Selasa, 7 April 2009

Tangguh Dahulu

Di atas meja kopi, yang dialas dengan kain putih yang bersulam cantik, terhidang secawan kopi dan sepiring karipap. Kopi masih panas, karipap juga tidak kurang panasnya. Dihidang di dalam piring selepas ditos sekejap di atas kertas minyak ketika di dapur tadi.

Mata sang suami masih lagi tertumpu ke arah siaran berita di kaca televisyen. Kopi belum dihirup, karipap juga langsung belum disentuh. Di sebelahnya, isterinya terus menunggu.

"Minum, Bang," ini kali ketiga dia bersuara. Ada sesuatu yang ingin dikatakannya lagi. Dia mahu suaminya minum kopi dulu, ataupun makan karipap yang dihidangnya dulu, sebelum dia membuka bicara seterusnya.

Ketika siaran iklan mengambil tempat, suaminya memandang isterinya sekilas sambil menghela nafas, panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Sempat dia menangkap senyum yang menguntum di bibir isterinya. Dia mula menghirup kopi, perlahan-lahan.

"Ah...sedap! Pandai isteri Abang bancuh kopi," pujinya seperti selalu. Kemudian, dia makan karipap pula. Karipap berinti daging dan kentang kegemarannya.

"Mmm...sedap sungguh! pandai betul isteri Abang buat karipap," kali ini dia kelihatan terkejut. Setahunya, selama mereka menjadi suami isteri, belum pernah lagi isterinya membuat karipap untuknya. Sebelum ini, lama sebelum ini, pernah juga dia berasa hairan. Bukannya isterinya tidak tahu, karipap memanglah kesukaannya. Tetapi, belum pernah lagi isterinya membuat karipap untuknya. Inilah pertama kali isterinya membuat karipap kegemarannya, yang pertama dan paling sedap. Selalunya, bila-bila dia teringin makan karipap, gerai yang ada di tepi jalan masuk ke rumahnya itulah yang jadi tumpuan.

"Sedap sungguh, lain kali buat lagi tau," pesannya bersungguh-sungguh. Isterinya tersipu-sipu malu.

"Karipap di gerai Kak Mah lagi sedap, Bang," isterinya merendah diri. Mungkin dia berasa dirinya tidak layak dipuji begitu, bertalu-talu.

"Lepas ni, Abang tak akan beli karipap di situ lagi. Abang cuma nak makan karipap yang isteri Abang buat saja," tanpa memandang ke arah isterinya, dia mengambil karipap terakhir di dalam piring di atas meja kopi di hadapannya, karipap yang kelima. Niat isterinya yang mahu menyuarakan sesuatu, yang mungkin saja akan melenyapkan kegembiraan suaminya ketika ini, ditangguhnya dahulu.

Dia tidak mahu kegembiraan suaminya ketika ini menjauh pantas. Kegembiraan paling manis dan bermakna, jauh dari jangkauan akal fikirannya sebelum ini. Kegembiraan suaminya sehingga mampu menghabiskan sepiring karipap hasil air tangannya. Hasil daripada resepi yang baru sahaja disalinnya daripada Kak Mah petang kelmarin. Sesungguhnya, kegembiraan suaminya adalah kegembiraannya juga.


4 ulasan:

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Salam. Sangat menarik. Insya-Allah, tuan akan terus maju. Ketika idea sedang mengalir, abaikan dahulu soal bahasa. Yang penting, idea mesti disuratkan. Pemurnian, termasuk gaya bahasa, dapat dilakukan kemudian. Wallahuaklam. Wassalam.

aranam berkata...

Waalaikumussalam, Cikgu.

Terima kasih banyak atas sokongan dan dorongan Cikgu selama ini. Saya amat menghargainya.

Pena Alam berkata...

aranam,

begitulah biasanya kita, kata berlapik demi menjaga kesantunan. sanggup menunggu bila masanya baik untuk melahirkan niat. namun, karipap itu pastinya,ikhlas untuk si suami, walau ada niat yang ingin disuarakan buah hatinya itu..apa ya? hehe

aranam berkata...

Pena Alam,

Ya, memang wajar karipap itu ikhlas untuk suaminya. Mungkin isteri itu sedar tentang kealpaannya yang tidak pernah memenuhi kegemaran suaminya. Niat yang ingin disuarakan? Hehehe...sememangnya tergantung begitu. Tidak ada niat yang mahu dicatatkan di situ. Terserah kepada anda menentukan, sama ada niat itu ada atau tidak. Paling penting, watak isteri di dalam 'Tangguh Dahulu' telah berusaha melakukan sesuatu sehingga merasakan niat yang ingin disuarakannya sudah kelihatan tidak begitu penting lagi. Apa yang penting baginya, sama-sama berkongsi kegembiraan suaminya.

:)