Jumaat, 20 Februari 2009

Khabar Dibawa Angin

Kehadiranku di sini, usahlah kau gentar. Kalau kaugentar bermakna ada sesuatu yang mencuit hatimu. Hilangkanlah rasa itu. Hilangkanlah punca kau berasa gentar. Aku ini bukan siapa-siapa.

Aku bukan tikus yang membaiki labu. Aku juga bukan berudu yang baru menjadi katak. Aku di luar kelompok itu. Aku ingin melihat sebuah kedamaian, keamanan, kebersamaan, dan segala-gala yang baik-baik dan benar-benar sahaja.

Di sana-sini aku mendengar keluh dan kesah. Ke mana-mana aku pergi, yang kudengar adalah desir hampa yang dibawa angin nun dari kejauhan. Aku tahu kau ada di sana. Kau hampir benar dengan angin yang membawa khabar kepadaku di sini.

Tidakkah angin itu membawa khabar kepadamu? Atau kausengaja pura-pura tidak peduli kehadiran angin yang berkali-kali menggugat keberadaanmu?

Bila-bila masa saja jika yang bertiup itu bukan lagi sekadar angin yang mendesir, tidak mustahil satu-persatu pelepah tuaku akan menyembah ke bumi. Paling merisaukan aku lagi, jika angin itu bertukar kencang. Kencang sekencang-kencangnya. Pasti sebiji demi sebiji kelapa tua yang bergayut di atas ini akan jatuh dan menimpa sesiapa sahaja yang berada di bawah.

Tidak mengira siapa atau apa. Mungkin juga harta bendamu. Atau mungkin juga rumahmu. Sudah kukatakan sejak awal lagi, usah gentar padaku. Nah! Sekarang tentu kau tahu aku siapa, kan? Tentu kau tahu yang rasa gentar di hatimu itu hanyalah sia-sia. Benarkah?

Benarkah gentar yang hadir sebentar tadi sia-sia? Mungkin juga gentar itu perlu kausimpan untuk direnung kembali. Lebih jauh. Mudah-mudahan gentar yang singgah di sanubarimu sebentar tadi pernah dibawa oleh angin yang selalu singgah menyapamu.

3 ulasan:

KABASARAN berkata...

Siapakah dikau sebenarnya ?....

Tak kan lah aku gentar kerana aku benar.
Tak kan lah aku takut kerana aku betul.
lagi pula aku percaya ....
Tak kan lah engkau celakakan aku kerana engkau bijaksana.

Fizahanid berkata...

saya kagum dalam gentar

aranam berkata...

KABASARAN
Berani kerana benar. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di pihak yang benar.

Fizahanid
Terima kasih kerana sudi memberi komen. Terima kasih menerima saya seadanya.