Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan

Khamis, 22 Mei 2014

Pesan Kepada

Kepada sanak saudara,

Kali terakhir bertemu ibu ayah dan keluarga tercinta sekitar Ogos tahun lalu. Bertemu setahun sekali amat besar maknanya bagi saya.

Kepada pengunjung blog Menelusuri Ilham ini,

Terima kasih banyak atas kunjungan anda. Saya amat menghargainya. Andai ada silap dan salah sejak blog ini mula mengatur aksara pada bulan Disember 2008, mohon maafkan kekhilafan saya.

Kepada pembantah pembangunan Pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu,

Teruskan usaha anda mempertahankannya. Pantai Tanjung Aru sentiasa menanti untuk dipertahankan. Pantai Tanjung Aru gembira dan bahagia dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. Pantai Tanjung Aru tidak gemar berkasta-kasta. 

Kepada perokok tegar,

Kasihanilah anak-anak orang lain. Kasihanilah orang-orang lain. Kasihanilah!

Kepada pentadbir dan pemimpin di segenap peringkat,

Jujurlah. Amanahlah. Bertanggungjawablah. Saya tahu anda wujud. Kejujuran, sikap amanah dan bertanggungjawab itu antara tiket ke syurga. Sahut cabaran ini pasti anda tidak akan menyesal.

Kepada warga pendidik,

Sayangilah anak-anak kami. Warga tanahair ini. Dan, anak sesiapapun jua yang dahagakan ilmu.

Kepada anak-anak,

Cakap orang yang lebih tua, dengarkanlah. Bukan kerana banyak garam yang dimakan. Tidak lain dan tidak bukan supaya kalian mendewasa menjadi anak-anak yang berbudi bahasa dan cemerlang sebagai manusia beradab mulia.

Kepada diri,

Berhati-hati.




Isnin, 19 Mei 2014

Buli

Buli.  Ini realiti.  Mangsa yang pendiam dan memilih untuk menutup mulut tanpa mengadu sama ada kepada ibu bapa ataupun penjaganya akan terus-terusan berada dalam keadaan tertekan.  Disisih rakan amat menyakitkan. Sekolah adalah tempat untuk menuntut ilmu. Perlu bersemangat untuk menerima ilmu baru setiap kali kaki jejak di sekolah.
Cukuplah kerisauan berhadapan dengan matapelajaran yang kurang diminati kerana kurang ataupun lambat menguasai.  Cukuplah kehampaan terpaksa berhadapan dengan guru yang kurang memahami, jika ada. Cukuplah menerima jelingan rakan yang susut populariti akibat kehadiran murid baru di dalam kelas yang asalnya dia sangat popular. Cukuplah kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan di sekolah lama yang berat hati untuk ditinggalkan.

Suara hati ini, usahlah diasak dengan tanya siapa, di mana, apa, bagaimana, bila dan sebagainya. Ini bukanlah bertujuan menuding jari mahu mencari salah. Kuat rasa di hati agar situasi tidak menyenangkan tersebut dapat ditangani sebaik-baiknya.

Menjadi mangsa buli bukanlah pengalaman indah nan mengasyikkan. Rakan sekelas -- yang sepatutnya bersikap baik -- bergender lelaki menyerang murid baru bergender perempuan. Kepala ditumbuk, tudung ditarik. Apakah maknanya?

Mendengar sahaja berita ini membikin hati sakit dan pedih bukan kepalang.

Sedang berusaha menanti dengan tenang. Semoga khabar yang diterima pada hari esok memberi keadilan kepada mangsa seterusnya berdaya memberi pengajaran kepada sekumpulan murid bergender lelaki yang bertindak sebagai pembuli.


Sabtu, 14 Mei 2011

Kepala




Pohon Tidak Berdaun

Pandanganku
selalu singgah ke pohon itu
walaupun dahan-dahannya tidak dihiasi dedaunan
apatah lagi bunga-bungaan ataupun buah-buahan.

Di pohon itu
selalu kulihat beburung hinggap 
melepas lelah
mengumpul tenaga
kadang-kadang seekor
kadang-kadang sepasang
kadang-kadang sekawan.

Di balik pohon itu
sering kusaksikan wajah langit nan luas terbentang
berubah-ubah warnanya
kadang-kadang umpama langit musim luruh, juga musim sejuk
dipenuhi awan putih kelabu
kadang-kadang umpama langit musim panas
birunya indah bersih memikat
namun tak pernah sekalipun kulihat langit musim bunga
tiada daun, tiada bunga, tiada buah di sana.

Pohon itu
entah-entah tidak lama lagi
kan menjadi ranting-ranting cuma
kerana tanahnya akan diratakan
dibangunkan binaan; mungkin kedai, mungkin rumah.

Entah besok entah lusa
tiada lagi pohon itu ....

Kepala

Awal pagi ini, aku dikejutkan dengan berita bahawa ada kepala orang (?) di luar jendela rumahku. Rambutnya hitam, tak nampak mata.  Entah kepala itu kepala siapa. Jawapan tetap juga tiada, hingga terasa meremang bulu roma. Sempat menyedapkan hati sendiri ... Ah! Entah-entah itu bukan kepala siapa-siapa. Dan, kalau itu bukan kepala, yang hitam itu tentu juga bukan rambut siapa-siapa. Entah-entah itu hanyalah burung yang suka hinggap di tepi jendela!

Selori Papan

Pagi ini juga. Tetapi tidaklah seawal kisah tentang kepala di luar jendela. Sedikit lewat kisah ini muncul. Aku mendengar bunyi kenderaan lalu di hadapan rumah. Lalu kuintai lewat jendela kamar.  Sangkaku itu bunyi lori sampah. Hampa. Lori itu bukan lori sampah. Lori itu, muatannya papan. Mungkin sekadar mengambil jalan pintas. Eh! lori itu berpatah balik menuju ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menebas, membakar (kalau boleh kusebut belukar) berhampiran kawasan rumah yang kudiami ini. Sekonyong-konyong lori itu berhenti, sekumpulan lelaki itu berhenti melakukan kerja-kerja membersih yang mereka lakukan sebelumnya. Mereka memunggah papan dari lori itu dan menghimpunnya satu demi satu. Kemas. Teratur. Untuk apa selori papan itu? Soalan yang bermain di fikiranku itu terjawab beberapa jam kemudian. Kini, di kawasan itu sudah terbina sebuah pondok (mungkin pondok pekerja --- cepatnya!). Mungkin ada bangunan yang lebih besar yang mahu mereka bina. Lalu, bertalu-talu tanya demi tanya meluru di benakku.

