Khamis, 29 Januari 2009

Pen dan Pensel


''Aku harap kau tidak akan ulang lagi perbuatan begini.''

Lelaki di hadapannya sekadar mengangguk. Tanpa sepatah bicara. Malu-malu mengangkat wajah memandang tuannya.

''Terima kasih, Tuan. Terima kasih kerana memberi aku peluang untuk berubah.''

Seketika Tuan tersedar dari lamunan. Tuan memandang lelaki di hadapannya. Rupa-rupanya dia lupa. Lelaki itu cepat lupa. Kesalahan itu diulangnya lagi. Kesalahan yang tidak jauh bezanya dari yang dulu malah lebih teruk lagi.

''Benarkah kau melakukannya?''

''Melakukan apa, Tuan?''

Soalan Tuan dibalas dengan soalan juga. Di wajahnya tergambar kepura-puraan yang nyata.

''Kau ambil lagi pen dan pensel dari stor?''

''Ya, ada. Tapi untuk aku guna di pejabat ini saja.''

''Betulkah? Ada kau guna di tempat lain selain di pejabat?''

''Ya, ada. Aku guna di rumah. Aku beri anak-anakku untuk mereka guna di sekolah.''

''Lagi...ada sesiapa lagi?''

''Ya, ada. Aku beri kepada isteriku untuk digunakan di pejabatnya.''

''Jadi, kau mengaku bahawa bukan kau sahaja yang menggunakan pen dan pensel pejabat? Kau mengaku semuanya?''

''Ya. Aku mengaku. Kadang-kadang aku turut menghadiahkan pen dan pensel yang kuambil dari pejabat ini kepada saudara-maraku juga.''

Lelaki itu mengaku satu-persatu. Mulanya dia agak takut-takut. Kemudian, timbul pula keberaniannya. Dia berharap Tuan akan memaafkannya lagi kali ini. Dulu, Tuan pernah memihak kepadanya. Ketika itu, Tuan Besar sudah tidak mahu lagi melihat mukanya. Mujurlah Tuan mempertahankannya. Tuan meminta agar Tuan Besar memberi peluang kepadanya. Lagipun, dia cuma mengambil pen dan pensel. Pen dan pensel itu diberi kepada ahli keluarganya. Dia sudah banyak berjasa. Apalah salahnya dia mengambil pen dan pensel itu. Kalaupun dia bersalah, sudah tentu tidak sampai diberhentikan kerja. Dia pasti tentang itu. Dia pasti Tuan akan memaafkannya lagi seperti sebelum ini.

Tuan menarik nafas panjang. Dan melepaskannya. Berat. Tuan memandang lelaki di hadapannya. Dia merenung lelaki di hadapannya. Lelaki itu...tiada siapa yang akan percaya dia sanggup melakukannya. Lelaki itu kelihatan seperti orang baik. Dia puasa. Dia solat. Cukup susah melihat orang baik yang seperti itu di pejabat tempat mereka bekerja. Orang lain seakan tidak mahu berhenti merokok. Tidak mahu berhenti minum air haram. Tetapi, lelaki di hadapannya tidak melakukan semua itu. Tuan keberatan melanjutkan butir bicaranya. Fikirannya berat. Jiwanya berat. Tuan menahan kemarahan. Dia tidak mahu tersilap langkah lagi kali ini. Dulu, peluang sudah diberikan. Lelaki itu cuma tahu yang dia telah diberi peluang cuma sekali. Lelaki itu tidak tahu ada dua kali lagi peluang sudah diberikan tanpa dia menyedari. Lelaki itu cuma tahu dia melaksanakan tugasnya dengan baik di pejabat. Perkara yang tidak baik yang dilakukannya tidak dikesan oleh rakan sepejabat kerana dalam diam lelaki itu telah mengaburi mata orang dengan kebaikannya. Orang nampak lelaki itu baik. Lelaki itu memandang dirinya sebagai baik.

Lelaki itu lupa tentang amanah. Kali ini, lelaki itu terpaksa menanggung akibat atas perbuatannya. Dia diberhentikan kerja. Lelaki itu cuba merayu. Menurutnya, jasa dan sumbangan yang dicurah di pejabat itu amat banyak. Katanya lagi, khidmat baktinya tidak dihargai. Mungkin dia lupa lagi. Dia lupa setiap bulan diberi gaji. Hujung tahun diberi saguhati. Namun, lelaki itu tetap tidak puas hati. Dia masih mahu mempersoalkan tentang tindakan Tuan memberhentikannya. Tuan masih cuba menahan marah. Memandang Tuan, lelaki itu terdiam. Dia sudah tidak berani untuk bersuara. Entah di hati lelaki wujud atau tidak perasaan bersalah...Tuan tidak tahu. Lelaki itu meminta nasihat. Tuan memberikannya dengan ikhlas. Walaupun kemarahan yang dirasai Tuan masih ada, Tuan tetap memberi nasihat seikhlas hatinya. Dia masih mahu lelaki itu berubah menjadi lelaki yang betul-betul baik.

''Aku harap kau kekalkanlah perkara baik yang kau amalkan sekarang. Tapi, perkara yang tidak baik itu kau cubalah ubah.''

''Tapi, Tuan...aku masih mahu bekerja di sini. Berikanlah aku peluang sekali lagi.''

Lelaki itu seolah tidak mempedulikan nasihat yang diberi oleh Tuan. Dia terburu-buru menyuarakan hasrat yang dipendamnya sejak tadi. Lelaki melihat kemarahan Tuan yang hampir berlalu itu sebagai peluang keemasan baginya.

''Kalau begitu...kau cubalah merayu kepada Tuan Besar. Jangan lupa sertakan sekali salinan surat pengakuan yang telah kau tandatangani tadi.''

Lelaki itu terkedu.

Tiada ulasan: