasyuda Abadi. Di dalamnya ada perkataan api yang berulang-ulang (sebenarnya, pengulangan itu tidaklah terlalu banyak). Membaca puisi itu, menghimbau kembali zaman kecilku. Zaman sekolah rendah. Api menarik minatku. Zaman itu zamanku riang bermain bunga api. Mancis dan lilin menjadi temanku. Senang bagiku bermain bunga api.  Mudah bagiku jikalau bermain masak-masak.  Bekalan mancis dan lilinku selalu ada.  Asal saja habis, kedai runcit berhampiran rumah tempat kutuju. Zaman itu sudah berlalu.  Sekarang ini, api teman rapatku di dapur. Tiada suara ibu melarang. Tiada suaraku memberi alasan. Hmm ... jikalau sekarang di tangan anak-anakku sentiasa ada mancis dan lilin, tentu mulutku tak henti-henti melarang.  Betapa kasihannya ibuku dulu, melarangku tak henti-henti. Keris Di Hujung Cinta. Puisi itu adalah tentang kisah hidup yang lebih besar kalau mahu dibandingkan dengan kisah gadis kecil yang suka bermain api (api yang benar-benar wujud sebagai api; panas, bahaya). Puisi itu mengingatkan aku tentang zaman kecilku. Zaman kecilku yang merunsingkan ibuku.  Maafkan anakmu ini, wahai ibuku sayang.

Sangka

Apakah kausangka
pabila aku mengaku sebagai saudaramu
yang kupandang hanyalah tebal kempisnya kocekmu.

Apakah kausangka
pabila aku mengaku sebagai sahabatmu
yang kupandang hanyalah besar kecilnya namamu.

Apakah sejelek itu
wajah hatiku di hatimu.

Saudaraku
yang sedang mengalir di tubuh kita ini
adalah darah yang tak jauh beza
adalah darah merah warna sejarah lampau
yang wujud sebelum dirimu diriku.

Sahabatku
yang terakam dalam ingatan kita
adalah kenangan yang serupa
adalah kenangan tentangmu tentangku.

Saudaraku
baru kutahu kita adalah saudara dan
engkau mungkin takkan pernah tahu
jikalau tidak kukhabarkan padamu.

Sahabatku
baru kuingat
pernah dulu kita menjadi sahabat dan
engkau mungkin takkan pernah ingat
jikalau tidak kuingatkan dirimu.

Kuingin sekadar kautahu
kuingin sekadar kauingat
kautahu kauingat memadailah bagiku.

Entah-entah sebelum kau mengakui
bahawa aku ini saudaramu
bahawa aku ini sahabatmu
aku telah pun berlalu pergi
jauh jauh jauh dan jauh seperti selalu.

Sesungguhnya
hanya Engkaulah Yang Maha Mengetahui
betapa aku tak pernah memandang
tebal kempisnya kocek saudaraku
betapa aku tak pernah memandang
besar kecilnya nama sahabatku.

Ting! Ting! Ting!
Berdenting bunyi jam di dinding.

Syukurlah ...
aku hanya bermimpi cuma dan
segala sangkaan yang berlegar liar itu
bukanlah sangkaanmu melainkan
sangkaanku belaka ....


Isnin, 2 Mei 2011

Air

Bekalan air bersih amatlah penting dalam kehidupan kita.  Pernahkah anda berhadapan dengan masalah bekalan air? Tentulah pernah, saya kira.  

Pengalaman yang saya lalui ini berlaku betul-betul seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina, awal tahun ini.  Selama sehari air yang keluar dari paip tersekat-sekat, tersangkut-sangkut.  Ah! baru sehari.  Saya biarkan sahaja.  Tunggu sampai besok, saya fikir.  Lagipun, masih ada satu paip yang airnya mengalir lancar.  Air dari tangki.  Tidaklah memudaratkan kerana bekalan air tangki itu boleh bertahan lama kalau tahu berjimat menggunakan air.

Masuk hari kedua, saya sudah mula tidak senang duduk.  Jabatan berkenaan segera saya hubungi. Jawapan mereka, tidak ada sebarang masalah.  Lagipun, tidak ada bil air yang tertunggak. Mungkin cuma berlaku tekanan air rendah. Saya terpaksa berpuas hati dengan jawapan itu.  

Malangnya, saya yang sedang sarat mengandung ketika itu, mula berasa kesannya kerana terpaksa bersusah-payah (sedikit cuma) apabila mahu memasak ataupun mencuci pinggan-mangkuk.  Pendek kata, kerja memasak tiba-tiba saya rasakan sukar.  

Saya hubungi lagi jabatan berkenaan.  Sehinggalah punca utama gangguan bekalan air berjaya dikenal pasti.  Rupa-rupanya ada kerja-kerja pembaikan atau mungkin kerja-kerja naik taraf sedang dilakukan sehingga menyebabkan ada saluran paip yang pecah.  Itulah punca utama gangguan bekalan air yang berlaku selama beberapa hari itu.

Setelah punca gangguan bekalan air berjaya dikenal pasti, pihak berkenaan memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dijalankan dengan segera.  Sebenarnya, bukan cuma rumah yang saya huni sahaja tetapi rumah-rumah jiran juga menghadapi masalah yang serupa.  Lebih parah lagi, bekalan air di rumah mereka sudah kering-kontang. Tangki sudah pun kosong!

Disebabkan cuti musim perayaan, kerja-kerja pembaikan terpaksa ditangguh.  Sementara itu, pihak berkenaan menghantar bekalan air ke rumah jiran.  Penyelesaian sementara itu amatlah melegakan.  Sekurang-kurangnya bekalan air kembali ada.  Tangki-tangki air di rumah mereka sudah terisi.

Tibalah masanya.  Musim perayaan pun berlalu.  Masalah yang kami hadapi selama berhari-hari, selesai dalam masa sehari.  

Sejak awal lagi, boleh saja saya marah-marah, jikalau saya mahu.  Tetapi, belum tentu dengan marah-marah, masalah akan selesai.  Bukan sahaja masalah tidak selesai malah perasaan saling membenci tidak mustahil wujud.

Saya berasa amat gembira kerana gangguan bekalan air berjaya diatasi dengan jayanya.  Saya menghubungi pegawai yang bertanggung jawab dan mengucapkan terima kasih atas tindakan pantasnya (memandang kepada situasi musim perayaan, beliau sudah bertindak pantas, saya kira) mengatasi masalah kami.  Sungguhpun agak lambat dalam mengenal pasti punca masalah tetapi hal itu tidaklah menjadi besar.  Sebenarnya, sayalah yang sepatutnya bersikap proaktif sejak awal lagi.  Kalaulah saya tidak berlengah ....

Selasa, 26 April 2011

Tidaklah Aku Peduli

Benar
tidaklah aku peduli
siapa benar ataupun salah
hujah panjang berjela-jela
luar dan dalam ditayang dipamer
buat tontonan seluruh warga
kecil besar tua muda.

Benar
tidaklah aku peduli
apa yang benar dan apa yang salah
apakala terang dan nyata
di hadapan mataku
yang kalian perbuat
kulihat salah.

Benar
tidaklah aku peduli
kalian peduli ataupun tidak
kerana yang jelas bagiku
kalian terlupa anak-anakku
kalian terlupa anak-anak mereka
kalian terlupa anak-anak sendiri.

Jikalaulah ada tanya yang hinggap di telinga
ada kata-kata boleh kujadikan jawapan.

Bagaimana
jikalau segala tanya hanya berlegar
di minda anak-anak kita yang masih lagi hijau itu
maka mencarilah mereka jawapan sendiri-sendiri.

Apa agaknya jawapan yang ada
tiadalah kita kan tahu.

Benar
tidaklah aku peduli
kerana kalian
sedikit pun tidak ambil peduli
kegalauan di hati mereka
gusar dan risau di hati kecilku
mengenangkan anak-anak
yang masih lagi hijau benar.

Jumaat, 22 April 2011

Janji

Musim mengulang-ngulang
kata itu sudah jauh kutinggalkan
musim mengulang-ngulang
kata itu sudah menjauh dariku
... sesudah kusedari
... sesudah kuketahui
beban berat seberat besi
tak tertanggung di bahuku
yang kian hari kian tak berdaya
menunai satu-persatu 
kata yang entah bila dapat kukota.

Lantas
aku pun berhenti mengulang-ngulangnya
kerana kutahu riuh rasa penantian
kerana kutahu benar salah saat berpaling
menjauh diri kata tak juga dikota.

Pesanku pada diri ...
berhentilah mengulang-ngulang kata itu
andai tak bisa ditepati
berhentilah mengulang-ngulang kata itu
sebelum nafasmu terhenti.

Kota Kinabalu, 22 April 2011, 12.30pm



Khamis, 21 April 2011

Duduk Diam-diam

Duduk diam-diam
usah usik urusan orang
duduk diam-diam
usah sampuk cakap orang
duduk diam-diam
usah dekati api membahang
duduk diam-diam
usah diduga laut nan dalam
duduk diam-diam
pesan diriku untuk diriku
duduk diam-diam  ....