Keris di Hujung Cinta

Ini adalah judul puisi tokoh penyair Sabah, Hasyuda Abadi. Di dalamnya ada perkataan api yang berulang-ulang (sebenarnya, pengulangan itu tidaklah terlalu banyak). Membaca puisi itu, menghimbau kembali zaman kecilku. Zaman sekolah rendah. Api menarik minatku. Zaman itu zamanku riang bermain bunga api. Mancis dan lilin menjadi temanku. Senang bagiku bermain bunga api.  Mudah bagiku jikalau bermain masak-masak.  Bekalan mancis dan lilinku selalu ada.  Asal saja habis, kedai runcit berhampiran rumah tempat kutuju. Zaman itu sudah berlalu.  Sekarang ini, api teman rapatku di dapur. Tiada suara ibu melarang. Tiada suaraku memberi alasan. Hmm ... jikalau sekarang di tangan anak-anakku sentiasa ada mancis dan lilin, tentu mulutku tak henti-henti melarang.  Betapa kasihannya ibuku dulu, melarangku tak henti-henti. Keris Di Hujung Cinta. Puisi itu adalah tentang kisah hidup yang lebih besar kalau mahu dibandingkan dengan kisah gadis kecil yang suka bermain api (api yang benar-benar wujud sebagai api; panas, bahaya). Puisi itu mengingatkan aku tentang zaman kecilku. Zaman kecilku yang merunsingkan ibuku.  Maafkan anakmu ini, wahai ibuku sayang.

Isnin, 2 Mei 2011

Air

Bekalan air bersih amatlah penting dalam kehidupan kita.  Pernahkah anda berhadapan dengan masalah bekalan air? Tentulah pernah, saya kira.  

Pengalaman yang saya lalui ini berlaku betul-betul seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina, awal tahun ini.  Selama sehari air yang keluar dari paip tersekat-sekat, tersangkut-sangkut.  Ah! baru sehari.  Saya biarkan sahaja.  Tunggu sampai besok, saya fikir.  Lagipun, masih ada satu paip yang airnya mengalir lancar.  Air dari tangki.  Tidaklah memudaratkan kerana bekalan air tangki itu boleh bertahan lama kalau tahu berjimat menggunakan air.

Masuk hari kedua, saya sudah mula tidak senang duduk.  Jabatan berkenaan segera saya hubungi. Jawapan mereka, tidak ada sebarang masalah.  Lagipun, tidak ada bil air yang tertunggak. Mungkin cuma berlaku tekanan air rendah. Saya terpaksa berpuas hati dengan jawapan itu.  

Malangnya, saya yang sedang sarat mengandung ketika itu, mula berasa kesannya kerana terpaksa bersusah-payah (sedikit cuma) apabila mahu memasak ataupun mencuci pinggan-mangkuk.  Pendek kata, kerja memasak tiba-tiba saya rasakan sukar.  

Saya hubungi lagi jabatan berkenaan.  Sehinggalah punca utama gangguan bekalan air berjaya dikenal pasti.  Rupa-rupanya ada kerja-kerja pembaikan atau mungkin kerja-kerja naik taraf sedang dilakukan sehingga menyebabkan ada saluran paip yang pecah.  Itulah punca utama gangguan bekalan air yang berlaku selama beberapa hari itu.

Setelah punca gangguan bekalan air berjaya dikenal pasti, pihak berkenaan memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dijalankan dengan segera.  Sebenarnya, bukan cuma rumah yang saya huni sahaja tetapi rumah-rumah jiran juga menghadapi masalah yang serupa.  Lebih parah lagi, bekalan air di rumah mereka sudah kering-kontang. Tangki sudah pun kosong!

Disebabkan cuti musim perayaan, kerja-kerja pembaikan terpaksa ditangguh.  Sementara itu, pihak berkenaan menghantar bekalan air ke rumah jiran.  Penyelesaian sementara itu amatlah melegakan.  Sekurang-kurangnya bekalan air kembali ada.  Tangki-tangki air di rumah mereka sudah terisi.

Tibalah masanya.  Musim perayaan pun berlalu.  Masalah yang kami hadapi selama berhari-hari, selesai dalam masa sehari.  

Sejak awal lagi, boleh saja saya marah-marah, jikalau saya mahu.  Tetapi, belum tentu dengan marah-marah, masalah akan selesai.  Bukan sahaja masalah tidak selesai malah perasaan saling membenci tidak mustahil wujud.

Saya berasa amat gembira kerana gangguan bekalan air berjaya diatasi dengan jayanya.  Saya menghubungi pegawai yang bertanggung jawab dan mengucapkan terima kasih atas tindakan pantasnya (memandang kepada situasi musim perayaan, beliau sudah bertindak pantas, saya kira) mengatasi masalah kami.  Sungguhpun agak lambat dalam mengenal pasti punca masalah tetapi hal itu tidaklah menjadi besar.  Sebenarnya, sayalah yang sepatutnya bersikap proaktif sejak awal lagi.  Kalaulah saya tidak berlengah ....

Rabu, 16 Mac 2011

Sekumpulan Wanita dan Sekumpulan Lelaki

Di kanan Anis, di kiri Amirul.  Kami bertiga menuju ke arah jejantas mengarah ke pasar besar.  Sambil itu, perhatian kami bertiga teralih kepada sekumpulan wanita atau lebih tepat lagi sekumpulan orang yang kelihatan seperti sebuah keluarga.  Anis sudah mula berbisik-bisik bertanya tentang mereka padahal saya sendiri tidak ada jawapan yang pasti (mula terimbas kembali tentang program televisyen yang memaparkan tentang kehidupan orang-orang laut yang menjadikan perahu sebagai tempat tinggal mereka, dan laut umpama 'daratan' luas buat mereka.)

