Rabu, 31 Disember 2014

Detik Demi Detik

Menjadi lebih kuat
Menjadi lebih tabah
Menjadi lebih sabar
   Tatkala musibah melanda
   tanpa bau apatah lagi petanda
Mampukah kita?

Sesungguhnya
Hanya Allah Maha Mengetahui.


Ara Aranam
31 Disember 2014
Kerteh, Terengganu

Sabtu, 27 Disember 2014

Mencari Dewan Masyarakat

1 Utama (New Wing) ke Kedai Buku DBP,  26 Disember 2014 - Sudah hampir pukul empat petang. Hajat di hati hendak ke Kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka, mencari majalah Dewan Masyarakat terbitan bulan November 2014. Di dalamnya, termuat artikel hasil tulisan guru kesayangan saya yang berjudul Wanita Lawan Lelaki.


Sebaik selesai mengisi perut yang hebat bergendang, kami enam beranak bergegas menuju ke tempat letak kereta yang terletak di tingkat empat.  Waktu itu, sudah pukul lima petang. Saya mula menggunakan 'Waze' sebagai penunjuk arah.  

Sebelum makan, saya sudah menghubungi Kedai Buku DBP.  Menurut petugas di situ, kedai akan tutup pada pukul lima setengah petang.

Menurut applikasi Waze di telefon tangan, kami akan tiba ke destinasi pilihan dalam tempoh dua puluh minit sahaja. Tetapi, jalan agak sesak. Kami dijangka akan tiba lewat, iaitu kira-kira enam minit selepas Kedai Buku DBP tutup.

Walau bagaimanapun, kami teruskan juga.  Alhamdulillah, kami selamat tiba. Sungguhpun lampu kedai sudah mula dimatikan, saya tetap bertanya petugas di Kedai Buku DBP itu kalau-kalau saya masih boleh membeli majalah Dewan Masyarakat, November. 

Mujurlah, menurut petugas tersebut, saya boleh membeli majalah Dewan Masyarakat yang saya ingini.  Alangkah gembiranya saya!

Kunjungan pertama kali ke Kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka, memberi kenangan manis buat saya.  

Terima kasih kerana tidak menghampakan saya. 





Jumaat, 19 Disember 2014

Hasil

Setiap laluan yang kita pilih
ada hasil di penghujungnya.

Bukankah tiada hasil itu juga
salah satu pilihan yang ada?

Akhirnya
berbalik kepada kita juga.

Mahu apa dan 
bagaimana sebenarnya?

Percayalah
di hujung sana
ada sesuatu untuk kita

Walaupun
yang sedang menanti itu
namanya
...tiada...

Selasa, 23 September 2014

Demi Kasih


Yang mengundang senyumku...

"Awak, kita nak macaron tak jadi."

"Saya nak macaron kecil, sedang, besar, warna campur-campur. Setiap saiz saya nak tiga warna."

"Macaron planet ada lagi tak? Saya nak besok."

"Kita suka macaron yang ada perisa. Blueberry...strawberry...lemon...kita nak inti coklat."

Yang mendorongku mencuba...

"Mama, tengok gambar ni (gambar dari instagram rupanya). Kakak teringin sangat nak rasa. Macam mana rasa macaron tu, ma?"

"Ma, kita pergi sana sekejap (semasa kunjungan kami ke KLCC). Kakak nak ambil gambar macaron."

"Mama pandai tak buat macaron?"

Yang mencungkil kesedihanku...

"Kakak, macaron mama tak jadilah. Semua tak jadi. Kaki tak muncul. Melimpah macam gunung berapi."

"Macaron mama tak jadi lagi. Semua kembang, ada 'skirt'. Mama nak rehat dululah. Mama nak buat benda lain pula -- barulah muncul kek pisang, kek cawan, pavlova -- itulah makna rehat yang kumaksudkan."

Yang mendorongku gigih mencuba...

"Mama, kawan-kawan kakak nak macaron lagi. Masing-masing teringat macaron mama."

Yang menjadi hasratku...

"Bila-bila ada peluang, mama nak ikut kelas 'baking'."

