Selasa, 17 Mac 2009

Kemurnian Sebuah Ikatan

Anak kecil itu berjalan laju sambil sesekali menyeka air matanya yang masih belum mahu berhenti mengalir. Esak tangisnya jelas kedengaran.

Jelas kedengaran di telinga temannya yang mengekorinya sejak tadi. Di wajah temannya yang berkulit cerah dan bertocang dua hingga ke paras setengah belakang itu, jelas sekali tergambar kerisauan. Di hatinya tentu sekali ada rasa simpati melihat temannya masih belum surut tangisannya. Jangan-jangan lengan temannya itu masih belum hilang rasa sakitnya, dia berduga-duga. Ketika mereka meninggalkan kawasan padang sekolah, loceng sedang berbunyi menandakan waktu rehat telahpun tamat.

Dia sedar, dialah yang mengambil keputusan untuk mengekori temannya yang sedang berjalan laju lebih kurang tiga meter di hadapan meninggalkannya. Sesekali orang kampung yang lalu-lalang kelihatan ada yang berkerut keningnya melihat temannya yang sedang menangis itu. Dia sekadar memerhati pandangan dua tiga orang yang kelihatan juga tanda tanya di wajah mereka apabila melihat keadaan temannya itu. Sesekali terlintas di dalam hatinya, jauh lagikah tempat yang dituju oleh mereka.

Dia faham benar temannya yang sedang berjalan laju di hadapannya sekarang ini sudah tidak peduli tentang perasaan malu yang selalu menebal di jiwanya. Tangisannya yang bertali-arus itukah atau kesakitan yang dialaminyakah yang menyebabkan perasaan malu itu seakan tidak wujud dalam dirinya pada ketika itu. Dia tidak tahu yang mana satukah lebih tepat mewakili temannya yang tetap juga masih menangis, sejak tadi.

Sejak sepuluh minit yang lalu ketika mereka meninggalkan padang sekolah. Saat ini jantungnya berdegup begitu pantas. Segera dia teringat sekarang ini ialah waktu mata pelajaran bahasa Inggeris. Dia terbayang-bayang wajah gurunya yang begitu digeruni oleh murid-murid Tahun Empat Murni, termasuk dirinya sendiri. Ketakutan mula meresapi sanubarinya. Langkahnya serta-merta terhenti. Mahu meneruskan mengekori temannya atau mahu berpatah balik ke sekolah.

Ketika ini, dia sedar, hanya dia seorang yang mampu membenar atau menidakkan pengaduan yang akan dibuat oleh temannya. Tiba-tiba dia terasa akan memikul tanggungjawab yang cukup besar dan amat bererti sekali. Penyaksiannya kelak besar kemungkinan akan menyebabkan seseorang akan terhukum. Dia tidak berani membayangkan lebih jauh lagi. Temannya itu sudah begitu akrab dengannya.

Tidak tega rasanya dia membiarkan temannya itu berada dalam kesedihan yang teramat sangat seperti itu. Namun, apabila teringatkan gurunya, sepantas itu jugalah jantungnya kembali berdegup kencang, sekencang nafasnya yang tercungap-cungap kerana kakinya tiba-tiba sahaja melangkah laju mengejar temannya yang sudah terlalu jauh meninggalkannya. Dia berlari dan terus berlari.

‘’Ain! Tunggu aku!’’

Dia tidak kuat berlari. Nafasnya cepat semput. Mujurlah temannya itu memperlahankan sedikit langkahnya. Serentak itu juga temannya segera menoleh ke belakang, ke arahnya. Betapa berserabutnya muka temannya itu. Matanya yang sedia kecil itu menjadi semakin kecil dengan sembap yang mula telah kelihatan. Mujur kulitnya yang sawo matang itu mampu menyembunyikan rona merah yang mungkin hadir akibat panahan matahari pagi yang mula memancarkan bahangnya ketika itu. Lebih kurang dua jam lagi matahari akan berada tegak di ubun-ubun.

‘’Jauh lagikah, Ain?’’

''Sudah dekat. Mahu sampai sudah.''

Dalam sedu-sedan, temannya yang dipanggil Ain itu bersuara juga menjawab pertanyaannya sambil menunjuk ke satu arah. Tiba-tiba tanpa diduga, muncul kerisauan baru yang serta-merta menerjah ke benaknya. Apa yang mungkin akan berlaku apabila mereka tiba di sana, ke tempat yang ditunjuk oleh Ain tadi. Sekali lagi dia tidak mahu membayangkan apa-apa walaupun bayangan itu tetap datang juga tanpa ia pinta, samar-samar namun begitu merisaukan. Mereka terus melangkah, dengan sedu-sedan Ain yang masih bersisa, dengan cungap deras dan kencang nafasnya yang terasa begitu melelahkan. Dia segera mengeluarkan sesuatu dari poket sebelah kanan baju kurungnya. Poket kanannya yang selalu menggelembung, yang sering menjadi bahan gurauan teman-teman lain, teman-teman lain tetapi tidak termasuk Ain. Ain tidak pernah turut sama mentertawakannya gara-gara poket kanannya yang kelihatan jelas kembungnya, setiap hari.

Tiada ulasan: