Memaparkan catatan dengan label Cerita pendek. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita pendek. Papar semua catatan

Sabtu, 11 April 2009

Gegar dan Goyang

Prak!

Bunyi itu begitu jelas kedengaran. Dia terasa rumahnya bergegar. Debar di hatinya semakin kencang. Saat itu dia hanya mampu berdoa, agar tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Bum!

Kali ini cemasnya semakin bertambah. Bunyi itu terlalu kuat, seperti bunyi letupan bom. Bunyi itu begitu menggerunkan. Dan sekarang, dia terasa rumahnya bergoyang.-goyang. Bergegar dan bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Dia tidak dapat menerka dengan tepat, keadaan apakah yang sedang dilaluinya ketika itu. Ada letupan bomkah? atau ada gempa bumikah? Dia benar-benar tidak tahu. Dia mahu segera menghubungi suaminya.

Ah! dia tidak ingat di mana telefon bimbitnya. Talian kediamannya pula tidak berfungsi sejak beberapa hari yang lalu. Saat ini, hatinya benar-benar dihambat kerisauan yang teramat sangat. Dalam kesukarannya untuk melangkah dengan teratur, dia teringat sesuatu yang tiba-tiba begitu meruntun hatinya.

"Ain, Ain!" dia memanggil nama itu sekuat-kuat hatinya. Jantungnya terasa begitu kencang degupannya. Seluruh badannya menggeletar. Cemas, bingung, dan semua kerisauan menyatu dalam dirinya. Air matanya mula mengalir. Dia tidak tahu kenapa dia menangis. Dia tidak mahu menangis sebenarnya, tetapi tanpa dipinta, air matanya tetap juga mengalir membasahi pipinya. Baru sahaja dia mahu menuruni tangga, dia terdengar suara Ain.

"Ibu, Ain di dalam bilik!" jawab Ain sambil menjerit ketakutan. Mujurlah dia dapat menangkap suara Ain, anaknya yang baru berusia enam tahun itu. Anaknya tetap menyahut panggilannya dalam suasana mencemaskan itu.

"Syukur Alhamdulillah," dia mengucap syukur. Bulu romanya merinding. Dia sedar anaknya ketakutan. Dia juga takut. Tetapi, ketakutan anaknya pastilah lebih lagi daripada dirinya.

Dalam cemas dan gemuruhnya yang masih belum menghilang, dia segera menuju ke bilik Ain. Dia ingin segera memeluk anaknya, dan menenangkannya. Dia mesti. Mesti menggagahkan dirinya yang juga sedang menggigil hebat pada waktu itu.

Selasa, 7 April 2009

Tangguh Dahulu

Di atas meja kopi, yang dialas dengan kain putih yang bersulam cantik, terhidang secawan kopi dan sepiring karipap. Kopi masih panas, karipap juga tidak kurang panasnya. Dihidang di dalam piring selepas ditos sekejap di atas kertas minyak ketika di dapur tadi.

Mata sang suami masih lagi tertumpu ke arah siaran berita di kaca televisyen. Kopi belum dihirup, karipap juga langsung belum disentuh. Di sebelahnya, isterinya terus menunggu.

"Minum, Bang," ini kali ketiga dia bersuara. Ada sesuatu yang ingin dikatakannya lagi. Dia mahu suaminya minum kopi dulu, ataupun makan karipap yang dihidangnya dulu, sebelum dia membuka bicara seterusnya.

Ketika siaran iklan mengambil tempat, suaminya memandang isterinya sekilas sambil menghela nafas, panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Sempat dia menangkap senyum yang menguntum di bibir isterinya. Dia mula menghirup kopi, perlahan-lahan.

"Ah...sedap! Pandai isteri Abang bancuh kopi," pujinya seperti selalu. Kemudian, dia makan karipap pula. Karipap berinti daging dan kentang kegemarannya.

"Mmm...sedap sungguh! pandai betul isteri Abang buat karipap," kali ini dia kelihatan terkejut. Setahunya, selama mereka menjadi suami isteri, belum pernah lagi isterinya membuat karipap untuknya. Sebelum ini, lama sebelum ini, pernah juga dia berasa hairan. Bukannya isterinya tidak tahu, karipap memanglah kesukaannya. Tetapi, belum pernah lagi isterinya membuat karipap untuknya. Inilah pertama kali isterinya membuat karipap kegemarannya, yang pertama dan paling sedap. Selalunya, bila-bila dia teringin makan karipap, gerai yang ada di tepi jalan masuk ke rumahnya itulah yang jadi tumpuan.

"Sedap sungguh, lain kali buat lagi tau," pesannya bersungguh-sungguh. Isterinya tersipu-sipu malu.

"Karipap di gerai Kak Mah lagi sedap, Bang," isterinya merendah diri. Mungkin dia berasa dirinya tidak layak dipuji begitu, bertalu-talu.

"Lepas ni, Abang tak akan beli karipap di situ lagi. Abang cuma nak makan karipap yang isteri Abang buat saja," tanpa memandang ke arah isterinya, dia mengambil karipap terakhir di dalam piring di atas meja kopi di hadapannya, karipap yang kelima. Niat isterinya yang mahu menyuarakan sesuatu, yang mungkin saja akan melenyapkan kegembiraan suaminya ketika ini, ditangguhnya dahulu.

Dia tidak mahu kegembiraan suaminya ketika ini menjauh pantas. Kegembiraan paling manis dan bermakna, jauh dari jangkauan akal fikirannya sebelum ini. Kegembiraan suaminya sehingga mampu menghabiskan sepiring karipap hasil air tangannya. Hasil daripada resepi yang baru sahaja disalinnya daripada Kak Mah petang kelmarin. Sesungguhnya, kegembiraan suaminya adalah kegembiraannya juga.


Jumaat, 3 April 2009

Debar

Kota Kinabalu

Matanya terpaku pada iklan di surat khabar di hadapannya. Surat khabar tempatan. Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Oh, tarikh tutupnya hari ini! desis hati kecilnya. Udara panas yang membahang sedikit mengganggunya. Bunyi kenderaan membingit, hon bertalu-talu, memang begitulah lumrah sebuah kota.

Dia segera menyeluk poket seluar panjangnya. Seluar jeans, biru lusuh. Mujurlah, ada beberapa keping duit syiling. Matanya melilau tercari-cari. Pondok telefon awam. Dia segera menuju ke situ. Kebetulan tidak ada sesiapa yang menggunakannya. Gagang diangkat, duit syiling dimasukkan. Dia menekan-nekan, enam nombor. Dia mahu segera bercakap dengan Emak, untuk meminta izin. Dia teringin menyertai Minggu Penulis Remaja!

"Terima kasih, Mak. Terima kasih," dia kelihatan begitu gembira. Hatinya berbunga, riang. Sungguh, dia tidak menyangka begitu mudah keizinan diperolehi. Lazimnya, tidak begitu. Biasanya sesudah mendapat keizinan Emak, dia perlu mendapatkan keizinan Bapa pula.

Hmm...mungkin Bapa ada berhampiran Emak. Mungkin Bapa sudah memberikan isyarat setuju kepada Emak. Mungkin saja begitu, tidak mustahil. Dia tersenyum, lega. Pun begitu, rasa tidak percaya masih lagi menguasai dirinya.

Kemudian, dia memasukkan pula duit syiling dua puluh sen, dan mula mendail nombor-nombor yang baru dihafalnya sebentar tadi. Dia berharap agar dapat bercakap sendiri dengan Encik Matlin Dullah. Ya, itulah nama yang tertera di dalam iklan yang baru dilihatnya sebentar tadi.

Sebenarnya, dia boleh pergi terus ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dari pondok telefon awam tempat dia berada, dia boleh melihat dengan jelas bangunan itu. Di tangannya pun dia sedang menjinjing beg plastik. Di dalamnya ada beberapa buah buku yang baru dibelinya. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, dia memilih untuk menelefon sahaja. Lebih baik begitu fikirnya.

Sementara menanti panggilannya dijawab, debaran dadanya bertambah kencang. Dia risau kalau-kalau penyertaan sudah ditutup. Bermacam-macam lagi yang berlegar-legar di fikirannya. Dia belum pernah menulis karya kreatif.

Dia risau kalau-kalau tidak diterima. Menyumbang suara untuk drama atau sandiwara di radio pasti tidak mencukupi. Pasti mereka memerlukan sesuatu yang lain, yang lebih besar fikirnya.

'Aku akan cuba juga,' tekadnya bulat. Dia tidak akan berundur walau selangkah sebelum mencuba. Lagi pun, tidak ada ruginya mencuba. Tidak cuba, tidak tahu.

Dalam debar, dia terus menanti. Dan debar itu semakin kencang. Debar menanti panggilan telefon dijawab.

Panahan Rasa

Serta-merta matanya berkaca. Kemudian, tangisnya kedengaran. Mula-mula perlahan, dan kemudian meninggi. Anak kecilnya yang sedang bermain-main dengan kereta kecil berwarna biru berhampirannya, kelihatan hairan dan tergamam seketika. Kereta mainannya ditinggalkan dan dia pun menapak sambil bertanya perlahan.

"Kenapa Mama? kenapa Mama menangis? Ada orang sakitkah, siapa?" pertanyaannya bertalu-talu. Mamanya sekadar menggeleng, berkali-kali. Hatinya tersentuh menerima mesej lewat telefon bimbitnya, sebentar tadi. Bukan sayang, tiada sesiapa yang sakit, bisiknya di dalam hati. Dia tidak mampu untuk mengungkapkan sebarang kata. Ngogoinya masih belum hilang lagi.

Ketika ini, tiada siapa tempatnya mengadu. Tiada bahu untuknya menumpahkan air matanya. Tiada tangan yang boleh membantu menyeka air matanya. Dia menghadap komputer kesayangannya. Jari-jemarinya mula mengetik-ngetik, sambil matanya yang masih dibasahi air mata menatap sayu setiap kata yang mula tersusun. Dan di situ dia menumpahkan rasa, yang sedikit, yang ditapis-tapis. Dan tetap juga kurang, tidak sama dengan sejuta rasa yang sedang ditanggungnya. Puisinya, 'Panahan Rasa'...

Saat ini
Aku seolah karam di laut rasa.

Sungguh
kecewa yang kurasa
membuatku sengsara
membuatku lemah dan tidak berdaya.

Panahan rasa akibat
Disalah anggap dan tidak dimengerti
menjalar rakus ke seluruh urat sarafku
merobek-robek tangkai hatiku
merusuh-rusuh jauh di mindaku.

Dan di sini
Aku seolah hilang arah
Sendiri-sendiri tercari-cari
Bagai anak ayam kehilangan ibu.

Ya Allah, ampunilah aku.

Wahai yang tersalah menilaiku
Maafkanlah aku
Derita ini biarkanlah aku tanggung sendiri.

Dia meniti setiap bait. Seolah-olah melimpah dari kolam hatinya. Dia sedar. Ada aksara yang membentuk kata-kata yang tidak manis untuk diteruskan. Tetapi, dia tetap membiarkan. Membiarkan saja perkataan-perkataan yang kedengaran tidak patut, bukan saja di matanya, tetapi juga di hatinya, di mindanya, di bibirnya, dan di telinganya. Dia sekadar memandang, bait demi bait 'Panahan Rasa'.

Tangisnya kian menyurut. Dan derita itu, ingin ditanggungnya sendiri-sendiri. Anak kecilnya didakap, erat....

Isnin, 30 Mac 2009

Senyum Untukku

Nafasku semakin menderu. Saat ini, telingaku mula terasa panas. Tentu warnanya sudah seperti udang kukus, ataupun udang masak mentega kegemaranku. Ah! semua itu tidak mampu merawat bengkak hatiku sekarang ini.

Sejak aku mendengar tentang kebenaran yang disuarakannya padaku, aku langsung tidak memandang wajahnya walau sekali. Aku hairan, bagaimana dia boleh terlupa benda sepenting itu. Walhal dia tahu, itulah tujuan utama kami mahu berpergian ketika ini. Cuai. Memang cuai.

Menyusahkan. Menyusahkan betul. Sekarang, setelah hampir dua kilometer meninggalkan rumah, terpaksa pula berpatah balik. Membazir betul. Tidak putus-putus kesalku melanda.

Telingaku dapat menangkap dengan jelas esak tangisnya. Dalam panas membara yang menyelinap bebas menguasaiku, langsung tidak terkesan kesedihannya di hatiku. Dalam keadaan jiwa yang panas membara, aku membuat pusingan U tergesa-gesa.

Serentak itu juga, keadaan yang tidak kusangka-sangka, berlaku. Abang! jeritnya ketakutan. Ayah! jerit anak-anakku, juga ketakutan. Bunyi hon bertalu-talu, panjang. Dan, kereta Kancil itu memecut laju di hadapan. Aku tidak mampu menahan debar. Bara membahang yang menguasaiku sebentar tadi perlahan-lahan sirna.

Oh! maafkan Aku, suriku. Maafkan Aku kerana menyeksamu begini. Esak tangismu tidak kuhirau. Pohonlah kemaafan dariku sekarang juga. Pasti. Aku pasti akan memaafkanmu tanpa bertangguh.

Kalau kau masih terus menangis, masih terus diam membisu, hatiku akan terusik lagi. Hatiku akan membara lagi. Pohonlah kemaafan dariku sekarang juga. Aku menanti, dan terus mengharap di dalam hati.

Tiba-tiba, pemanduanku serba tidak kena. Kereta tidak bergerak lancar seperti biasa. Aku segera memperlahankan kereta dan berhenti di sebelah kiri jalan. Aku keluar dan memeriksa tayar. Pancit. Satu tayar pancit, tayar belakang sebelah kiri. Aku memicit-micit kepalaku. Sakit. Pening. Bingung. Meluru pelbagai persoalan di benakku. Apa akan terjadi kalau kami tidak berpatah balik? Adakah Aku yang bersalah kerana gagal mengawal emosiku? Saat ini, jauh di sudut hatiku, Aku hanya mampu mengatakan ini...maafkan Aku, wahai isteriku! Aku memandangnya. Dia juga memandangku, sayu.

Sekali lagi kuulangi, "Maafkan Abang."

Dan air matanya pun mengalir lagi sambil bibirnya menguntum senyum. Senyum untukku.

Rabu, 25 Mac 2009

Mi Makcik Mi

Aku kagum melihat kepantasan Makcik Mi menyediakan mi goreng yang kupesan. Sembilan bungkus. Setiap bungkus berharga lima puluh sen. Sudah lima hari aku mengumpul duit belanja sekolahku. Aku ingin memberikan setiap ahli keluargaku seorang sebungkus mi yang dijual oleh Makcik Mi. Mi yang paling sedap bagiku.

Dalam banyak-banyak gerai yang ada menjual mi di sini, mi goreng Makcik Milah yang paling sedap. Terbayang-bayang aku betapa sedapnya mi goreng Makcik Mi. Kecur liurku. Serta-merta ada yang terlintas di fikiranku. Ketika Makcik Mi, memasukkan semua sembilan bungkus mi yang kupesan ke dalam beg plastik berwarna hitam, aku tersenyum memandangnya.

''Makcik...''

Aku sekadar memanggilnya Makcik. Makcik Mi gelaranku untuknya, sendiri-sendiri.

''Ya, ada apa?''

Tanya Makcik Mi, acuh tak acuh. Aku tiba-tiba merasa ragu untuk terus bertanya.

''Mi goreng Makcik, sedap. Saya suka sangat.''

Makcik Mi memandangku sambil tersenyum. Pasti dia gembira dipuji begitu. Memang patut dia berasa gembira. Aku benar-benar ikhlas memujinya.

''Macam mana Makcik buat? Macam mana mi Makcik boleh sedap sangat?''

Akhirnya aku tanyakan juga kepadanya. Aku lihat Makcik Mi tunduk kembali, mengacau-ngacau mi yang sudah tinggal separuh di talam berwarna merah. Selepas itu, Makcik Mi menghalau-halau pula lalat yang berterbangan barang tiga empat ekor. Penghalau lalat itu tentu dibuat sendiri oleh Makcik Mi. Cuma kayu panjang yang di hujungnya diikat beg plastik. Aku terus setia menunggu soalanku dijawab olehnya.

''Macam biasa. Macam orang lain masak juga. Ada bawang, ada kicap, ada garam.''

Eh! Takkanlah. Aku tidak puas hati dengan jawapannya. Aku pernah juga menggoreng mi sendiri. Ibu ajar. Tetapi, mi yang kugoreng tempoh hari, rasanya tidaklah sesedap mi goreng Makcik Mi. Aku bertanya lagi.

''Tak sama. Mi makcik lagi sedap. Macam mana Makcik masak?''

''Makcik letak tepung jagung.''

Oh! Agaknya di situlah letaknya kesedapan mi Makcik Mi. Aku berazam untuk mencubanya.

Kawanku yang sejak tadi mendengar perbualan kami, berkerut keningnya. Aku melihatnya, hairan.

''Kenapa rupa engkau macam tu? Siap kerut-kerut kening lagi.''

''Aku hairanlah, pasal apa kautanya macam-macam dengan Makcik tu. Aku tengok dia macam susah sangat nak jawab soalan-soalan kautadi.''

Aku tersenyum girang sambil memberitahunya yang aku mahu cuba memasak mi goreng. Masak ikut resepi Makcik Mi. Letak tepung jagung.

