Memaparkan catatan dengan label Menelusuri Ilham. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menelusuri Ilham. Papar semua catatan

Khamis, 19 Februari 2009

Yang Datang, yang Pulang

Setiap saat
ada yang datang
ada yang pulang
yang datang
membawa harapan
yang pulang
meninggal kenangan.

Untuk yang pulang
dijemput Tuhan
Moga damai engkau di sana
Al Fatihah....

Cenderawasih

Cenderawasih tinggi di awan
melayang-layang turun ke bumi
melambai-lambai indahnya awan
berkepul-kepul bak kapas memutih
memendam gelisah lara di jiwa
kesal menyaksikan sengketa
yang kian berjela.

Cenderawasih tiba di bumi
terkapai-kapai tiada berteman
harapan tinggi menjulang ke awan
yang tidak mungkin dicapai lagi
yang tidak mungkin dinikmati lagi.

Selamat tinggal awan gemawan
Kita tak bisa bersua kembali.

Warkah dari Bonda

Untuk kalian anak-anakku,

Derita dijajah dirasai insan-insan emas menuntut sebuah nikmat yang namanya merdeka bukan kita yang kini cuma bersenang-senang menikmati buah perjuangan. Tubuh-tubuh dan jiwa-jiwa mereka pernah merasa kesakitan dan kehinaan hingga luka berdarah perit dihina maruah dipijak tanpa belas walau sekelumitpun. Jasad terus-terusan sengsara menanggung azab dunia di tanah tumpah darah yang dicintai.

Terpahat nyata dalam lembaran demi lembaran sejarah yang dibelek-belek dan diselak-selak kisah tiada jua kau jadikan iktibar. Segala rasa gerun dan gementar sekujur jasad yang bebas menjengah pantas kerana kecut menguasai dirimu yang tidak ingin hitam mewarna tanahair berdaulat. Baguslah kau cinta juga tanahairmu tempat kau menumpang hidup.

Katamu, pergilah menjauh dan usah datang lagi menghampiri mengganggu dan menggugat kedamaian yang kau dakap dan tidak kau sedar akan terlepas jua jika tidak dipegang kejap cuma sayang keinginanmu itu berlandaskan sebuah kebenaran yang samar-samar dan dilitupi kabus, hanya nafsu duniawi semata-mata.

Kehairanan membelenggu mata jiwa hati dan akal warasku bila kau didakap damai dan bebas yang tiada luka mengalirkan darah bertukar menjadi hanyir bau nanah parut membekas kau cinta akan dirimu lebih tinggi dan memesongkan sebuah matlamat hidup jauh dari jalan lurus yang di penghujungnya ada damai abadi.

Betapa mudahnya engkau tanpa silu dan malu tiada sakit dan bisa menusuk mengelar dan memijak keberadaanmu akhirnya yang kau gadai adalah maruahmu. Jika sekali ini kau teruskan jua penggadaian maruah jiwamu usah kau berharap mampu menebus lagi walau sisa-sisanya kerana mereka mengintaimu dalam diam bersedia membaham dan mengoyak penuh rakus dirimu yang kaucintai itu hingga kau tak bisa lagi bangun untuk menebus maruahmu yang telah kau gadai.

Dariku, bonda.

Bukannya Bersuluh Batang Pisang, Bersuluh Bulan Matahari



''Jadi sekarang hampir lengkaplah gambaran penentangan PPSMI itu iaitu dari rakyat yang tua hingga kepada yang muda: cendekiawan dan pelajar.::Dato' Bahazain::''


Sila kunjungi laman blog DesaKota atau klik pada tajuk entri ini. Saya pasti tentu ramai di antara kita sudah sedia maklum bahawa pihak yang terbabit dengan pelaksanaan PPSMI sudah bertegas tidak akan mendengar suara penentangan itu jika datangnya hanya daripada satu kelompok 'kecil'. Nah! Ternyata suara penentangan itu semakin besar dan jelas.

Rabu, 18 Februari 2009

Nasihat Seorang Guru

Tebarkanlah aksaramu. Aku menyenangi aksaramu kerana selalu kulihat warnanya putih dan hijau berkilat. Aku menyenangi aksaramu duduk rapat-rapat dan ada sedikit ruang untuk malaikat sama-sama melihat. Kulihat aksaramu kecil dan besar berdiri bahu-membahu, sesekali bergerak perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri dengan tabah menapak ke hala tuju. Kudengar aksaramu bergumam berbaur geram di sisi kapal hampir karam. Kini aksaramu berdiri menyanyi menguliti hidup ini. Tebarkan aksara budi yang wangi di hadapanku, aksara budi daripada denai ilham yang kautelusuri, tebarkanlah, tebarkanlah.


Nasihat dalam susunan kata-kata indah di atas adalah nukilan Cikgu Mohd. Isa bin Abd. Razak. Terima kasih, Cikgu.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi kubawa mati.

Saya pindahkan dari sini untuk tatapan dan renungan rakan-rakan sekalian. Buat sesiapa juga yang sentiasa berusaha mencari dan menyebar kebenaran.



Maafkan Aku

Jika aku hanya aksara
yang tidak mengisi akalmu
Maafkan aku.

Jika aku hanya lembaran
yang membuang waktumu
Maafkan aku.

Jika aku hanya paparan
yang menyakitkan matamu
Maafkan aku.

Jika aku mesti ditegur
Tegurlah aku.

Moga aku sebagai aksara
dapat diterima akalmu
Moga aku sebagai lembaran
dapat dihargai waktumu
Moga aku sebagai paparan
dapat disenangi matamu.

Peribahasa

buat di sini

Ada banyak lagi peribahasa di sini dan juga di sini.




PUISI : Benar-benar lurus

Kaki terus melangkah,
di rimba yang suram.

Hidup penuh pancaroba,
penuh onak dan duri,
di jalan yang penuh liku,
rintangan bertimpa-timpa.
Moga aku ada di jalanMu
yang lurus lagi benar.

Yang baik kuambil,
Yang buruk kubuang,
Kumohon petunjuk hanya dariMu.

Selasa, 17 Februari 2009

Pertahankan Bahasa Melayu

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil. Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia. ::Dato' Dr. Hassan Ahmad::

Dipetik dari : Gerbang Hasyuda Abadi

Buat Renungan


buat di sini

Kuharap Dirimu, Tuan

Musim dingin kian berlalu
desir angin lembut menerpa
hangat mentari mula terasa.

Seingat aku
pernah kita bersua dulu
kulihat damai di wajahmu, Tuan
putih bersih bak salju beradu di bumi.

Saat itu
umpat keji yang dilempar padamu
tiada berbekas di sanubariku
air beku yang mula terbentuk
segera mencair dipanah mentari
mengalir laju memenuhi tasik
menjadi sumber air mutlak
membasuh segala kekotoran yang
pernah terpalit.

Kuharap dirimu, Tuan
cekal dan tabah mendepani dugaan
demi kami teruskanlah berjuang.

Isnin, 16 Februari 2009

Kemudilah Bahteramu, Nakhoda

Wahai nakhoda
usah biarkan bahteramu
dikemudi tanpa arah
ketika lautan hebat dilanda gelora.

Wahai nakhoda
usah tunduk pada ribut taufan
kini engkau di tengah lautan
kembalilah merayu Tuhan
bermohonlah setulus hatimu
agar bahteramu dalam lindunganNya.

Puisi Sahabat

Sayang sekali membiarkan puisi ini terus berada di sini. Jadi, saya memasukkannya ke dalam entri. Terima kasih kepada Saudara KABASARAN.

Bundaku,
Dalam manis dan lezatnya kehidupan
Cintamu ada dalam syukurku
Dalam pahit dan getirnya kehidupan
Kasihmu ada dalam Sabarku
Dalam sulit dan berlikunya jalan
Kompasmu ada dalam pikiranku
Dalam gesekan dan benturan pergaulan
Bijakmu ada dalam hatiku
Adakah cinta yang melebihi cinta sang bunda ?
Adakah kasih yang melebihi kasih sang bunda ?
Tidak seperti sang matahari yang masih menyisakan malam
Tidak seperti sang udara yang masih mengosongkan ruang hampa
Tidak seperti samudra yang masih menghamparkan daratan
Cintamu adalah sejati-jatinya cinta
Kasihmu adalah sebenar-benarnya kasih
Dalam darahku mengalir darahmu
Dalam dagingku menempel dagingmu
Dalam pikiranku menumpuk pintarmu
Dalam hatiku menggunung bijakmu
Harimu adalah hari-hari ku
Dalam kasih ku ada kasih mu
Tak satupun mampu memisahkannya
Tidak jarak, tidak waktu dan tidak juga dimensi
Setiap hari adalah hari-hari mu, Bunda

