Rabu, 11 Februari 2009

Cikakak di Rumah Nenek

Ketika itu umurku baru sembilan bulan. Aku dijaga oleh Nenek. Setiap pagi, aku dihantar Abah dan Mama ke rumah Nenek. Sebelum Maghrib, Bu Na akan menghantar aku ke hujung titi yang dipanggil jambatan oleh penduduk sekitar. Jambatan itulah yang digunakan sebagai laluan oleh penduduk kampung. Pernah jambatan itu rosak. Bersusah-payah Bu Na mengimbangkan badannya agar kami tidak terjatuh. Bu Na ialah anak Nenek. Anak Nenek yang lebih muda daripada Mama. Entah-entah ketika Mama sebaya Bu Na, Mama juga pernah melalui pengalaman seperti ini. Bersusah-payah berjalan di atas jambatan yang rosak. Aku memeluk Bu Na erat. Bu Na mendakap aku kemas-kemas. Ramai orang pernah berkata bahawa jambatan itu perlu dibaiki. Aku setuju dengan mereka. Jambatan itu memang perlu dibaiki. Begitulah rutin hidupku setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Rutin itu bermula sejak umurku baru dua bulan.

Suatu petang, kami dikejutkan dengan kehadiran Abah dan Mama. Biasanya, Bu Na yang akan menghantar aku hingga ke hujung jambatan. Sambil duduk bersembang di ruang tamu, kami makan kuih karipap yang digoreng Nenek. Aku juga mahu makan karipap. Abah kata, karipap yang Nenek buat, sedap. Mama rancak berbual dengan Nenek. Antara yang menarik perhatianku ialah tidak lama lagi rutinku akan berakhir. Tidak lama lagi aku akan dijaga Mama sepenuh masa. Tidak lagi ditinggal-tinggalkan di rumah Nenek. Aku memandang Nenek. Di wajahnya ada senyum terukir. Cuma senyum itu agak asing bagiku. Tawar.

Berkali-kali Mama memujuk Nenek. Menurut Mama, kami tetap akan sering bertemu Nenek. Lagipun, jarak rumah kami dan rumah Nenek tidak sampai sepuluh minit. Aku tahu Nenek sedih. Aku ini cucu pertama Nenek. Apa yang boleh aku buat supaya senyuman Nenek tidak setawar itu. Sambil mengunyah karipap yang sudah dikeluarkan intinya, aku memandang ke dinding rumah. Aku segera menuding jari tepat ke arah dinding berwarna biru muda itu sambil menjerit, ''Cikakak! cikakak!''

Tiba-tiba semua yang ada di sekelilingku ketawa. Berderai. Aku tercengang sendiri. Nenek ketawa. Ketawa yang sering aku lihat. Aku gembira melihat Nenek ketawa. Aku juga turut ketawa. Tapi, kenapa mereka ketawa? Akukah yang diketawakan mereka?

6 ulasan:

Kabasaran Soultan berkata...

Cikakak ? ... sama ngak dengan cekikikan ( ketawa lepas ).. atau berteriak-teriak ya ? ...

aranam berkata...

Ya...anak kecil itu cekikikan selepas melihat 'cikakak'.

NONG berkata...

hahahaahahaa..
sodih pula aku baca n3 ko ni. Memang jiwa seorang nenek ni amat sensitif.Kita yang muda ni harus memahami dengan penuh sabar.
Cikakak!..

aranam berkata...

NONG

Ya...yang penting sabar selalu.

Tanpa Nama berkata...

cikakak=cicak???
bagus cerita ni...

aranam berkata...

SURINIT
Kisah ini macam boleh disambung pula. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke Menelusuri Ilham dan memberi komen. Kunjungan anda amatlah dialu-alukan.