''Kauingat, betulkah mi tu sedap semata-mata kerana letak tepung jagung? Entah-entah ada ramuan lain lagi tak?''

Aku tidak mahu menyangka yang bukan-bukan. Aku memandang ke belakang. Gerai Makcik Mi sudah tidak kelihatan. Berjalan kaki sambil bercerita memang begitu, selalu tidak sedar; penat, jarak, beg sekolah yang berkilo-kilo.

Aku sekadar mengangkat bahu. Beg plastik di tangan kananku berpindah ke tangan kiri. Terasa berat pula. Aku melihat tangan kananku. Berbekas.

''Tunggulah aku cuba dulu. Kalau jadi, nanti aku beri tahu engkau.''

Isnin, 23 Mac 2009

Karpet Buatan Turki

Aku merasakan seperti sedang berada di situ. Sekarang ini, dapat kuhidu bau yang begitu menusuk dan meloyakan tekakku. Dengan menutup hidung pun, bau itu masih juga dapat ditangkap oleh deria bauku. Ingin saja aku berlari jauh dan sepantas mungkin kerana aku sudah tidak tahan lagi menghadapi keadaan sebusuk dan sehanyir ini. Terik mentari yang membahang, salah satu punca menyebabkan bau itu begitu bebas tanpa mampu disekat-sekat. Berlanggar-langgar sesama sendiri dalam udara dan hidungku jadi sasaran. Tidak cukup dengan menutup hidung, aku juga mengipas-ngipas supaya bau itu segera menjauh dan tidak terus-terusan mengerumuni rongga hidungku. Tetapi, tidak berjaya. Langau-langau yang juga semakin banyak berterbangan dengan bunyi dengungannya yang dapat ditangkap dengan begitu jelas sekali oleh deria pendengaranku. Aku cuba menahan nafas. Tiba-tiba saja mataku terpaku ke arah ulat-ulat kecil yang meliuk-lintuk tidak jauh dari tempat aku berdiri. Begitu banyak. Amat banyak pada pandanganku. Aku seperti dapat mendengar bunyi geselan ulat-ulat itu. Bulu romaku merinding. Tiba-tiba saja aku terjeluak. Sekali, dua kali.

‘’Rina, kenapa dengan engkau ni?’’

Aku tidak dapat berkata apa-apa. Sekali lagi aku terjeluak. Tanpa berlengah lagi, sambil menutup mulut, aku segera mengangkat punggung. Sambil menggeleng-gelengkan kepalaku, aku terus berlari menuju ke bilik air. Sempat. Mujurlah aku tidak mengotori karpet buatan Turki berbunga merah yang indah terhampar di ruang tamu milik sahabatku. Mujurlah aku dapat menerka dengan tepat lokasi bilik air rumah sahabatku yang baru pertama kali kukunjungi.

Ketika berlari tadi, terasa sungguh badanku semakin berat. Langkahku berat. Pertambahan beratku ini pasti tidak mendadak. Cuma aku yang tidak sedar. Selama ini memang aku tidak perasan pun. Setiap hari melihat cermin yang sama sehingga aku tidak dapat mengesan sebarang perubahan. Tidak wujud lagi rupanya kepantasanku berlari seperti sepuluh tahun dahulu, ketika aku sering menjuarai acara lari pecut seratus meter di sekolahku.

Terasa lapang sedikit fikiranku mengimbas kembali kenangan yang telah bertahun-tahun berlalu. Namun dengan tidak semena-mena jantungku tiba-tiba saja berdegup kencang. Aku teringat sahabatku yang masih duduk di ruang tamu sambil menghadap kisah yang telah membuatkan aku berasa loya. Baru aku teringat, aku langsung tidak meminta kebenaran pun untuk menggunakan bilik airnya.

‘Entah apalah yang difikirkan oleh sahabatku ketika ini. Mudah-mudahan dia tidak berfikiran yang bukan-bukan.

Khamis, 19 Mac 2009

Cikakak di Rumah Nenek (3)

Sebelum membaca dengan lebih lanjut Cikakak di Rumah Nenek (3), anda dipelawa singgah di sini terlebih dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Malam ini, Mama, aku, dan adik-adik, makan malam bersama-sama tanpa Abah, sama seperti beberapa malam sebelum ini. Mama kelihatan ceria sangat. Mungkin kerana sebentar tadi Abah menelefon. Dapatlah bergilir-gilir bercakap dengan Abah, termasuk aku.

Mungkin Mama telah memberitahu Abah yang Adik kurang sihat sejak beberapa hari ini. Siang tadipun, Adik dinasihatkan oleh guru kelasnya supaya balik ke rumah untuk berehat. Kepala adik sakit sangat. Aku kasihan melihat Adik. Selera makannya pun tidak menentu sejak dua tiga hari ini.

Ada sesuatu yang menghairankan aku. Tadi, Mama bercerita lagi tentang Cikakak. Cerita yang sama sekali berbeza berbanding kisah Cikakak yang ingin kusampaikan kepada Adik. Adik berkali-kali bertanya Mama,

''Mama, ini cerita betulkah?''

Banyak kali Adik bertanya. Dan, setiap kali sebelum Mama menjawab soalan Adik, Mama mensyaratkan supaya Adik makan sesuap bubur nasi daging yang sudah semakin sejuk di hadapan Adik.

Mungkinkah cerita Mama kali ini semata-mata ikhtiar Mama supaya Adik mahu menjamah makanan. Dalam keadaan sihat pun, Adik agak sukar menghabiskan makanan, apatah lagi dalam keadaan kurang sihat seperti sekarang. Agaknya Mama menyedari yang pujukan Mama tidak memberi kesan seperti yang Mama harap-harapkan.

Setiap kali Mama berhasil memujuk adik, hanya sesuap dua sahaja yang mahu dikunyahnya. Aku yakin, Mama memang amat menyedari perangai Adik yang suka bertanya itu. Ai pula, aku tengok wajahnya pasti akan berubah setiap kali Mama bercerita tentang Cikakak.

Kenapa dengan Ai? Apa yang mengganggunya apabila mendengar tentang Cikakak versi baru yang diceritakan Mama. Sesungguhnya, Adik dan Ai tidak mengetahui bahawa cerita Mama itu merupakan versi baru yang diolah Mama sehingga membuatkan kening Ai berkerut semacam. Ai kenapa? Kenapa dengan Ai?

Aku sedar dan ingat dengan pasti, cerita Cikakak Mama pada malam ini, langsung tidak sama dengan Cikakak yang pernah kujeritkan ketika usiaku sembilan bulan dulu, seperti yang pernah diceritakan oleh Mama kepadaku, seperti yang hampir kuceritakan kepada Adik beberapa hari yang lalu, sebelum Adik jatuh sakit. Kasihan Adik....

Kenapa cerita Mama tentang Cikakak tiba-tiba berubah? Aku sendiri terbayang-bayang Cikakak yang baru diceritakan Mama. Aku cuba melukisnya di dalam fikiranku. Aku cuba melukis rupa Cikakak seperti yang diceritakan Mama di atas kertas yang ada di hadapanku.

Kebiasaannya, aku memang tidak ada masalah menghabiskan makanan yang disediakan Mama. Selepas menghantar pingganku yang telah licin ke dapur, aku segera mengambil pen dan kertas. Aku memang suka menconteng-conteng di atas kertas, lebih-lebih lagi aku ingin benar melakarkan bagaimana sebenarnya kewujudan Cikakak versi baru ini.

Sejujurnya, aku lebih suka mendengar versi baru Cikakak. Kalau Mama teruskan cerita ini dengan lebih lanjut lagi, lagilah aku suka. Sesekali Aku, Adik yang berjaya menghabiskan bubur nasi dagingnya, dan Mama yang bercerita dengan penuh penghayatan berkongsi rasa di meja makan yang biasanya sunyi sahaja sejak beberapa hari ini. Cuma aku simpati melihat Ai. Ada sesuatu yang mengganggunya. Ketika kami bertiga ketawa, Ai sekadar memandang sahaja.

''Ai, Ai kenapa dik?''

Ai tidak menjawab walau sepatah pun. Dia sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandangku dengan kerut yang masih menghiasi wajah comelnya, dengan mulut yang sedikit dimuncungkannya. Mahu sahaja aku tergelak melihat telatahnya. Tetapi, aku menahan tawaku kerana simpatiku terhadapnya lebih mengatasi perasaan geli hati yang tiba-tiba sahaja sirna.

''Mama, Cikakak tu betul-betulkah ada?''

Mama tersenyum mendengar soalan Ai. Mama mengatakan kepada Ai, bukankah Ai sudah melihat Cikakak yang Mama lukis di atas kertas, petang tadi. Menurut Mama, petang tadi Ai bukan main lagi ketawa melihat wajah Cikakak yang Mama lukis.

Selepas Mama menjelaskan tentang Cikakak yang ditanya oleh Ai, kali ini giliran Aku dan Adik pula yang saling berpandangan sesama sendiri.

Baru sahaja kami berdua mahu membuka mulut untuk bertanya, Mama segera meletakkan jari telunjuk kanan di bibir Mama, syyy...nanti kita sambung lagi....


Selasa, 17 Mac 2009

Kemurnian Sebuah Ikatan

Anak kecil itu berjalan laju sambil sesekali menyeka air matanya yang masih belum mahu berhenti mengalir. Esak tangisnya jelas kedengaran.

Jelas kedengaran di telinga temannya yang mengekorinya sejak tadi. Di wajah temannya yang berkulit cerah dan bertocang dua hingga ke paras setengah belakang itu, jelas sekali tergambar kerisauan. Di hatinya tentu sekali ada rasa simpati melihat temannya masih belum surut tangisannya. Jangan-jangan lengan temannya itu masih belum hilang rasa sakitnya, dia berduga-duga. Ketika mereka meninggalkan kawasan padang sekolah, loceng sedang berbunyi menandakan waktu rehat telahpun tamat.

Dia sedar, dialah yang mengambil keputusan untuk mengekori temannya yang sedang berjalan laju lebih kurang tiga meter di hadapan meninggalkannya. Sesekali orang kampung yang lalu-lalang kelihatan ada yang berkerut keningnya melihat temannya yang sedang menangis itu. Dia sekadar memerhati pandangan dua tiga orang yang kelihatan juga tanda tanya di wajah mereka apabila melihat keadaan temannya itu. Sesekali terlintas di dalam hatinya, jauh lagikah tempat yang dituju oleh mereka.

Dia faham benar temannya yang sedang berjalan laju di hadapannya sekarang ini sudah tidak peduli tentang perasaan malu yang selalu menebal di jiwanya. Tangisannya yang bertali-arus itukah atau kesakitan yang dialaminyakah yang menyebabkan perasaan malu itu seakan tidak wujud dalam dirinya pada ketika itu. Dia tidak tahu yang mana satukah lebih tepat mewakili temannya yang tetap juga masih menangis, sejak tadi.

Sejak sepuluh minit yang lalu ketika mereka meninggalkan padang sekolah. Saat ini jantungnya berdegup begitu pantas. Segera dia teringat sekarang ini ialah waktu mata pelajaran bahasa Inggeris. Dia terbayang-bayang wajah gurunya yang begitu digeruni oleh murid-murid Tahun Empat Murni, termasuk dirinya sendiri. Ketakutan mula meresapi sanubarinya. Langkahnya serta-merta terhenti. Mahu meneruskan mengekori temannya atau mahu berpatah balik ke sekolah.

Ketika ini, dia sedar, hanya dia seorang yang mampu membenar atau menidakkan pengaduan yang akan dibuat oleh temannya. Tiba-tiba dia terasa akan memikul tanggungjawab yang cukup besar dan amat bererti sekali. Penyaksiannya kelak besar kemungkinan akan menyebabkan seseorang akan terhukum. Dia tidak berani membayangkan lebih jauh lagi. Temannya itu sudah begitu akrab dengannya.

Tidak tega rasanya dia membiarkan temannya itu berada dalam kesedihan yang teramat sangat seperti itu. Namun, apabila teringatkan gurunya, sepantas itu jugalah jantungnya kembali berdegup kencang, sekencang nafasnya yang tercungap-cungap kerana kakinya tiba-tiba sahaja melangkah laju mengejar temannya yang sudah terlalu jauh meninggalkannya. Dia berlari dan terus berlari.

‘’Ain! Tunggu aku!’’

Dia tidak kuat berlari. Nafasnya cepat semput. Mujurlah temannya itu memperlahankan sedikit langkahnya. Serentak itu juga temannya segera menoleh ke belakang, ke arahnya. Betapa berserabutnya muka temannya itu. Matanya yang sedia kecil itu menjadi semakin kecil dengan sembap yang mula telah kelihatan. Mujur kulitnya yang sawo matang itu mampu menyembunyikan rona merah yang mungkin hadir akibat panahan matahari pagi yang mula memancarkan bahangnya ketika itu. Lebih kurang dua jam lagi matahari akan berada tegak di ubun-ubun.

‘’Jauh lagikah, Ain?’’

''Sudah dekat. Mahu sampai sudah.''

Dalam sedu-sedan, temannya yang dipanggil Ain itu bersuara juga menjawab pertanyaannya sambil menunjuk ke satu arah. Tiba-tiba tanpa diduga, muncul kerisauan baru yang serta-merta menerjah ke benaknya. Apa yang mungkin akan berlaku apabila mereka tiba di sana, ke tempat yang ditunjuk oleh Ain tadi. Sekali lagi dia tidak mahu membayangkan apa-apa walaupun bayangan itu tetap datang juga tanpa ia pinta, samar-samar namun begitu merisaukan. Mereka terus melangkah, dengan sedu-sedan Ain yang masih bersisa, dengan cungap deras dan kencang nafasnya yang terasa begitu melelahkan. Dia segera mengeluarkan sesuatu dari poket sebelah kanan baju kurungnya. Poket kanannya yang selalu menggelembung, yang sering menjadi bahan gurauan teman-teman lain, teman-teman lain tetapi tidak termasuk Ain. Ain tidak pernah turut sama mentertawakannya gara-gara poket kanannya yang kelihatan jelas kembungnya, setiap hari.

Isnin, 16 Mac 2009

Cikakak di Rumah Nenek (2)

Sebelum membaca dengan lebih lanjut Cikakak di Rumah Nenek (2), anda dipelawa singgah di sini terlebih dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

‘’Kakak, ini apa?’’

Lamunanku serta-merta terhenti. Adikku sedang cuba menyiapkan kerja yang diberi oleh gurunya. Sudah menjadi kebiasaan kami menyiapkan kerja sekolah sebelum malam menjelma.

Mama sering bertegas tentang hal itu. Mama tidak suka melihat kami membuat kerja sekolah pada sebelah malam. Menurut Mama, malam adalah waktu untuk kami sekeluarga menghabiskan masa bersama.

Biasanya, Abah balik agak lewat. Pernah suatu ketika, aku dan adik-adik sukar menerima keadaan itu. Amat jarang kami dapat bergurau senda dengan Abah. Tetapi, semakin lama kami semakin dapat memahami.

Kami tidak mahu menyusahkan Abah dan Mama, kerana itulah sejak akhir-akhir ini kami sudah jarang bertanya kenapa Abah jarang meluangkan masa bersama kami. Dan, kerana itu jugalah kami mengerti bahawa kami mesti menyiapkan kerja sekolah sebelum malam, kerana waktu malam sahaja kami berpeluang bermanja dengan Abah

Lazimnya, aku membantu adik sekadar mampu. Jika tidak tahu juga, kami akan cuba meminta bantuan Mama. Jika Mama tidak dapat membantu kami, kami akan menunggu Abah pulang dari kerja. Kami akan cuba menyiapkan kesemua kerja sekolah. Cuma yang perlu dirujuk dengan Abah sahaja yang biasanya akan dibiarkan kosong. Paling tidak pun, akan diletakkan jawapan yang kami fikirkan betul.

Tahun lepas usiaku genap sembilan. Sekarang ini, aku masih berusia sembilan tahun. Tahun ini usiaku akan menginjak sepuluh. Adik perempuanku usianya masuk lapan manakala adik lelakiku masuk lima usianya.

‘’Kakak, tadi Adik tengok Kakak termenung panjang. Apa yang Kakak fikir tadi tu?’’

Adikku memang rajin bertanya. Bukan sahaja hal pelajaran. Hal-hal lain juga. Adikku yang kecil sekali pun begitu juga. Entah-entah ketika aku seusia mereka pun, perangaiku seperti itu juga. Err…sebenarnya sehingga sekarang pun aku masih lagi rajin bertanya.

''Kerja sekolah Kakak dah siap?''

Bertubi-tubi pula soalannya. Soalan yang tadi pun belum sempat kujawab.

''Adik nak Kakak jawab yang mana dulu ni?’’

Sengaja aku mengusiknya. Dia cuma tersengih mendengar pertanyaanku.

''Kerja sekolah Kakak dah siap. Sikit sangat kerja yang cikgu bagi hari ni. Kerja Adik dah siap?’’

‘’Kerja Adik pun dah siap, Kak. Yang Kakak tolong tadilah yang akhir sekali perlu Adik siapkan.’’

Aku tahu dia menunggu jawapan untuk soalannya yang pertama. Aku membalas senyumannya.