:-)




Ahad, 6 Julai 2014

Sembang Petang di Kedai Alatan Bakeri


Kongsi. Internet dan golongan yang suka berkongsi segala kebaikan berkaitan kehidupan; termasuklah petua rumahtangga, resepi masakan, tips menjaga kebersihan, petua bercucuk-tanam, dan segala macam perkongsian yang baik-baik di dunia siber, tersangatlah membantu golongan yang berkeperluan. Terima kasih buat anda yang suka berkongsi segala hal yang baik-baik di ruang terbuka yang boleh diakses oleh lebih ramai orang.

Di sini, bercerita sendiri. Terima kasih buat anda sama ada yang sengaja singgah ataupun sebaliknya. Saya amat menghargainya.

Selamat menunaikan ibadah dalam bulan Ramadan yang mulia ini. :-)

Baru-baru ini semasa membeli barang keperluan di kedai alatan bakeri, sempat bersembang dengan taukenya. Kebetulan pelanggan pun tidak ramai. Kedai pula sudah menghampiri waktu tamat operasi pada hari itu.

Banyak juga ilmu yang dikongsi. Sempat bercerita tentang isu coklat yang sekejap halal, sekejap tidak. Tentang sabotaj dalam dunia perniagaan. Tentang resepi; coklat mana yang sesuai untuk biskut almond london yang mahu dikerjakan, keju mana yang sesuai untuk biskut pelangi lidah kucing berkeju (rainbow cheese butter cookies), sehinggalah sejauh mana keterbukaan individu mahu berkongsi ilmu -- dalam hal ini resepi. 

Ilmu itu untuk dikongsi. Benar. Tetapi perkongsian itu tidak berlaku dalam semua situasi. Ada hal-hal yang menjadi rahsia sama ada secara personal atau rahsia yang dipegang erat oleh satu kelompok tertentu. Sebenarnya, keadaan itu sudah lama disedari. Tentu sekali sudah ramai yang sedia maklum. Hanya sengaja menafikan hakikat.

Setakat ini dulu. :-)






Jumaat, 6 Jun 2014

Tak Faham Lagi?

Ini kisah pagi tadi semasa bersarapan di kedai makan yang biasa dikunjungi.

Sebaik tiba di meja kami, pelayan bertudung merah mengajukan soalan itu. Selamba sahaja saya jawab, tak faham. 

Sebelumnya, saya sudah membayar keseluruhan jumlah harga makanan yang dipesan. Jumlah itu tidak logik. Saya sudah memintanya mengira sekali lagi. Sama. Jumlah yang tidak logik itu juga. 

Saya kembali ke meja. Duduk dan menghabiskan teh ais yang sedia tinggal sedikit sambil bercerita pada suami tentang hal yang berlaku di kaunter bayaran. Jarang benar saya membayar harga makanan. Mungkin juga saya yang silap menganggar harga.

Selepas bercerita itulah, suami meminta pelayan bertudung merah itu datang ke meja kami. Dia dengan gaya tak mesranya datang sambil memegang kalkulatornya bertanya, tak faham lagi? Soalan itu diajukan selepas kami meminta dia memberitahu satu-persatu harga makanan yang dikenakan.

Tup tap tup tap! Haaah, kan betul dia salah kira! 

Sudahlah. Cukuplah. Lain kali tak perlulah kita makan di sini lagi. Muktamad. Pangkah! Kami sama sepakat memutuskan.

Khamis, 22 Mei 2014

Pameran Foto Mekah dan Madinah : Koleksi Foto Eksklusif dari Saiful Nang (Ulang siar)

19 April 2014 - Berkesempatan melawat Galeri Candid Syndrome di Puchong.  Dapatlah melihat-lihat pameran koleksi foto Tanah Haram 1434H hasil bidikan Saiful Nang yang telah dilancarkan pada 5 April -- kira-kira dua minggu lalu.

Setiap foto eksklusif yang dipamerkan berharga antara RM40.00 - RM3500.00. Hasil keuntungan jualan akan disalurkan kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi :

1. Emel : zaidi@candidsyndrome.com
2. Telefon : 03-80766878 / 012-2305161
3. SMS : 012-2305161
4. Whatsapp : 019-2536474

Alamat lokasi : 62-5, Jalan OP 1/5 One Puchong Business Centre, Selangor.

MEMBELI SAMBIL BERAMAL

Nota  (8/5/2014) : Sekiranya tuan/puan berminat, boleh beri alamat emel di ruangan komen. Terima kasih.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MAKLUMAT TERKINI (Disalin terus dari dinding Facebook Galeri CS) :

Kepada semua peminat koleksi Galeri CS, kini kami sediakan Katalog AlHaram 2014 untuk memudahkan anda meneroka galeri kami secara maya.

Katalog ini lengkap dengan saiz berserta harga mengikut ukuran, material sama ada dengan bingkai atau tidak.

Tuan, puan boleh muat turun aplikasi katalog tersebut melalui pautan berikut:



Sebarang pertanyaan, tuan puan boleh email kepada shauqi@candidsyndrome.com



Pesan Kepada

Kepada sanak saudara,

Kali terakhir bertemu ibu ayah dan keluarga tercinta sekitar Ogos tahun lalu. Bertemu setahun sekali amat besar maknanya bagi saya.

Kepada pengunjung blog Menelusuri Ilham ini,

Terima kasih banyak atas kunjungan anda. Saya amat menghargainya. Andai ada silap dan salah sejak blog ini mula mengatur aksara pada bulan Disember 2008, mohon maafkan kekhilafan saya.

Kepada pembantah pembangunan Pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu,

Teruskan usaha anda mempertahankannya. Pantai Tanjung Aru sentiasa menanti untuk dipertahankan. Pantai Tanjung Aru gembira dan bahagia dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. Pantai Tanjung Aru tidak gemar berkasta-kasta. 

Kepada perokok tegar,

Kasihanilah anak-anak orang lain. Kasihanilah orang-orang lain. Kasihanilah!

Kepada pentadbir dan pemimpin di segenap peringkat,

Jujurlah. Amanahlah. Bertanggungjawablah. Saya tahu anda wujud. Kejujuran, sikap amanah dan bertanggungjawab itu antara tiket ke syurga. Sahut cabaran ini pasti anda tidak akan menyesal.

Kepada warga pendidik,

Sayangilah anak-anak kami. Warga tanahair ini. Dan, anak sesiapapun jua yang dahagakan ilmu.

Kepada anak-anak,

Cakap orang yang lebih tua, dengarkanlah. Bukan kerana banyak garam yang dimakan. Tidak lain dan tidak bukan supaya kalian mendewasa menjadi anak-anak yang berbudi bahasa dan cemerlang sebagai manusia beradab mulia.

Kepada diri,

Berhati-hati.




Selasa, 20 Mei 2014

Tart Nenas Mama


Tart nenas mama yang selalu diingat-ingat. Sanggup berputih mata kerana tidak sampai hati meminta-minta. Gembira tidak terkata apabila pucuk dicita ulam mendatang. Tunggu aku datang, tart nenas jem merah; kuih raya kegemaran sejak kecil hinggalah dewasa.

Ini tentang kenangan. Tentang rindu yang tidak semua insan berdaya memahami. Bukan sebab tidak sabar menunggu Syawal menjelma. Ramadan belum pun menjengah lagi.

Rindu. Ini tentang rindu. Rindu yang tidak semua orang mampu memahami. 


Isnin, 19 Mei 2014

Buli

Buli.  Ini realiti.  Mangsa yang pendiam dan memilih untuk menutup mulut tanpa mengadu sama ada kepada ibu bapa ataupun penjaganya akan terus-terusan berada dalam keadaan tertekan.  Disisih rakan amat menyakitkan. Sekolah adalah tempat untuk menuntut ilmu. Perlu bersemangat untuk menerima ilmu baru setiap kali kaki jejak di sekolah.
Cukuplah kerisauan berhadapan dengan matapelajaran yang kurang diminati kerana kurang ataupun lambat menguasai.  Cukuplah kehampaan terpaksa berhadapan dengan guru yang kurang memahami, jika ada. Cukuplah menerima jelingan rakan yang susut populariti akibat kehadiran murid baru di dalam kelas yang asalnya dia sangat popular. Cukuplah kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan di sekolah lama yang berat hati untuk ditinggalkan.

Suara hati ini, usahlah diasak dengan tanya siapa, di mana, apa, bagaimana, bila dan sebagainya. Ini bukanlah bertujuan menuding jari mahu mencari salah. Kuat rasa di hati agar situasi tidak menyenangkan tersebut dapat ditangani sebaik-baiknya.

Menjadi mangsa buli bukanlah pengalaman indah nan mengasyikkan. Rakan sekelas -- yang sepatutnya bersikap baik -- bergender lelaki menyerang murid baru bergender perempuan. Kepala ditumbuk, tudung ditarik. Apakah maknanya?

Mendengar sahaja berita ini membikin hati sakit dan pedih bukan kepalang.

Sedang berusaha menanti dengan tenang. Semoga khabar yang diterima pada hari esok memberi keadilan kepada mangsa seterusnya berdaya memberi pengajaran kepada sekumpulan murid bergender lelaki yang bertindak sebagai pembuli.


Jumaat, 16 Mei 2014

Kapsul Nurani Pencetus Inspirasi



Kapsul Nurani. Buku ini setebal 209 halaman. Sudah lebih sepuluh hari dan pembacaan masih juga belum selesai. Usah salah faham. Kapsul Nurani ini adalah sebuah buku yang cukup istimewa. Kewujudannya hasil permuafakatan seramai 50 orang penulis bersama-sama sidang admin yang berpengalaman dalam bidang penerbitan. 

Hampir setiap kali selepas membaca setiap karya yang berbeza hasil nukilan penulis yang semestinya berbeza; pelbagai rasa singgah di jiwa. Terbaru, baru saja usai membaca kisah Mengemis Pahala oleh Tongkat Jibril. Setiap karya ada keistimewaan yang tersendiri.

Saya berpendapat, lebih ramai orang patut memiliki Kapsul Nurani. 

Dari pengalaman saya menelusuri bait demi bait kisah-kisah dalam Kapsul Nurani, saya kembali mampu mengisi buku nota yang di kulit hadapannya terpampang kata-kata 'Don't stop when you're tired. Stop when you're done' yang terselit sebatang pen biru di celah gegelang hitam yang mengikat helai demi helai kertas putih di dalamnya. 

Menulis sekali duduk. Itulah yang saya lakukan. Kapsul Nurani mencetus inspirasi untuk saya menulis. Walaupun kecil, biarpun sedikit, paling penting bagi saya ayat demi ayat yang saya coretkan punya kisah yang selayaknya ditulis supaya boleh menjadi kenangan pada masa akan datang. 

Kapsul Nurani, Pencetus Inspirasi

Selasa, 22 April 2014

Pameran Foto Mekah dan Madinah : Koleksi Foto Eksklusif dari Saiful Nang

19 April 2014 - Berkesempatan melawat Galeri Candid Syndrome di Puchong.  Dapatlah melihat-lihat pameran koleksi foto Tanah Haram 1434H hasil bidikan Saiful Nang yang telah dilancarkan pada 5 April -- kira-kira dua minggu lalu.

Setiap foto eksklusif yang dipamerkan berharga antara RM40.00 - RM3500.00. Hasil keuntungan jualan akan disalurkan kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi :

1. Emel : zaidi@candidsyndrome.com
2. Telefon : 03-80766878 / 012-2305161
3. SMS : 012-2305161
4. Whatsapp : 019-2536474

Alamat lokasi : 62-5, Jalan OP 1/5 One Puchong Business Centre, Selangor.

MEMBELI SAMBIL BERAMAL

Nota  (8/5/2014) : Sekiranya tuan/puan berminat, boleh beri alamat emel di ruangan komen. Terima kasih.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MAKLUMAT TERKINI (Disalin terus dari dinding Facebook Galeri CS) :

Kepada semua peminat koleksi Galeri CS, kini kami sediakan Katalog AlHaram 2014 untuk memudahkan anda meneroka galeri kami secara maya.

Katalog ini lengkap dengan sais berserta harga mengikut ukuran, material samada dengan bingkai atau tidak.

Tuan, puan boleh muat turun aplikasi katalog tersebut melalui pautan berikut:



Sebarang pertanyaan, tuan puan boleh email kepada shauqi@candidsyndrome.com


Rabu, 16 April 2014

Mahu

Dia minat melukis. Dia suka melukis. Berhampiran kediaman kami, setahu saya tiada kelas khusus untuk belajar melukis. Oleh itu, saya sarankan agar gunakan kemudahan internet sebaik mungkin.

"Mama pun tak pernah pergi kelas memasak. Mama belajar melalui internet," sedikit panduan mula dikongsi. Pernyataan itu merujuk kepada resepi-resepi asing yang baru dicuba buat pertama kali. Resepi-resepi mudah yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi. Kemahuan yang kuat sahaja sudah memadai.

Mulanya, dia melukis kartun. Melakar. Komen daripada kawan-kawannya selalu membuat dia teruja. Selalu memberi semangat untuk dia terus melukis. Tidak kurang juga yang memberi komen sebaliknya. Itu perkara biasa. Lebih biasa lagi apabila yang memberi komen negatif itu biasanya kelompok yang sama setiap kali. Pun begitu, dia selalu terasa. Ada riak kecewa di wajahnya. 

Perlahan-lahan dia tetap meneruskan minatnya. Selain kawan-kawan di sekolah, ibu saudaranya turut memberi dorongan -- meminta dilukis gambar wajahnya. Cabaran itu diterima dengan senang hati.

Kemudian, dia beralih melukis 'doodle'. Biarlah, asalkan dia gembira. Sokongan berterusan diberi. Teguran turut diselit di mana patut. Minatnya turut dikongsi dengan adik perempuannya.

Pelajaran diutamakan, minat yang baik usah ditinggalkan.


Mata Lembu

Mata Lembu

Sebelum bulan Mac tahun ini, kisah tentang lasik sering mengisi perbualan. Setiap kali bercerita tentang lasik, ada rasa ngilu mengusik tangkai hati. Seram. 

Apabila diimbas kembali beberapa tahun ke belakang -- sebelum kemajuan dalam memperbaiki kemampuan mata yang berdepan dengan situasi rabun dekat, rabun jauh dan silau ini -- lasik umpama mimpi jadi nyata, umpama angan-angan jadi realiti. Kemustahilan yang bukan lagi mustahil.

Kembali mengenang zaman persekolahan, belahan jiwa saya bercerita. Pernah beliau bertanya pada gurunya tentang kaedah penyelesaian bagi masalah rabun. Ganti dengan mata lembu! Kisah itu disambut dengan tawa yang turut menyambung kepada kisah baru.

"Akak tak suka bila kita tanya kena jawab begitu pula," puteri sulung menyatakan pendiriannya.

"Betul. Mama pun. Cikgu bergurau saja tu. Dulu ya la ganti dengan mata lembu. Sekarang, boleh buat lasik. Janji ada duit," serentak itu dia tersenyum dengan kening sedikit terangkat.

"Ganti dengan mata lembu? Betulkah mama?" Sampuk adik perempuannya.

"Mata lembu?" Adik lelakinya pula mula bersuara.

"Mata 'libu'?" Anak bongsu yang masih pelat turut tidak mahu ketinggalan.

Ketika abah mereka bercerita, berkemungkinan besar anak-anak kurang memberi tumpuan. Tambahan pula kereta sedang bergerak laju. Tumpuan lebih diarahkan keluar. Ke arah pokok-pokok yang sedang terbakar. Asap berkepul-kepul mencemari udara. Musim tengkujuh berundur seketika. Musim kering mengambil tempatnya kini. Sehingga sekarang, hujan sering kali dirindui dan ditunggu-tunggu kehadirannya

"Libu? Mata libu?" Tanya diulang lagi.

"Cuba tengok di sana tu. Ada lembu tak? Nampak tak mata lembu?" 


Selasa, 25 Mac 2014

Isnin, 24 Mac 2014

Kek Pisang


Kek pisang. Keenakan rasanya kian terserlah dengan cairan coklat dan taburan coklat urai. Memikat selera -- bonus untuk penggemar pisang -- penggemar coklat juga. 

* Selain batik lapis Marie, macaron coklat dan mini tart keju, kek pisang ini juga menarik untuk dijual dengan saiz potongan yang kecil-kecil.

Isnin, 10 Mac 2014

Hilang

Ini bukanlah masa
menuding jari mencari-cari salah.

Ini bukanlah masa 
menjadi nujum mereka-reka cerita.

Ini bukanlah masa
beramai-ramai memaksa-maksa.

Sewajarnyalah kita
bersama-sama berdoa
moga yang hilang segera
dijumpai.
moga yang hilang segera
muncul.
Moga yang hilang segera
kembali.

Sahabat-handai ramai menanti
Sanak-saudara apatah lagi.

Usah ditambah sengsara 
di jiwa yang sedang menanti
insan kesayangan 
entah di mana berada
entah bila kan pulang
entah pulang dari mana.

Berdiamlah andai kata-kata
menjadi racun.

Bersuaralah andai kata-kata
menjadi penawar.



Ahad, 2 Mac 2014

Keramahan Mengusik Rasa

Senyum tak lekang
pada wajah-wajah nan ayu
tatkala menerima kunjungan kami
walaupun baru sekali bersua
keramahan mereka mengusik rasa.

Kehilangan abadi
yang mereka alami
berpisah alam dengan 
ayah juga bonda
menumpang teduh
meneruskan hidup 
bersama-sama teman senasib
hidup bersama bagai saudara sedarah
dijagai insan-insan yang baik hati dan budi.

Semoga ketabahan mereka meniti
kehidupan ini kan menumbuhkan
keinsafan dan kekuatan
di jiwa anak-anak. Semoga...

Khamis, 20 Februari 2014

Selera

Gambar makanan. Selalu muncul di dinding Facebook saya -- termasuk gambar-gambar makanan yang saya ambil juga -- sekarang sudah berkurang. Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan gambar-gambar makanan yang dimuat naik oleh kawan-kawan. 

Bagi saya, perkongsian itu memberi idea untuk mencuba masakan baru ataupun mencari hidangan tersebut di restoran (ataupun warung) berkenaan.

Apabila selera tiada, gambar-gambar itu sedikit-sebanyak membantu 'memanggil' selera. Tidak semestinya keinginan mahu makan makanan yang sama. Keinginan terbit untuk mencicipi menu lain yang akrab dengan selera sendiri.

Apalah salahnya berkongsi. Bukankah sering kita berazam mahu berfikiran positif? Mengapa tidak kita ambil yang baik-baik sahaja dari perkongsian itu? Jikalau tidak suka dengan apa yang kita lihat, pilih saja butang sembunyi. Selesai.

Pernahkah kita terfikir, tujuan perkongsian itu; keinginan berkongsi resepi, mengimbau kenangan bersama keluarga dan teman-teman, dan sebagainya. Sebelum ini, saya sekadar menjadi pemerhati pada pendapat yang pelbagai tentang perkongsian gambar makanan ini.

Alangkah moleknya kita boleh menerima gambar-gambar makanan yang dimuat naik ke media sosial itu sebagaimana kita menerima kewujudan gambar-gambar makanan dalam majalah ataupun program masakan di televisyen.

Sejujurnya, saya suka bertukar-tukar resepi. Bertukar-tukar idea. Paling kerap yang saya buat, lihat dan diam sahaja.

Selagi tidak kelihatan riak ataupun jelas dengan sengaja menimbulkan kedengkian seterusnya rasa kurang selesa pada orang lain, saya ternanti-nanti rakan-rakan saya berkongsi gambar-gambar hidangan yang mereka nikmati ataupun pelbagai resepi yang mereka sukai.

Sekiranya gambar-gambar itu boleh dinikmati aromanya, tentu saya berfikir banyak kali untuk menanti perkongsian menu seterusnya. 

Bilis tempoyak yang enak dan tahan lama 
jikalau disimpan di dalam peti sejuk.

Si Bulat Yang Manis

Si Bulat Yang Manis

Beberapa minggu lepas, ada permintaan dari buah hatiku. Minta dibikinkan sedikit Macaron Coklat supaya dapat merasa. Tidak perlulah berwarna-warni.  Macaron Coklat sahaja pun, cukuplah katanya. Sebelum ini, pernah berhajat membeli di kedai. Sudahnya tidak juga dibeli-beli. Belum pernah merasa tapi hati sudah terpikat. Keinginan mahu merasa semakin kuat. Daripada gambar-gambar yang terpampang ataupun produk yang siap sedia, semuanya berwarna-warni. Warna itulah yang menambat hati, mungkin.

Dua tiga hari lepas, buah hatiku demam. Oleh kerana bahan-bahan untuk membuat Macaron Coklat ini sudah sedia ada maka bermulalah projek membuat Macaron Coklat. Ah, kecewa! Lebih banyak tak jadi berbanding yang jadi. Memadailah dulu. Asal dapat merasa. Asal hajat tercapai.