Ahad, 15 Februari 2009

BUKAN SINOPSIS : Trilogi Bagaikan Puteri

Trilogi ini mengisahkan tentang empat watak utama iaitu Laksamana Sunan – Ratna – Haryani – Dani. Ia berkisar tentang pengembaraan keempat-empat watak yang melangkaui batas waktu. Plotnya juga disusun dengan begitu menarik sekali oleh pengarang yang tidak asing lagi iaitu novelis thriller tanahair, Sdr. Ramlee Awang Murshid. Anda pasti tidak akan menyesal mengikuti trilogi ini dari awal hingga akhir. Trilogi ini dimulai dengan Bagaikan Puteri, diikuti Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta sebagai penutup tirai.

Ketika saya memulakan pembacaan trilogi ini, saya pernah bertembung dengan isu yang menarik perhatian pelbagai golongan penulis iaitu sastera elit dan sastera pop yang mewarnai persada penulisan di tanahair kita sekitar dua tiga tahun yang lepas. Atau mungkin juga lebih lama daripada itu. Sempat saya tertanya-tanya sendiri, adakah saya telah salah memilih bahan bacaan? Perasaan itu cuba saya kikis perlahan-lahan dan saya meneruskan juga pembacaan kerana saya ingin belajar sesuatu tentang penulisan.

Namun saya berpendapat, trilogi ini memberi makna dan manfaat yang cukup besar kepada saya yang baru kembali berjinak-jinak memilih novel sebagai bahan bacaan. Selain itu, saya sebenarnya amat meminati bidang penulisan kreatif dan baru kembali memesrainya setelah sekian lama sekadar menjadi pemerhati. Saya tidak mahu meniru lagak Mat Jenin. Oleh yang demikian, secara perlahan-lahan saya mula mengorak langkah biarpun kecil.

Kisah di dalam ketiga-tiga novel ini walaupun cuba mengajak kita berfantasi tetapi ada nilai-nilai murni yang hakiki terselit di dalamnya. Perkara itu langsung tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Walaupun kita diajak berfantasi, kita sentiasa dalam keadaan sedar bahawa kebenaran dalam sesebuah perjuangan itu amatlah penting. Pengarang berjaya menonjolkan Laksamana Sunan sebagai watak yang dekat di hati pembaca. Menegakkan kebenaran dan menumpaskan kebatilan tidak mengira batas waktu.

Penggunaan bahasa yang lancar amat membantu bagi golongan yang mahukan bahan pembacaan yang mudah. Diharap juga agar para pembaca budiman tidak mudah berpuas hati dengan segala macam perkara yang serba mudah hingga tidak mampu mencabar minda. Minda kita hendaklah sentiasa dicabar dengan perkara-perkara baru yang menjurus kepada niat yang murni dan jauh sekali memesongkan kita dari landasan kebenaran. Kebenaran yang kita perolehi di dunia ini akan membantu kita meniti kehidupan yang lebih aman dan bahagia di akhirat kelak. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat.

Sabtu, 14 Februari 2009

Adik Sayang Abah

Anak kecil itu sejak tadi lagi masih memuncungkan mulutnya. Ditambah lagi dengan kerut di keningnya. Matanya sekadar memandang makanan di hadapannya yang masih menanti untuk disuap ke mulut. Kakak-kakaknya terus menunggu. Ibunya pun begitu juga. Sekadar memerhati gelagat anak kecilnya kerana dia tahu dan sedar punca anak kecilnya jadi begitu. Setelah ayahnya bersuara, barulah muncungnya perlahan-lahan hilang. Kerut di keningnya juga beransur hilang. Tangan ditadah dan satu-persatu doa sebelum makan dibaca yang dimulai dengan Bismillah....

''Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar.''

Maksudnya ialah Ya Allah, berkatilah apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab neraka.

Rasa tidak puas hati anak kecil tadi kelihatannya seperti hilang begitu sahaja tapi sebenarnya tidak. Hanya muncung dan kerutnya sahaja yang hilang dari pandangan. Tanpa dipinta dia memberitahu betapa dia tidak senang selalu ditinggal-tinggalkan oleh ayahnya. Dia menuntut agar ayahnya segera pulang. Dia mahu ayahnya sentiasa berada di sisinya. Kakak-kakaknya saling berpandangan. Mereka hairan mendengar butir bicara yang meluncur laju dari mulut satu-satunya adik lelaki mereka itu. Mereka bertanya apa yang membuatkan adik mereka berkata demikian. Menurutnya, dia tahu ayah akan berpergian lagi. Padahal baru seminggu dia bersama ayah selepas berpisah selama seminggu pada minggu sebelumnya. Dan sekarang, perlu berpisah lagi. Barangkali setalah selang seminggu, barulah dapat bertemu ayah. Selepas meluahkan apa yang terbuku di hatinya, anak kecil itu memberanikan diri memandang ayahnya. Katanya, ''Adik sayang Abah....''