‘’Kakak teringat cerita Mama…’’

''Cerita apa Kak?''

Wah! Tak sabar sungguh Adikku yang seorang ini menunggu aku menjelaskan lebih lanjut. Pantas saja dia memotong.

‘’Adik selalu macam ni tau…’’

Aku mula menunjukkan rajukku. Rajuk yang sering membuatnya mengaku kalah pada Kakaknya yang memang terkenal manja.

‘’Nak dengar tak?’’

‘’Nak…nak…’’

‘’Tak naklah Kakak cerita, Adik bukannya nak dengar pun…’’

Ahad, 15 Mac 2009

Selamat Pagi

''Selamat pagi. Apa khabar?''

''Selamat pagi. Saya baik-baik saja. Awak apa khabar?''

''Baik. Jemput duduk, Puan.''

Rina menyapa mesra isteri tuannya yang jarang-jarang menunjukkan muka di pejabat itu. Kalau dia tidak silap, ini kali ketiga dia muncul di situ. Pagi itu akan ada pembentangan tentang aktiviti amal yang perlu dikongsi dengan isteri kakitangan, sebab itulah isteri tuannya itu datang pagi ini. Selain itu, yang lebih utama, isteri Tuan Besar akan menyertai mereka. Seketika kemudian, Rina kembali menyambung tugasnya yang terhenti sebentar tadi.

Selang lima minit kemudian, masuk pula Lisa. Lisa menghadiahkan senyuman pada wanita yang baru bertegur sapa dengan Rina sebentar tadi. Senyumannya berbalas. Lisa duduk di hadapan wanita itu.

''Anda wartawan?''

''Tidak. Saya bukan wartawan.''

Wanita itu sedikit terkejut menerima pertanyaan Lisa. Dia mengandaikan soalan itu ada kaitan dengan kamera yang dipegangnya. Seingatnya, dia sudah pernah menemui Lisa sebelum ini.

''Rambut awak dah pendek sedikit, Lisa.''

Dia sengaja berkata begitu kerana setahunya sebelum ini potongan rambut Lisa agak berbeza. Kalau dia tidak silap, baru hujung minggu lepas Lisa datang ke rumahnya untuk mendapatkan tandatangan suaminya. Dokumen yang dibawanya itu perlu ditandatangani segera tanpa boleh ditangguh-tangguh. Lisa dalam keadaan agak tergesa-gesa waktu itu. Dia hanya berdiri di muka pintu. Dan, sebelum itu mereka sekadar berbalas senyuman dan bersalaman seadanya. Waktu itu sebenarnya, wanita itu agak terkejut kerana dia menjangkakan kedatangan Lisa yang lain. Bukan Lisa yang ini.

''Oh! rambut saya memang begini. Mungkin yang anda maksudkan Lisa yang satu lagi. Di pejabat ini ada lebih dari seorang yang bernama Lisa.''

Lancar saja Lisa menerangkan.

''Lisa, kenalkan...isteri Tuan.''

Rina meninggalkan sebentar tugas yang begitu menuntut perhatiannya. Sebentar lagi, pembentangan akan bermula. Tetamu penting mereka akan tiba bila-bila masa saja dari sekarang.

''Isteri Tuan?''

Matanya membulat dan pantas tangannya menutup mulutnya yang sedikit terbuka.

''Ya. Kita pernah berjumpa sebelum ini.''

''Maafkan saya. Saya tidak perasan, Puan. Saya sangka Puan salah seorang anggota delegasi.''

Wajah Lisa berubah serta-merta. Rona merah jelas kelihatan di kedua-dua belah pipinya yang putih gebu. Kedua-dua tangannya memegang wajahnya yang masih lagi kemerah-merahan. Dia turut menggeleng-geleng kepalanya. Senyum dan tawanya seiring. Mungkin dia masih belum dapat menghilangkan perasaan yang menerpanya waktu itu.

''Tidak mengapa.''

Wanita itu tersenyum. Dia simpati melihat Lisa berkeadaan sedemikian. Seorang lagi kakitangan wanita yang memang ada di bilik itu sejak tadi, segera menghampirinya sambil tersenyum dan menyatakan rasa kesalnya kerana tidak mengenali wanita itu. Kemudian, dia dihampiri oleh beberapa orang lagi wanita yang baru memasuki bilik mesyuarat itu. Masing-masing memperkenalkan diri sambil bersalam dengan wanita yang dipanggil Puan itu.

Kali ini giliran wanita itu pula tidak senang duduk. Dia serba-salah kerana sudah membuat ramai orang serba tidak kena pada pagi itu. Mujur juga dalam keadaan serba-salahnya itu, tetamu yang dinanti kehadirannya tiba-tiba muncul di muka pintu. Pandangan mereka bertaut dan kedua-dua wanita itu saling berbalas senyuman. Rasa serba-salah yang sempat menyinggahinya sebentar tadi perlahan-lahan berlalu pergi....

Jumaat, 6 Mac 2009

Tahi Lalat

Anak kecil itu merenung wajahnya di cermin. Agak lama. Sehingga ibu yang sedang membelek majalah di sisi katil juga perasan akan tingkahnya. Namun, ibu itu tidak pula menegur. Cuma sesekali memandang gelagat anak kecilnya itu. Dia sekadar menanti. Dia pasti sebentar lagi dia akan tahu akan punca anak kecilnya bersikap demikian.

''Ibu, Kakak susah hatilah...''

Anak kecil itu mula membuka bicaranya. Agaknya sudah puas merenung cermin. Lantaran tiada jawapan untuk kegusarannya maka ibunya juga tempat mengadu.

''Kakak susah hati? Kenapa?''

Ibunya ingin tahu. Benar-benar ingin tahu.

''Ibu tengoklah tahi lalat di hidung Kakak ni. Dulu kecil, sekarang dah semakin besar.''

Rupa-rupanya anak kecil itu risau tentang tahi lalat di hidungnya. Ya! tahi lalat itu sudah semakin besar. Pada fikiran ibunya, tidaklah berbahaya kalaupun tahi lalat itu tidak dibuang.

''Boleh buang tak tahi lalat ni, Ibu?''

Anak kecil itu bertanya. Ibunya tersenyum.

''Kenapa Kakak tanya macam tu?''

Ibunya terus mencungkil. Dia ingin tahu dari mana datangnya idea sedemikian. Membuang tahi lalat.

''Kakak tengok dalam majalah Ibu. Ada iklan di dalam majalah tu kononnya tahi lalat boleh dibuang.''

Anak perempuannya itu tetap masih kecil baginya. Usianya belum lagi mencapai dua belas.

''Betul. Memang ada iklan macam tu. Kakak nak buang tahi lalat di hidung Kakak ni?''

Ibunya sengaja menduga. Anak kecil itu tersenyum.

''Tidaklah, Ibu. Kakak tak selesa sebab ramai kawan yang tegur. Lina kata tahi lalat di hidung Kakak ni rupanya lain macam. Tak cantik katanya. Tapi...''

Anak kecil itu tersenyum lagi. Ada sesuatu yang menggeletek hatinya.

''Kalau tahi lalat ni makin besar sampai nak tutup lubang hidung, masa tu Kakak nak buanglah.''

Cepat saja ibunya menyambung.

''Ibu fikir, Kakak tak perlu risau tentang tahi lalat tu. Kalau Ibu ada tahi lalat macam Kakak pun, Ibu tak akan buang.''

Anaknya kelihatan lega mendengar kata-kata ibunya. Dia memegang tahi lalat di hidungnya.

''Jangan selalu dipegang tahi lalat tu. Nanti kalau selalu dipegang, makin cepat pula besar.''

Ibunya berseloroh.

'Tok...tok...tok.'

Bunyi ketukan di pintu menghentikan terus sisa tawa mereka.

Selasa, 3 Mac 2009

Pak Pandir 2

Sejak kebelakangan ini, Pak Pandir sering terlelap. Matanya sukar sangat berjaga lama. Terlelap walau sekejap, mimpi segera datang bertamu. Mimpi yang bermacam-macam. Sekarang ini, Pipiesemai selalu sahaja datang. Datang dalam mimpinya. Bagi Pak Pandir, isterinya tetap di hati. Tiada dua, tiada tiga. Ada orang lain yang hendak sampai empat. Tetapi, bagi Pak Pandir cukuplah satu. Isteri yang amat dikasihinya. Isteri yang sentiasa ada di sisinya bukan sahaja ketika senang malah ketika susah juga.

Pak Pandir walaupun ada penyakit lupa, dia tetap ingat akan kesetiaan yang dicurah isterinya. Pak Pandir sering menjadi bahan ketawa. Dalam diam, Pak Pandir sering berasa terhina dengan sikap masyarakat desa terhadapnya. Desa yang kecil, yang permai, yang indah pemandangannya. Segala-galanya indah belaka pada pandangan Pak Pandir. Dunia ciptaan Allah amatlah indah. Amatlah luas. Cukup luas untuk semua makhluk ciptaanNya. Pernah suatu ketika, terjadi suatu keadaan yang begitu mencuit hati Pak Pandir.

Keadaan yang membuat Pak Pandir senyum memanjang dan melebar sampai ke telinga. Desa indah permai yang didiami Pak Pandir diberi nama sempena namanya. Desa Pak Pandir. Hairan sungguh Pak Pandir kenapa desa itu diberi nama sempena namanya. Sudahlah sering jadi bahan lawak jenaka, desa itu diberi juga nama sempena namanya. Bukannya Pak Pandir yang meminta begitu. Masyarakat sekeliling yang berkehendakkan begitu. Pak Pandir cuma tersenyum. Menyokong tidak, membantah pun tidak.

Menurut seluruh masyarakat desanya, mereka memilih untuk menamakan desa mereka Desa Pak Pandir kerana Pak Pandir seorang yang baik. Pak Pandir baik dengan semua orang tak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, dan tak mengira pangkat ataupun darjat. Semuanya dilayan sama sahaja. Pak Pandir juga seorang yang setia. Setia kepada isteri. Walaupun ramai perempuan yang tertarik pada Pak Pandir namun Pak Pandir tetap setia kepada isterinya sahaja.

Pak Pandir mengeluh. Teringat lagi mimpinya tentang Pipiesemai. Hairan sungguh dia kenapa perempuan itu datang mengganggu. Perempuan itu sebenarnya milik orang lain. Kenapa dia datang mengganggu dirinya. Bagi Pak Pandir, walaupun yang datang itu puteri kayangan atau puteri raja kerajaan negara mana sekalipun, hatinya tetap pada isterinya. Isteri yang mengerti susah dan senang perjalanan kehidupannya.

Hanya maut yang akan memisahkan mereka. Pun begitu, jauh di sudut hati Pak Pandir, kalaulah dia dihantar ke syurga...biarlah isterinya juga ada di situ. Kasih dan sayangnya tiada dua. Kalaulah Pipiesemai dalam mimpinya benar-benar wujud di alam nyata dan tiba-tiba Pak Pandir berubah hati, mungkin nama desanya juga tidak mustahil akan berubah. Tidak mustahil Desa Pak Pandir berubah menjadi Desa Pipiesemai. Siapa tahu? Tidak mustahil perkara semacam itu boleh berlaku. Mungkin berlaku tanpa Pak Pandir sedari.

'Oh...Tidak! aku tidak akan sekali-kali menduakan isteri. Sungguhpun lelaki boleh beristeri dua, aku adalah lelaki setia yang masih tidak memilih jalan itu. Beristeri satu bukannya satu kesalahan. Aku tidak sehebat Nabi Muhammad s.a.w. Tapi, aku hairan ramai betul manusia mahu menurut sunnah yang ini. Dua pun masih tak cukup, mahu sampai empat. Walhal seorang isteri pun masih tak sempurna didikan agama yang diberi. Ada banyak lagi yang wajib diikut, tapi yang ini juga jadi pilihan. Anak-anak yang sering menjadi mangsa. Isteri yang setia terus berendam airmata.'

Pak Pandir yang tadinya duduk bersandar di langgar rumah, kini duduk menopang dagu. Terus melayan fikirannya yang runsing. Runsing memikirkan Pipiesemai....

Sabtu, 28 Februari 2009

Pak Pandir

Alahai PPSMI!

Terkedu AKU melihat pemimpin
Resah AKU melihat bahasa
Gundah AKU melihat bangsa
Simpati AKU melihat ibu bapa
Keliru AKU melihat anak-anak
Gembiralah, yang pandai
Sedihlah, yang tidak
Apalah nak jadi
Ditelan salah
Diluah salah
AKU jugalah yang sakit kepala.

Kalau ingin bertanya, usah ditanya pendapat Hang Nadim, tanya saja pada Pak Pandir. Kalau Hang Nadim buah fikirannya tepat, tumpahlah lagi darahnya kelak. Lebih baik tanya Pak Pandir. Tepat atau salah buah fikirannya, paling teruk dia akan dicemuh. Dia akan ditertawakan. Orang yang ketawa itu tidak sedar, kepakpandirannya lebih lagi daripada Pak Pandir. Alahai PPSMI!

Mari kita baca dua tiga baris ayat Pak Pandir...

PPSMI...PPSMI
kenapalah kaudatang
kenapalah kaumuncul
kan lebih baik kalau kautiada
tiadalah AKU dan AKU yang sakit kepala.

Tuan Pandai dan Tuan Pintar
Tuan Pandai mahu PPSMI
Tuan Pintar tak mahu PPSMI
Mana pergi Tuan Pandai Pintar
Selesaikan segera sebelum terlewat
Usah lagi ditangguh-tangguh
Nanti AKU bertambah sakit.
Nanti AKU bertambah tenat.

Tuan-tuan mencari nahas
Berani berani menggadai jiwa
Inilah dia kesan akibat
Yang benar sudah tak nampak
Yang salah pun sudah tak nampak.

Tiba-tiba saja
Kuman dan gajah di mata Pak Pandir
Bersilih dan berganti menayangkan diri.

Tuan Pandai Pintar
Tuan di mana...
Tolong aku! Aku Pak Pandir...
Kuman dan gajah ada di sini
Tolong aku! Tolong aku!
Kenapa PPSMI ada di sini!!!

''Bang! Bang! bangun, Bang.''

Pak Pandir bersilat sebelum terjaga. Tangannya menumbuk lantai. Matanya terbuka. Dia menggosok-gosok matanya yang tidak gatal. Silau. Tanpa ditanya, dia segera membuka bicara.

''Tadi, aku mimpi. Perempuan tu namanya Pipi...''

Pak Pandir cuba mengingat mimpinya sebentar tadi.

''Mmm....aaa....Pipi....esemai. Hah! Pipiesemai. Betul...memang betul. Pipiesemai . Semua orang tak boleh berfikir dengan baik gara-gara dia.''

''Cantikkah dia, Bang?''

''Entah. Aku tak tengok pun. Aku tak jumpa pun Pipiesemai tu. Tapi, sana-sini orang bercakap pasal Pipiesemai...aku pun sama.''

Pak Pandir ketawa mengusik isterinya. Isterinya mula menarik muka masam. Masam yang tak terlalu masam. Masam yang minta dipujuk. Masam-masam manis. Pak Pandir tersenyum. Suka. Dia suka tengok isterinya menarik muka masam begitu. Dia selalu terhibur melihat isterinya begitu.

''Entah-entah bunian tak Pipiesemai ni...''

Bersuara juga isterinya dalam rajuk yang dibuat-buat. Rajuk yang sengaja cuba ditambah-tambah lagi. Mengharap dirinya dipujuk.

''Tak tahulah aku. Mungkin juga...''

Pak Pandir terus menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

''Mimpi kan mainan tidur. Abang tidur senja macam ni. Entah-entah syaitan datang mengganggu.''

Terkebil-kebil mata Pak Pandir. Benarlah seperti kata isterinya. Hari sudah senja. Pak Pandir beristighfar panjang.


Rabu, 25 Februari 2009

Belum Terlewat

''Tidurlah...''

Lembut suara ibunya kedengaran menusuk ke kalbu. Ada getar di situ. Ada sesal di riak wajah Ibu. Dia mengangguk. Lemah.

''Sekejap lagi Ibu nak pulang. Besok Ibu datang lagi.''

''Bila Kakak boleh pulang, Bu?''

Tersekat-sekat dia menutur butir bicaranya. Dadanya kembali terasa sakit.

Baru siang tadi dia mula ditahan di wad itu walaupun sudah hampir sebulan lamanya dia menanggung sakit yang tidak kunjung sembuh. Badannya semakin susut. Wajahnya semakin cengkung.

''Kita tunggu apa kata doktor. Kalau rawatan antibiotik berkesan, tak lama lagi tentu Kakak boleh pulang.''

Ibu menjelaskan sambil cuba menguntum senyum. Siang tadi, sebaik mengetahui Kakak menghidap pneumonia, ibu tersentak. Ibu agak terkilan kerana sudah beberapa kali dalam tempoh sebulan ini ibu menemani Kakak ke klinik swasta. Tiada sebarang cadangan rawatan susulan yang pernah dikemukakan.

Baru siang tadi Ibu meminta doktor di klinik swasta itu supaya merujuk kes kakak ke hospital kerajaan. Ibu tidak sanggup melihat Kakak dalam keadaan tidak bermaya begitu. Mungkin Doktor Kamil menganggap batuk yang Kakak hidapi tidaklah serius. Lagipun, beliau sedia maklum tentang penyakit yang Kakak alami.