Kufikir, takkan ada permintaan untuk membuat Macaron Coklat itu sekali lagi. Macaron Coklat yang tak jadi itu semasa dimakan panas-panas, rasa manisnya buat kepalaku berdenyut-denyut. Tentu tidak ada permintaan lagi. Cukuplah. 

Sangkaanku meleset. Buah hatiku membawa pesan. Kawan-kawan sekolahnya mahu juga ikut merasa. Minta dibawakan ke sekolah besok pagi. Sangka mereka Macaron Coklat yang kubuat itu banyak. Banyak tak jadi daripada jadi sebenarnya.

Untuk tidak menghampakan insan-insan yang menaruh harap, aku mencuba lagi. Kali ini banyak jadi berbanding tak jadi. Lega!

Resepi Si Bulat Yang Manis ... selamat mencuba!




Rabu, 19 Februari 2014

Luka

- i -

Rasa hati luka
biarkan saja
asal tidak bernanah.
Kan terubat jua
mengalir 
bersama-sama masa
mendap diam 
dalam ingatan 
yang samar.

- ii -

Hati sudah berhenti
menggali mencari
siapa akrab siapa jauh
siapa dekat siapa setia.

- iii -

Tikaman halimunan
tepat di belakang
itu pedih sakit.
Biar pun hanya 
menggawang di udara
namun tembus sampai
ke hati.

Manis?
Ah, cuma di bibir!




Sabtu, 15 Februari 2014

Usai Mengintai Kisah Cinta Delaila Azilah dalam Lelaki Januari

Selesai juga akhirnya menelusuri kisah cinta Delaila Azilah. Pada awal pembacaan, hampir saja memutuskan untuk berhenti. Ingin berhenti kerana kegedikan Wairah. Memilih untuk membaca novel ini pun kerana penulisnya, Hafizah Iszahanid. Langgam bahasanya memikat hati. Sudahnya, pembacaan diteruskan. Sebelum Haifa terlantar sakit, sebelum Delaila Azilah membuka kembali pintu hatinya menerima cinta Ali Syukri, Wairah selalu sahaja membikin hati geram. Ah! Menuju halaman terakhir, membaca tanpa rasa kerana menyedari jodoh Delaila Azilah dan Ali Syukri sudah berakhir dua belas tahun lalu. Syabas Hafizah Iszahanid! Kini menanti novel puan penulis seterusnya. :-)

Khamis, 13 Februari 2014

Lelaki Januari karya Hafizah Iszahanid

Sempat menjeling reviu dalam Goodreads. Lenggok bahasa yang manis. Kemarahan watak utama yang terkawal dan tetap sopan bahasanya. Watak Wairah yang menjengkelkan hingga ada yang terasa hendak baling buku -- bahagian ini agak merisaukan -- untuk memahami kisah cinta Delaila dan Ali Syukri, kenalah baca sehingga habis. Setakat ini dulu.

Ahad, 19 Januari 2014

Kerana Mahu

Meminta-minta
Malu ditapuk-tapuk
Sambil meminta
Mengutuk-ngutuk.

Meminta-minta
kerana iri
di sana mendapat
di sini tidak.

Meminta-minta
tanah kemarau diairi.
Penjaga empangan
disalah-salahkan
mengapa empangan
pun kontang airnya
walhal kemarau melanda
bukan aturan manusia.

Meminta-minta
Hindari mendesak
Elakkan mengutuk
Biar teguh beradab.


Selasa, 14 Januari 2014

Laksana Apa Kita

Menjadi laksana apa kita
andai diri tak silu
mencemuh pemimpin.

Menjadi laksana apa kita
andai zuriat tak berhemah
memilih kata-kata
menghambur lancar
ke wajah kita.

Bukankah tak ubah
bagai menconteng arang
ke muka sendiri...






Selasa, 7 Januari 2014

Sempurna

Ramai orang boleh memberi komen menguja -- tidak kurang yang mengeji -- pada keindahan yang terpamer pada wajah yang siap disolek dengan pelbagai warna terpilih. Memberi komen (negatif) tanpa rasa bersalah. Sebaliknya, wajah bersih bebas solekan -- wajah asli kurniaan Ilahi -- itulah yang paling sempurna. Titik.

(Selepas menonton video pendek tentang ekploitasi ke atas wanita)