Khamis, 20 Februari 2014

Selera

Gambar makanan. Selalu muncul di dinding Facebook saya -- termasuk gambar-gambar makanan yang saya ambil juga -- sekarang sudah berkurang. Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan gambar-gambar makanan yang dimuat naik oleh kawan-kawan. 

Bagi saya, perkongsian itu memberi idea untuk mencuba masakan baru ataupun mencari hidangan tersebut di restoran (ataupun warung) berkenaan.

Apabila selera tiada, gambar-gambar itu sedikit-sebanyak membantu 'memanggil' selera. Tidak semestinya keinginan mahu makan makanan yang sama. Keinginan terbit untuk mencicipi menu lain yang akrab dengan selera sendiri.

Apalah salahnya berkongsi. Bukankah sering kita berazam mahu berfikiran positif? Mengapa tidak kita ambil yang baik-baik sahaja dari perkongsian itu? Jikalau tidak suka dengan apa yang kita lihat, pilih saja butang sembunyi. Selesai.

Pernahkah kita terfikir, tujuan perkongsian itu; keinginan berkongsi resepi, mengimbau kenangan bersama keluarga dan teman-teman, dan sebagainya. Sebelum ini, saya sekadar menjadi pemerhati pada pendapat yang pelbagai tentang perkongsian gambar makanan ini.

Alangkah moleknya kita boleh menerima gambar-gambar makanan yang dimuat naik ke media sosial itu sebagaimana kita menerima kewujudan gambar-gambar makanan dalam majalah ataupun program masakan di televisyen.

Sejujurnya, saya suka bertukar-tukar resepi. Bertukar-tukar idea. Paling kerap yang saya buat, lihat dan diam sahaja.

Selagi tidak kelihatan riak ataupun jelas dengan sengaja menimbulkan kedengkian seterusnya rasa kurang selesa pada orang lain, saya ternanti-nanti rakan-rakan saya berkongsi gambar-gambar hidangan yang mereka nikmati ataupun pelbagai resepi yang mereka sukai.

Sekiranya gambar-gambar itu boleh dinikmati aromanya, tentu saya berfikir banyak kali untuk menanti perkongsian menu seterusnya. 

Bilis tempoyak yang enak dan tahan lama 
jikalau disimpan di dalam peti sejuk.

Si Bulat Yang Manis

Si Bulat Yang Manis

Beberapa minggu lepas, ada permintaan dari buah hatiku. Minta dibikinkan sedikit Macaron Coklat supaya dapat merasa. Tidak perlulah berwarna-warni.  Macaron Coklat sahaja pun, cukuplah katanya. Sebelum ini, pernah berhajat membeli di kedai. Sudahnya tidak juga dibeli-beli. Belum pernah merasa tapi hati sudah terpikat. Keinginan mahu merasa semakin kuat. Daripada gambar-gambar yang terpampang ataupun produk yang siap sedia, semuanya berwarna-warni. Warna itulah yang menambat hati, mungkin.

Dua tiga hari lepas, buah hatiku demam. Oleh kerana bahan-bahan untuk membuat Macaron Coklat ini sudah sedia ada maka bermulalah projek membuat Macaron Coklat. Ah, kecewa! Lebih banyak tak jadi berbanding yang jadi. Memadailah dulu. Asal dapat merasa. Asal hajat tercapai.

Kufikir, takkan ada permintaan untuk membuat Macaron Coklat itu sekali lagi. Macaron Coklat yang tak jadi itu semasa dimakan panas-panas, rasa manisnya buat kepalaku berdenyut-denyut. Tentu tidak ada permintaan lagi. Cukuplah. 

Sangkaanku meleset. Buah hatiku membawa pesan. Kawan-kawan sekolahnya mahu juga ikut merasa. Minta dibawakan ke sekolah besok pagi. Sangka mereka Macaron Coklat yang kubuat itu banyak. Banyak tak jadi daripada jadi sebenarnya.

Untuk tidak menghampakan insan-insan yang menaruh harap, aku mencuba lagi. Kali ini banyak jadi berbanding tak jadi. Lega!

Resepi Si Bulat Yang Manis ... selamat mencuba!




Rabu, 19 Februari 2014

Luka

- i -

Rasa hati luka
biarkan saja
asal tidak bernanah.
Kan terubat jua
mengalir 
bersama-sama masa
mendap diam 
dalam ingatan 
yang samar.

- ii -

Hati sudah berhenti
menggali mencari
siapa akrab siapa jauh
siapa dekat siapa setia.

- iii -

Tikaman halimunan
tepat di belakang
itu pedih sakit.
Biar pun hanya 
menggawang di udara
namun tembus sampai
ke hati.

Manis?
Ah, cuma di bibir!




Sabtu, 15 Februari 2014

Usai Mengintai Kisah Cinta Delaila Azilah dalam Lelaki Januari

Selesai juga akhirnya menelusuri kisah cinta Delaila Azilah. Pada awal pembacaan, hampir saja memutuskan untuk berhenti. Ingin berhenti kerana kegedikan Wairah. Memilih untuk membaca novel ini pun kerana penulisnya, Hafizah Iszahanid. Langgam bahasanya memikat hati. Sudahnya, pembacaan diteruskan. Sebelum Haifa terlantar sakit, sebelum Delaila Azilah membuka kembali pintu hatinya menerima cinta Ali Syukri, Wairah selalu sahaja membikin hati geram. Ah! Menuju halaman terakhir, membaca tanpa rasa kerana menyedari jodoh Delaila Azilah dan Ali Syukri sudah berakhir dua belas tahun lalu. Syabas Hafizah Iszahanid! Kini menanti novel puan penulis seterusnya. :-)

Khamis, 13 Februari 2014

Lelaki Januari karya Hafizah Iszahanid

Sempat menjeling reviu dalam Goodreads. Lenggok bahasa yang manis. Kemarahan watak utama yang terkawal dan tetap sopan bahasanya. Watak Wairah yang menjengkelkan hingga ada yang terasa hendak baling buku -- bahagian ini agak merisaukan -- untuk memahami kisah cinta Delaila dan Ali Syukri, kenalah baca sehingga habis. Setakat ini dulu.