Ibu teringat ketika Kakak kecil. Lelah yang kakak alami sering mengganggu tidur malamnya. Ketika di sekolah rendah, Kakak tidak diizinkan untuk mengikuti aktiviti senaman yang berat. Ibu risau lelah Kakak akan datang lagi.

Kini, Kakak menghidap pneumonia. Sejak seminggu lalu, batuk Kakak semakin bertambah teruk. Seringkali Kakak menghadapi kesukaran untuk bernafas. Baru siang tadi doktor mengesahkan bahawa sebahagian daripada paru-paru Kakak berisi cecair dan rawatan segera perlu dilakukan. Menurut doktor, nyawa pesakit boleh terancam jika lewat mendapatkan rawatan. Mendengar penjelasan Doktor Tan, mata ibu mula berkaca.

Ibu hanya mampu berdoa agar Kakak segera sembuh.

''Kakak, Ibu pulang dulu. Kakak tidurlah. Rehat cukup-cukup. Insya-Allah...besok Ibu datang lagi.''

Rabu, 11 Februari 2009

Cikakak di Rumah Nenek

Ketika itu umurku baru sembilan bulan. Aku dijaga oleh Nenek. Setiap pagi, aku dihantar Abah dan Mama ke rumah Nenek. Sebelum Maghrib, Bu Na akan menghantar aku ke hujung titi yang dipanggil jambatan oleh penduduk sekitar. Jambatan itulah yang digunakan sebagai laluan oleh penduduk kampung. Pernah jambatan itu rosak. Bersusah-payah Bu Na mengimbangkan badannya agar kami tidak terjatuh. Bu Na ialah anak Nenek. Anak Nenek yang lebih muda daripada Mama. Entah-entah ketika Mama sebaya Bu Na, Mama juga pernah melalui pengalaman seperti ini. Bersusah-payah berjalan di atas jambatan yang rosak. Aku memeluk Bu Na erat. Bu Na mendakap aku kemas-kemas. Ramai orang pernah berkata bahawa jambatan itu perlu dibaiki. Aku setuju dengan mereka. Jambatan itu memang perlu dibaiki. Begitulah rutin hidupku setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Rutin itu bermula sejak umurku baru dua bulan.

Suatu petang, kami dikejutkan dengan kehadiran Abah dan Mama. Biasanya, Bu Na yang akan menghantar aku hingga ke hujung jambatan. Sambil duduk bersembang di ruang tamu, kami makan kuih karipap yang digoreng Nenek. Aku juga mahu makan karipap. Abah kata, karipap yang Nenek buat, sedap. Mama rancak berbual dengan Nenek. Antara yang menarik perhatianku ialah tidak lama lagi rutinku akan berakhir. Tidak lama lagi aku akan dijaga Mama sepenuh masa. Tidak lagi ditinggal-tinggalkan di rumah Nenek. Aku memandang Nenek. Di wajahnya ada senyum terukir. Cuma senyum itu agak asing bagiku. Tawar.

Berkali-kali Mama memujuk Nenek. Menurut Mama, kami tetap akan sering bertemu Nenek. Lagipun, jarak rumah kami dan rumah Nenek tidak sampai sepuluh minit. Aku tahu Nenek sedih. Aku ini cucu pertama Nenek. Apa yang boleh aku buat supaya senyuman Nenek tidak setawar itu. Sambil mengunyah karipap yang sudah dikeluarkan intinya, aku memandang ke dinding rumah. Aku segera menuding jari tepat ke arah dinding berwarna biru muda itu sambil menjerit, ''Cikakak! cikakak!''

Tiba-tiba semua yang ada di sekelilingku ketawa. Berderai. Aku tercengang sendiri. Nenek ketawa. Ketawa yang sering aku lihat. Aku gembira melihat Nenek ketawa. Aku juga turut ketawa. Tapi, kenapa mereka ketawa? Akukah yang diketawakan mereka?

Khamis, 5 Februari 2009

Bukan Orang Media

Ain kelihatan sedih. Dia sedih mendengar luahan ibu bapanya. Menurut mereka, tidak lama lagi rumah mereka akan dirobohkan. Ain tidak selalu bertemu mereka. Setahun cuma sekali. Ain ingin tahu dengan tepat bila agaknya rumah-rumah di Kampung Sebintang akan diroboh. Malang sekali, ibu bapanya tidak tahu. Ain resah. Ain gusar. Dia tidak betah duduk diam. Diam menunggu. Menunggu begitu terasa menyeksakan.

Dicapainya telefon. Dia menghubungi operator telefon dan meminta nombor yang diperlukannya. Pantas sahaja dia mendail nombor-nombor yang baru diperolehinya sebentar tadi. Dia terpaksa mendail beberapa kali sebelum panggilan dijawab. Akhirnya, di hujung talian kedengaran suara seorang wanita. Orang tempatan.

Ain menceritakan serba sedikit tujuan dia menelefon. Wanita itu memaklumkan bahawa Ain perlu menghubungi Encik Doremi berkenaan perkara yang telah disebutkannya itu. Ketika itu, Encik Doremi tiada di pejabatnya. Dia keluar kerana ada urusan. Ain tanpa berlengah berusaha mendapatkan nombor handphone Encik Doremi daripada wanita itu. Wanita itu agak keberatan. Tetapi, Ain tetap memujuk wanita itu supaya memberikannya nombor handphone Encik Doremi. Wanita itu beralah juga. Itupun setelah Ain memberikan nombor handphonenya sebagai jaminan.

Sejurus itu juga, Ain menghubungi Encik Doremi.

''Assalamu'alaikum, Encik Doremi.''

''Wa'alaikumsalam.''

''Encik Doremi, saya Ain. Saya ada beberapa soalan. Saya harap Encik Doremi tidak keberatan menjawabnya.''

''Err...Cik Ain ni orang mediakah?''

''Tidak. Saya bukan orang media. Saya cuma prihatin tentang nasib ibu dan ayah saya serta orang kampung yang tertanya-tanya tentang nasib mereka yang mendiami kawasan Kampung Sebintang. Encik Doremi tentu arif tentang maksud saya. Tapi, jangan risau sebab segala maklumat yang Encik Doremi dedahkan hanya akan saya kongsi dengan ibu dan ayah saya saja.''

''Apa yang Cik Ain nak tahu?''

''Saya nak tahu...adakah rumah-rumah di kawasan yang berdekatan dengan sungai di Kampung Sebintang ini akan diroboh dalam masa terdekat ni?''

''Tidak. Kawasan yang berhampiran sungai itu tidak terlibat. Cuma kawasan yang berhampiran dengan projek shopping mall sahaja yang terlibat buat masa ni.''

Ain sedikit lega dengan jawapan itu. Bermakna ibu dan ayahnya masih boleh menarik nafas lega.

''Mmm...untuk pengetahuan Cik Ain. Semua rumah di Kampung Sebintang akan diroboh menjelang 2010. Maknanya, pada tahun 2010 tidak akan ada lagi Kampung Sebintang seperti yang ada sekarang ini.''

Berderau darah Ain. Hampir-hampir saja menitis air matanya. Baru juga kegembiraan tergambar di wajahnya. Sekarang kegembiraan itu sudah bertukar rupa. Serta-merta sirna. Pun begitu digagahkannya juga menanyakan soalan berikutnya.

''Encik Doremi, adakah sebarang pampasan akan diberikan kepada penduduk kampung?''

''Tidak. Pihak kami tidak akan memberi sebarang pampasan.''

''Walaupun untuk memindah barang-barang?''

''Ya. Kami tidak memberi sebarang pampasan.''

''Baiklah. Terima kasih, Encik Doremi.''

''Cik Ain...awak bukan orang media, kan?''

''Bukan. Saya bukan orang media. Encik Doremi...tolong sampaikan salam saya kepada isteri Encik Doremi, Daliko. Kami saudara. Saudara jauh.''

Isnin, 2 Februari 2009

Nilai Sebuah Kejujuran

-i-

''Kakak, kenapa...saya ini bukan orang baikkah?''

Raut wajahnya muram. Aku cuba untuk tidak memandangnya.

''Kali ini, saya bercakap benar. Dia balik kampung. Hari ini dia tidak datang kerja.''

Pemuda itu cuba memujuk lagi. Namun, aku tetap mengatakan tidak kepadanya. Aku mencadangkan agar dia mencari orang lain. Aku tidak mahu. Aku serik. Kalaupun kali ini dia bercakap benar, aku tidak sanggup untuk memberi peluang itu kepadanya. Aku tidak akan memasukkan barang-barang di tanganku ke dalam trolinya. Sungguhpun agak berat, aku rela mengangkatnya sendiri. Aku tidak akan mengupahnya. Aku harap dia akan menjadikan keenggananku itu sebagai pengajaran baginya. Sebelum ini, aku sudah pernah memberinya peluang. Dia dapat peluang itu dengan cara yang salah. Dia membohongi aku.

