Ahad, 22 Mac 2015

Aku Ingin Bercerita

Dan Jalan Pun Terbentang

Kita merancang namun Tuhan jua Maha Menentukan. Sungguh, setiap detik takkan berlaku, berlalu, dan detik baru pun tak mungkin akan tiba tanpa keizinan Tuhan.  

Dalam susah-payah mahu menerima kemungkinan akan melalui perpisahan yang bersifat sementara -- berpisah jarak dan masa -- hijab pun tersingkap. Tuhan menunjukkan jalan. Nah, jalan pun terbentang luas di hadapan mata.

Tiada lagi kerisauan terpaksa melalui perpisahan.

Terima kasih Tuhan. Sungguh, terima kasih kerana menyayangiku. Mendengar rintihanku dan memberikan apa yang sangat kuinginkan. Kaudekatkan kembali ku dengannya sebagaimana Kau menemukan kami suatu ketika dulu. Kami yang asing menjadi akrab dan akhirnya menyatu dalam lindungan-Mu. Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui betapa kuingin selalu berada dekat dengannya.

Syukur alhamdulillah.


Kegembiraan Mampu Membunuh Kegembiraan

Percayakah anda bahawa kegembiraan mampu membunuh kegembiraan? Saya percaya kerana kebenarannya berlaku di hadapan mata -- dialami sendiri -- membuatkan lidah terkelu tanpa kata. Terbunuhnya kegembiraan itu akhirnya turut mengecilkan sedikit kegembiraan besar yang baru sebentar menyinggahi ruang hati. 

Apa yang pasti, tindakan pantas perlu dilakukan. Kegembiraan yang terbunuh itu, sama sekali tidak sepatutnya dituruti oleh dendam dan api amarah. Berlapang dada, fokus kepada perkara yang perlu dilakukan dan mengawal emosi sebaiknya patut dilakukan.  

Pada masa yang sama, keyakinan dalam diri harus berada pada tahap selayaknya agar setiap perancangan dapat diatur semula dan setiap perkara perlu dipertimbangkan sebaiknya sebelum keputusan tepat lagi jitu dapat diputuskan.  

Yang terbunuh itu adalah kegembiraan. Yang membunuhnya pula adalah kegembiraan juga. Bolehkah anda bayangkan kegembiraan bagaimanakah yang terbunuh itu?


Antara Harapan dan Impian

Pernahkah anda diberi harapan? Harapan bahawa anda kononnya berpeluang memperolehi sesuatu dan tiba-tiba sahaja ia menjadi impian anda. Berbekalkan harapan itu, anda berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh siang dan malam malah setiap detik dan ketika untuk mencapai impian yang tiba-tiba sahaja menjadi salah satu keutamaan dalam hidup anda. 

Tanpa anda sedari apatah lagi ketahui, impian anda itu sebenarnya takkan pernah menjadi kenyataan. Dari awal lagi, impian anda itu tidak patut wujud.  Anda tahu kenapa? Kerana harapan yang diberi, janji yang ditabur itu -- semuanya palsu -- sekelip mata anda menjadi mangsa. Bukan anda sahaja yang menjadi mangsa, malah ramai lagi. Bezanya, anda adalah mangsa yang dipertemukan dengan kebenaran.  

Menjadi buah catur orang lain yang tamak haloba dan rakus kuasa. Anda berasa tersepit. Anda berasa teraniaya. Apakah yang akan anda lakukan?  Mahu marah, memberontak, membenci entah siapa yang patut dibenci, ataupun anda memilih untuk berlapang dada? Tepuk dada tanyalah selera.  Kena ingat, Tuhankan ada :)  

Nota :  Cerita saya, tiada hujung pangkal.  Tiba-tiba sahaja teringin bercerita.  Manalah tahu, terkait dan berkait.  Manalah tahu terkena di hati.  Kisah kita kemungkinan besar berbeza.  Jalan yang kita pilih juga kemungkinan besar berbeza.  Paling penting, apa pun yang berlaku, pasti ada jalan untuk kita pilih dan lalui.  Rencana Tuhan lebih hebat mengatasi makhluk.  Kena ingat itu!

Selamat melayari kehidupan yang banyak ranjau dan duri. Tanpa merasai sedikit keperitan, hidup ini akan menjadi umpama pelangi tanpa warna, tanpa seri, dan tanpa erti :)



Isnin, 16 Mac 2015

Detik Demi Detik (2)

Tanpa perlu
ku mengira
detik demi detik
tetap jua berlalu
tak menungguku.

Isnin, 9 Mac 2015

Detik Demi Detik

Langkah ini
sengaja kuperlahankan
kuberharap detik demi detik
kan turut bergerak perlahan.

Untuk apa kumengira detik 
bagai sengaja
mempercepat masa 
kita berpisah.

Sungguh
aku tak mahu mengira.

Dan sesungguhnya
tetap jua kusedari
tiada dayaku memperlahankan
detik yang tetap kan tiba lalu berlalu
tak memperduli diriku.

Aranam
9 Mac 2015
Kerteh, Terengganu.