Isnin, 17 Disember 2012

Asap Rokok Sangat Busuk

Malam tadi, semasa menunggu hidangan yang dipesan tiba, saya lebih selesa melayan kemahuan anak kecil saya yang mahu menjelajah ke seluruh kawasan kedai makan yang bersebelahan dengan gelanggang futsal. Apabila terasa penat, kami kembali ke meja. Berkali-kali saya menutup hidung. Sekali-sekala saya terbatuk-batuk kecil. Pelanggan di sebelah meja kami perasan akan ketidakselesaan saya itu. Perlakuan tidak beradab orang yang mencemar udara itu menjadi tumpuan saya dan suami. Saya lihat, pelanggan pencemar udara itu sudah selesai menikmati hidangan makan malamnya. Asap masih lagi menerawang di udara. Dia dan rakannya semakin rancak berbual. Perlahan-lahan saya memandang ke arah meja pelanggan pencemar udara. Dia sedang mengetuk-ngetuk kotak rokoknya. Anak kecil saya yang baru mula demam, mula merengek-rengek. Sejak dari dulu, sikap perokok yang terlalu mementingkan diri amatlah mengganggu saya. Tidak kira yang masih muda belia, pertengahan umur mahupun golongan yang lebih berusia. Sebentar tadi, suami saya membuat isyarat 'tak nak' merokok. Suami kesayangan saya mencadangkan supaya kami memberi isyarat itu kepada orang tadi sebagaimana yang ditayangkan dalam iklan televisyen. Saya terhibur mendengar saranan suami. Anak-anak sudah selesai menghabiskan makan malam mereka. Tidak lama selepas itu, makanan yang kami pesan pun tiba. Semasa mencapai tisu untuk mengelap sudu yang masih ada kesan tompokan air, secara tidak segaja saya terpandang pelanggan di sebelah meja kami. Dua kali lima! Selera makan saya terbantut. Asap rokok yang sangat busuk kembali mengitari ruang udara pernafasan kami sekeluarga!

Jumaat, 14 Disember 2012

Hati

Tatkala hati terusik
Mendung awan bagai mengerti
Gemalai dedaunan bagai simpati.

Menjauhlah
Usah berlama-lama di hatiku
Usah berlama-lama di fikiranku.

Menjauhlah ....

Isnin, 8 Oktober 2012

Rindu

Aku rindu
menyusun
angan-angan.

Sabtu, 22 September 2012

Benar

Di sini
Aku berbahagia
Kerana tiada
Warna-warna suram kelam
Yang berlindung di balik
Keindahan warna pelangi.

Hitam itu hitam.

Putih itu putih.

Warna-warni hidup ini
kita nikmati
seadanya bersama.

Kuimpikan yang benar.

Hanya benar
Yang benar-benar benar.

Kuyakini pasti
Kau jua mengimpikan
Hal yang sama seperti ku
Kebenaran yang benar.


Khamis, 13 September 2012

Hidup

Terang cahaya dalam cahaya,
Tersuluh tepat sepasang rubah,
Bagaimana diri hendak percaya,
Tuan masih tak ingin berubah.

Sungguh Badang gagah perkasa,
Mengangkat batu berbongkah-bongkah,
Elok paras kata berbisa,
Tuan bijak menyusun langkah.

Buah keranji di balik papan,
Buah manggis dikopek dirasa,
Berhati-hati meniti kehidupan,
Supaya tuan hidup sentosa.

Isnin, 10 September 2012

Perang Kurus

Di dinding bisu ini
Dari atas hingga ke bawah
Perang kurus kian menjadi-jadi.

Pelbagai alasan dijaja
Membenarkan segala
Kegilaan menuju kekurusan.

Sambil menyaksikan kegilaan
Yang entah bila kan berakhir ...

Permata hatiku
Berkisah panjang
Tentang kepedihan
Dikhianati kawan.

Ya, kutahu dan kufahami
Kepedihan sebuah pengkhianatan.

Bertabahlah sayangku ....

Sebagaimana aku perlu
menjauhi perang kurus
yang kian menggila.


Jumaat, 7 September 2012

Cantik Sihat

Semua kita mahu cantik
Semua kita mahu sihat.

Aku juga mahu.

Tanpa dosa
Tanpa perlu
menambah dosa.

Khamis, 6 September 2012

Belum Ada

Ramadan baru-baru ini, anak-anak menjawab 'belum ada' untuk soalan ini ... Ada terasa macam nak raya dah? Dua tiga kali juga soalan yang sama diajukan. Jawapan tetap sama. Belum ada. Waktu soalan itu diajukan adalah pada minggu terakhir Ramadan. Belum ada? Kenapa?

Mengimbau kembali zaman kanak-kanak dulu, satu Syawal adalah hari yang ditunggu-tunggu ketibaannya. Padahal puasa berulang-ulang tertunai hanya sekadar separuh hari. Hampir setiap hari bunga api dibakar menghiasi malam-malam menjelang Syawal. Yang lebih berani, takkan pandang bunga api. Berdentam-dentum bunyi mercun silih berganti sehingga ada waktunya seperti mengalahkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina pula.

Apabila ada ahli keluarga yang kurang sihat, bunyi-bunyian mercun amatlah merimaskan. Lebih-lebih lagi jikalau yang sedang kurang sihat itu adalah anak-anak yang masih lagi kecil.

Satu Syawal menjelma jua. Senyum tetap terukir di wajah anak-anak. Lebih menggembirakan dan memberi erti, tiada sehari pun puasa mereka tertinggal sepanjang bulan Ramadan. Pada malam raya, jawapan mereka pun berubah. Bagus juga ada pengumuman raya di televisyen!

Syawal ini, awal pagi lagi mendapat khabar duka. Mendengar statistik kemalangan jauh berbeza kesannya berbanding apabila mengetahui ada ahli keluarga sendiri yang turut terlibat -- Adik ipar (isteri kepada adik saya) kehilangan adinda tercinta kesayangan keluarga. Al-Fatihah.



Kata

Berbaris-baris kata
Bergandingan aksara
Beragam makna.

Untuknya yang mana
Untukmu yang mana
Untukku yang mana.

Yang mana satukah ...

Pecah di perut
Pecah di mulut.

Isnin, 27 Ogos 2012

Sayang Selamanya

Kelincahan mu menyusun kata
mengingatkan aku tentang hidupku
yang lalu.

Adikku sayang
kata-kata nasihat orang tua kita
pegang ia erat-erat.

Kelak dirimu kan mengerti.

Yang kaufahami hari ini
akan lebih kaufahami tatkala
esok yang masih lagi jauh
selamat berada dalam dakapanmu.

Ingatlah pesanku ini
peganglah erat-erat
kata-kata nasihat orang tua kita
kerana kasih sayang mereka
benar-benar tulus
untuk kita.

Sayang selamanya.

Selasa, 7 Ogos 2012

Intonasi

Di mana-mana pun, apabila berurusan seelok-eloknya saling menghormati. Bukannya bercakap ikut sedap mulut saja. Intonasi perlu dijaga. Biar seribu manusia mengatakan ataupun mengakui bahawa intonasinya lazim berentak kasar, tidak semua orang akan menerima bulat-bulat setiap perakuan lebih-lebih lagi jikalau hati sempat terguris dek kelancangan menyusun kata. Ah! Sempat mataku membaca tanda namanya. Kerani. Tidak mengapalah. Besar kemungkinan gedung perniagaan itu kekurangan staf langsung dia ditugaskan di kaunter bayaran berurusan dengan para pelanggan. Cukuplah sekali itu berhadapan dengan dia. Buat hati menggigit-gigit. Buat hati rasa kurang selesa. Biar sudah berhari-hari berlalu tapi sayang kesannya masih sangat terasa lagi. Aduhai!

Rabu, 11 Julai 2012

Pernah

Mengertikah kau
makna malu
sedang dirimu
kian menjauh
dari impian
yang pernah
disusun tinggi
di antara kepul-kepulan
awan-gemawan ...

Melur

Mudahnya menanam melur. Kali kedua menumpang teduh di negeri ini, pokok melur jadi pilihan menghiasi laman.

Suatu pagi Jumaat yang tenang, pasar tani tempat dituju. Lebih awal sampai, lebih banyak pilihan sayur, ikan, ayam dan daging segar sedia menunggu. Lambat sedikit, bersedialah berputih mata.

Sempat juga saya membeli sepasu pokok melur. Semasa hendak menukar pasu pada sebelah petang, barulah saya menyedari yang pokok melur itu tidak sempurna rupanya. Daunnya sedikit sahaja. Mujurlah ada beberapa kuntum melur sedang berkembang mewangi. Cantik.

Selang beberapa hari, semua melur habis layu dan gugur. Daun-daunnya pula berlubang-lubang dan semakin berkurangan kerana dimakan serangga.

Pokok melur itu saya cantas. Lalu batang cantasan dicucukkan ke tanah dalam pasu yang sama.

Hari demi hari berlalu. Pokok melur yang tidak berdaun itu saya siram pada setiap pagi dan petang. Ada kalanya anak-anak turut membantu menyiram pokok-pokok di halaman rumah.

Syukurlah pokok melur itu masih hidup. Daun-daunnya semakin bertambah. Putik melur kecil pun turut kelihatan. Tidak lama lagi, haruman melur akan kembali mewangi di laman kami ....

Seri

Pengertian
setiap satu yang kauberi
kuhargai sepenuh hati.

Melihat
seri di wajahmu
yang manis gebu
kuyakin pasti
kautulus memberi.

Terima kasih.

Sempurna

1. Berbalas sms dengan ejaan sempurna, singkatan lazim, dan bahasa beradab dapat membahagiakan kehidupan.

2. Apabila selalu diamalkan, fikiran lebih tenang dan perasaan akan lebih tenteram.

3. Tidak ada manusia yang sempurna tetapi setiap kata boleh disempurnakan ejaannya.

Selasa, 10 Julai 2012

Berhentilah Mengajukan Tanya

Nikmat suara dikembalikan
perlahan-lahan.
Selama ia hilang ...
sedaya-upaya ku cuba menjerit
namun yang tembus hanya
hembusan tanpa makna.
sedaya-upaya melafaz kata-kata
namun yang bergetar hanya
bunyi asing yang tak bisa ditafsir fikir.

Sudahnya
andai terpaksa
kutarikan aksara
di hujung jemari
berkali-kali kupilih diam
anggukan dan gelengan
menyambut setiap tanya.

Hanya satu pintaku
berhentilah mengajukan tanya
kenapa mengapa bagaimana
semua jawapan tak mampu kuluah.

Sesudah dua malam berlalu
nikmat bersuara pun mula
dikembalikan
perlahan-lahan.

Syukur ku tiada terhingga.


Selasa, 26 Jun 2012

Semoga

Kita
bersama-sama
mencari kebenaran
di laluan yang berbeza.

Tidak cukup laluan berliku
Tidak cukup jurang yang dalam
Tidak cukup bukit menghalang.

Entah bila
detik itu kan tiba
kita kembali
menelusuri
laluan
yang serupa.

Andai terjatuh bangkit segera
Andai terluka ubati segera
Andai terleka sedar segera.

Semoga benar arah pilihan
di setiap persimpangan.

Semoga kebenaran masih jua
menjadi keutamaan.

Semoga ....

Cinta di Hujung Jemari

Ku menyaksikan wajah cinta
yang lahir dari hujung jemari.

Aksara beralun lembut
Aksara berombak resah
Aksara berlagu rindu.

Tatkala aksara meniti
dari bibir ke bibir
sesudah merenangi tasik hati
sesudah menyelami lautan akal
ronanya pun mulai berubah.

Cinta di hujung jemari
selalu berwajah cantik.

Selasa, 12 Jun 2012

Wajah Awan

Tatkala mentari masih berjaga
di langit bumi sebelah sini
Wajah awan sering bisa
mengundang senyumku waima
di langit hatiku mendung
hebat berlingkaran.

Tatkala hatiku membiru riang
ingin kukhabarkan seluas langit
ingin kusebarkan seluas alam
langit pula ditutupi awan kelabu
berlingkaran berkepulan berkumpulan
membentuk wajah-wajah asing
yang hilang keramahannya
keriangan ku pun langsung pudar warna birunya.

Begitulah apabila mentari hadir
menyinari alam.

Ku merenung biru langit
Ku menyaksikan wajah awan.





Selasa, 5 Jun 2012

Kerabu Parsley

Apabila teringin memasak spaghetti untuk hidangan sekeluarga, saya suka mengintai-ngintai daun parsley sama ada di pasar sayur ataupun pasar raya. Biasanya hampa. Namun demikian, tanpa daun parsley, menu spaghetti mesti jadi. Anak-anak gemar sekali menikmatinya.

Baru-baru ini, saya berasa gembira apabila mendapati ada parsley dijual di pasar raya dalam kuantiti yang banyak dengan harga yang saya anggap murah. Selamatlah sebungkus parsley di dalam troli saya.

Selepas beberapa hari berada di dalam peti sejuk, tibalah giliran parsley itu untuk saya kerjakan. Mahu dibuat apa parsley sebanyak itu. Spaghetti langsung tidak termasuk dalam senarai saya. Baru juga saya membawa anak-anak makan di luar. Antara menu sajian makan tengh hari kami waktu itu ialah spaghetti.

Kerabu. Kerabu parsley.

Di dalam bekas yang sesuai, saya masukkan perahan limau kasturi, bawang besar merah (bombay), madu, serbuk lada hitam, sos ikan, dan juga garam. Semua bahan ini digaul sebati. Kemudian, saya tambah minyak zaitun. Sesudah puas hati dengan rasanya, saya masukkan parsley yang sudah dipotong halus. Gaul rata. Lalu, disimpan di dalam peti sejuk.

Sangat mudah!

Patuh

Sebenar-benarnya
Sebanyak mana hari ini yang kita miliki
Sebanyak mana hari esok yang berpeluang kita miliki.

Bukankah hidup kita ini terbina dengan banyaknya daripada semalam dan kelmarin yang dipenuhi pelbagai persoalan, pelbagai jawapan, pelbagai ragam.

Pernah dulu
Semasa guru sedang mengajar
Sedang berkisah tentang perang Uhud yang termasyhur.

Terpacul pertanyaan, kenapa tentera-tentera yang terdiri daripada kalangan
orang dewasa itu tidak berkemampuan
mematuhi arahan ketua.

Sambil berlegar-legar di benak anak kecil yang usianya belum pun mencecah angka sepuluh, penuh yakin dan pasti
bahawa orang-orang dewasa di sekelilingnya ketika itu tahu mematuhi arahan ketua. Di wajah manisnya terpamer senyuman biar pun
pertanyaannya hanya dijawab dengan senyuman.

Masa kian berlalu sehinggalah
anak kecil itu melalui fasa hidupnya
menjadi orang dewasa.

Akhirnya dia mengerti, sikap tidak patuh kala perang Uhud bersilih-ganti
muncul merentasi zaman tidak kira usia.

Rencah dunia yang harus ditapis dan dibasuh berjuta kali!

Terbang

Aku tak ingin
memasang sayap palsu
untuk menjadi rama-rama
yang cantik.

Untuk apa memiliki sayap
andai aku tak bisa terbang.

Biarlah aku terus menjadi bunga
menjadi teman rama-rama yang cantik dan menjadi saksi rama-rama yang bersayap cantik berterbangan riang dan bebas di udara.

Isnin, 4 Jun 2012

Teman Lama II

Ingatan ini sebentar sebentar singgah
Mengenangkan suara teman lama.

Seraya mata kupejam kubayangkan kelibat dia teman lama
Semakin menjelas di hadapanku.

Wajahnya masih ayu hanya
suara lirih berusaha mengusir kenangan lalu yang pedih.

Wahai teman lama
Telah kau akui kisah silam mu itu
Kan kau jadikan pengajaran tika meniti liku-liku hidup ini dan aku
senang sekali mendengarkannya.

Dalam lirih pedih suaramu
Kau berusaha kuat untuk bangun
dan melangkah yakin mendepani
hari esok yang belum berwajah.

Ku mengerti keperitan kepedihan
yang terpaksa kau depani.

Ku berharap agar kau
Terus tabah dan kuat
Wahai teman lama.

Teman Lama

Aku mendengar
Satu demi satu
Rasa ragu dan keraguan
Yang disuarakan oleh
Teman lama.

Jalan tempat ku berpijak ini
Pernah dia lalui katanya
Kakinya pernah sakit bagai
Tertusuk duri
Belakangnya pernah sakit bagai
Tertusuk mata pedang
Hatinya pernah sakit bagai
Tertusuk sembilu.

Pesannya
Berhati-hati ketika berjalan.

Kuucap terima kasih
Atas pesanan yang dititipkannya.

Kataku, tanggungjawabku menjaga keluarga.
Tugasku, membuang jauh duri-duri di jalan.
Langkahku, paling belakang buat menangkis mata pedang.

Jiwaku, bergantung harap
PadaNya Yang Maha Mendengar
Moga kebahagiaan tak putus buat kami.

Menerima

Menerima
Seumur hayat
Selama mana nadi berdenyut
Selama mana jantung berdegup.

Mensyukuri
Nikmat tak terperi
Untuk setiap gerak
Untuk setiap rasa
Untuk setiap kata
yang tak terucap.

Waima
Sang pemberi tegar
Dalam kalangan insan pun
Tak mungkin kan terlepas dari
Hakikat menerima
Seumur hayat.

Kita
Jasad roh jiwa
Menerima cinta kasih
Mendamba hidayahNya
Seumur hayat
Selama mana
Nyawa dikandung jasad.


Jumaat, 1 Jun 2012

Hirisan Kacang Panjang

Laju tanganku menghiris kacang panjang sambil mata berulang kali memandang lewat jendela dapur. Matahari kian meninggi. Bayang-bayang pokok semakin mengecil. Jam di dinding ... Oh, sangat lewat!

Laju tanganku menghiris kacang panjang. Ligat pula ingatanku menerawang melihat kelmarin. Seorang kanak-kanak perempuan tekun menghadap ibunya sambil mengintai biji-biji kacang panjang di dalam besen plastik kecil di hadapannya. Sesekali tangannya yang kecil mengutip hirisan-hirisan kacang panjang yang terpelanting ke lantai bertikar getah. Berkali-kali ibunya menegur agar berhati-hati supaya tangannya yang kecil tidak terkena pisau. Takut terluka dan berdarah. Sakit.

Laju tanganku menghiris kacang panjang. Kembali aku memandang bayang-byang pokok yang kian mengecil lewat jendela. Di sini, kanak-kanak perempuan kecil itu hampir selesai menghiris kacang panjang terakhir di tangannya.

Rindu.

Khamis, 31 Mei 2012

Tanpamu

Tanpamu di sisi
Kata-kataku terhenti
Di hati.

Jalan hidupku
Beriringan denganmu.

Ku bersyukur padaMu
Menganugerahkan dia untukku.

Tanpamu di sisi
Kata-kataku terhenti
Di hati.

Isnin, 28 Mei 2012

Yaka

Pertengahan tahun 2007. Bersama-sama dua orang teman senegara, kami berada di kawasan tumpuan warga Turkmen pada hujung minggu meredah kesesakan Talkuchka.

Berbekal sedikit kosa kata asing, kami berhasil membeli barang yang berkenan di hati. Dapat tawar-menawar sambil diselangi gelak tawa banyak membantu keberhasilan seperti yang kami harapkan. Kebanyakan masa, kalkulator jugalah yang paling berkesan.

Di Talkuchka pada masa itu, permaidani buatan tangan warga Turkmen dalam pelbagai corak dan saiz amat menarik perhatian kami. Namun demikian, pada kunjungan tersebut tiada seorang pun daripada kami yang nekad membeli permaidani yang dijual. Cukup sekadar melihat-lihat sahaja. Bukan semua yang cantik atau yang kita suka mesti kita miliki. Ada banyak perkara perlu kita pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan, tidak kira besar mahu pun kecil.

Di satu lorong, kelihatan sekumpulan wanita sedang tawar-menawar. Kami langsung menuju ke arah kumpulan wanita berkenaan. Manakan tidak tertarik, begitu banyak hiasan berwarna-warni terdapat di situ.

Hiasan itu dipanggil yaka. Yaka yang berwarna-warni dengan pelbagai corak lazim digunakan sebagai hiasan pada pakaian wanita Turkmen. Harga yaka berbeza mengikut kehalusan seni buatan dan corak yang pelbagai. Tidak salah rasanya jikalau membeli beberapa keping yaka. Mana tahu berpeluang menempah sepasang dua pakaian ala wanita Turkmen.

Matahari kian meninggi. Beberapa corak kain pasang 'cotton' sudah berada dalam genggaman. Anak-anak di rumah sudah tentu tidak sabar menunggu kami pulang.

Masing-masing berpuas hati kerana sampai juga menjejak kaki di tempat yang dianggap menarik itu. Bahang mentari musim panas kian terasa. Pantas kami menuju ke arah teksi yang sedia menunggu.

Selamat tinggal Talkuchka!

Sabtu, 26 Mei 2012

Kumohon

Kumohon
Biar detik yang kulalui ini
Berlari laju sepantas kilat.

Kumohon
Biar detik yang dilaluinya
Berlari laju sepantas semut.

Kumohon
Satukanlah hati kami
Tetapkanlah kasih sayang kami
Walaupun detik-detik yang kami lalui
Berbeza kisah terpisah jarak dan masa.

Lindungilah kami ya Rabb.

Selasa, 22 Mei 2012

Riuh

1 Rejab. Pagi tadi matahari pukul tujuh lebih di bumi semenanjung ini bersinar terang, menyilaukan. Di sebalik 'tinted' cermin hadapan kereta, bentuknya bulat, pun masih menyilaukan. Seawal jam enam pagi kami sudah melalui episod sedih yang harus dilalui sepanjang setengah bulan mendatang ini. O, sedih tentang apa ... itu juga harus ditelan sendiri. Tiada kata menyusul untuk menggambarkannya. Tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan. Sedih simpan sendiri. Kesedihan yang bersimpul dengan kebahagiaan. Diam-diam.

Kebahagiaan boleh berjangkit. Kesedihan juga boleh berjangkit. Oleh itu, sangat molek jikalau setiap inci rasa sedih yang bersimpang-siur bergendang riuh disimpan kemas supaya tidak ada yang terjangkit.

Senyum. Lebih baik senyum. Maniskan wajah, sembunyikan rasa. Titik.


Sendiri

Tatkala bayu tak lagi berhembus
Alam pun sunyi sepi ....

Dua kali kulalui jalan yang sama
Sayang sekali tiadalah yang serupa.

Pepohon tumbuh subur tinggi menjulang
Rerumput menghijau mencengkam bumi.

Aku
Berjalan sendirian
Di jalan yang lengang
Sunyi sepi
Tiada angin yang berhembus.

Isnin, 19 Mac 2012

Dia

Suatu pagi yang damai. Langit cerah. Udara pula terasa nyaman mengelus wajah. Waktu itu, di celah bandar raya yang tidak terlalu sesak dengan manusia, seorang ibu menggendong anak kecilnya manakala anak yang sulung berjalan di belakang sekali. Dua orang anak yang tengah pula berjalan di tengah-tengah. Mereka berlima baru sahaja dari klinik gigi. Masing-masing tersenyum riang. Tiada seorang pun yang bermasalah gigi.

Semasa berjalan di kaki lima kedai, pandangan mereka terpaku ke arah penggesek biola yang sedang duduk berehat di tempat yang sama sejak berbelas tahun lamanya. Masa kian beredar. Penggesek biola itu satu-satunya insan yang mereka temui, yang tidak pernah menadah tangannya meminta-minta. Dia hanya menggesek biolanya atau sekadar duduk di kaki lima itu tanpa mengganggu sesiapa pun yang lalu-lalang di hadapannya.

Langkah tiga beradik itu terhenti apabila si ibu berhenti melihat-lihat tudung yang digantung kemas di hadapan kedai utama. Perlahan-lahan si ibu mengeluarkan wang dari koceknya lalu memberinya kepada anak lelakinya untuk dihulur kepada penggesek biola. Dua orang anak perempuannya mengekori adik mereka. Manakala si ibu hanya memerhati sahaja anak-anaknya tanpa menyertai mereka.

Apabila tiga beradik itu kembali mendekati ibu dan adik kecil mereka, di wajah masing-masing terlakar senyuman.

Selajur, perjalanan pun diteruskan ....

Sabtu, 17 Mac 2012

Nilai Kasih

Suatu pagi di sebuah bank, seorang wanita dengan anaknya yang masih kecil sedang menanti dengan sabar untuk mengaktifkan akaun simpanannya. Akaun simpanan wanita itu tidak aktif disebabkan tidak ada sebarang transaksi selama lebih setahun. Semasa urusan di kaunter hampir selesai, seorang kakitangan bank menghampirinya sambil bermain-main dengan anak kecil wanita itu. Sehinggalah berlaku perbualan ini ....

Pekerja bank : Anak pertama puan?
Wanita : Tidak ...
Pekerja bank : Kami ada pakej baru yang sangat sesuai untuk anak puan. Biar saya terangkan ... bla bla bla ... Jumlah simpanan berbeza-beza. Boleh menunjukkan nilai kasih sayang kita ....
Wanita : (menyampuk sambil tersenyum) Agak sensitif saya kira. Pada saya, jumlah simpanan yang dipilih adalah berdasarkan kemampuan. Banyak atau sedikit bukanlah ukuran kasih sayang ....
Pekerja bank : Bukan begitu maksud saya. Tidak mengapa kalau hanya memilih untuk menyimpan jumlah yang paling sedikit setiap bulan.
Wanita : Ya. Mengikut kemampuan.
Pekerja bank : Maafkan saya tentang nilai kasih sayang yang saya sebutkan tadi. Saya silap. Sekiranya puan berminat, puan boleh cari saya. Ini kad saya.
Wanita : Terima kasih. Saya perlu berbincang dengan suami terlebih dahulu.

Wanita itu berlalu mendapatkan tiga orang lagi anaknya yang sedang menunggu di satu sudut sambil membaca buku komik yang mereka bawa dari rumah.

Jumaat, 9 Mac 2012

Rahsia

Dengan izin Allah kita bertemu
Begitu juga sebaliknya.

Biar jarak beribu batu
Biar beribu halangan datang
berlumba-lumba

Andai telah tertulis kita bertemu
Kita akan bertemu.

Biar di hadapan ku ada kamu
Biar laluan lapang terbentang
Seluas langit yang takkan tercapai tangan
Sedalam lautan yang takkan terselam

Andai telah tertulis pertemuan tiada
Kita tetap tak akan bertemu.

Rahsia Ilahi
Tiada kita
Kan mengetahui.

Rabu, 7 Mac 2012

No Smoking

Ku ingin udara bertahan bersih
Untuk bayiku
Untuk anak-anakku
Untuk keluargaku
Untuk setiap insan
Yang ingin menghirup
Udara bersih.

No Smoking!

Isnin, 20 Februari 2012

Brokoli

Pernah dulu semasa anak-anak masih lagi kecil, saya suka benar memberi nama 'sayur pokok' pada brokoli ini. Semakin usia anak-anak bertambah, 'sayur pokok' semakin tenggelam. Brokoli mengambil tempat sebagaimana layaknya.

Memancing Selera Si Kecil

Jumaat, 17 Februari 2012

Kenal

Ada masanya
kita fikir ataupun
kita sangka bahawa
kita kenal sebenar-benar kenal
insan-insan yang dekat di hati kita sehingga
bila tiba waktunya ada kata-kata
ada tingkah laku mereka ...
membuat lidah tiba-tiba kelu
hati pula tiba-tiba menjadi ragu
Rupa-rupanya kita
tidaklah kenal mereka sebagaimana
yang kita fikir
yang kita sangka
selama ini ....


Terkesan

Beberapa hari yang lalu, selama dua hari berturut-turut ketika saya menjemput puteri sulung saya, matanya sembab. Bermacam-macam tanya berlegar-legar dalam fikiran saya. Bertalu-talu soalan yang sama saya ajukan kepadanya. Kenapa ... kenapa ... kenapa? Jawapannya yang paling menyentuh jiwa saya bukan pada gelengannya tetapi pada tulusnya pelukan yang dia berikan pada saya. Ditambah lagi dengan linangan air mata yang kembali bertamu di pipi mulusnya. Pelukannya memberikan jawapan kepada pertanyaan saya yang tidak dijawab dengan kata-kata. Kakak sayang mama. Kata-kata ajaib itu diucapkannya sambil tersenyum memandang saya. Mama pun sayang kakak, balas saya.

Jalan raya di hadapan sekolah sesak. Kami terpaksa segera beredar.



 

Jumaat, 27 Januari 2012

Menuju Cahaya

Semakin jauh
meniti batas waktu
kusedari betapa
setiap langkah yang kuatur
akan ada mata mengekori
akan ada bicara di hujung jemari
kalau pun tidak di bibir meniti.

Kuyakin pasti
andai benar tulus
setiap langkahku
akan kubiarkan
setiap tajam mata
menuju cahaya
setiap butir kata
menuju cahaya
titik.

Jumaat, 20 Januari 2012

Biru Langit

Biru langit
ingin ku ingat
betapa ke mana pun
aku pergi
warnanya
tetaplah memikat
tiadalah beza
walau sedikit
biar dekat
biar jauh diriku
dari negeri
yang sangat
ku ingat.

Isnin, 16 Januari 2012

Aksara Kelmarin

Telah ku amati
jemariku semakin lesu
berbicara kerana
kita sering bertentang mata.

Tatkala detik ini
tertinggal jauh di belakang kita
boleh jadi saja
jemariku kan kembali
berbicara lagi
menemani aksara kelmarin
yang pernah kususun buat tatapanmu
buat merawat kerinduan di kalbumu di kalbuku.

Ahad, 15 Januari 2012

Belum Lama

Belum lama kami di sini. Sebentar lagi perlu melompat ke bintang yang lain. Belum lama kami menikmati terang cahaya, sebentar lagi perlu berpisah dengan bayang-bayang. Kan bersua semula pabila kelak bertemu cahaya di bintang yang lain pula.