Sabtu, 14 Februari 2009

Adik Sayang Abah

Anak kecil itu sejak tadi lagi masih memuncungkan mulutnya. Ditambah lagi dengan kerut di keningnya. Matanya sekadar memandang makanan di hadapannya yang masih menanti untuk disuap ke mulut. Kakak-kakaknya terus menunggu. Ibunya pun begitu juga. Sekadar memerhati gelagat anak kecilnya kerana dia tahu dan sedar punca anak kecilnya jadi begitu. Setelah ayahnya bersuara, barulah muncungnya perlahan-lahan hilang. Kerut di keningnya juga beransur hilang. Tangan ditadah dan satu-persatu doa sebelum makan dibaca yang dimulai dengan Bismillah....

''Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar.''

Maksudnya ialah Ya Allah, berkatilah apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab neraka.

Rasa tidak puas hati anak kecil tadi kelihatannya seperti hilang begitu sahaja tapi sebenarnya tidak. Hanya muncung dan kerutnya sahaja yang hilang dari pandangan. Tanpa dipinta dia memberitahu betapa dia tidak senang selalu ditinggal-tinggalkan oleh ayahnya. Dia menuntut agar ayahnya segera pulang. Dia mahu ayahnya sentiasa berada di sisinya. Kakak-kakaknya saling berpandangan. Mereka hairan mendengar butir bicara yang meluncur laju dari mulut satu-satunya adik lelaki mereka itu. Mereka bertanya apa yang membuatkan adik mereka berkata demikian. Menurutnya, dia tahu ayah akan berpergian lagi. Padahal baru seminggu dia bersama ayah selepas berpisah selama seminggu pada minggu sebelumnya. Dan sekarang, perlu berpisah lagi. Barangkali setalah selang seminggu, barulah dapat bertemu ayah. Selepas meluahkan apa yang terbuku di hatinya, anak kecil itu memberanikan diri memandang ayahnya. Katanya, ''Adik sayang Abah....''

2 ulasan:

KABASARAN berkata...

ya ..begitulah anak kecil ..selalu merasa aman kalau dekat ayahnya

aranam berkata...

Mudah-mudahan sehingga dewasa kedekatan itu tidak hilang...walau jauh di mata, tetap dekat di hati.