Rabu, 25 Mac 2009

Mi Makcik Mi

Aku kagum melihat kepantasan Makcik Mi menyediakan mi goreng yang kupesan. Sembilan bungkus. Setiap bungkus berharga lima puluh sen. Sudah lima hari aku mengumpul duit belanja sekolahku. Aku ingin memberikan setiap ahli keluargaku seorang sebungkus mi yang dijual oleh Makcik Mi. Mi yang paling sedap bagiku.

Dalam banyak-banyak gerai yang ada menjual mi di sini, mi goreng Makcik Milah yang paling sedap. Terbayang-bayang aku betapa sedapnya mi goreng Makcik Mi. Kecur liurku. Serta-merta ada yang terlintas di fikiranku. Ketika Makcik Mi, memasukkan semua sembilan bungkus mi yang kupesan ke dalam beg plastik berwarna hitam, aku tersenyum memandangnya.

''Makcik...''

Aku sekadar memanggilnya Makcik. Makcik Mi gelaranku untuknya, sendiri-sendiri.

''Ya, ada apa?''

Tanya Makcik Mi, acuh tak acuh. Aku tiba-tiba merasa ragu untuk terus bertanya.

''Mi goreng Makcik, sedap. Saya suka sangat.''

Makcik Mi memandangku sambil tersenyum. Pasti dia gembira dipuji begitu. Memang patut dia berasa gembira. Aku benar-benar ikhlas memujinya.

''Macam mana Makcik buat? Macam mana mi Makcik boleh sedap sangat?''

Akhirnya aku tanyakan juga kepadanya. Aku lihat Makcik Mi tunduk kembali, mengacau-ngacau mi yang sudah tinggal separuh di talam berwarna merah. Selepas itu, Makcik Mi menghalau-halau pula lalat yang berterbangan barang tiga empat ekor. Penghalau lalat itu tentu dibuat sendiri oleh Makcik Mi. Cuma kayu panjang yang di hujungnya diikat beg plastik. Aku terus setia menunggu soalanku dijawab olehnya.

''Macam biasa. Macam orang lain masak juga. Ada bawang, ada kicap, ada garam.''

Eh! Takkanlah. Aku tidak puas hati dengan jawapannya. Aku pernah juga menggoreng mi sendiri. Ibu ajar. Tetapi, mi yang kugoreng tempoh hari, rasanya tidaklah sesedap mi goreng Makcik Mi. Aku bertanya lagi.

''Tak sama. Mi makcik lagi sedap. Macam mana Makcik masak?''

''Makcik letak tepung jagung.''

Oh! Agaknya di situlah letaknya kesedapan mi Makcik Mi. Aku berazam untuk mencubanya.

Kawanku yang sejak tadi mendengar perbualan kami, berkerut keningnya. Aku melihatnya, hairan.

''Kenapa rupa engkau macam tu? Siap kerut-kerut kening lagi.''

''Aku hairanlah, pasal apa kautanya macam-macam dengan Makcik tu. Aku tengok dia macam susah sangat nak jawab soalan-soalan kautadi.''

Aku tersenyum girang sambil memberitahunya yang aku mahu cuba memasak mi goreng. Masak ikut resepi Makcik Mi. Letak tepung jagung.

''Kauingat, betulkah mi tu sedap semata-mata kerana letak tepung jagung? Entah-entah ada ramuan lain lagi tak?''

Aku tidak mahu menyangka yang bukan-bukan. Aku memandang ke belakang. Gerai Makcik Mi sudah tidak kelihatan. Berjalan kaki sambil bercerita memang begitu, selalu tidak sedar; penat, jarak, beg sekolah yang berkilo-kilo.

Aku sekadar mengangkat bahu. Beg plastik di tangan kananku berpindah ke tangan kiri. Terasa berat pula. Aku melihat tangan kananku. Berbekas.

''Tunggulah aku cuba dulu. Kalau jadi, nanti aku beri tahu engkau.''

6 ulasan:

Kabasaran Soultan berkata...

Sebenarnya ada cara lain untuk membuat makanan supaya berasa lebih sedap.
Tahu tak rahasianya ?.
Oke aku kasih tahu deh ..... masaklah semua makanan dengan hati ikhlas ..dengan niatan agar orang yang memakannya sihat dan peroleh nikmat dan mohonkan selalu pada ALLAH.
Inilah rahasia enak masakan yang mertuaku beritahu.... ya .Selalulah memasak dengan hati.

aranam berkata...

Bagus sekali rahsianya. Rahsia yang mesti diketahui oleh semua terutama para ibu (atau ayah yang gemar memasak) Terima kasih ya kerana sudi berkongsi. Memasak dengan hati. Setuju sekali.

Tanpa Nama berkata...

orang bilang lagi memasak dengan kasih sayang... mungkin la... saya praktikkannya dan ada juga kebenarannya...

aranam berkata...

Kasih sayang kita curahkan melalui masakan, dinikmati tanpa sedar, dirindui dan diingini lagi...:)

Pa'al berkata...

manusia memang unik kan..rasanya peribahasa 'tak kenal maka tak cinta' pun boleh pakai juga kan..kesetiaan terbit secara tak sengaja sebab si pembeli punya hati yang baik, ingin lihat jualan makcik mi laris..dan hatinya memang baik :-)

aranam berkata...

PENA ALAM

Tak kenal maka tak cinta...boleh pakai tu. Terima kasih kerana sudi singgah...:)