Memaparkan catatan dengan label Kasih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kasih. Papar semua catatan

Selasa, 23 September 2014

Demi Kasih


Yang mengundang senyumku...

"Awak, kita nak macaron tak jadi."

"Saya nak macaron kecil, sedang, besar, warna campur-campur. Setiap saiz saya nak tiga warna."

"Macaron planet ada lagi tak? Saya nak besok."

"Kita suka macaron yang ada perisa. Blueberry...strawberry...lemon...kita nak inti coklat."

Yang mendorongku mencuba...

"Mama, tengok gambar ni (gambar dari instagram rupanya). Kakak teringin sangat nak rasa. Macam mana rasa macaron tu, ma?"

"Ma, kita pergi sana sekejap (semasa kunjungan kami ke KLCC). Kakak nak ambil gambar macaron."

"Mama pandai tak buat macaron?"

Yang mencungkil kesedihanku...

"Kakak, macaron mama tak jadilah. Semua tak jadi. Kaki tak muncul. Melimpah macam gunung berapi."

"Macaron mama tak jadi lagi. Semua kembang, ada 'skirt'. Mama nak rehat dululah. Mama nak buat benda lain pula -- barulah muncul kek pisang, kek cawan, pavlova -- itulah makna rehat yang kumaksudkan."

Yang mendorongku gigih mencuba...

"Mama, kawan-kawan kakak nak macaron lagi. Masing-masing teringat macaron mama."

Yang menjadi hasratku...

"Bila-bila ada peluang, mama nak ikut kelas 'baking'."

:-)




Selasa, 20 Mei 2014

Tart Nenas Mama


Tart nenas mama yang selalu diingat-ingat. Sanggup berputih mata kerana tidak sampai hati meminta-minta. Gembira tidak terkata apabila pucuk dicita ulam mendatang. Tunggu aku datang, tart nenas jem merah; kuih raya kegemaran sejak kecil hinggalah dewasa.

Ini tentang kenangan. Tentang rindu yang tidak semua insan berdaya memahami. Bukan sebab tidak sabar menunggu Syawal menjelma. Ramadan belum pun menjengah lagi.

Rindu. Ini tentang rindu. Rindu yang tidak semua orang mampu memahami. 


Isnin, 19 Mei 2014

Buli

Buli.  Ini realiti.  Mangsa yang pendiam dan memilih untuk menutup mulut tanpa mengadu sama ada kepada ibu bapa ataupun penjaganya akan terus-terusan berada dalam keadaan tertekan.  Disisih rakan amat menyakitkan. Sekolah adalah tempat untuk menuntut ilmu. Perlu bersemangat untuk menerima ilmu baru setiap kali kaki jejak di sekolah.
Cukuplah kerisauan berhadapan dengan matapelajaran yang kurang diminati kerana kurang ataupun lambat menguasai.  Cukuplah kehampaan terpaksa berhadapan dengan guru yang kurang memahami, jika ada. Cukuplah menerima jelingan rakan yang susut populariti akibat kehadiran murid baru di dalam kelas yang asalnya dia sangat popular. Cukuplah kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan di sekolah lama yang berat hati untuk ditinggalkan.

Suara hati ini, usahlah diasak dengan tanya siapa, di mana, apa, bagaimana, bila dan sebagainya. Ini bukanlah bertujuan menuding jari mahu mencari salah. Kuat rasa di hati agar situasi tidak menyenangkan tersebut dapat ditangani sebaik-baiknya.

Menjadi mangsa buli bukanlah pengalaman indah nan mengasyikkan. Rakan sekelas -- yang sepatutnya bersikap baik -- bergender lelaki menyerang murid baru bergender perempuan. Kepala ditumbuk, tudung ditarik. Apakah maknanya?

Mendengar sahaja berita ini membikin hati sakit dan pedih bukan kepalang.

Sedang berusaha menanti dengan tenang. Semoga khabar yang diterima pada hari esok memberi keadilan kepada mangsa seterusnya berdaya memberi pengajaran kepada sekumpulan murid bergender lelaki yang bertindak sebagai pembuli.


Rabu, 16 April 2014

Mahu

Dia minat melukis. Dia suka melukis. Berhampiran kediaman kami, setahu saya tiada kelas khusus untuk belajar melukis. Oleh itu, saya sarankan agar gunakan kemudahan internet sebaik mungkin.

"Mama pun tak pernah pergi kelas memasak. Mama belajar melalui internet," sedikit panduan mula dikongsi. Pernyataan itu merujuk kepada resepi-resepi asing yang baru dicuba buat pertama kali. Resepi-resepi mudah yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi. Kemahuan yang kuat sahaja sudah memadai.

Mulanya, dia melukis kartun. Melakar. Komen daripada kawan-kawannya selalu membuat dia teruja. Selalu memberi semangat untuk dia terus melukis. Tidak kurang juga yang memberi komen sebaliknya. Itu perkara biasa. Lebih biasa lagi apabila yang memberi komen negatif itu biasanya kelompok yang sama setiap kali. Pun begitu, dia selalu terasa. Ada riak kecewa di wajahnya. 

Perlahan-lahan dia tetap meneruskan minatnya. Selain kawan-kawan di sekolah, ibu saudaranya turut memberi dorongan -- meminta dilukis gambar wajahnya. Cabaran itu diterima dengan senang hati.

Kemudian, dia beralih melukis 'doodle'. Biarlah, asalkan dia gembira. Sokongan berterusan diberi. Teguran turut diselit di mana patut. Minatnya turut dikongsi dengan adik perempuannya.

Pelajaran diutamakan, minat yang baik usah ditinggalkan.


Mata Lembu

Mata Lembu

Sebelum bulan Mac tahun ini, kisah tentang lasik sering mengisi perbualan. Setiap kali bercerita tentang lasik, ada rasa ngilu mengusik tangkai hati. Seram. 

Apabila diimbas kembali beberapa tahun ke belakang -- sebelum kemajuan dalam memperbaiki kemampuan mata yang berdepan dengan situasi rabun dekat, rabun jauh dan silau ini -- lasik umpama mimpi jadi nyata, umpama angan-angan jadi realiti. Kemustahilan yang bukan lagi mustahil.

Kembali mengenang zaman persekolahan, belahan jiwa saya bercerita. Pernah beliau bertanya pada gurunya tentang kaedah penyelesaian bagi masalah rabun. Ganti dengan mata lembu! Kisah itu disambut dengan tawa yang turut menyambung kepada kisah baru.

"Akak tak suka bila kita tanya kena jawab begitu pula," puteri sulung menyatakan pendiriannya.

"Betul. Mama pun. Cikgu bergurau saja tu. Dulu ya la ganti dengan mata lembu. Sekarang, boleh buat lasik. Janji ada duit," serentak itu dia tersenyum dengan kening sedikit terangkat.

"Ganti dengan mata lembu? Betulkah mama?" Sampuk adik perempuannya.

"Mata lembu?" Adik lelakinya pula mula bersuara.

"Mata 'libu'?" Anak bongsu yang masih pelat turut tidak mahu ketinggalan.

Ketika abah mereka bercerita, berkemungkinan besar anak-anak kurang memberi tumpuan. Tambahan pula kereta sedang bergerak laju. Tumpuan lebih diarahkan keluar. Ke arah pokok-pokok yang sedang terbakar. Asap berkepul-kepul mencemari udara. Musim tengkujuh berundur seketika. Musim kering mengambil tempatnya kini. Sehingga sekarang, hujan sering kali dirindui dan ditunggu-tunggu kehadirannya

"Libu? Mata libu?" Tanya diulang lagi.

"Cuba tengok di sana tu. Ada lembu tak? Nampak tak mata lembu?"