Akibatnya, sampai bila-bila pun aku tidak akan memberi peluang kali kedua untuknya. Bukan sahaja dia malah orang lain juga.

Kadang-kadang aku sekadar menguji. Orang yang lulus ujian hanyalah orang yang jujur. Jika dia jujur, aku akan mengupahnya lagi. Menemui orang yang jujur tidak mudah. Aku pernah memuji orang-orang yang kuanggap jujur.

Pernah kukatakan kepada mereka, ''Teruskanlah bersikap baik seperti ini.''

Mengatakan lebih daripada itu, aku tidak mampu kerana aku tidak mahir menggunakan bahasa mereka.

-ii-

Kebiasaannya, aku akan sangat memerlukan khidmat penolak troli setelah selesai membeli telur sesarang dua. Setiap kali juga, aku akan membeli telur dengan penjual yang sama. Dia selalu bersikap ramah, memberi potongan harga dan memilih telur-telur yang segar untukku.

Saat aku sedang tercari-cari, datang seorang penolak troli menghampiriku. Dia tersengih-sengih menampakkan barisan gigi-gigi emasnya. Aku mula risau. Sebenarnya, aku selalu mengelak penolak troli itu. Sebelum ini, dia selalu melambai-lambai ke arahku sambil tersenyum. Kali ini, aku tersepit. Aku memandangnya. Dia tersenyum lagi seperti selalu.

Aku memandang penjual telur di hadapanku. Wanita itu tersenyum. Lalu, aku meminta bantuannya untuk bertanya kepada penolak troli itu berapa upah yang perlu kubayar. Aku juga ingin kepastian sama ada kadar upah yang diminta itu tetap atau tidak.

Ketika wanita penjual telur itu bertanya si penolak troli, aku cuma memerhatikan. Rupa-rupanya si penolak troli itu bisu. Perasaan bersalah mula menerpaku. Menurut wanita si penjual telur, di pasar itu ada dua tiga orang seperti itu. Ada dua tiga orang penolak troli bisu yang boleh dipercayai.

Setelah selesai berbelanja di pasar itu, aku menuju ke teksi yang sedia menungguku. Satu demi satu barang-barang belian dimasukkan ke dalam teksi sehingga habis muatan di dalam troli. Lalu, aku bertanya si penolak troli berapa jumlah perlu kubayar. Dia menunjukkan jari...dua. Jumlah itulah yang ditetapkannya sejak awal lagi. Aku menghulur wang kepadanya. Kebiasaannya, penolak troli yang jujur akan mendapat upah di dalam dua bentuk. Upah yang diminta dan upah yang tidak diminta. Kali ini, aku menemui lagi seorang yang jujur. Si penolak troli bisu yang jujur.

-iii-

Jemur ikan di tepi jalan,
Bila hujan cepat diangkat,
Jujur ikhlas jadi amalan,
Semoga hidup mendapat berkat.



Khamis, 29 Januari 2009

Pen dan Pensel


''Aku harap kau tidak akan ulang lagi perbuatan begini.''

Lelaki di hadapannya sekadar mengangguk. Tanpa sepatah bicara. Malu-malu mengangkat wajah memandang tuannya.

''Terima kasih, Tuan. Terima kasih kerana memberi aku peluang untuk berubah.''

Seketika Tuan tersedar dari lamunan. Tuan memandang lelaki di hadapannya. Rupa-rupanya dia lupa. Lelaki itu cepat lupa. Kesalahan itu diulangnya lagi. Kesalahan yang tidak jauh bezanya dari yang dulu malah lebih teruk lagi.

''Benarkah kau melakukannya?''

''Melakukan apa, Tuan?''

Soalan Tuan dibalas dengan soalan juga. Di wajahnya tergambar kepura-puraan yang nyata.

''Kau ambil lagi pen dan pensel dari stor?''

''Ya, ada. Tapi untuk aku guna di pejabat ini saja.''

''Betulkah? Ada kau guna di tempat lain selain di pejabat?''

''Ya, ada. Aku guna di rumah. Aku beri anak-anakku untuk mereka guna di sekolah.''

''Lagi...ada sesiapa lagi?''

''Ya, ada. Aku beri kepada isteriku untuk digunakan di pejabatnya.''

''Jadi, kau mengaku bahawa bukan kau sahaja yang menggunakan pen dan pensel pejabat? Kau mengaku semuanya?''

''Ya. Aku mengaku. Kadang-kadang aku turut menghadiahkan pen dan pensel yang kuambil dari pejabat ini kepada saudara-maraku juga.''

Lelaki itu mengaku satu-persatu. Mulanya dia agak takut-takut. Kemudian, timbul pula keberaniannya. Dia berharap Tuan akan memaafkannya lagi kali ini. Dulu, Tuan pernah memihak kepadanya. Ketika itu, Tuan Besar sudah tidak mahu lagi melihat mukanya. Mujurlah Tuan mempertahankannya. Tuan meminta agar Tuan Besar memberi peluang kepadanya. Lagipun, dia cuma mengambil pen dan pensel. Pen dan pensel itu diberi kepada ahli keluarganya. Dia sudah banyak berjasa. Apalah salahnya dia mengambil pen dan pensel itu. Kalaupun dia bersalah, sudah tentu tidak sampai diberhentikan kerja. Dia pasti tentang itu. Dia pasti Tuan akan memaafkannya lagi seperti sebelum ini.

Tuan menarik nafas panjang. Dan melepaskannya. Berat. Tuan memandang lelaki di hadapannya. Dia merenung lelaki di hadapannya. Lelaki itu...tiada siapa yang akan percaya dia sanggup melakukannya. Lelaki itu kelihatan seperti orang baik. Dia puasa. Dia solat. Cukup susah melihat orang baik yang seperti itu di pejabat tempat mereka bekerja. Orang lain seakan tidak mahu berhenti merokok. Tidak mahu berhenti minum air haram. Tetapi, lelaki di hadapannya tidak melakukan semua itu. Tuan keberatan melanjutkan butir bicaranya. Fikirannya berat. Jiwanya berat. Tuan menahan kemarahan. Dia tidak mahu tersilap langkah lagi kali ini. Dulu, peluang sudah diberikan. Lelaki itu cuma tahu yang dia telah diberi peluang cuma sekali. Lelaki itu tidak tahu ada dua kali lagi peluang sudah diberikan tanpa dia menyedari. Lelaki itu cuma tahu dia melaksanakan tugasnya dengan baik di pejabat. Perkara yang tidak baik yang dilakukannya tidak dikesan oleh rakan sepejabat kerana dalam diam lelaki itu telah mengaburi mata orang dengan kebaikannya. Orang nampak lelaki itu baik. Lelaki itu memandang dirinya sebagai baik.

Lelaki itu lupa tentang amanah. Kali ini, lelaki itu terpaksa menanggung akibat atas perbuatannya. Dia diberhentikan kerja. Lelaki itu cuba merayu. Menurutnya, jasa dan sumbangan yang dicurah di pejabat itu amat banyak. Katanya lagi, khidmat baktinya tidak dihargai. Mungkin dia lupa lagi. Dia lupa setiap bulan diberi gaji. Hujung tahun diberi saguhati. Namun, lelaki itu tetap tidak puas hati. Dia masih mahu mempersoalkan tentang tindakan Tuan memberhentikannya. Tuan masih cuba menahan marah. Memandang Tuan, lelaki itu terdiam. Dia sudah tidak berani untuk bersuara. Entah di hati lelaki wujud atau tidak perasaan bersalah...Tuan tidak tahu. Lelaki itu meminta nasihat. Tuan memberikannya dengan ikhlas. Walaupun kemarahan yang dirasai Tuan masih ada, Tuan tetap memberi nasihat seikhlas hatinya. Dia masih mahu lelaki itu berubah menjadi lelaki yang betul-betul baik.

''Aku harap kau kekalkanlah perkara baik yang kau amalkan sekarang. Tapi, perkara yang tidak baik itu kau cubalah ubah.''

''Tapi, Tuan...aku masih mahu bekerja di sini. Berikanlah aku peluang sekali lagi.''

Lelaki itu seolah tidak mempedulikan nasihat yang diberi oleh Tuan. Dia terburu-buru menyuarakan hasrat yang dipendamnya sejak tadi. Lelaki melihat kemarahan Tuan yang hampir berlalu itu sebagai peluang keemasan baginya.

''Kalau begitu...kau cubalah merayu kepada Tuan Besar. Jangan lupa sertakan sekali salinan surat pengakuan yang telah kau tandatangani tadi.''

Lelaki itu terkedu.