Singgah


Aku singgah
dan singgah dan singgah
tanpa meninggal jejak
berupa kata-kata
sekadar menangkap makna
yang menyentuh hingga
ke lubuk jiwa
hingga aku kembali
melayan rindu
yang kembali
bertamu.



Rabu, 16 Mac 2011

Sekumpulan Wanita dan Sekumpulan Lelaki

Di kanan Anis, di kiri Amirul.  Kami bertiga menuju ke arah jejantas mengarah ke pasar besar.  Sambil itu, perhatian kami bertiga teralih kepada sekumpulan wanita atau lebih tepat lagi sekumpulan orang yang kelihatan seperti sebuah keluarga.  Anis sudah mula berbisik-bisik bertanya tentang mereka padahal saya sendiri tidak ada jawapan yang pasti (mula terimbas kembali tentang program televisyen yang memaparkan tentang kehidupan orang-orang laut yang menjadikan perahu sebagai tempat tinggal mereka, dan laut umpama 'daratan' luas buat mereka.)

Mereka tidak mempamer sebarang gelagat menyerupai peminta sedekah (yang mengekori kita sambil menadah tangan ataupun mengetuk-ngetuk tingkap kereta saat lampu isyarat bertukar merah -- teringat juga ketika berada di Tashkent apabila saya terasa baju seperti ditarik-tarik -- sangka saya anak sendiri tetapi sangkaan itu jauh meleset kerana yang menarik baju saya adalah seorang kanak-kanak perempuan yang sedang melaksanakan rutin hariannya -- mengemis -- entah mahu bersimpati atau bersikap bagaimana dengan mereka ini.)

Berbalik kepada sekumpulan orang tadi ... apa yang menarik perhatian kami adalah cara penampilan mereka. Lebih tepat lagi penampilan beberapa orang wanita dalam kumpulan itu.  Di wajah mereka tertepek tebal bedak sejuk  (saya fikir bedak tebal yang mereka pakai itu adalah bedak sejuk) yang berwarna kekuningan.  Selain cuma berkain batik yang tidak begitu kemas letaknya, mereka juga berkaki ayam (jam menunjukkan 10.30 pagi, mentari di Sabah sudah memancar garang -- tidakkah terasa panas tapak kaki mereka?)

Setelah yakin kehadiran mereka bukanlah ancaman (maknanya saya tidak perlu risau; saya tidak boleh berlari laju dengan kandungan yang kian sarat dan perlu melindungi dua orang anak saya yang masih kecil -- yang saya pasti boleh berlari lebih laju daripada saya tetapi tanpa saya, mereka tidak tahu ke mana mahu membawa diri.) ...kami tiga beranak mula mendaki satu demi satu anak tangga jejantas menuju ke pasar besar.  Sesekali saya menoleh juga.  Mereka ada di  belakang kami! Ah, biarkan sajalah ... mereka tidak mengganggu pun.  Mereka juga sedang sibuk mencari arah hendak dituju. (Sebenarnya, bukan cuma saya dan anak-anak saya sahaja yang tertanya-tanya tentang mereka -- ada seorang gadis manis, matanya berkali-kali melirik ke arah kumpulan yang sama, yang menarik perhatian kami tiga beranak.)

Sesekali saya perlu memperlahankan langkah.  Kandungan saya sudah mencecah tiga puluh empat minggu, sudah kian sarat.  Langkah kembali diteruskan sambil tetap memimpin tangan Anis dan Amirul.  Kami semakin menghampiri pasar.  Serta-merta pandangan saya teralih pada tiga orang lelaki yang bergelimpangan di tepi jejantas.  Dengan jelas, saya dapat melihat ada botol minuman keras berhampiran mereka (aduh, mahu mengelak kenderaan yang bertali-arus -- lalu kami menggunakan jejantas -- tetapi terpaksa pula berdepan dengan mereka ini.)  Semakin kami menghampiri mereka, bau yang kurang enak semakin menusuk ke rongga hidung.  Entah bau apakah itu; minuman keraskah atau mungkin ... (yang nyata, mereka sudah tidak peduli mahu mengurus diri!)

Dalam debar dan gusar, berjaya juga kami melepasi mereka ....

(Terdetik di hati, mungkin saya patut berhenti dulu menjelajah bandar dengan anak-anak yang masih kecil tanpa ditemani suami tercinta.)