Mereka tidak mempamer sebarang gelagat menyerupai peminta sedekah (yang mengekori kita sambil menadah tangan ataupun mengetuk-ngetuk tingkap kereta saat lampu isyarat bertukar merah -- teringat juga ketika berada di Tashkent apabila saya terasa baju seperti ditarik-tarik -- sangka saya anak sendiri tetapi sangkaan itu jauh meleset kerana yang menarik baju saya adalah seorang kanak-kanak perempuan yang sedang melaksanakan rutin hariannya -- mengemis -- entah mahu bersimpati atau bersikap bagaimana dengan mereka ini.)

Berbalik kepada sekumpulan orang tadi ... apa yang menarik perhatian kami adalah cara penampilan mereka. Lebih tepat lagi penampilan beberapa orang wanita dalam kumpulan itu.  Di wajah mereka tertepek tebal bedak sejuk  (saya fikir bedak tebal yang mereka pakai itu adalah bedak sejuk) yang berwarna kekuningan.  Selain cuma berkain batik yang tidak begitu kemas letaknya, mereka juga berkaki ayam (jam menunjukkan 10.30 pagi, mentari di Sabah sudah memancar garang -- tidakkah terasa panas tapak kaki mereka?)

Setelah yakin kehadiran mereka bukanlah ancaman (maknanya saya tidak perlu risau; saya tidak boleh berlari laju dengan kandungan yang kian sarat dan perlu melindungi dua orang anak saya yang masih kecil -- yang saya pasti boleh berlari lebih laju daripada saya tetapi tanpa saya, mereka tidak tahu ke mana mahu membawa diri.) ...kami tiga beranak mula mendaki satu demi satu anak tangga jejantas menuju ke pasar besar.  Sesekali saya menoleh juga.  Mereka ada di  belakang kami! Ah, biarkan sajalah ... mereka tidak mengganggu pun.  Mereka juga sedang sibuk mencari arah hendak dituju. (Sebenarnya, bukan cuma saya dan anak-anak saya sahaja yang tertanya-tanya tentang mereka -- ada seorang gadis manis, matanya berkali-kali melirik ke arah kumpulan yang sama, yang menarik perhatian kami tiga beranak.)

Sesekali saya perlu memperlahankan langkah.  Kandungan saya sudah mencecah tiga puluh empat minggu, sudah kian sarat.  Langkah kembali diteruskan sambil tetap memimpin tangan Anis dan Amirul.  Kami semakin menghampiri pasar.  Serta-merta pandangan saya teralih pada tiga orang lelaki yang bergelimpangan di tepi jejantas.  Dengan jelas, saya dapat melihat ada botol minuman keras berhampiran mereka (aduh, mahu mengelak kenderaan yang bertali-arus -- lalu kami menggunakan jejantas -- tetapi terpaksa pula berdepan dengan mereka ini.)  Semakin kami menghampiri mereka, bau yang kurang enak semakin menusuk ke rongga hidung.  Entah bau apakah itu; minuman keraskah atau mungkin ... (yang nyata, mereka sudah tidak peduli mahu mengurus diri!)

Dalam debar dan gusar, berjaya juga kami melepasi mereka ....

(Terdetik di hati, mungkin saya patut berhenti dulu menjelajah bandar dengan anak-anak yang masih kecil tanpa ditemani suami tercinta.)

Selasa, 19 Oktober 2010

Apabila Rindu ....

Saat ini, tidak kenampakan warna indah langit yang membiru cerah berteman cahaya mentari seperti yang selayaknya. Yang ada hanyalah suramnya hari.  Yang kedengaran adalah bunyi dedaunan yang ditiup angin, tiada kelembutan pada bunyi itu.  Titis hujan menimpa bumbung.  Tidak kedengaran kicau burung dan kukur tekukur.  Besar kemungkinan tempias dari taufan Juan yang melanda Filipina sudah tiba ke negeri di bawah bayu ini.  

Pada ketika mentari bersinar cerah, tidak ada perkara yang perlu dirisaukan.  Aktiviti seharian pasti berjalan lancar tanpa perlu memikirkan jalan yang licin ataupun pandangan yang terhad ketika memandu disebabkan angin kencang dan hujan yang datang seiring.  Yang agak mengganggu hanyalah terik mentari yang terasa menyengat di kulit wajah ataupun pandangan terganggu disebabkan silau cahaya mentari.

Apabila hujan begini, ada jalan-jalan tertentu yang cepat benar ditenggelami air.  Satu yang paling melekat di ingatan adalah Jalan Penampang.  Pernah sekali, saya dan suami tersangkut dalam kesesakan jalan raya semasa hujan lebat.  Debar juga sempat bertamu sebab jalan sudah dinaiki air.  Di bahagian kiri jalan, sudah ada kereta yang tersadai.  Mujurlah, tidak ada kerosakan berlaku pada kenderaan kami pada ketika itu.

Waktu itu, kami baru berpindah balik ke Kota Kinabalu.  Masih jelas dalam ingatan saya betapa anak lelaki saya terlalu teruja melihat kapal terbang di udara yang kelihatan besar dan kuat bunyinya.  Setiap kali melintasi kawasan lapangan terbang, dia pasti akan tertinjau-tinjau.  Dia kenal benar dengan 'Malaysia' dan juga 'Air Asia'.  Ada kalanya, keterujaan anak lelaki saya itu merimaskan kakak-kakaknya.  Sehinggalah pada suatu waktu, kakak-kakaknya tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka apabila melihat kapal terbang yang baru berlepas, besar dan kuat sekali bunyinya.  Mereka bertiga menjerit hampir serentak, "Wowww!".

Sekarang ini, selepas beberapa bulan menetap di Kota Kinabalu, keterujaan mereka kian berkurang.  

Menyangkut hal yang berkaitan dengan anak-anak ini, ada satu lagi yang saya ingat.  Ketika di luar negara dahulu, bunyi guruh jarang kedengaran.  Tidak mustahil ada.  Mungkin juga, waktu guruh berdentum ... bukan waktu kami jaga ... :-)

Ketika guruh berdentum, amat jelas ketakutan di wajah mereka.  Saya sempat berseloroh, "Selamat datang ke Sabah!"  

Anak-anak saya datang merapati saya.  Dengan cara itu, saya kira ketakutan yang bertandang dapat mereka atasi. Jauh di sudut hati, saya juga sebenarnya terkesan dengan bunyi guruh.  Apalagi tatkala mendengar bunyi hujan lebat yang menimpa atap zink ... saya lebih suka menarik selimut menutupi sekujur tubuh! Tapi, itu dulu ....

Di luar, biru langit masih jua belum kelihatan ... sedikit pun tidak ada!

Sabtu, 13 Mac 2010

Penjual Suzane

Langit membiru murni
udara nyaman mengelus pipi
pepohon kering ranting melulu
bunga-bungaan pun malu-malu
walau dinginnya musim sudah berlalu.

Sedang asyik meneliti memerhati
sulaman cantik berwarna-warni
coraknya indah terselit makna
suzane dihampar di dada jalan.

Dia si penjual suzane
yang serba tahu
tinggi rendah mutu dagangan
datang dekat menghampiri aku
lantas dibuka topi hitamnya
sambil dia membelakangi aku.

Mulanya tiada aku mengerti
kenapa dia bersikap begitu.

Lalu katanya:

"Lihat kepalaku ada 
terbentuk kalimah Allah."

Kutanya sejak bila, jawabnya:

"Sejak aku dilahirkan."

Setibanya aku di Tashkent
yang jaraknya beratus kilometer
dari Khiva tempat bersejarah
baru kusedar yang aku
tidak tahupun nama 
si penjual suzane itu.

Yang ada denganku kini
hanyalah gambar 
sebagai kenangan.


Selasa, 2 Mac 2010

Rindu

"Ma, kakak nak tengok tv, boleh tak?" tanya puteri sulungku.

"Boleh.  Tapi, jangan lupa ... bila kita balik nanti, perlu kurangkan aktiviti menonton tv.  Bukan sikit, banyak tau!" aku sengaja berkias kata.  Sambil berharap ada soalan selanjutnya daripada puteri sulungku.

"Kenapa ma? Kenapa kakak tak boleh selalu tengok tv?" tanyanya lagi.

"Nak tahu kenapa?" aku sengaja menjawab tanya dengan tanya juga.

Anggukannya dan renungannya, benar-benar mengharap jawapan dariku.

"Sebab ... kakak dan adik-adik perlu belajar banyak perkara.  Antaranya, bahasa.  Bahasa Melayu," jelasku padanya.

Dia mengangguk tanda faham.  Aku sedar, anak-anakku sudah mula rindu mahu berada di tanahair sendiri.  Pada masa yang sama, aku mahu mereka tahu dan bersedia dari sekarang kerana ada tanggungjawab menanti saat rindu mereka terhadap tanahair terlerai nanti. 

Ya Allah ... permudahkanlah. 

Sabtu, 27 Februari 2010

Tahun Lima Sahaja


Dua gambar di atas adalah karya puteri sulung saya yang bertajuk My Family (disiapkan di rumah).  Sebaik membaca masukan semalam, puteri sulung saya membetulkan bahawa dia menang bagi kategori Tahun Lima sahaja, bukannya seluruh sekolah.

Manakala yang di bawah sekali, Me and My Pet, juga karya puteri sulung saya (disiapkan di dalam kelas).  

Langkah pertama yang kecil tetapi akan bernilai sebagai antara kenangan paling manis dalam hidupnya kelak.  Insya-Allah.

Jumaat, 26 Februari 2010

Sijil Besar

"Mama, kakak rasa mesti mama happy," ujar puteri sulungku sambil mengeluarkan sesuatu dari beg sekolahnya, petang semalam.

"Mama tengoklah ni.  Kakak menang.  Sijil kakak yang paling besar.  Tiada sesiapa di sekolah yang dapat dapat sijil macam ini.  Cuma kakak seorang yang dapat," tambahnya lagi dengan senyuman yang tidak kunjung sirna.

Aku menyambut sijil yang dimaksudkannya.  

"Tahniah!" ucapku padanya sambil mengucup dahinya.

"Mama sayang kakak," tambahku lagi.

Puteri sulungku menang peraduan menulis cerita pendek.  Dia amat gembira kerana menurutnya dia menulis sebagaimana yang aku cadangkan tempoh hari.  Dia perlu menulis tentang keluarga.  Namun, saat mahu meneruskan tulisannya, ideanya terputus. 

Lalu, aku cadangkan supaya dia menulis sesuatu yang berbeza.  Aku mengingatkannya tentang peristiwa ketika air matanya menitis melihat adik bongsunya yang menangis menahan kesakitan sewaktu menerima rawatan di klinik beberapa minggu lalu.

Menurutku, dia harus menceritakan tentang perasaannya dalam cerita yang dikarangnya nanti.  Selepas bantuan yang sedikit amat itu, dia menyudahkan ceritanya dan menghantarnya pada hari berikutnya.

Semalam, aku katakan padanya bahawa aku memerlukan salinan karyanya itu.  Dan, sebentar tadi dia menghubungiku dari sekolah.  Menurutnya, karyanya akan diterbitkan dalam majalah sekolah kelak.  Jelas sekali, dia amat gembira.  

Melihat kejayaan dan kegembiraannya, aku teringat sesuatu.  Sesuatu yang sudah tertangguh hampir setahun lamanya ....
 




Sengaja Bertangguh

Sikap Bertangguh.  Tulisan Ruhani Matdarin ini menarik perhatian saya dan membawa ingatan saya kepada pengalaman sendiri beberapa tahun yang sudah.

Menurut beliau, 'mengetahui itu lebih baik daripada tertanya-tanya' dan kebanyakan kita tidak terlepas daripada keinginan ini termasuklah saya.  

Keinginan mahu melihat sahabat sendiri menemui jawapan pada persoalan yang lama bermukim dalam fikiran dan perasaannya menyebabkan saya dengan sukarela menjadi orang tengah, si penggali jawapan.   Penggali yang berusaha menggali dalam diam.  Mahu menggali kerana simpati.  Mungkinkah ini simpati yang keterlaluan?

Perigi tidak mungkin mencari timba, itu prinsip sahabat saya.  Prinsipnya saya hormati.  Buat seketika, saya meminggir silu dan menyandang persoalan sehingga memungkinkan saya berhadapan dengan si pemilik jawapan.  

Alangkah! Jawapan yang saya perolehi membuat saya terkedu.  

Saat itu, saya tahu penantian bukanlah pilihan yang tepat.  Saat itu, saya mahu sahabat saya mengerti bahawa saya mahu dia berhenti menanti, berhenti menunggu.  Saya berusaha menyampaikan  pendapat saya tentang penantiannya itu dengan berhati-hati supaya hatinya tidak terguris.  

Namun, siapalah saya.  Kalaupun dia mahu terus menanti, tiada apa lagi yang mampu saya lakukan.  Mungkin jikalau jawapan yang diluah oleh si pemilik jawapan itu didengar sendiri oleh sahabat saya yang mahu terus menanti, barulah sahabat saya itu mengerti.  Mengerti bahawa dia harus berhenti menanti.

Yang terdaya saya lakukan, hanyalah tersenyum (pahit tentunya) mendengar kisah demi kisah tentang si pemilik jawapan yang jawapannya sudah berada dalam genggaman saya.  Yang jawapannya, tidak berani saya pindahkan secara langsung ke dalam genggaman sahabat saya.  

Saya terus menangguh dan menangguh sambil berdoa agar sahabat saya itu menyedari hakikat bahawa dia harus berhenti menanti.  

Akhirnya, penantian itupun berakhir.  Mereka memilih jalan hidup yang berbeza.  Sesungguhnya si pemilik jawapan itu tidak berdusta.  


Salam Maulidur Rasul.


Isnin, 15 Februari 2010

Soalan Bodoh

Dalam mesej yang saya hantar, saya menggunakan frasa 'suami saya' (penerima mesej itu mengenali suami saya). Oleh sebab itu, muncul soalan penerima mesej bertanyakan siapa saya. Seharusnya saya jawab apa?

Walaupun agak hairan, saya jawab juga dengan menyebutkan nama suami saya. Berkali-kali saya lihat mesej yang telah saya kirim. Saya tercari-cari di mana silapnya sehingga soalan sedemikian boleh diajukan. Jikalau dilihat sepintas lalu, boleh saja soalan penerima mesej itu dianggap sebagai soalan bodoh.

Selepas berfikir lanjut, saya akhirnya menemukan jawapan kepada situasi yang tidak seharusnya wujud itu. 'Kesilapan' yang saya lakukan adalah tidak menyebutkan nama saya di hujung mesej. Terus sahaja kepada ucapan terima kasih.

Si penerima mesej, bukanlah penerima asal mesej yang saya kirim itu.  Penerima asal sedia maklum bahawa pengirim mesej itu ialah saya. Disebabkan dia mengenali sayalah, keperluan menyebut nama di akhir mesej itu, tidaklah perlu.

Dan, saya sedar bahawa soalan yang boleh dianggap bodoh itu wujud disebabkan keterlupaan saya. Barangkali sahaja penerima kedua tidak menyimpan rekod nombor telefon genggam saya. Dengan menjawab soalannya, dia dengan mudah dapat memenuhi permintaan saya ....

Ahad, 14 Februari 2010

Si Buta

Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Allah yang menciptakan segala yang ada di langit dan bumi.

Cinta yang lahir antara lelaki dan wanita, yang dicipta Allah untuk manusia adalah salah satu bentuk nikmat yang tidak ternilai. Gemersik halus yang menggetar sukma, sukar diungkap dengan kata-kata. Saat cinta itu hadir, seluruh alam bagai berlagu, menari bersama mengikut rentak irama hati yang sedang diulit bahagia belaka. Setiap detik, setiap ketika, mahu bersama insan yang dicintai.

Perasaan cinta itu hadir tanpa dapat dipaksa-paksa. Pertemuan yang kerap adalah salah satu sebab memutikkan bibit-bibit cinta tanpa diduga. Jikalau dua hati yang saling mengasihi itu belum menjadi milik orang, kata sepakat menuju bahagia, pelamin idaman destinasi tujuan, tidaklah jauh dari genggaman. Lebihlah lagi tambah membahagiakan apabila dua hati bertaut kasih mendapat restu orang tua tercinta. Tertunailah hasrat yang lama diimpi. Alangkah indahnya apabila impian menjadi nyata.

Pun begitu, ada juga segelintir insan yang dilamun cinta, gagal menuju ke pelamin idaman. Pelbagai sebab muncul tanpa diduga sehingga menjadi penghalang untuk mereka bersatu. Antaranya, apabila seorang lelaki bergelar suami mengasihi wanita lain dan ingin menyuntingnya sebagai suri. Hubungan begitu sering kali mencetuskan percik-percik api yang bila-bila masa sahaja boleh marak membakar; hangatnya yang membahang bisa menggugah ketenangan.

Apabila situasi ini berlaku, tipikalnya masyarakat akan menyalahkan orang ketiga yang sering dianggap sebagai perosak rumahtangga orang lain. Saat konflik ini wujud, jiwa yang terlibat bukan cuma dua ataupun tiga malah lebih daripada itu.  

Hidup bermadu adalah keadaan yang tidak pernah hadir 'dengan rasa manis' dalam benak majoriti wanita. 'Bertuahlah' sang isteri andai wanita yang baru hadir dalam hidup suaminya berpegang teguh pada prinsip 'takkan berkahwin dengan suami orang'. Tiga jiwa yang sedang berhadapan dengan kemelut cinta tiga segi ini tentu sekali hebat geloranya, tidak ubah bagai dihempas badai yang tidak diketahui bila waktunya akan reda.

Dalam jiwa sang isteri pasti terdampar sejuta persoalan. Apatah lagi jikalau mahligai yang dibina sudah mencecah belasan tahun malah berpuluh tahun lamanya. Janji seia sekata, hidup bersama selagi hayat ada tentulah tiba-tiba terasa bagai bicara kosong tanpa makna.