Bonda di Kanvas Dunia

Di celah-celah kanvas dunia
Ditemani desir angin yang tidak sehala
Dia berbual mesra dengan Bonda.

Dia bertanya kepada Bonda
''Siapakah yang dituntut untuk berjuang demimu?''

Bonda menjawab dalam kepiluan
''Bonda meniti waktu di pertengahan abad usia.
Sesiapa sahaja yang merasakan dia anak Bonda
maka berjuanglah kalian tanpa mencalar mengaib
wajah Bonda. Berjuanglah kalian agar maruah
Bonda tidak tergadai. Jiwa Bonda kian terabai.
Jiwa Bonda jadi debat.
Mengertilah anak-anakku!
Jiwa Bonda jiwa kalian jua.
Jiwa Bonda jiwa kalian jua.
Jiwa Bonda jiwa kalian jua.
Usah biar Bonda terus-terusan
menjadi saksi kisah semalam yang diulang dan diulang.
Bonda bermohon setulus rasa
Moga Ilahi menganugerahi hidayah dan taufikNya
ke atas kalian duhai permataku.''

Sepuluh Yang Pertama

Yang Pertama

Ketika baru mengenal huruf, mula-mula kita diajar angka satu hingga sepuluh. Angka-angka itu boleh disebut dan dihafal dengan mudah dalam masa sehari. Untuk memahami setiap angka, tempoh sehari seakan tidak mencukupi. Kita memerlukan masa lebih dari itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada kalian kerana sudi mengikuti Menelusuri Ilham. Memang sejak awal lagi telah terniat untuk membuat satu entri khusus setelah bilangan sahabat yang mengikuti blog ini mencecah angka sepuluh. Terima kasih ini saya tujukan buat abdnaddin, LittleMike, AragangTandik, Hasyuda Abadi, KABASARAN, JONK, NONG, Cikgu Mohd. Isa bin Abd. Razak, Nazri Aldusuni dan Pie. Kini Sdr. Hasyuda Abadi telah memiliki sebuah laman khusus untuk memperjuangkan bahasa dan sastera iaitu Gerbang Hasyuda Abadi. Jika anda ada sesuatu untuk disuara atau dikongsi bersama, silalah ke sana dan sudi-sudikanlah mendaftar sebagai ahli.

Terima kasih sekali lagi buat kalian kerana sudi mengikuti Menelusuri Ilham. Juga terima kasih kerana menerima saya seadanya sebagai aranam.


Warna-Warni Insan

Di bawah label ini, selain kalian yang mengikuti blog, turut saya masukkan pautan ke blog Hafizah Iszahanid, Lenny Deen Erwan, dan Saudara Marsli N.O. Semoga kita beroleh manfaat.

Di sini
kita berjuang
mengusir derita
mengusir sengsara
yang terpendam
di dalam diam
yang tersembunyi
di dalam nyata.

Yang benar ditegak
Yang batil dilumpuh
Demi jalanNya yang lurus dan abadi.

Khamis, 12 Februari 2009

Kasih Sayang

Dilambangkan sebagai Hari Kasih Sayang
Februari empat belas setiap tahun

Kasih sayang
raikanlah setiap hari
semoga utuh ikatan murni
bukan gah cuma sehari.

Ditinggalkan Masa

Ditinggalkan masa,
aku berpaling memandang ke belakang...
Cuba mendengar suara-suara itu,
bukan asing namun tenggelam.

Memandang ke hadapan,
aku tetap ditinggalkan masa...
Cuba mendengar suara-suara itu,
semakin jauh meninggalkan aku.

Tukar dan Tukar Lagi

Menukar template sejak semalam. Juga sejak beberapa minggu yang sudah. Melakukan perkara atau kerja yang kita tidak ada kemahiran mengenainya akan menuntut waktu yang begitu panjang. Dari dua column, tukar kepada tiga. Rupa-rupanya setelah column jadi tiga, pun masih mahu ditukar lagi. Tukar juga. Tukar lagi sehingga hilang terus wajah asal.

