Ahad, 22 Disember 2013

Operasi Hujung Minggu

"Dua malam Tok Ki dan isteri tidur di jejantas tu," cerita Tok Ki sambil menunjuk ke arah jejantas yang dimaksudkan. Jejantas itu tidak jauh letaknya dari rumah Tok Ki.

"Setiap hari makcik pinjam periuk nasi jiran. Masa banjir tempoh hari, makcik redah saja. Sedang meredah air banjir tu, ada orang datang bantu makcik," begitu cerita seorang lagi mangsa banjir, berusia 74 tahun.

"Lima malam makcik duduk di pusat pemindahan. Air naik tinggi. Tahun lepas naik juga. Tapi tahun ni lagi tinggi," ujar seorang mangsa banjir di Kg. Bukit Mentok.

"Sekarang ini tempat kerja saya masih lagi belum beroperasi. Lama lagilah saya bercuti," luah seorang ketua rumah yang sudi berkongsi kisah hidupnya.

Itulah antara kisah yang kami dengar. Apa yang pasti, rata-rata mereka reda dengan ketentuan yang berlaku. Kami bersyukur kerana kesemua insan yang kami kunjungi, menerima kehadiran kami dengan ramah. Senyuman tak lekang dari wajah mereka.

Selama dua hari semasa cuti hujung minggu baru-baru ini, kami sekeluarga mengunjungi mangsa banjir secara rawak. Apa yang dapat kami saksikan ialah begitu banyak harta benda seperti perabot, buku-buku dan pelbagai lagi barangan lain dilonggok di hadapan rumah. Barang-barang tersebut telah rosak musnah selepas rumah masing-masing ditenggelami air bah. 

Di beberapa kawasan terlibat, kelihatan kerja-kerja pembersihan sedang giat dilaksanakan. Namun demikian, masih banyak lagi kerja pembersihan yang mesti dilakukan baik di Kuantan mahupun di Kemaman. Termasuk juga semua kawasan lain yang terlibat. Usaha ini perlu dilakukan dengan segera bagi mencegah ancaman wabak penyakit.

Reda dan sabar adalah antara kunci utama untuk meraih ketenangan. Semoga mereka terus tabah semasa berhadapan dengan kesukaran yang melanda pada ketika ini. Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikulnya.

Isnin, 16 Disember 2013

Tragedi Banjir

Banjir yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur sudah pun surut. 

Tragedi banjir yang disifatkan luar biasa kali ini telah banyak mengorbankan harta benda penduduk. Sehingga kini, ada segelintir mangsa banjir masih belum dapat melalui kehidupan sebagaimana biasa yakni sebelum tragedi banjir itu berlaku.

Keadaan rumah yang belum bersih sepenuhnya. Banyak harta benda yang rosak teruk terpaksa dibuang. Timbunan sampah luar biasa yang masih tersadai di halaman rumah. Segala almari, katil, tilam, bantal dan pelbagai barangan lagi. 

Paras air naik sehingga mencecah siling rumah, mencecah bahu. Bayangkanlah betapa banyaknya kemusnahan yang berlaku.

Di mata ramai orang, surut banjir surut jugalah masalah. Hakikatnya, masalah mangsa tetap juga belum sahih surut. 

Di daerah Kemaman misalnya, pelbagai pihak mengambil inisiatif membantu mangsa yang terlibat. Ada yang membantu membersihkan rumah. Ada yang memberi sumbangan makanan. Tidak kurang juga yang memberi sumbangan berupa pakaian dan juga barangan keperluan lain. Saya percaya, di tempat-tempat lain pun ada sukarelawan yang tampil memberi bantuan.

Benar, semua bantuan ini tidaklah dapat memenuhi segala keperluan mangsa. Namun demikian, setidak-tidaknya segala sumbangan dan keprihatinan masyarakat dapatlah meringankan sedikit beban mereka. 

Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Melihat dari jauh pun kita tumpang simpati apatah lagi jikalau kita berpeluang melawat sendiri rumah-rumah mangsa yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda. 

Tuding-menuding mencari salah ataupun mengambil kesempatan dalam kesempitan wajarlah dihindari. Bantuan ikhlas itulah yang amat diperlukan sekarang ini. 

Terkini, semua pihak yang terlibat sedang berjaga-jaga dengan kedatangan gelombang kedua yang dijangka akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah melindungi kita. 

Sabtu, 7 Disember 2013

Bahagian

Usah kita bersedih
tatkala kita berduka
orang lain gembira.

Usah kita tersilap menduga
sesaat teman turut berduka
saat seterusnya mereka tertawa.

Kedukaan itu bahagian kita
Kegembiraan itu bahagian mereka.

Bukankah ada masanya
Kegembiraan dan kebahagiaan itu
Kan singgah di jiwa kita pula?


Tersua dengan Batok

Mendung masih bertamu. Hujan masih tak puas membasahi bumi. Ombak masih tak jemu memukul pantai. Terik mentari masih dirindui. Air paip di rumah pula sudah kering-kontang.

Usaha perlu dilakukan. Kami memerlukan air bersih untuk kegunaan seharian. Bekalan air minum sudah mencukupi. Cukuplah sehingga beberapa hari akan datang. 

Kami mula mencari-cari. Mujurlah ada tuan rumah yang sudi menyewakan rumahnya yang baru siap kepada kami. Rumah itu digunakan untuk berehat-rehat. Menurut beliau, kamilah orang pertama menyewa rumah tersebut.

Tuan rumah yang baik hati itu mengizinkan kami menadah air paip untuk kegunaan kami di rumah kelak.

Jarak rumah tumpangan dengan kediaman kami kira-kira dua puluh minit.

Setibanya di rumah tumpangan, batok menanti kami dalam tempayan yang penuh berisi air. Saya tersenyum memandang batok sambil teringat batuk. :)

Syukur alhamdulillah. Dapatlah memenuhi keperluan kami setakat hari ini  dan juga besok lusa. Insya Allah.


Khamis, 5 Disember 2013

Ada

Ku telah memilih
menjauhi ruang terbuka.

Dulu pernah
ku mencuba.

Cukuplah.

Biar sepi
aku kembali
ke sini.

Biar angin
berbisik lembut
membisik khabar
berkisah tentang
bahagia.

Yang kutahu
kamu ada.

Jalan

Menghadapi detik sukar
kita cari jalan keluar.

Tak usah menuding jari
meliar menujah
hidung-hidung
yang tinggi
yang mancung
yang bengkok
yang bulat
yang kemek atau
yang cantik terletak.

Lebih molek
kita usaha
cari jalan
keluar
hingga
ringan
beban
di jiwa
yang resah
yang duka
yang walang
merindu
tenang nan mendamaikan.


    Gambar sekadar hiasan

Bah

Malam tadi, begitu ramai orang di pasar raya. Tujuan kami asalnya hanya ingin membeli beras. Seperti biasa, menambah bekalan roti. Pertama kali dalam tempoh setahun lebih menetap di sini, bekalan roti hampir licin. Dapatlah juga membeli sedikit bahagian untuk kami sekadar keperluan.

Keadaan ini berpunca daripada kejadian banjir yang mengakibatkan laluan darat ditutup. Apa yang saya tahu, jalan utama di Kemaman masih lagi digenangi air bah.

Menjelang hampir tengah hari tadi, saya mendapat khabar bekalan air terputus di kawasan Kemaman (termasuklah kawasan tempat kami tinggal ini). Bila bekalan air akan kembali pulih, saya tidak mempunyai maklumat tentangnya. Tidak mustahil keadaan ini akan berlangsung dalam tempoh yang agak lama berbanding kebiasaannya.

Benarlah, air paip di dalam rumah ini semakin perlahan alirannya. Tidak deras seperti selalu. 

Air mineral/putih/minuman dalam botol patut dibeli! Ternyata, saya terlewat. Kehabisan bekalan air di pasar raya memang sudah dijangka. Saya mendapat maklumat terus daripada pihak pasar raya bahawa bekalan sebanyak lima ratus karton air botol telah habis pada sebelah pagi tadi. Bekalan baru sebanyak satu kontena dijangka tiba pada hari sabtu ini. Itupun jikalau semua laluan utama sudah dibuka.

Peritnya masih belum terasa. Hanya menyesak dalam fikiran. Jangkaan kemungkinan buruk yang diduga-duga itulah yang mengundang resah di hati.

Apapun, dugaan ini tidaklah seperit mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan ataupun kehilangan harta benda. Ataupun yang terpaksa meninggalkan rumah demi menyelamatkan nyawa sendiri dan insan-insan yang dikasihi. Tahun lepas, saya tidak ingat pernah berhadapan dengan situasi ini. Ternyata, tahun ini ceritanya berbeza.

Malam ini, bermulalah misi kami. Mencari bekalan keperluan yang sedikit luar biasa untuk keluarga.

Semoga segalanya dipermudahkan Allah.

Rabu, 4 Disember 2013

Talam

Apakah mungkin
memberi percaya
pada diri
yang menyerap
semangat talam
yang hitam?

Aku tak ingin
menjadi saksi
pada diri
yang punya
hitam semangat
talam.

Perlahan-lahan namun
yakin dan nekad
aku berundur
menjauhi
jiwa riang
diri bahagia
yang diresapi
legam hitam semangat talam.




Tidak Menghampakan Sama Sekali


Aku Bercerita garapan Ramlee Awang Murshid sudah berbulan-bulan berada dalam simpanan. Hampir terlupa sudah memilikinya sehingga Magis yang baru dibeli dibaca terlebih dahulu. Seperti Magis, Aku Bercerita sama sekali tidak menghampakan. Sebenarnya, hampir semua novel beliau yang pernah dibaca menjanjikan kepuasan.

Aku Bercerita masih belum habis dibaca sampai ke noktah terakhir pada penghujung halamannya. Persoalan yang penuh teka-teki melorongkan keinginan untuk meneruskan pembacaan. Jangkaan demi jangkaan yang tidak terpesong sepanjang pembacaan menambah keseronokan sepanjang menekuni garapan yang nyata berbeza gaya penceritaannya dalam Aku Bercerita ini.

Satu hal yang patut dikongsi, sudut pandang orang pertama bukanlah gaya penceritaan yang menjadi kegemaran. Kerana itulah pembacaan ditangguh-tangguh. Novel masih berbalut kemas setelah berbulan-bulan dalam simpanan. Tidak ubah umpama baru sahaja meninggalkan rak di kedai buku Popular!

Ternyata, Aku Bercerita, salah satu lagi karya hebat Ramlee Awang Murshid yang mesti dimiliki dan dibaca oleh penggemar tegar karya-karya beliau. Yang baru ingin menelusuri amatlah dialu-alukan. 

Selamat membaca!

Ahad, 24 November 2013

Sukar Dilepaskan

Baru mula membaca buah tangan terbaru Ramlee Awang Murshid. Tentang pengembaraan Saifudin - Tombiruo - Ryu-Watanabe - Mikhail - Carlos...sukar dilepaskan. Magis!



Jumaat, 15 November 2013

Kobar

Kita 
sering kali 
terlepas pandang.

Dalam riuh kobar semangat
membela dan memujuk
semangat yang luruh
di jiwa kecil
dek impian 
yang karam
tak kesampaian.

Usah pula ingatan kita
terpaling langsung
menggeleng lalu menidakkan
kegembiraan yang berlagu riang
di jiwa kecil yang lain.

Apalah kiranya
diri kita di tempat mereka.

Kita
tiba-tiba
hilang rentak.

Tatkala ingin menghibur
yang berduka walang
Tak sengaja meminggir
yang punya hak tersenyum riang.

Aneh!



Khamis, 14 November 2013

Tahniah!

Debaran di dada semakin kencang. Entah bila giliran nama buah hatiku akan disebut. Teman baru di sebelahku sudah berakhir penantiannya. Senyuman tak lekang dari bibirnya. 

Sejelas-jelasnya aku mendengar dia mengucapkan syukur sebaik mendengar nama buah hatinya diumumkan. Jumlah keseluruhan pelajar yang cemerlang mendapat semua A dalam UPSR 2013 di sekolah ini ialah seramai tiga puluh dua orang. 