Bagaimana pula dengan pasangan yang bertaut kasih mereka pada saat mereka tidak menduga. Pada saat sang suami dilimpahi kebahagiaan dengan keluarga tercinta. Ada waktunya, kasih sayang yang wujud dalam hati insan, tidak dapat dimengerti oleh insan lain. Mata tidak buta, hati tidak buta, cinta juga tidak buta. Usah dicari siapakah yang buta sebenarnya. Mencari si buta pada ketika hati disinggahi cinta adalah pencarian yang sia-sia ....

Itulah sebenarnya salah satu bentuk dugaan yang datang dalam hidup insan.  Jodoh pertemuan kuasa Allah.  Setiap insan, dugaan yang diterima adalah berbeza-beza. Tidak sama. Lain orang, lain dugaannya. Ada yang diduga dengan kebahagiaan, ada yang diduga dengan kesengsaraan. Ada yang diduga dengan keindahan, ada yang diduga dengan kehodohan. Dan senarai itu semakin panjang sehingga ada masanya tidak terjangkau dek akal fikiran.

Semoga kita semua sentiasa tabah ketika berhadapan dengan dugaan. Semoga kita semua menjadi insan yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Dan, semoga kita semua berada dalam lindunganNya.

*** Hari ini, aku mendengar sebuah kisah. Kisah yang membuat bulu romaku meriding. Aku seperti sedang berhadapan dengan sebuah novel dengan cerita segar yang digarap rapi sehingga berdaya menyentuh naluriku. Dan, kisah itu membuatkan aku terharu. Dia ... sanggup berkongsi kisah suka dukanya denganku walhal belum setahun pun dia mengenaliku.

Sahabat,
kuhargai kepercayaanmu
kukagumi ketabahanmu
kusenangi kamu seadanya.

Semoga
dirimu terus tabah
menghadapi liku-liku
hidup ini.

Semoga
dirimu terus kuat
merintis jalan yang telah
kau pilih.

Semoga
dirimu sentiasa
dalam lindunganNya.

Amin ya Rabb.


Jumaat, 5 Februari 2010

Menangislah

Hati terasa ngilu bagai dihiris sembilu ....

"Menangislah sampai rasa sakit itu hilang, sayang," hanya itu yang mampu kukatakan padanya tatkala aku sendiri berusaha menahan rasa ngilu di hatiku yang tiba-tiba saja datang tanpa diundang.

Tangan kanannya menggenggam erat tanganku. Dia memandang tepat ke arahku. Selang dua minit, perlahan-lahan tangisannya menyurut.

"I'm not a bad person. I just want you to be healthy. That's all. I'm so sorry," ujar doktor wanita itu dengan lembut sambil memandang mesra ke arah anak kecilku yang sudah reda tangisnya.

Kemudian, dia menoleh ke arahku.

"I'm so sorry," ujarnya lagi sambil menghulur sekotak tisu kepadaku.

Khamis, 4 Februari 2010

Sesi Sembang Sihat

Dup! Dup!

"Pastikan bunyinya begini.  Itu tandanya nasi sudah cukup masak."  begitu katanya sambil menepuk-nepuk nasi yang ditanak dengan senduk.  

Kami mengangguk tanda faham.  Masing-masing berpeluang menghasilkan sendiri bunyi 'dup' itu.  Seorang demi seorang mencubanya termasuklah saya.

Kemudian, periuk yang dipanggil 'kazan' itu ditutup selama dua puluh minit dan api dikecilkan.

Kelas memasak plov siang tadi benar-benar sempurna!  Berkomunikasi dengan bahasa yang difahami, itu sudah cukup melegakan. 

Alangkah beruntungnya kami kerana tuan rumah begitu baik hati.  Saya senang sekali dengannya.  Dan, sudah pasti kawan-kawan lain pun begitu juga.  Tuan rumah yang serba boleh dalam hal memasak, menjamu kami dengan pau berinti kacang merah dan muffin pisang.  Sungguh sedap!


Sebelum beras dimasukkan, sebelum 'kazan' itu ditutup, kami dibekalkan dengan pelbagai tips memasak plov, makanan tradisi masyarakat Uzbek.

Antaranya adalah beras yang dipanggil 'alanga' perlu berada di bahagian atas sahaja tanpa perlu digaul.  Selama beberapa minit, beras 'alanga' itu dikacau dan pada masa yang sama beras itu tetap kekal berada di bahagian atas juga. Begitu jugalah jika kita menggunakan beras lain sebenarnya.

Selain itu, selepas memasukkan kacang kuda (yang merupakan salah satu bahan yang ada di dalam plov), api mestilah dikecilkan supaya kacang kuda itu cepat lembut.

Seperkara lagi yang masih melekat dalam ingatan adalah selepas tempoh dua puluh minit berlalu, penutup 'kazan' mesti dibuka, tidak boleh tidak.  Kemudian, bolehlah nasi digaul dengan daging yang ada di bahagian bawah.  Itu langkah terakhir sebelum plov dihidang.  

Menurut guru kelas memasak kami, majoriti masyarakat mereka berpendapat bahawa plov yang dimasak oleh golongan lelakilah yang lebih sedap.  Dia ada menjelaskan juga sebabnya majoriti mereka beranggapan sedemikian.  

Katanya, jikalau lelaki yang memasak plov, mereka menumpukan sepenuh perhatian dari mula proses memasak sehinggalah selesai.  Mereka tidak akan berganjak ke mana-mana.  

Manakala jikalau wanita pula, sentiasa sibuk dengan aktiviti lain dan kurang menumpukan perhatian pada masakan mereka.  Kebarangkalian terlebih membubuh garam agak tinggi dan begitu jugalah sebaliknya, katanya lagi.

Setengah jam sebelum jam dua belas, plov siap.  Kami menikmatinya bersama-sama sambil meneruskan sesi sembang sihat.  Bertukar-tukar maklumat berguna tentang ilmu masakan.  Suasana begini pasti akan saya rindui kelak.

Di bawah ini, resepi penuh yang saya catat semasa mengikuti kelas masakan siang tadi.  Semoga ada manfaatnya untuk kita.

Bahan-bahan :
  • 1 kg beras
  • 2 senduk minyak masak
  • 1 labu bawang besar - dihiris
  • 1/2 kg lobak - dipotong nipis memanjang
  • 1/2 kg tulang - direbus
  • 1/2 kg daging
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 1 sudu besar kismis
  • 1 sudu kecil lada hitam biji
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak.  Tumis bawang besar hingga kekuningan ataupun sehingga garing (ikut suka).
  2. Masukkan daging dan tulang.  Kacau rata sehingga mati air.
  3. Masukkan lobak.  Kacau rata sehingga sedikit lembut.  Masukkan sedikit garam.
  4. Sesudah lobak benar-benar lembut, masukkan air.  Lebihkan seinci dari paras daging.
  5. Masukkan kacang kuda yang sudah direndam.  Kecilkan api.
  6. Masukkan kismis, lada hitam, dan serbuk kunyit.
  7. Masukkan jintan putih yang baru ditumbuk.
  8. Sesudah daging lembut, masukkan beras sehingga menutupi bahagian permukaan sahaja.  Paras air hendaklah sama rata dengan beras.  Bubuh garam secukup rasa.
  9. Kuatkan api.  Kacau beras sahaja. Kawal api, jikalau perlu, kecilkan sedikit.
  10. Apabila tanak, ratakan nasi.  Tepuk dengan sudu.  Jikalau bunyi 'dup! dup!' kedengaran, nasi sudah cukup masak.
  11. Tutup 'kazan', kecilkan api.  Buka penutup selepas dua puluh minit.  Sekarang, bolehlah gaul nasi dan daging.
  12. Sedia untuk dihidang.

Selasa, 2 Februari 2010

Buku Untukku

Singgah juga aku akhirnya.  Sudah berbulan-bulan aku tidak berkunjung ke Barakhon.  Apa salahnya kalau aku singgah.  Singgah sebentar sahaja pun, jadilah, fikirku.  Biasanya, jarang benar aku tidak singgah membelek buku-buku di situ.

Satu-persatu buku-buku yang ada kuperhatikan.  Buku berbahasa Inggeris menjadi tumpuanku.  Pantas saja 'Mysterious Asia' menarik perhatianku.  Kemudian, 'Young Temur' pula.  Dua buku itu kucapai satu demi satu.  Kubelek-belek lembarannya.  Menarik.

Lalu, kutanyakan harganya.  Aduh! punah segala harapanku yang baru mula berputik sebentar tadi untuk memiliki buku-buku tersebut.  Perlahan-lahan, bagai putik yang tidak jadi berkembang, kuletakkan 'Young Temur' perlahan-lahan ke tempat asalnya semula.  Mahu tawar-menawar pun hatiku jadi tawar.

Lambat-lambat pula aku meletak kembali 'Mysterious Asia'.  Kutatap lagi muka hadapannya.  Barulah ternampak 'Forgotten legends of the Great Silk Road'.  Kuselak kembali lembarannya.  

'Aku mahu buku ini,' desis hati kecilku.

Apabila balik ke tanahair kelak, tentulah tidak mudah bagiku untuk mencari buku-buku dari sebelah sini.  Jikalau pun ada, entah-entah melihat harganya sahaja, hatiku jadi tawar.

Aku pandang penjual buku yang kuyakin sejak tadi menunggu aku bersuara.  Kuagak-agak, lelaki di hadapanku itu dalam lingkungan empat puluhan usianya.  Kami sudah saling mengenali.  Sebelum ini, aku sudah pernah singgah membelek-belek buku yang disusun rapi di meja yang terletak di hadapan kedai.  Dan, pernah juga aku membeli buku-buku yang dijualnya.  

Sesi tawar-menawar pun bermula.  Harganya kurang sehingga hampir mencapai empat puluh lima peratus!  Mahu saja kutawar sehingga lima puluh peratus tetapi tidak adil pula baginya.  Aku sedar, dalam musim sejuk begini, bukannya mudah menjalankan perniagaan.  

Dia sanggup menjual dengan harga yang kumahu pun sudah mencukupi bagiku.  Kesanggupannya itu yang diiringi senyum yang tidak lekang di bibirnya menandakan yang dia tidak mengalami sebarang kerugian pun.  Entah-entah dia mendapat keuntungan seratus peratus! (Kalau betul pun, itu bukan urusanku.)

Selesai sudah urusanku di Barakhon.  Di pintu utamanya, aku berhenti sambil memandang ke hadapan.  Sempat kurakamkan gambar ini sebagai kenangan.  Masjid Hast Imam.  

Selepas itu, aku berjalan merentasi dataran.  Langkahku tidak lagi melaju.  Akhirnya, aku dapat apa yang kumahu ....

Isnin, 1 Februari 2010

Bukan Untukku

Siang tadi, aku menelusuri bandar Tashkent mencari-cari sesuatu yang berkenan di hati.  Langit membiru dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dingin menyapa wajah.  Pun begitu tetap juga terasa terik mentari memesrai wajah dan menyilau mataku.

Dua hari sudah, pencarianku sia-sia.  Yang dicari tidak muncul, yang tidak dicari pula kubawa pulang.  

Dari pasaraya Soum, aku menuju ke Barakhon.  Sambil itu, fikiranku masih teringat-ingat beg-beg comel yang diperbuat daripada kain denim dan dihias indah dengan jahitan sulaman mesin dengan benang yang berwarna-warni.  Ada juga yang diperbuat daripada kain baldu.  Kemas sekali buatannya.  

Sebaik sahaja kereta berhenti, langkahku melaju menuju ke Barakhon.  Semakin hampir ke tempat yang dituju, langkahku kian perlahan.  Hatiku sedikit lega kerana kedai yang kutuju beroperasi.  Misi seterusnya adalah mencari.  Mencari yang cantik dan menarik.  

Sejak mula tiba di sini, hasil seni sulaman Uzbek dengan mudah menarik perhatianku.  Hasil seni sulaman ini lebih dikenali sebagai suzane.  Perkataan suzane itu sendiri bermaksud jarum.  Suzane yang sudah siap ada yang dibuat sarung kusyen, alas meja, hiasan dinding, beg ataupun dibingkai mengikut selera masing-masing. 

Ada waktunya, aku berminat dengan sulaman berwarna-warni yang terang dan garang pada kain baldu berwarna hitam.  Ada waktunya, aku lebih berminat dengan sulaman berwarna-warni yang lembut pada kain berwarna putih.  

Yang pasti, setiap kali mataku terpaku lama pada hasil seni yang ada di depan mata ... aku tahu, itulah yang kumahu.  Ataupun jikalau ada sepuluh pilihan tetapi yang kerap kusentuh suzane yang sama, itulah juga yang kumahu.  Jikalau aku perlu memilih antara suzane sulaman mesin ataupun sulaman tangan, pilihan utamaku adalah suzane sulaman tangan.

Tidak sukar untukku memilih kerana tidak banyak suzane yang berjaya memikat hatiku.  Kebetulan hari ini, aku mencari yang terang dan garang.  Yang terang dan garang boleh dihitung dengan jari banyaknya.  Jikalaulah ada banyak pilihan, pasti aku akan sukar membuat pilihan sedangkan masa yang aku ada amatlah terhad.  Lagi satu yang paling aku risaukan adalah kalau-kalau aku rembat satu untuk diriku! 

Pun begitu, ada juga yang mahu kujadikan koleksi peribadi.  Yang kulakukan hanyalah mengambil gambar suzane itu sahaja.  Memadailah buat sementara waktu.  


Sesudah puas tawar-menawar, suzane yang kumahu kini dalam genggaman.  Yang sudah berada dalam genggamanku, bukanlah suzane yang ada dalam gambar di atas ini.

Niat di hati ingin segera meninggalkan Barakhon kerana ada tempat lain yang ingin kutuju.  Aku pandang ke kanan.  Singgah ataupun tidak?  Perlukah aku singgah?  Kenapa aku mesti singgah?

Isnin, 9 November 2009

Putih

Sejak semalam, suhu jatuh dan pagi ini rintik-rintik yang membeku hadir menghiasi musim luruh.  Rintik-rintik beku yang jatuh mencair laju saat menyapa telapak tangan.  Saat menyapa rumput di bumi.  Mencair laju tak sempat memutih. 

Musim luruh bukan waktunya.  Bukan waktu salji memutih.  Menutupi bumbung-bumbung rumah yang neka jenis dan warnanya.  Menjadi sama dan serupa.  Putih.

Mata kupejam.  Kubayangkan musim salju yang sudah.  Di kawasan perbukitan Chimgan, permata-permata hatiku berbaring mendepang tangan.  Membiar wajah disentuh lembut salji yang lembut dingin.  Gelak tawa berbalas mesra. 

Kutahu mereka rindu.  Rindu pada salji nan memutih.  

Bersabarlah, sayang.  Kita nikmati bersama kelak, salji terakhir kita di sini.  Sebelum musim itu tiba, nikmatilah kemuncak musim luruh ini dahulu.



Isnin, 19 Oktober 2009

Penghujung Syawal

Tahun ini, kami beraya sehari lewat berbanding di Malaysia.  Hari sabtu malam ahad baru-baru ini, saya sekeluarga mengadakan jamuan raya untuk rakan-rakan senegara.  Tetamu yang datang bermurah hati membawa buah tangan dan membawa salam yang dititip dari jauh.  

Terima kasih untuk semua, 
 tersilap terkurang harap dimaafkan. 


 






Ahad, 27 September 2009

Kazama

Petang itu, saya berbual-bual dengan mak cik dan anaknya di halaman rumah mereka. Saya duduk di atas papan yang asalnya merupakan sebatang pokok kayu yang telah ditebang dengan menggunakan chain saw. Serpihan dan habuk kayu masih berselerak di situ.

Sesekali saya mengusik anak kepada sepupu saya yang ketika itu berada dalam dakapan ibunya, malu-malu melihat saya.

Mungkin kerana saya ini dianggap asing dalam hidupnya. Memang itulah kali pertama kami bertemu. Dia pupu dua kali dengan anak-anak saya.

Sesekali, saya melemparkan pandangan melihat anak-anak saya yang sedang sibuk main rumah-rumah dengan sepupu mereka. Mereka sedang sibuk dengan dunia mereka. Di wajah masing-masing tergambar kepuasan kerana rumah dari batu-bata dan kepingan papan sudah siap dibina. Rumah yang cuma ada tempat duduk tanpa dinding dan atap. Saya tersenyum sendiri.

Kemudian, saya kembali mengusik anak kecil itu, yang malu-malunya saya lihat berubah pula menjadi takut-takut. Sambil itu, telinga saya menangkap sedikit butir percakapan mak cik dan ibu saya. Mak cik saya bercerita tentang Kazama. Menurutnya, Kazama itu anaknya ada tiga. Kazama itu kalau ditegur, dia akan menjeling dengan pandangan yang tajam. Kemudian, dia akan berlalu begitu sahaja tanpa mengendahkan teguran terhadapnya. Begitulah lagak Kazama.

Saya tertarik mendengar cerita tentang Kazama. Selain kerana namanya Kazama, saya juga suka mendengar cara mak cik saya itu berkisah tentang Kazama. Lalu, saya tanya siapa Kazama. Dengan wajah yang serius, mak cik saya memberi tahu yang sebentar tadi Kazama ada berdekatan kami. Siapa Kazama? Setahu saya, selain kami, tidak ada sesiapa pun di situ.

Hanya sesekali selama saya duduk di situ, telinga saya dapat menangkap suara memberi salam. Tahun lepas, saya sudah bertemu dengan pemilik suara itu. Bulunya hitam dan tempat tinggalnya cuma sangkar kecil di tepi tingkap dapur rumah mak cik. Salam yang diulang-ulang itu, saya biarkan saja.

"Tu...Kazama datang." sepupu saya memberi tahu sambil menunjuk ke arah Kazama.

Waktu itu, barulah saya tahu yang mana satu Kazama. Waktu itu, barulah juga saya diberi tahu, yang sedang mengiau-ngiau di bawah rumah itu, anak-anak Kazama.

Tanpa berlengah, saya segera mengambil gambar Kazama. Mungkin disebabkan sedikit terganggu, Kazama si kucing jantan terus berlalu tanpa mempedulikan saya yang masih memanggil-manggil namanya. Kazama berpaling sambil menjeling tajam ke arah saya, kemudian dengan pantas berlari menyusup masuk ke dalam belukar.