Cuma saja yang masih sama, ia masih template untuk blog dan isinya atau widget yang ada masih hampir sama kerana ada yang dikekalkan dan ada yang dilupakan terus kerana langsung tidak sesuai diguna pakai di dalam template yang berwajah baru. Senyuman pun mula terukir. Seolah-olah kerja itu sudah berakhir.

Jadi, bolehlah diteruskan dengan mengisi catatan demi catatan. Ditenung dan direnung dari atas sampai ke bawah. Sampai di bawah, ada juga cacatnya. Mahu membetulkan tidak tahu. Pencarian diteruskan lagi. Akhirnya, mungkin juga pengakhiran yang sementara... template inilah jadi pilihan. Berlatar belakang biru. Perkara yang tidak begitu mengecewakan kerana template ini ada tiga column.

Template yang diberi nama Blue ini ditemui di sini. Saya dapati, ada di antara pengunjung budiman yang tiba ke Menelusuri Ilham ketika sedang dalam pencarian seperti yang pernah saya lalui dan mungkin juga pengunjung itu, anda. Oleh yang demikian, lebih baik dinyatakan terus dari mana template ini berasal. - Februari 22, 2009

Ini cuma menukar template. Kalau yang ditukar dan diubah itu adalah jasad yang dipinjamkan ALLAH SWT...akhirnya siapa atau apa yang dapat membantu kita untuk kembali?

Rabu, 11 Februari 2009

Cikakak di Rumah Nenek

Ketika itu umurku baru sembilan bulan. Aku dijaga oleh Nenek. Setiap pagi, aku dihantar Abah dan Mama ke rumah Nenek. Sebelum Maghrib, Bu Na akan menghantar aku ke hujung titi yang dipanggil jambatan oleh penduduk sekitar. Jambatan itulah yang digunakan sebagai laluan oleh penduduk kampung. Pernah jambatan itu rosak. Bersusah-payah Bu Na mengimbangkan badannya agar kami tidak terjatuh. Bu Na ialah anak Nenek. Anak Nenek yang lebih muda daripada Mama. Entah-entah ketika Mama sebaya Bu Na, Mama juga pernah melalui pengalaman seperti ini. Bersusah-payah berjalan di atas jambatan yang rosak. Aku memeluk Bu Na erat. Bu Na mendakap aku kemas-kemas. Ramai orang pernah berkata bahawa jambatan itu perlu dibaiki. Aku setuju dengan mereka. Jambatan itu memang perlu dibaiki. Begitulah rutin hidupku setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Rutin itu bermula sejak umurku baru dua bulan.

Suatu petang, kami dikejutkan dengan kehadiran Abah dan Mama. Biasanya, Bu Na yang akan menghantar aku hingga ke hujung jambatan. Sambil duduk bersembang di ruang tamu, kami makan kuih karipap yang digoreng Nenek. Aku juga mahu makan karipap. Abah kata, karipap yang Nenek buat, sedap. Mama rancak berbual dengan Nenek. Antara yang menarik perhatianku ialah tidak lama lagi rutinku akan berakhir. Tidak lama lagi aku akan dijaga Mama sepenuh masa. Tidak lagi ditinggal-tinggalkan di rumah Nenek. Aku memandang Nenek. Di wajahnya ada senyum terukir. Cuma senyum itu agak asing bagiku. Tawar.

Berkali-kali Mama memujuk Nenek. Menurut Mama, kami tetap akan sering bertemu Nenek. Lagipun, jarak rumah kami dan rumah Nenek tidak sampai sepuluh minit. Aku tahu Nenek sedih. Aku ini cucu pertama Nenek. Apa yang boleh aku buat supaya senyuman Nenek tidak setawar itu. Sambil mengunyah karipap yang sudah dikeluarkan intinya, aku memandang ke dinding rumah. Aku segera menuding jari tepat ke arah dinding berwarna biru muda itu sambil menjerit, ''Cikakak! cikakak!''

Tiba-tiba semua yang ada di sekelilingku ketawa. Berderai. Aku tercengang sendiri. Nenek ketawa. Ketawa yang sering aku lihat. Aku gembira melihat Nenek ketawa. Aku juga turut ketawa. Tapi, kenapa mereka ketawa? Akukah yang diketawakan mereka?