Memaparkan catatan dengan label Gelagat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gelagat. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Jun 2014

Tak Faham Lagi?

Ini kisah pagi tadi semasa bersarapan di kedai makan yang biasa dikunjungi.

Sebaik tiba di meja kami, pelayan bertudung merah mengajukan soalan itu. Selamba sahaja saya jawab, tak faham. 

Sebelumnya, saya sudah membayar keseluruhan jumlah harga makanan yang dipesan. Jumlah itu tidak logik. Saya sudah memintanya mengira sekali lagi. Sama. Jumlah yang tidak logik itu juga. 

Saya kembali ke meja. Duduk dan menghabiskan teh ais yang sedia tinggal sedikit sambil bercerita pada suami tentang hal yang berlaku di kaunter bayaran. Jarang benar saya membayar harga makanan. Mungkin juga saya yang silap menganggar harga.

Selepas bercerita itulah, suami meminta pelayan bertudung merah itu datang ke meja kami. Dia dengan gaya tak mesranya datang sambil memegang kalkulatornya bertanya, tak faham lagi? Soalan itu diajukan selepas kami meminta dia memberitahu satu-persatu harga makanan yang dikenakan.

Tup tap tup tap! Haaah, kan betul dia salah kira! 

Sudahlah. Cukuplah. Lain kali tak perlulah kita makan di sini lagi. Muktamad. Pangkah! Kami sama sepakat memutuskan.

Khamis, 20 Februari 2014

Selera

Gambar makanan. Selalu muncul di dinding Facebook saya -- termasuk gambar-gambar makanan yang saya ambil juga -- sekarang sudah berkurang. Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan gambar-gambar makanan yang dimuat naik oleh kawan-kawan. 

Bagi saya, perkongsian itu memberi idea untuk mencuba masakan baru ataupun mencari hidangan tersebut di restoran (ataupun warung) berkenaan.

Apabila selera tiada, gambar-gambar itu sedikit-sebanyak membantu 'memanggil' selera. Tidak semestinya keinginan mahu makan makanan yang sama. Keinginan terbit untuk mencicipi menu lain yang akrab dengan selera sendiri.

Apalah salahnya berkongsi. Bukankah sering kita berazam mahu berfikiran positif? Mengapa tidak kita ambil yang baik-baik sahaja dari perkongsian itu? Jikalau tidak suka dengan apa yang kita lihat, pilih saja butang sembunyi. Selesai.

Pernahkah kita terfikir, tujuan perkongsian itu; keinginan berkongsi resepi, mengimbau kenangan bersama keluarga dan teman-teman, dan sebagainya. Sebelum ini, saya sekadar menjadi pemerhati pada pendapat yang pelbagai tentang perkongsian gambar makanan ini.

Alangkah moleknya kita boleh menerima gambar-gambar makanan yang dimuat naik ke media sosial itu sebagaimana kita menerima kewujudan gambar-gambar makanan dalam majalah ataupun program masakan di televisyen.

Sejujurnya, saya suka bertukar-tukar resepi. Bertukar-tukar idea. Paling kerap yang saya buat, lihat dan diam sahaja.

Selagi tidak kelihatan riak ataupun jelas dengan sengaja menimbulkan kedengkian seterusnya rasa kurang selesa pada orang lain, saya ternanti-nanti rakan-rakan saya berkongsi gambar-gambar hidangan yang mereka nikmati ataupun pelbagai resepi yang mereka sukai.

Sekiranya gambar-gambar itu boleh dinikmati aromanya, tentu saya berfikir banyak kali untuk menanti perkongsian menu seterusnya. 

Bilis tempoyak yang enak dan tahan lama 
jikalau disimpan di dalam peti sejuk.