Sabtu, 29 Ogos 2009

Ikan Kelah

Mengimbas kembali kenangan ketika ke Kg. Luanti, terngiang-ngiang kembali jerit geli yang mengundang tawa geli pula. Yang sedia geli turut tertawa. Yang belum merasai sendiri kegelian itupun turut tertawa geli hati melihat telatah orang yang sedang kegelian. Yang sedang marah boleh hilang marahnya. Yang ada rajuk masih bersisa pun turut hilang rajuknya. Dapat saya perhatikan, bunyi bising yang kami cetuskan secara tidak sengaja itu langsung tidak mengganggu ikan-ikan kelah yang tidak takut-takut atau malu-malu menghampiri kami. Yang saya lihat seperti terganggu ialah pengunjung-pengunjung lain yang ada di situ. Kalaulah mereka sedar yang kami benar-benar cuba menahan geli...


Sebenarnya, saya tidak lupa tentang peraturan yang sudah dibaca sebelum bermain-main dengan ikan kelah di sungai itu. Begitu juga dengan ahli keluarga saya yang lain. Jangan bising. Itulah satu-satunya peraturan yang kami langgar tanpa sengaja. Semakin lama, rasa geli itu kian dapat diatasi. Mungkin untuk mengganti masa beberapa minit yang tidak digunakan dengan baik, kami diberi masa tambahan selama lima minit lagi. Guide itu memang baik hati. Bagi saya, dia baik bukanlah semata-mata disebabkan masa tambahan lima minit yang diberinya itu. Bertemu dengan insan yang baik hati di tempat yang pertama kali kita kunjungi memang amat melegakan.

Ada rasa geram melihat ikan-ikan itu. Teringin mahu memegang sendiri. Kalau dipegang juga, maknanya ada peraturan lain yang akan dilanggar. Dilarang mengasari atau mencederakan ikan. Tidak mahu melanggar peraturan tersebut, jadi saya sekadar membelai ikan-ikan itu.

Masa bermain dengan ikan akhirnya tamat. Tiada sebarang kecederaan berlaku seperti yang saya risaukan sebelumnya. Ikan kelah itu tiada gigi. Itulah yang diberi tahu oleh petugas yang tidak jemu menjawab pelbagai pertanyaan saya.

Sebelum sampai ke tempat ikan kelah ini, beberapa kali kami terpaksa berhenti untuk bertanya arah. Biasanya sesuatu perjalanan itu akan terasa jauh dan lambat jika ia pertama kali kita kunjungi. Tetapi keadaan itu tidak akan berlaku pada kunjungan kali kedua dan seterusnya. Banyak tahu membuat hidup kita lebih bererti, ada kalanya begitu. Lebih lagi, kalau pengetahuan yang kita miliki itu bersifat membina dan memberi manfaat.

Jika ada antara teman-teman yang ingin berkunjung ke Sungai Moroli, di bawah ini ada nombor telefon yang boleh dihubungi. Mungkin ada pertanyaan tentang bayaran masuk ataupun pertanyaan lain yang mungkin ingin ditanyakan pada mereka...

Khamis, 27 Ogos 2009

Nisholda


Hari keenam Ramadhan...musim panas kian berlalu.

Tiada pasar Ramadhan. Tiada jalan sesak hingga memaksa kita berbuka puasa di dalam kenderaan. Kami iftar dengan menu yang ala kadar sahaja. Tahun ketiga menyambut Ramadhan di sini, baru semalam kami sekeluarga mencuba 'nisholda' yang menurut penduduk di sini, sering ditunggu-tunggu setiap kali menjelang bulan yang mulia ini. Warnanya putih dan rasanya manis. Nisholda...yang terkandung di dalamnya antara lain yang saya tahu ialah putih telur dan gula yang dipukul sehingga kembang. Kami makan nisholda bersama roti non yang dibakar di dalam tandir. Nisholda dan 'meringue' nampak macam adik-beradik. Mungkin juga memang serupa dan sama tetapi dikenali dengan nama yang berbeza.

Roti non dan nisholda

Nisholda

Ahad, 16 Ogos 2009

Hanya Kerana Dia Setuju

Waktu itu saya melalui kampung halaman salah seorang Cikgu yang pernah rapat dengan saya. Sebetulnya, beliau salah seorang kenalan yang sering saya hubungi ketika saya berada di Kota Kinabalu. Beliau masih bertugas sebagai guru. Saya faham kesibukannya. Kami memang ingin bertemu tetapi tidak menetapkan sebarang tarikh mahupun tempat berlangsungnya pertemuan. Namun, keinginan itu tetap ada.

Menariknya, kami mempunyai bilangan anak yang sama dan susunan jantina yang sama juga. Selain itu, salah seorang anak kami mempunyai nama yang hampir sama. Anak sulung Cikgu, dan anak saya yang kedua. Cuma nama anak Cikgu itu, ada Nor di hadapan namanya.

Sama seperti tahun yang sudah, tahun ini nampak seperti harapan tinggal harapan kerana saya beranggapan mungkin tahun depanlah nampaknya baru peluang itu muncul. Peluang untuk bertemu tahun ini nampak samar juga.

Ketika melalui simpang masuk ke kawasan rumah Cikgu, adik saya memberhentikan keretanya di bahu jalan sementara saya menghubungi Cikgu. Lantas, saya tanya beliau berada di mana ketika itu. Katanya, baru sahaja sampai ke rumah ibunya di kampung. Saya mengambil kesempatan bertanya sama ada Cikgu mahu bertemu saya ataupun tidak.

Hanya kerana Cikgu setuju, saya dengan perasaan gembira, mula mencari cari rumah Cikgu. Sebenarnya, saya sudah ingat ingat lupa lokasi rumah tersebut kerana sudah agak lama sejak kali terakhir saya berkunjung ke sana, lebih sepuluh tahun yang lalu.

Sambil itu, saya teringat cerita kawan-kawan yang pernah terserempak dengan Cikgu. Menurut mereka, Cikgu sudah berubah. Berubah dari segi apa, tidak pula saya tanya. Saya tidak suka bertanya hal-hal semacam itu. Mendengar sahaja sudah cukup bagi saya. Lebih baik begitu.

Sesudah sempat tersasar, rumah yang dicari ketemu juga. Cikgu menyambut kedatangan saya dengan ramah sekali. Pada saya, tidak ada apa yang berubah. Cikgu yang saya sayang itu, masih cantik seperti dulu dan masih tetap ramah seperti dulu juga. Rindu dan ingatan yang tersimpan sejak beberapa tahun itu, terubat dengan pertemuan yang tidak sampai pun sepuluh minit.

Selain Cikgu, saya turut berpeluang bertemu dengan ibu dan juga anak-anak Cikgu. Comel-comel semuanya. Sempat juga saya mendukung si comel Cikgu yang paling kecil, yang baru dua bulan umurnya.

Hanya kerana Cikgu setujulah, saya singgah ke situ. Kalaulah Cikgu berkata tidak, pasti pertemuan kami akan tertangguh lagi. Terima kasih, Cikgu. Terima kasih kerana sudi bertemu dengan saya. Mudah-mudahan jika dipanjangkan umur, kita berpeluang bertemu lagi. Insya-Allah.

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kertas-kertas Putih

Kedukaan...
Adakah hanya kedukaan
yang bisa membangunkan
minda yang terpenjara
yang seperti kehilangan kata-kata
untuk disusun dilapisi makna
di timbunan helaian
kertas-kertas putih
yang lama menanti...?