Jumaat, 13 Februari 2015

Harum Kenangan (Belasungkawa TGNA)

Luruh jua
Kelopak mawar
Meninggalkan harum
Menjadi kenangan.

Melangkah perlahan
Berduyun dan berduyun
Sebak tak tertahan
Mengiringi pemergian.

Damailah tuan
Dalam lindungan 
   Tuhan
Ar-Rahman yang
Maha berkuasa
Ke serata alam.

Aranam
12 Februari 2014
Kota Damansara




Khamis, 5 Februari 2015

Kesempatan yang Menipis

Setelah bersuara
Terlepaslah beban yang
Memberati fikiran.

Demi kasih
Kutunda impian.

Padamu guru
Sungguh kuberterima kasih.

Betapa dirimu
Memahami walang di nubari ini.

Kasihku
Bersama dan bersama kita
Meniti makna di detik waktu
Buat kenangan di hari muka
Di kesempatan yang kian menipis
Menepis rasa hati yang memberat
Bagai awan hitam menyelubungi alam.

Alangkah indah tatkala
Diri difahami jua dikasihi.

Sungguh kuterasa
Kasih sayang melingkari 
Di dalam jua di luar
Diriku.

Kerana kamu ada
Selalu dekat di sisiku.

Rugi

Mencari ragi di kedai Rania,
Hingga jauh ke tengah kota,
Alangkah rugi hidup di dunia,
Sanggup berbalah kerana harta.