Ahad, 22 Disember 2013

Operasi Hujung Minggu

"Dua malam Tok Ki dan isteri tidur di jejantas tu," cerita Tok Ki sambil menunjuk ke arah jejantas yang dimaksudkan. Jejantas itu tidak jauh letaknya dari rumah Tok Ki.

"Setiap hari makcik pinjam periuk nasi jiran. Masa banjir tempoh hari, makcik redah saja. Sedang meredah air banjir tu, ada orang datang bantu makcik," begitu cerita seorang lagi mangsa banjir, berusia 74 tahun.

"Lima malam makcik duduk di pusat pemindahan. Air naik tinggi. Tahun lepas naik juga. Tapi tahun ni lagi tinggi," ujar seorang mangsa banjir di Kg. Bukit Mentok.

"Sekarang ini tempat kerja saya masih lagi belum beroperasi. Lama lagilah saya bercuti," luah seorang ketua rumah yang sudi berkongsi kisah hidupnya.

Itulah antara kisah yang kami dengar. Apa yang pasti, rata-rata mereka reda dengan ketentuan yang berlaku. Kami bersyukur kerana kesemua insan yang kami kunjungi, menerima kehadiran kami dengan ramah. Senyuman tak lekang dari wajah mereka.

Selama dua hari semasa cuti hujung minggu baru-baru ini, kami sekeluarga mengunjungi mangsa banjir secara rawak. Apa yang dapat kami saksikan ialah begitu banyak harta benda seperti perabot, buku-buku dan pelbagai lagi barangan lain dilonggok di hadapan rumah. Barang-barang tersebut telah rosak musnah selepas rumah masing-masing ditenggelami air bah. 

Di beberapa kawasan terlibat, kelihatan kerja-kerja pembersihan sedang giat dilaksanakan. Namun demikian, masih banyak lagi kerja pembersihan yang mesti dilakukan baik di Kuantan mahupun di Kemaman. Termasuk juga semua kawasan lain yang terlibat. Usaha ini perlu dilakukan dengan segera bagi mencegah ancaman wabak penyakit.

Reda dan sabar adalah antara kunci utama untuk meraih ketenangan. Semoga mereka terus tabah semasa berhadapan dengan kesukaran yang melanda pada ketika ini. Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikulnya.

Isnin, 16 Disember 2013

Tragedi Banjir

Banjir yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur sudah pun surut. 

Tragedi banjir yang disifatkan luar biasa kali ini telah banyak mengorbankan harta benda penduduk. Sehingga kini, ada segelintir mangsa banjir masih belum dapat melalui kehidupan sebagaimana biasa yakni sebelum tragedi banjir itu berlaku.

Keadaan rumah yang belum bersih sepenuhnya. Banyak harta benda yang rosak teruk terpaksa dibuang. Timbunan sampah luar biasa yang masih tersadai di halaman rumah. Segala almari, katil, tilam, bantal dan pelbagai barangan lagi. 

Paras air naik sehingga mencecah siling rumah, mencecah bahu. Bayangkanlah betapa banyaknya kemusnahan yang berlaku.

Di mata ramai orang, surut banjir surut jugalah masalah. Hakikatnya, masalah mangsa tetap juga belum sahih surut. 

Di daerah Kemaman misalnya, pelbagai pihak mengambil inisiatif membantu mangsa yang terlibat. Ada yang membantu membersihkan rumah. Ada yang memberi sumbangan makanan. Tidak kurang juga yang memberi sumbangan berupa pakaian dan juga barangan keperluan lain. Saya percaya, di tempat-tempat lain pun ada sukarelawan yang tampil memberi bantuan.

Benar, semua bantuan ini tidaklah dapat memenuhi segala keperluan mangsa. Namun demikian, setidak-tidaknya segala sumbangan dan keprihatinan masyarakat dapatlah meringankan sedikit beban mereka. 

Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Melihat dari jauh pun kita tumpang simpati apatah lagi jikalau kita berpeluang melawat sendiri rumah-rumah mangsa yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda. 

Tuding-menuding mencari salah ataupun mengambil kesempatan dalam kesempitan wajarlah dihindari. Bantuan ikhlas itulah yang amat diperlukan sekarang ini. 

Terkini, semua pihak yang terlibat sedang berjaga-jaga dengan kedatangan gelombang kedua yang dijangka akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah melindungi kita. 

Sabtu, 7 Disember 2013

Bahagian

Usah kita bersedih
tatkala kita berduka
orang lain gembira.

Usah kita tersilap menduga
sesaat teman turut berduka
saat seterusnya mereka tertawa.

Kedukaan itu bahagian kita
Kegembiraan itu bahagian mereka.

Bukankah ada masanya
Kegembiraan dan kebahagiaan itu
Kan singgah di jiwa kita pula?


Tersua dengan Batok

Mendung masih bertamu. Hujan masih tak puas membasahi bumi. Ombak masih tak jemu memukul pantai. Terik mentari masih dirindui. Air paip di rumah pula sudah kering-kontang.

Usaha perlu dilakukan. Kami memerlukan air bersih untuk kegunaan seharian. Bekalan air minum sudah mencukupi. Cukuplah sehingga beberapa hari akan datang. 

Kami mula mencari-cari. Mujurlah ada tuan rumah yang sudi menyewakan rumahnya yang baru siap kepada kami. Rumah itu digunakan untuk berehat-rehat. Menurut beliau, kamilah orang pertama menyewa rumah tersebut.

Tuan rumah yang baik hati itu mengizinkan kami menadah air paip untuk kegunaan kami di rumah kelak.

Jarak rumah tumpangan dengan kediaman kami kira-kira dua puluh minit.

Setibanya di rumah tumpangan, batok menanti kami dalam tempayan yang penuh berisi air. Saya tersenyum memandang batok sambil teringat batuk. :)

Syukur alhamdulillah. Dapatlah memenuhi keperluan kami setakat hari ini  dan juga besok lusa. Insya Allah.


Khamis, 5 Disember 2013

Ada

Ku telah memilih
menjauhi ruang terbuka.

Dulu pernah
ku mencuba.

Cukuplah.

Biar sepi
aku kembali
ke sini.

Biar angin
berbisik lembut
membisik khabar
berkisah tentang
bahagia.

Yang kutahu
kamu ada.

Jalan

Menghadapi detik sukar
kita cari jalan keluar.

Tak usah menuding jari
meliar menujah
hidung-hidung
yang tinggi
yang mancung
yang bengkok
yang bulat
yang kemek atau
yang cantik terletak.

Lebih molek
kita usaha
cari jalan
keluar
hingga
ringan
beban
di jiwa
yang resah
yang duka
yang walang
merindu
tenang nan mendamaikan.


    Gambar sekadar hiasan

Bah

Malam tadi, begitu ramai orang di pasar raya. Tujuan kami asalnya hanya ingin membeli beras. Seperti biasa, menambah bekalan roti. Pertama kali dalam tempoh setahun lebih menetap di sini, bekalan roti hampir licin. Dapatlah juga membeli sedikit bahagian untuk kami sekadar keperluan.

Keadaan ini berpunca daripada kejadian banjir yang mengakibatkan laluan darat ditutup. Apa yang saya tahu, jalan utama di Kemaman masih lagi digenangi air bah.

Menjelang hampir tengah hari tadi, saya mendapat khabar bekalan air terputus di kawasan Kemaman (termasuklah kawasan tempat kami tinggal ini). Bila bekalan air akan kembali pulih, saya tidak mempunyai maklumat tentangnya. Tidak mustahil keadaan ini akan berlangsung dalam tempoh yang agak lama berbanding kebiasaannya.

Benarlah, air paip di dalam rumah ini semakin perlahan alirannya. Tidak deras seperti selalu. 

Air mineral/putih/minuman dalam botol patut dibeli! Ternyata, saya terlewat. Kehabisan bekalan air di pasar raya memang sudah dijangka. Saya mendapat maklumat terus daripada pihak pasar raya bahawa bekalan sebanyak lima ratus karton air botol telah habis pada sebelah pagi tadi. Bekalan baru sebanyak satu kontena dijangka tiba pada hari sabtu ini. Itupun jikalau semua laluan utama sudah dibuka.

Peritnya masih belum terasa. Hanya menyesak dalam fikiran. Jangkaan kemungkinan buruk yang diduga-duga itulah yang mengundang resah di hati.

Apapun, dugaan ini tidaklah seperit mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan ataupun kehilangan harta benda. Ataupun yang terpaksa meninggalkan rumah demi menyelamatkan nyawa sendiri dan insan-insan yang dikasihi. Tahun lepas, saya tidak ingat pernah berhadapan dengan situasi ini. Ternyata, tahun ini ceritanya berbeza.

Malam ini, bermulalah misi kami. Mencari bekalan keperluan yang sedikit luar biasa untuk keluarga.

Semoga segalanya dipermudahkan Allah.

Rabu, 4 Disember 2013

Talam

Apakah mungkin
memberi percaya
pada diri
yang menyerap
semangat talam
yang hitam?

Aku tak ingin
menjadi saksi
pada diri
yang punya
hitam semangat
talam.

Perlahan-lahan namun
yakin dan nekad
aku berundur
menjauhi
jiwa riang
diri bahagia
yang diresapi
legam hitam semangat talam.




Tidak Menghampakan Sama Sekali


Aku Bercerita garapan Ramlee Awang Murshid sudah berbulan-bulan berada dalam simpanan. Hampir terlupa sudah memilikinya sehingga Magis yang baru dibeli dibaca terlebih dahulu. Seperti Magis, Aku Bercerita sama sekali tidak menghampakan. Sebenarnya, hampir semua novel beliau yang pernah dibaca menjanjikan kepuasan.

Aku Bercerita masih belum habis dibaca sampai ke noktah terakhir pada penghujung halamannya. Persoalan yang penuh teka-teki melorongkan keinginan untuk meneruskan pembacaan. Jangkaan demi jangkaan yang tidak terpesong sepanjang pembacaan menambah keseronokan sepanjang menekuni garapan yang nyata berbeza gaya penceritaannya dalam Aku Bercerita ini.

Satu hal yang patut dikongsi, sudut pandang orang pertama bukanlah gaya penceritaan yang menjadi kegemaran. Kerana itulah pembacaan ditangguh-tangguh. Novel masih berbalut kemas setelah berbulan-bulan dalam simpanan. Tidak ubah umpama baru sahaja meninggalkan rak di kedai buku Popular!

Ternyata, Aku Bercerita, salah satu lagi karya hebat Ramlee Awang Murshid yang mesti dimiliki dan dibaca oleh penggemar tegar karya-karya beliau. Yang baru ingin menelusuri amatlah dialu-alukan. 

Selamat membaca!