Ahad, 15 Mac 2009

Selamat Pagi

''Selamat pagi. Apa khabar?''

''Selamat pagi. Saya baik-baik saja. Awak apa khabar?''

''Baik. Jemput duduk, Puan.''

Rina menyapa mesra isteri tuannya yang jarang-jarang menunjukkan muka di pejabat itu. Kalau dia tidak silap, ini kali ketiga dia muncul di situ. Pagi itu akan ada pembentangan tentang aktiviti amal yang perlu dikongsi dengan isteri kakitangan, sebab itulah isteri tuannya itu datang pagi ini. Selain itu, yang lebih utama, isteri Tuan Besar akan menyertai mereka. Seketika kemudian, Rina kembali menyambung tugasnya yang terhenti sebentar tadi.

Selang lima minit kemudian, masuk pula Lisa. Lisa menghadiahkan senyuman pada wanita yang baru bertegur sapa dengan Rina sebentar tadi. Senyumannya berbalas. Lisa duduk di hadapan wanita itu.

''Anda wartawan?''

''Tidak. Saya bukan wartawan.''

Wanita itu sedikit terkejut menerima pertanyaan Lisa. Dia mengandaikan soalan itu ada kaitan dengan kamera yang dipegangnya. Seingatnya, dia sudah pernah menemui Lisa sebelum ini.

''Rambut awak dah pendek sedikit, Lisa.''

Dia sengaja berkata begitu kerana setahunya sebelum ini potongan rambut Lisa agak berbeza. Kalau dia tidak silap, baru hujung minggu lepas Lisa datang ke rumahnya untuk mendapatkan tandatangan suaminya. Dokumen yang dibawanya itu perlu ditandatangani segera tanpa boleh ditangguh-tangguh. Lisa dalam keadaan agak tergesa-gesa waktu itu. Dia hanya berdiri di muka pintu. Dan, sebelum itu mereka sekadar berbalas senyuman dan bersalaman seadanya. Waktu itu sebenarnya, wanita itu agak terkejut kerana dia menjangkakan kedatangan Lisa yang lain. Bukan Lisa yang ini.

''Oh! rambut saya memang begini. Mungkin yang anda maksudkan Lisa yang satu lagi. Di pejabat ini ada lebih dari seorang yang bernama Lisa.''

Lancar saja Lisa menerangkan.

''Lisa, kenalkan...isteri Tuan.''

Rina meninggalkan sebentar tugas yang begitu menuntut perhatiannya. Sebentar lagi, pembentangan akan bermula. Tetamu penting mereka akan tiba bila-bila masa saja dari sekarang.

''Isteri Tuan?''

Matanya membulat dan pantas tangannya menutup mulutnya yang sedikit terbuka.

''Ya. Kita pernah berjumpa sebelum ini.''

''Maafkan saya. Saya tidak perasan, Puan. Saya sangka Puan salah seorang anggota delegasi.''

Wajah Lisa berubah serta-merta. Rona merah jelas kelihatan di kedua-dua belah pipinya yang putih gebu. Kedua-dua tangannya memegang wajahnya yang masih lagi kemerah-merahan. Dia turut menggeleng-geleng kepalanya. Senyum dan tawanya seiring. Mungkin dia masih belum dapat menghilangkan perasaan yang menerpanya waktu itu.

''Tidak mengapa.''

Wanita itu tersenyum. Dia simpati melihat Lisa berkeadaan sedemikian. Seorang lagi kakitangan wanita yang memang ada di bilik itu sejak tadi, segera menghampirinya sambil tersenyum dan menyatakan rasa kesalnya kerana tidak mengenali wanita itu. Kemudian, dia dihampiri oleh beberapa orang lagi wanita yang baru memasuki bilik mesyuarat itu. Masing-masing memperkenalkan diri sambil bersalam dengan wanita yang dipanggil Puan itu.

Kali ini giliran wanita itu pula tidak senang duduk. Dia serba-salah kerana sudah membuat ramai orang serba tidak kena pada pagi itu. Mujur juga dalam keadaan serba-salahnya itu, tetamu yang dinanti kehadirannya tiba-tiba muncul di muka pintu. Pandangan mereka bertaut dan kedua-dua wanita itu saling berbalas senyuman. Rasa serba-salah yang sempat menyinggahinya sebentar tadi perlahan-lahan berlalu pergi....

Tiada ulasan: