Ahad, 15 Februari 2009

BUKAN SINOPSIS : Trilogi Bagaikan Puteri

Trilogi ini mengisahkan tentang empat watak utama iaitu Laksamana Sunan – Ratna – Haryani – Dani. Ia berkisar tentang pengembaraan keempat-empat watak yang melangkaui batas waktu. Plotnya juga disusun dengan begitu menarik sekali oleh pengarang yang tidak asing lagi iaitu novelis thriller tanahair, Sdr. Ramlee Awang Murshid. Anda pasti tidak akan menyesal mengikuti trilogi ini dari awal hingga akhir. Trilogi ini dimulai dengan Bagaikan Puteri, diikuti Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta sebagai penutup tirai.

Ketika saya memulakan pembacaan trilogi ini, saya pernah bertembung dengan isu yang menarik perhatian pelbagai golongan penulis iaitu sastera elit dan sastera pop yang mewarnai persada penulisan di tanahair kita sekitar dua tiga tahun yang lepas. Atau mungkin juga lebih lama daripada itu. Sempat saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya telah salah memilih bahan bacaan? Perasaan itu cuba saya kikis perlahan-lahan dan saya meneruskan juga pembacaan kerana saya ingin belajar sesuatu tentang penulisan.

Namun saya berpendapat, trilogi ini memberi makna dan manfaat yang cukup besar kepada saya yang baru kembali berjinak-jinak memilih novel sebagai bahan bacaan. Selain itu, saya sebenarnya amat meminati bidang penulisan kreatif dan baru kembali memesrainya setelah sekian lama sekadar menjadi pemerhati. Saya tidak mahu meniru lagak Mat Jenin. Oleh yang demikian, secara perlahan-lahan saya mula mengorak langkah biarpun kecil.

Kisah di dalam ketiga-tiga novel ini walaupun cuba mengajak kita berfantasi tetapi ada nilai-nilai murni yang hakiki terselit di dalamnya. Perkara itu langsung tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Walaupun kita diajak berfantasi, kita sentiasa dalam keadaan sedar bahawa kebenaran dalam sesebuah perjuangan itu amatlah penting. Pengarang berjaya menonjolkan Laksamana Sunan sebagai watak yang dekat di hati pembaca. Menegakkan kebenaran dan menumpaskan kebatilan tidak mengira batas waktu.

Penggunaan bahasa yang lancar amat membantu bagi golongan yang mahukan bahan pembacaan yang mudah. Diharap juga agar para pembaca budiman tidak mudah berpuas hati dengan segala macam perkara yang serba mudah hingga tidak mampu mencabar minda. Minda kita hendaklah sentiasa dicabar dengan perkara-perkara baru yang menjurus kepada niat yang murni dan jauh sekali memesongkan kita dari landasan kebenaran. Kebenaran yang kita perolehi di dunia ini akan membantu kita meniti kehidupan yang lebih aman dan bahagia di akhirat kelak. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat.

10 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Orang seperti saya nampaknya tidak mampu lagi membaca novel. Jadi, catatan pendek seperti ini membantu saya mengikuti perkembangan kesusasteraan Melayu. Saya suka membaca catatan pendek seperti ini.

Teruskan menulis.

Wassalam

aranam berkata...

Wa'alaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih atas sokongan Cikgu. Saya amat menghargainya. Saya juga amat memerlukan teguran membina dari semasa ke semasa.

pie berkata...

Serius...
Layan novel RAM...
ehehhe...
kesemua novel RAM thrill...
antara novelis yang diminati...
antara penulis muda hebat...
Ramlee Awang Murshid dan Faosal Tehrani...

tapi merujuk kepada karya sastera yang pop, bagi aku RAM tidaklah se-pop mana. Ada lagi yang lebih pop... Tapi pop atau tidak bukan masalah... Banyak atau sedikit buku bukan masalah. Yang penting variasi buku yang di baca...

aranam berkata...

pie
Setakat ini, baru empat novel dibaca hasil buah tangan pengarang berbeza. Ada sebuah lagi masih menunggu, pengarang ketiga. Sudah lebih seminggu masih lagi berbalut. Bisa trilogi Bagaikan Puteri belum hilang lagi.
Terima kasih kerana berkunjung ke Menelusuri Ilham.

NONG berkata...

Saya sendiri merupakan HANTU novel. Kala menghayati, pada babak sedih saya pasti tersentuh dan menangis.Pada babak lucu saya pasti tercuit dan tertawa.
Pernah saya membaca novel sampai tak tidur semalaman.. macam tengok cerita dalam tv pula.

aranam berkata...

NONG
Ketika membaca novel, mata dan minda kita bekerja. Otak menghadam, mencerna, dan menyimpan segala yang dirakam oleh pandangan melalui setiap perkataan yang kita baca. Disebabkan hal inilah, pengarang memikul tanggungjawab yang cukup besar dalam menghasilkan sesebuah karya.
Terima kasih NONG kerana sering berkunjung ke sini.

pie berkata...

novel2 RAM, yang tetap saya baca berulangkali...
Bagaikan Puteri(saya rasakan paling baik antara trilogi), Rahsia Perindu, Mandatori dan ADAM. 4 ni favourite antara novel2 RAM.

aranam berkata...

pie
Mudah-mudahan saya berpeluang membaca novel-novel tersebut.

Kabasaran Soultan berkata...

Wow .. jadi tertarik pengen membacanya .. mudah2an dah ada di Indonesia.

Thanks untuk doa dan kunjungannya

aranam berkata...

KABASARAN
Ya...mudah-mudahan sudah ada di toko buku berdekatan. Atau boleh mengunjungi laman web RAMFC yang baru dimasukkan dalam pautan Menelusuri Ilham dan boleh diperolehi maklumat lanjut dari sana.