Seketika pecah tawa hadirin. Seorang pelajar lelaki pantas berdiri sesudah namanya disebut. Sambil menggaru-garu kepalanya -- yang saya kira tidaklah gatal -- dia menyertai rakan-rakannya yang lain berdiri di hadapan ruang legar yang berbahang itu. 

Mentari pagi memancar terang terik seawal jam tujuh pagi. Bahangnya semakin berbisa menjelang tengah hari. Kipas siling tidak begitu memberi kesan kecualilah kita duduk ataupun berdiri betul-betul di bawahnya. 

Debaran yang menggila menyurut seketika melihat gelagat pelajar yang menggaru-garu kepala tadi. Ah, mungkin kejayaan yang tidak disangka-sangka baru saja berada dalam genggamannya. Pengumuman seterusnya bermula lagi. Dua tiga nama disebut. 

Akhirnya, giliran buah hatiku tiba jua. Syukur Alhamdulillah. Usahanya selama ini membuahkan hasil. Inilah keputusan yang diidam-idamkannya. Pipiku basah dengan linangan air mata. Sesungguhnya, aku gembira. Nun di hadapan sana, kulihat dia bagai cerminan diriku. Air mata turut mengalir di pipinya yang mulus. 

Nama pelajar seterusnya diumumkan. Pelajar itu dibantu untuk berdiri. Mungkin ada keterharuan menyergah yang secara tiba-tiba seolah-olah merantai kakinya. Dia dipapah -- mungkin ibunya, mungkin gurunya -- untuk sama-sama berdiri di hadapan dengan rakan-rakannya yang lain. 

Anak-anak ini, walau apa pun keputusan yang mereka perolehi, ada harapan yang memutik di sanubari. Kejayaan cemerlang diperolehi sesudah berusaha dengan bersungguh-sungguh. 

Siapa kita untuk menidakkan kejayaan mereka. Siapa kita untuk memperkecilkan keinginan mereka. Bukankah kita menjadi tonggak harapan mereka sebagai pendorong utama dalam mengharungi liku-liku hidup ini. Untuk buah hati mama...tahniah sayang! Semoga kejayaan sentiasa bersamamu di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Untuk semua pelajar yang sudah berusaha sehabis baik, tidak kira apa jua keputusan yang diperolehi...tahniah! Perjalanan masih jauh. Teruskan gigih berusaha. 

Rabu, 13 November 2013

Gerak

Sekelumit
gerak fikirku
mengalir seiring
gerak fikirmu. 

Tatkala kita
berbalas pandang
segarit senyum
kita pun
saling berbalas.

Terima kasih, teman!

Percaya

Aku mahu rasa ini
rasa percaya ini
kan singgah 
menemui jiwa 
yang tepat.

Jiwa yang tulus
saling percaya.

Bukan yang menikam
dengan sehalus-halus cara.

Duniaku
di sini.

Jauh
dari pembunuh
rasa percaya ini.

Selamat Tinggal!

Aku ingin pergi jauh
dari wajah-wajah
yang menutur bicara
manis-manis belaka.

Hakikatnya
nun di belakangku
berselerakan
kata-kata berbisa.

Khabar benar
dilorongkan jalannya
hingga sampai 
menemuiku.

Dan wajah-wajah itu
tetap manis dengan
kerlingan sinis.

Ah, selamat tinggal kamu!

Selasa, 8 Oktober 2013

Santai



Lebih kurang tiga jam lepas, kami sekeluarga menonton televisyen bersama-sama. Televisyen hanyalah alasan untuk kami berkumpul di ruang tamu.

Kenapa hanya alasan? Kerana saya tidak tahu apa kesudahan kisah yang saya tonton. Apa yang lebih menarik minat adalah menyaksikan keletah anak bongsu yang begitu aktif berkereta ke sana ke mari. Apabila dia bosan, dia menyanyi pula. 'Pokalek pokadon pokalek pokadon' sambil menggerak-gerakkan badannya ke kiri dan ke kanan. Sehingga sekarang, maksud sebenar perkataan pokalek dan pokadon yang sering dilagukannya masih lagi berstatus misteri. Tiada seorang pun dalam rumah ini yang mengerti, termasuklah saya. Haha!

Dia semakin petah berkata-kata. Walaupun masih pelat, lenggok bahasanya begitu menghiburkan. Tiada siapa yang mahu menegurnya apabila dia sesuka hati mengajuk perbualan kami. Apa yang berlaku hanyalah sekali-sekala sebutannya cuba diperbetulkan. Sekali sebut betul. Dua kali pun masih juga betul. Kali ketiga -- hah, ikut saja sedap lidahnya menyebut. Misalnya, makan yang disebutnya matan. 'Kaaan', kata saya. Dia mengulangnya dengan tepat. Malah menyebut ma tanpa disuruh. Maka terbentuklah perkataan makan yang sempurna. Belum lama, dia kembali mengulang-ulang, 'nak matan, nak matan'. Tidak mengapalah sayang. 

Anak kecil rajin belajar. Walaupun cepat terlupa apa yang sudah dipelajari, mereka tidak kenal erti putus asa. Terus belajar dan mencuba lagi sehinggalah suatu masa nanti tanpa kita sedari kepelatan mereka sebenarnya telah lenyap. Tatkala saat itu tiba, jadilah kita seorang perindu. 

Maka, menghargai setiap saat kebersamaan kita itulah sebenarnya perkara paling utama. Banyak detik dalam hidup kita ini tidak akan berulang kembali. 

Sambil bersantai di ruang tamu tadi, kami menikmati buah kiwi dan strawberi. Licin!

Selasa, 27 Ogos 2013

Arah

Ke daerah diam 
arah tuju larianku
Ke daerah sunyi jua 
tempat terindah
untukku berdiam.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Rosak Lagi

Ting, ting, ting.

Bunyi tombol 'dryer' dipusing-pusing jelas kedengaran. Dua orang juruteknik baru saja tiba sebentar tadi. Beberapa hari lepas, pusat servis sudah dihubungi untuk memaklumkan tentang kerosakan yang sudah berlanjutan sejak hujung Ramadan lagi.

Juruteknik yang biasa datang sebelum ini kebetulan ada masalah peribadi. Tidak mengapalah, boleh tunggu sedikit masa lagi. 

