Rabu, 25 Februari 2009

Belum Terlewat

''Tidurlah...''

Lembut suara ibunya kedengaran menusuk ke kalbu. Ada getar di situ. Ada sesal di riak wajah Ibu. Dia mengangguk. Lemah.

''Sekejap lagi Ibu nak pulang. Besok Ibu datang lagi.''

''Bila Kakak boleh pulang, Bu?''

Tersekat-sekat dia menutur butir bicaranya. Dadanya kembali terasa sakit.

Baru siang tadi dia mula ditahan di wad itu walaupun sudah hampir sebulan lamanya dia menanggung sakit yang tidak kunjung sembuh. Badannya semakin susut. Wajahnya semakin cengkung.

''Kita tunggu apa kata doktor. Kalau rawatan antibiotik berkesan, tak lama lagi tentu Kakak boleh pulang.''

Ibu menjelaskan sambil cuba menguntum senyum. Siang tadi, sebaik mengetahui Kakak menghidap pneumonia, ibu tersentak. Ibu agak terkilan kerana sudah beberapa kali dalam tempoh sebulan ini ibu menemani Kakak ke klinik swasta. Tiada sebarang cadangan rawatan susulan yang pernah dikemukakan.

Baru siang tadi Ibu meminta doktor di klinik swasta itu supaya merujuk kes kakak ke hospital kerajaan. Ibu tidak sanggup melihat Kakak dalam keadaan tidak bermaya begitu. Mungkin Doktor Kamil menganggap batuk yang Kakak hidapi tidaklah serius. Lagipun, beliau sedia maklum tentang penyakit yang Kakak alami.

Ibu teringat ketika Kakak kecil. Lelah yang kakak alami sering mengganggu tidur malamnya. Ketika di sekolah rendah, Kakak tidak diizinkan untuk mengikuti aktiviti senaman yang berat. Ibu risau lelah Kakak akan datang lagi.

Kini, Kakak menghidap pneumonia. Sejak seminggu lalu, batuk Kakak semakin bertambah teruk. Seringkali Kakak menghadapi kesukaran untuk bernafas. Baru siang tadi doktor mengesahkan bahawa sebahagian daripada paru-paru Kakak berisi cecair dan rawatan segera perlu dilakukan. Menurut doktor, nyawa pesakit boleh terancam jika lewat mendapatkan rawatan. Mendengar penjelasan Doktor Tan, mata ibu mula berkaca.

Ibu hanya mampu berdoa agar Kakak segera sembuh.

''Kakak, Ibu pulang dulu. Kakak tidurlah. Rehat cukup-cukup. Insya-Allah...besok Ibu datang lagi.''

5 ulasan:

Kabasaran Soultan berkata...

Jadi terharu .. semoga kakaknya cepat sembuh...

ANAK TUYUNDO berkata...

Salam..
segala sesuatu itu pasti ada hikmahnya.

aranam berkata...

KABASARAN, ANAK TUYUNDO
Setelah menulis entri ini, secara kebetulan tahap kesihatan sedikit berkurang...terima kasih atas doa kalian.
Belum Terlewat sebenarnya hanya sekadar cerita pendek untuk tatapan kalian yang sudi berkunjung ke Menelusuri Ilham...untuk kita kongsi bersama.

Little Mike (LM) berkata...

Cerita ini meragut perhatianku pagi ini. Berhenti seketika daripada memikirkan diriku sendiri. Aku terbenam dalam perasaan yang amat dalam. Semakin jauh kuhantar jiwaku di antara bait, semakin berat dan mengundang hiba...


Ibu berharap..
teman-teman juga berharap
aku juga tidak dapat
menahan diri

......

dalam doa yang sama
aku nekad menyelit rasa.. berharap

kakak...
sembuh la

aranam berkata...

Little Mike
Terima kasih...Hentikanlah kesedihan. Kita tidak mahu, anak Tandek yang bersemangat tinggi terus dirundung kesedihan.