Tunggu punya tunggu, juruteknik belum juga datang-datang. Telefon pun tidak. Jadi, saya menghubungi pusat servis dua hari lepas memaklumkan tentang kerosakan 'dryer' dan meminta supaya mereka menghantar juruteknik yang lain.

Dengan langit yang selalu mendung, matahari selalu terlindung di balik awan, saya sudah tidak sanggup menunggu. Dari awal lagi sepatutnya pusat servislah sepatutnya yang saya hubungi. Ini silap saya sendiri.

Semasa menjenguk dua orang juruteknik dalam bilik membasuh tadi, mereka sempat memberitahu supaya jangan menggunakan 'extension' lagi. Mesin pengering cepat rosak. Jangan guna 'extension' untuk mesin basuh juga. Oh, baru saya tahu!

Masalah mesin pengering yang tidak berfungsi ini saya fikir berpunca daripada penutup mentol di bahagian atas dram rosak sampai tertanggal hingga turut berpusing ligat di celah-celah pakaian lain yang sedang dikeringkan. 

Saya terjumpa penutup mentol itu dan terus menghubungi juruteknik yang biasa datang ke rumah. Menurutnya, mesin pengering boleh digunakan seperti biasa. Itu kisah beberapa minggu lepas, menjangkau bulan saya kira. Yang mana selang beberapa hari selepas itu, 'dryer' saya meragam lagi.

Kali ini, maklumat sebaliknya yang saya terima. Jikalau penutup mentol rosak, penggunaan mesin pengering wajar dihentikan. 

Sekarang, saya perlu menunggu lagi sehingga alat-alat gantian tiba. Penantian yang seperti ini tidak mendatangkan masalah kepada saya. Saya sanggup tunggu!

Khamis, 22 Ogos 2013

Bantal Bulu Itik

Dalam kantuk yang luar biasa, dalam lelap yang belum lena, telinga Piah masih dapat menangkap suara keluhan di sisinya. Bantal busuk. Bantal busuk.

Dengan langkah berat, dia mencapai gagang telefon lalu menekan punat bernombor kosong. 

Suara di hujung talian menjawab mesra, "Selamat petang. Boleh saya bantu?"

"Selamat petang. Encik, boleh tolong saya tak? Saya tak boleh tidur. Bantal ni busuk sangat," Piah terus menyatakan rasa sebalnya dengan suara yang hampir-hampir tidak keluar akibat sakit tekak. Sudah dua, tiga hari dia berkeadaan sedemikian. Dia percaya bulat-bulat dengan suara keluhan yang menyatakan kebusukan bantal hingga mematikan selera untuk lelap lena.

"Maaf puan. Bantal kami dibuat dari bulu itik. Sebab itulah baunya begitu. Puan nak saya tukarkan bantal puan?" Mendengar jawapan tentang bantal bulu itik itu membuatkan Piah tersentak. Terbuntang matanya menahan keterkejutan yang muncul mendadak.

"Ya, ya. Tolong hantarkan dua bantal baru untuk saya," balasnya cepat.

Piah duduk bersila di atas katil. Menunggu bantal busuknya diganti dengan yang baru.






Dari Pinggir Dunia

Tak kusimpan dendam di hati
Jikalau diriku kautolak ke tepi
Hanya kerana aku diam tak bersuara
Tak memberi nilai tambah pada jalan hidupmu.

Kuakuri dunia kita berbeza
Tiada benci di hatiku
Tiada dendam di hatiku
Hanya sesekali jiwa halusku
berasa kecil dengan ketegasanmu
menepis aku pergi seperti aku ini
semut kecil yang mengidam manisnya
gula di balang kacamu.

Kausedar ataupun tidak
Aku masih ada di pinggir duniamu
Melihatmu dari jauh
Dari pinggir duniamu.



Kawal Kata

Saat nyawa masih dikandung badan
Bicara apa sahaja tentang diriku kerana
Pintu maaf masih terbuka.

Saat nyawa telah berpisah dari badan
Bicaralah yang baik-baik sahaja tentangku kerana
Pintu maaf sudah pun tertutup.

Alangkah elok
Seandainya kita
tahu mengawal tutur kata
tahu menjaga bicara
tahu menghormati sesama kita.

Sekadar ingatan untukmu dan
juga untukku.

Ahad, 28 Julai 2013

Cukup Sudah

Telah kusudahkanmu dengan
kasihku yang semerah kembang mawar
tatkala menumpang teduh di negeri jauh.

Di sini kita tak diterima.

Maafkan aku kerana tidak mengalirkan tenaga secukupnya untukmu beristirahat di singgahsana selayaknya.

Takkan pernah aku mengusungmu lagi
ke sana ke mari mencari tempat untukmu bernaung.

Berdiamlah bersamaku...
di sini.

Khamis, 25 Julai 2013

Tebal

Inilah masanya
aku berasa ingin
berselubung dengan 
gebar tebal kerana
dua tangan ini
seakan tak cukup untuk
aku menekup wajah
bersembunyi...

Rabu, 17 Julai 2013

Tawa

Tawa kita
telah jauh tersasar
tak mengena pada tempatnya.

Tawa kita
pada luka lama
yang terukir
di lenggok aksara.

Tawa kita 
pada pahit semalam
yang terselak
di halaman tanpa suara.

Tawa kita 
pada riuh semalam
yang terus sepi
di lautan kenangan.

Jumaat, 5 Julai 2013

Detik

Detik-detik yang hidup
Seisi dunia bersuara
Dalam riuh, dalam sunyi.

Detik-detik yang hidup
Ada derita yang tiada sudah
Ada bahagia yang berbunga-bunga.

Detik-detik yang hidup
Merindu yang jauh
Merenung diri
Hidup ini bukanlah abadi
Detik nyawa pergi tak kembali
Menanti di mana-mana
Tidak mengira usia.


Jumaat, 28 Jun 2013

Sesak Besar Kecil

Sesak

Guruh berdentum. Langit kelabu. Moga berlalu jerebu yang menyesakkan kalbu. Sejak dua tiga hari lepas, ruang udara kembali cantik. Hanya sayup-sayup kelihatan wajah jerebu. Anak-anak sudah berhenti mengadu sukar bernafas. Sudah berhenti mengadu udara berbau asap. Rutin kehidupan kembali normal. Alhamdulillah.

Besar

Kadang-kadang apabila berasa diri 'besar', mulalah menuntut perkara yang pada pendapatnya benar. Misalnya, semua orang mesti bersuara. Jikalau terus berdiam, tempat anda bukanlah di persekitaranku. Untuk apa bersuara jikalau tidak ada apa yang ingin apatah lagi perlu disuarakan. Sungguhpun sedikit terkesan dengan kemahuan dan keperluan orang-orang yang berasa besar ini, sedikit pun tidak ralat andai diri dinyahpergi dari persekitaran itu. 

Kecil

Sedar diri. Selalu. Lalu, tiada sebarang tuntutan yang mahu disuarakan. Sungguh dalam kesenyapsepian ini, pelbagai bentuk 'kebenaran' kulihat dilaung-laungkan di hujung jemari. Ada yang kelihatan benar-benar benar. Ada yang kelihatan seakan-akan benar. Tidak kurang juga yang kelihatan benar-benar tidak benar. Kerana masing-masing percaya diri benar, lebih baiklah terus diam dan melihat saja. Kebenaran hadir dalam banyak wajah. Kebenaran tidak hadir dalam satu bentuk sahaja. Misalnya, ramai beranggapan perbuatan meniru itu salah. Tidak kurang juga yang beranggapan sebaliknya. 

Isnin, 17 Jun 2013

Garis Masa

Di garis masa ini
aku sendiri.

Kelmarin yang riuh
telah pun tertinggal jauh.

Sesekali hadir
di laman diri
menjadi kenangan
menjadi mimpi.

Khamis, 23 Mei 2013

Pecah

Bagaimana mahu kupercaya
tatkala katamu bicara antara kita
takkan pernah pecah di mulut walhal
kelmarin pernah suara yang keluar dari
mulutmu ringan rancak umpama bertih
berkisah tentang bicara rahsia antara kau dan dia.

Bagaimana mungkin kumahu percaya
bicara kita kan tetap diam menyepi di dalam perutmu?

Ahad, 19 Mei 2013

Melur dan Mangga Muda

Harum si kembang melur,
Masam si mangga muda,
Kecurkah liur tuan?
Maafkanlah hamba.

Si Kembang Melur

Pagi tadi ketika menyidai pakaian di laman belakang, pandangan tertangkap sekuntum melur yang kembang cantik. Belum siap pakaian dijemur, si kembang melur saya dekati. Baunya harum memikat hati. Teringat 'jasmine tea'. Melur, mengharumlah di tempatmu. 

Si Mangga Muda

Buah muda yang satu ini selalu berjaya menggoda penggemarnya. Makan dengan garam dan cili padi. Makan dengan kicap dan gula. Senarainya boleh jadi panjang sekali. Hanya yang menggemarinya akan tergoda. Yang cepat ngilu gigi, yang benci pada rasa masam, yang lemah dinding perutnya; tergodakah?







Menjauh

Membiarkan orang bercakap
Membiarkan orang bertindak
Semuanya kubiarkan sahaja
Menjauh bagai angin lalu.

Selagi tidak mengena tepat
ke hati ini
Selama itulah aku kan
mendiamkan diri.

Membiarkan orang merasakan 
dirinya bagai berada di puncak mahligai
Membiarkan orang merasakan 
dirinya bagai mengenal seisi dunia

Entah-entah dia sudah berusaha sehabis daya
Entah-entah dia sudah benar mengenali  setiap inci liku perjalanan hidupnya.

Berbaik sangka
menjauhi sengketa.

Pilihan

Zon selesa. Comfort zone. Meninggalkannya bermakna berpindah. Berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik. Penghijrahan setiap individu itu pula berbeza-beza. Mahu berada di zon mana pun -- perlu diputuskan oleh tuan punya diri. Walaupun begitu, ada juga penghijrahan yang berlaku tidak bersifat kekal. Sering berubah-ubah mengikut keadaan. Boleh jadi juga kerana kurangnya keyakinan dan kekuatan dalam diri individu berkenaan. Seandainya mahu menjadi rajin, sikap malas mesti ditinggalkan. Maka peluang pun kian melebar. Peluang untuk lebih bahagia, lebih ceria, lebih bersemangat dan segala yang baik-baik menanti di hadapan. Hanya selangkah diperlukan untuk menyingkir kemalasan. 

Menyisih individu yang dianggap mengganggu -- berasa terganggu kerana dipilih untuk disisihkan -- meluah rasa pada orang yang menyisih orang menjadi kelazimannya -- meluah rasa pada orang yang terpilih untuk disisihkan. Dalam zon yang mana satukah mereka berada?

Akhirnya, pilihan kembali ke tangan sendiri.

Sabtu, 18 Mei 2013

Kali Pertama

Muram Suram

Seawal pagi, memerhati dan mendengar suara kekecewaan. Hampir setengah jam saling meluah rasa. Jauh di sudut hati, ada simpati menyelubungi. Sejak beberapa hari yang lalu, anak-anak teruja mahu ke kelas renang. Awal pagi lagi bersiap-siap. Sebaik tiba, masing-masing terkesima. Kelas dibatalkan!

Kali Pertama Kami

Kami berlima memasuki pawagam berbekal bertih jagung di tangan. Sengaja mengisi perut terlebih dahulu di 'food court' berhampiran. Lima tiket harga sama rata. Patut beli empat sahaja kerana tempat duduknya rendah -- terutama untuk buah hati berusia dua tahun. Sebelum ini, pernah sekali kami masuk pawagam yang mempunyai tempat duduk bersesuaian dengannya tapi tidak untuk kali ini. Udara juga tidak begitu nyaman. Pelbagai bau kurang menyenangkan mula mengaroma. Namun begitu, 'Star Trek : Into Darkness' ternyata 'menghiburkan'. Kisah tentang semangat setia kawan, salah guna kuasa, perjuangan untuk hidup, kasih sayang -- semuanya tampak indah. Selesai sepertiga kisah ini, si kecil tertidur. Sama seperti sebelum ini.

Kami sepatutnya melalui hari ini berenam...






Jumaat, 17 Mei 2013

Pujuk

Di tepi bendang
nan menghijau
aku memujuk hati
untuk menikmati
ketenangan
sambil mata
terpejam.

Ahad, 12 Mei 2013

Mengidam

- i -

Mengidam buah yang manis
Termakan yang masam
Sebakul di tangan ditongsampahkan.

- ii -

Mengidam kemenangan
Yang kelihatan, sokongan kian menyusut
Sedikit yang setia, dipandang sebelah mata
Entah sengaja, entahkan tidak
Mata-hati-buta pun merajai diri.

- iii -

Mengidam kebahagiaan
Usah ditolak tepi apa kata hati
Dirangkul semuanya apa kata orang
Kelak sesal tiada penghujungnya.




Samar Sayup

Yang serba baru
selalu cepat memikat hati orang
cepat juga menghilang menjadi 
samar sayup dalam ingatan dan kenangan.

Benarkah?



Rabu, 8 Mei 2013

Berhenti

Berhentilah menuding jari
menerbit luka di hati orang
yang tetap setia dalam diam.

Satu demi satu
hati terluka 
dan benci pun
bercambah.

Berhenti!


Selasa, 7 Mei 2013

Penyakit

Benci itu boleh jadi penyakit. Kebencian itu boleh berjangkit, merebak dan menjadi wabak. Maka, berbaik-baiklah.

Jumaat, 19 April 2013

Berpaling

Andai semalam
mampu mengukir
senyuman di bibirmu
yang lesu maka
berpalinglah
biar sebentar cuma.


Pertemuan

Pertemuan
tidak lagi
terlalu penting
apabila
telah terjalin
kemesraan dan
kesefahaman
tanpa perlu
bersemuka.

Semua yang
manis dan indah
sekata dan senada
boleh sirna sekelip mata
hanya dengan
satu pertemuan.

Percayakah?

Aku percaya itu.

Khamis, 18 April 2013

Roda

Begitu pantasnya
roda berputar.

Walhal
sudah beratus purnama
kelmarin telah berlalu.

Kala sendu itu
adalah milikku
pernahku bertekad
takkan memindahkan ia
menjalari rasa zuriatku.

Ternyata tekadku dulu
tak ubah bagai embun
di hujung rumput.

Kerana kasih sayangku
Kerana keprihatinanku
Kerana naluriku ini...

Kubiarkan jua
hatinya menangis.

Pun begitu
dia tidak perlu
berhenti berharap
apatah lagi berputus asa
seolah dunia hampir
di penghujung masa kerana
yang memutuskan segalanya
bukanlah aku.

Aman

Menjadi lelaki
harus setia.

Menjadi wanita
harus setia.

Menjadi manusia
harus setia.

Supaya aman dunia.

Percuma

~ Sesuatu yang percuma itu selalu dapat menarik ramai orang untuk datang mendekat. Pemberian percuma yang tidak membawa bersama sesuatu maksud tersirat (bertujuan mengambil kesempatan terhadap si penerima) adalah sebaik-baik pemberian. ~

Selasa, 16 April 2013

Kembali

Kala ketenangan kembali
berhembus seputar nafasku
beban yang memberat
kini tiada sudah.

Sesungguhnya
seluruh hidup ini
jatuh bangun
suka duka
dengan izin-Mu jua.


Isnin, 15 April 2013

Parut

Untuk apa kita bertelingkah
Andai jawaban sudah bernoktah.

Untuk apa kita bermanis muka
Andai di hati terguris luka.

Untuk apa ini semua...
Merawat luka yang parah
Parut juga menjadi tanda.

Ahad, 14 April 2013

Baru Kutahu

Baru kutahu
Menjadi insan yang memahami itu
Terpaksa melalui hari-hari
yang memedihkan hati
melemahkan sukma
dan melumpuhkan sendi.

Kalaulah boleh aku memilih
yang mana satu mahu kufahami
yang mana satu mahu kulalui
pasti aku tidak selonglai ini.

Tiba masanya
Aku benar mengerti
Memahami itu juga
sangat meluluhkan jiwa.

Gaung

Diriku
umpama terhumban
ke gaung dalam.

Entah terubat
Entahkan tidak.

Duri terlekat di dalam hati

Entah tercabut
Entahkan tidak.






Rabu, 3 April 2013

Memilih Usah Tersalah

Bertanya kepada diri

Benarkah 'kuasa menukar' itu ada?
Bukankah yang ada hanyalah pilihan untuk dipangkah?
Maka pilihlah sebaik-baiknya setelah bertanya kepada diri.

Kisah sedih menimpa diri

Tukar tukar tukar
sudah kutukar
Apa? Tempat memilih!

Sudahlah tentu
termaktub di dalam
senarai pemangkah
sayangnya diri
kini jauh berkelana.

Samarlah sudah
hak tuk memilih.

Sayang berkali ganda sayang
Samarlah sudah
hak tuk memilih.

Kan kunanti sepenggal lagi
manalah tahu kalau-kalau
berdiam semula di negeri sendiri.

Pilih usah tersalah pilih
Kelak merana menggigit jari
Sesal tak sudah angkara sendiri.

Kalau kutahu takkan kutukar!

Isnin, 1 April 2013

Sabar

Bersabar menanti hari esok kerana
hari ini takkan pernah muncul kembali.

Sabtu, 30 Mac 2013

Kosong

Hari demi hari
yang telah berlalu
sudah terlalu banyak
dinding terbina
tembok berdiri
teguh ampuh kukuh
untuk apa?
bergurau dengan sepi
bercanda dengan bungkam
hening bisu kosong.

Dari kejauhan
Ada riuh yang mesra
Ada tawa yang indah
Dan aku, sekadar mengintai
melalui lubang-lubang kecil
dari dinding, dari tembok
yang mengelilingiku.

Rabu, 20 Mac 2013

Asli

Yang asli
tiada lagikah
yang suka
melenyapkan keaslian
berbondong-bondong
memilih...
Sudah rambang matakah
atau rabun sudah
sampai ke hati dan minda?

Jernih Air Perigi

Kuterima khabar tentang dirinya yang sekian lama berjuang melawan musuh yang terlalu lewat menampakkan dirinya, terlalu lewat untuk dinyahkan. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Dulu
Tatkala hijau usiaku
Jernih air di periginya pernah
ditimbakannya untukku
yang sesekali pulang ke desa
menziarah sanak-saudara.

Tatkala pohon nyiur berbuah lebat atau
tika mempelam masih lagi muda
dikaitkan untukku.

Sanggup dia berpanas sambil memegang galah panjang
Sanggup dia berpanas sambil menepis kerengga-kerengga yang marah apabila sarang mereka terusik tanpa sengaja.

Semoga damai di negeri abadi.

Al-fatihah.

20 Mac 2013
Kerteh



Ahad, 10 Mac 2013

Palsu

Rembesan aksara
di hujung jemari
di hadapanku
adalah palsu belaka.

Kerana sejurus kemudian
di hujung jemari itu
meledak tawa dan gurau senda
yang bisa menghiris sukma
jiwa yang walang berduka.

Seandainya
rembesan dan ledakan
di hujung jemari itu
kan menambah luka
di jiwa yang lain
maka berdiam dirilah.

Aranam
10 Mac 2013

Ahad, 3 Mac 2013

Demi Tanah Ini

Ini kisah kita
Kisah tanahair kita
Yang kan terpahat kukuh
Dalam lipatan sejarah esok.

Hari ini
Seeloknya
Bersatulah kita.

Air mata anak isteri
Para pejuang yang telah gugur
Segalanya benar belaka; bukan tipu daya
tuk meraih simpati semata-mata.

Waktu ini
bukanlah masanya
menyerkap jarang.

Waktu ini
bukanlah masanya
menuding jari
mencari siapa salah atau salah siapa.

Ini kisah
Di tanahair kita
Ribut ini
berlegar seiring nafas kita
Ombak ini membadai
di pesisir pantai kita.

Bersatulah
Berbaik sangkalah
Berdoalah
Semoga tanahair ini
Dikurniakan Allah
Keamanan dan kedamaian
yang berterusan.

Demi tanahair ini
Bersatulah!

Aranam
Kerteh
3 Mac 2013

Khamis, 28 Februari 2013

Sehiris Bulan (2)

Usai sudah menjadi saksi kisah suka duka LILI JULIA SULAIMAN dalam Sehiris Bulan karya Hafizah Iszahanid.

'Cinta itu bermakna memberi kebahagiaan kepada yang dicintai...'

Rabu, 27 Februari 2013

Kongsi

Sharing is caring. Berkongsi itu baik. Lebih baik lagi jikalau perkongsian itu bertempat. Akhir-akhir ini -- mungkin juga sejak lama dulu -- perkongsian di laman sosial misalnya, kian berlebih-lebih. Tanpa silu pelbagai kisah, gambar malah video yang mengaibkan dikongsi sewenang-wenangnya. Entah apa yang difikirkan ketika mereka memutuskan untuk berkongsi pelbagai hal yang mengaibkan itu. Sungguh, saya hairan apabila seorang wanita sanggup berkongsi perihal detik-detik kelahiran bayi. Walaupun tidak melibatkan dirinya secara langsung tetapi sebagai seorang wanita, tidakkah dia berasa malu?


Sehiris Bulan

Tertangguh beberapa bulan. Baru pagi tadi menyelak halaman pertama. Halaman terakhir? Bila sampai masanya nanti. Belum sampai separuh dibaca. Baru di halaman tujuh puluh. Seronok mengikut debar rasa Lili Julia Sulaiman. Entah siapakah yang jadi pilihan hatinya. Hmmm...masa untuk menyambung pembacaan.

Selasa, 26 Februari 2013

Deru Angin (2)

Awal pagi ini, saya tiba ke halaman terakhir kisah pencarian identiti Johan di dalam Deru Angin. Seingat saya, Deru Angin adalah novel pertama yang saya baca pada tahun ini. Sebelumnya, yang rajin saya belek adalah buku-buku resepi, majalah-majalah masakan dan yang terkait dengan resepi sahaja.

Jikalau ingin mengenali Scarlet, ingin tahu tentang Adam, mahu menelusuri pencarian Johan, telusurilah Deru Angin.

Selamat membaca!

Isnin, 25 Februari 2013

Deru Angin

Sudah lama tidak menyelak novel. Baru semalam berkenalan dengan Adam dan Scarlet. Juga wanita yang selalu merasakan tindakannya benar. Sehingga kebenaran yang kukuh dipegangnya membawa kepada kepulangan abadi cucunya yang baru berusia enam belas hari. Hari ini pula, baru sahaja bertembung dengan Johan. Johan yang sering tersisih. Johan yang baru saja berlenalan dengan Hiza. Tiba masa untuk menyambung pembacaan. Tiba masa untuk menyelak halaman seterusnya.

Novelis ini, Hafizah Iszahanid, buah tangannya selalu cemerlang. Deru Angin ini sangat istimewa.


Khamis, 14 Februari 2013

Teman

Biar seramai mana pun kenalan
Biar seramah mana pun sahabat
Begitu banyak ruang dan peluang
saling bertegur sapa bertanya khabar sesama
Sudahnya ...
Kesunyian jua yang menjadi teman.

Di celah-celah
Hiruk-pikuk kehidupan
Sering jua mencari sunyi
yang diam di laman diri.

Tidak

Tentang asap dan rokok

Nafas tertahan-tahan
berusaha meraih udara nan segar.

Bukan semata-mata asap
malah sikap bersahaja tanpa
tergambar rasa bersalah
mencemari udara yang
Allah beri percuma.

Bukan semata-mata
asap dan rokok
sikap malah.

Menjelmalah rokok
tergambar dan digambarkan
sebaik apa pun kejadian.

Tetap kan ku katakan TIDAK!


Biar Bertempat

Positif positif positif
biar bertempat
usah sampai
melanggar batas.

Selasa, 12 Februari 2013

Apakah

Apakah untuk menang
yang diperlukan adalah pergaduhan
bertikam lidah saling tuduh-menuduh.

Apakah untuk juara
yang diperlukan adalah semata-mata kemenangan
sesudah berhasil menewaskan lawan
tanpa peduli apa pun caranya.

Apakah untuk marhaen
hanya berhak menagih janji ditunaikan
menanti dan terus menanti.

Bukankah sebagai manusia
yang punya akal budi
lebih layak menempuh onak duri
kehidupan ini sambil menjunjung
maruah diri.

Bukankah?

Oh! Malaysiaku Tercinta

10 Februari, hari pertama Tahun Baru Cina. Sebelum bertolak menuju ke pantai timur kami singgah di ibu kota. Kejadian wanita orang putih yang menjadi mangsa ragut malam tadi masih segar dalam ingatan. Hari ini pula, terasa seperti berada di luar negara. Wajah-wajah asing memenuhi pandangan. Waktu cuti umum panjang begini, ibu negara bukanlah tempat yang sesuai membawa anak-anak bersiar-siar. Melihat-lihat dari dalam kereta saja pun, memadailah ... Oh! Malaysiaku tercinta.

Ahad, 10 Februari 2013

Malam Tahun Baru

Kira-kira pukul sebelas malam tadi, saya sekeluarga bertembung dengan situasi yang sangat tidak menyenangkan. Kami baru saja selesai memenuhi undangan majlis perkahwinan di Bukit Kiara. Sebelum balik, kami sengaja menuju ke pusat bandaraya sekadar ingin menikmati suasana malam menjelang tahun baru Cina. Ketika melalui jalan menghala ke Traders Hotel, ada keriuhan di hadapan yang menarik perhatian kami. Seorang wanita yang kelihatan seperti warga asing sedang mengalami situasi cemas. Beliau menjadi mangsa peragut! Kami dapat melihat dengan jelas kelibat seorang lelaki berbaju hitam, berseluar hitam dan bertopi sedang berlari agak jauh ke hadapan. Kami dapat melihat dengan jelas dia sedang memegang beg tangan bertali halus panjang ketika dia berhenti berhampiran dengan lampu isyarat. Kami cuba mengejar sambil membunyikan hon bertalu-talu. Malangnya, peragut itu dapat meloloskan diri melalui lorong gelap berhampiran Traders Hotel menuju ke KLCC Park. Hasrat ingin menikmati suasana malam di sekitar KLCC pun terbantut ....

Rabu, 6 Februari 2013

Ke Alam Abadi

Hening pagi ini
Kuterima khabar pemergianmu
Kembali ke alam abadi
Dijemput Tuhan
Maha Pencipta sekalian alam.

Semoga damai di sana.

(al-Fatihah buat allahyarham Tuan Haji Mohd. Isa bin Abdul Razak)

Ahad, 3 Februari 2013

Tak Perlu

Aku
tak perlu dirimu
jikalau kebersuaan
kita hanya
menyaksikan
telunjukmu
menuding ke arahku
saat aku berpaling
meninggalkanmu.

Sungguh
yang menjunjung amanah
yang menggenggam setia
amat payah bersua.

Ibu Ayah

Menjadi ibu dan ayah, anak-anak tetap utama tak kira di mana pun jejak usia. Sungguh betapa indah berada dalam dakapan cinta kasih dan doa ibu dan ayah.

Rabu, 30 Januari 2013

Dia

Ku kenali dia
yang sering menelan kepahitan
yang rela menahan kepedihan
yang redha menerima dugaan.

Di sisinya
ku ingin selalu dekat.

Di hatinya
ku ingin selalu ada

Kerana dia
adalah anugerahMu untukku.


Terima kasih

Bukan tidak mahu berterima kasih

Diriku ini
tidak gemar berhimpit-himpit
bersesak-sesak bertolak-tolak.

Seantero negara
telah tahu tangan-tangan kecil
warga harapan bangsa tidak kira
dari pelosok mana pun akan
menerima hak masing-masing.

Tiba jua detik itu
Aku tetap diam di teratak kami
melayani karenah anak kecilku
mengurus keperluan rumahtanggaku.

Dengan persetujuan
yang empunya hak
aku tetap diam di rumah ....

Sepi

Usah cemburu pada
sepi dan diamku ini kerana
waktu ini diamlah yang kupilih dan
sepilah yang menjadi saksi.


Selasa, 15 Januari 2013

Bunga Kuning

Pada suatu petang yang tenang sambil melayan anak kecil yang duduk di tempat duduknya di belakang, perhatian saya teralih kepada seorang gadis kecil yang leka memetik bunga-bungaan berwarna kuning di kawasan sekolah.

Tidak tergambar sedikit pun perasaan bersalah di wajah mulusnya. Tangan kirinya sudah penuh dengan kuntuman bunga kuning yang segar. Tidak semena-mena pandangan kami bertaut. Barangkali anak kecil itu berasa hairan melihat saya yang tidak dikenalinya tidak lepas memandang ke arahnya.

Gadis kecil itu berhenti memetik bunga lalu perlahan-lahan dia menuju ke pondok istirahat yang berhampiran. Di sana dia mula menyusun kuntuman bunga mengelilingi pondok istirahat itu. Selang beberapa minit kemudian, dia kembali memetik bunga. Barangkali dia memerlukan lebih banyak bunga lagi untuk menghiasi pondok istirahat tadi. Jelas, masih ada ruang kosong yang patut diisi bunga.

"Jangan! Jangan!" Sayup-sayup kedengaran suara budak lelaki berkaca mata melarang sambil meluru ke arah gadis kecil yang tersenyum gembira melihat abangnya yang baru sahaja keluar dari kelas.

Gadis kecil itu kembali memetik bunga. Abangnya berusaha melarang adiknya daripada memetik bunga-bungaan kuning yang sedang berkembang mekar di halaman sekolah. Kemudian, gadis kecil dan abangnya berlari-larian masuk ke dalam kereta.

Tidak lama selepas itu, si abang keluar dari kereta lalu mengutip satu demi satu kuntuman bunga kuning di sekeliling pondok istirahat tadi.

Boleh jadi, orang tua gadis kecil itu terlepas pandang perlakuan anaknya. Manakala si abang tampil bertanggungjawab terhadap sekolah dan juga adiknya.





Isnin, 7 Januari 2013

Menjauhlah

Malam tadi langit indah
Dihiasi bintang-bintang berkerlipan
Riang-riang nyaring berbunyi
Sang katak bersembunyi di celah rerumputan
Angin berhembus lembut
Nyaman mendingin.

Siang ini
Desir angin sedikit kasar
Entah membawa perkhabaran apa
Nun dari laut sana.

Sonamu
Menjauhlah ....