Ahad, 15 Mac 2009

Kerbau Dilepas, Kebun Dipagar

Saya begitu tertarik membaca artikel Taman Ramuan Jeanne dalam Berita Harian Online hari ini. Selepas membaca artikel itulah, mendorong saya untuk menulis kisah yang bersangkut-paut dengan pengalaman sendiri.

Tahun lepas, saya berpeluang berkebun. Tetapi tidak pada tahun ini. Sedikit kawasan tanah di halaman belakang dan depan rumah telah ditanam rumput hiasan. Pasti tuan rumah tidak senang jika saya merosakkan rumput yang telah ditanam. Belanja yang dikeluarkannya bukan sedikit untuk tujuan itu.

Tahun lepas, dapatlah juga saya menanam pokok cili, daun sup, daun bawang, daun parsley, dan pokok-pokok bunga termasuklah bunga mawar. Apa yang mampu saya lakukan ialah sekadar menanam pokok dalam pasu. Oh! baru saya teringat, di tepi rumah ada sedikit kawasan yang boleh saya gunakan untuk menanam satu dua pokok di situ. Kemungkinan besar, saya akan menanam serai dan halia di situ. Itupun kalau saya mendapat bekalan serai dan halia yang segar. Ini kerana halia dan serai yang ada dalam stok saya telah disejukbekukan.

Tiba-tiba saya terkenang ibu di kampung yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk berfikir sebelum mula mengambil keputusan untuk berkebun. Bukan kerana ibu tidak mahu. Ibu memang amat gemar berkebun. Tetapi, ibu terpaksa berfikir banyak kali hanya disebabkan kewujudan kerbau-kerbau yang dibiarkan berkeliaran di sekitar kampung.

Kerbau-kerbau itu sudah tentu akan memusnahkan tanaman ibu. Pernah saya bertanya ibu, tidakkah keadaan itu diadukan kepada pihak yang berkenaan. Ibu mengatakan, mereka sekadar menyatakan bahawa kerbau dilepas, kebun dipagar, dan b*** ditembak.

Bukan tidak ada aduan yang pernah dibuat oleh penduduk kampung. Tetapi, itulah...sehingga sekarang tidak ada sebarang usaha yang telah dilakukan. Tidak tahulah pula kalau-kalau ada usaha yang sedang dilakukan menuju ke arah penyelesaian yang diharap benar oleh penduduk kampung.

Saya dapati masalah binatang ternakan yang berkeliaran ini bukan sahaja terpaksa dihadapi keluarga saya yang baru sahaja menetap di kampung. Malah, di kampung lain juga. Setakat yang saya tahu, Kota Marudu dan Kota Belud juga berdepan dengan masalah yang serupa. Tidak mustahil, ada tempat lain atau negeri lain yang berdepan masalah yang serupa.

Kampung saya terletak dalam Mukim Mentabawan dalam daerah Kuala Penyu. Saya dilahirkan di situ tetapi kalau dikira-kira, sehingga usia saya sekarang ini, tidak sampai setahun lamanya saya pernah menghabiskan masa di kampung kerana kami sekeluarga menetap di Kota Kinabalu. Di kalangan adik-beradik, cuma saya seoranglah yang dilahirkan di kampung, di rumah arwah nenek, rumah yang sudah tidak wujud lagi sekarang ini.

Semasa kecil, keganjilan ini menjadi kebanggaan bagi saya. Dilahirkan di kampung membanggakan saya. Itu sebelum mendengar cerita ibu tentang kesukaran ibu bertarung nyawa melahirkan saya. Menurut ibu, waktu itu, nyawa kami berdua seperti telur di hujung tanduk. Selepas itu, barulah kebanggaan saya beransur-ansur kurang. Bagi saya, terus memiliki perasaan bangga yang menebal itu samalah seperti saya langsung tiada simpati terhadap ibu.

Kami amat langka balik ke kampung atas sebab-sebab tertentu. Kalau dulu, ketika saya masih kanak-kanak, kampung bagi saya ialah dapat memijak paya bakau, menelusuri denai-denai yang becak ketika musim hujan, mencari daun simpur untuk dibuat pembungkus tapai, mencari sayur lemiding (atau lembiding atau mungkin juga ada nama lain bagi sayur hutan ini yang sering tumbuh dengan banyaknya terutama selepas hujan, kalau saya tidak silap), minum air kelapa muda segar yang baru dikait, dan menaiki sampan untuk ke pekan. Semua itu indah bagi saya.

Ketika itu yang agak mengganggu ialah apabila terpaksa minum air perigi atau lebih selalu kami menyebutnya air telaga dengan bunyi sebutan telaga', saat itu mulalah membanding-banding betapa sedapnya meminum air paip yang telah dijerang. Sehingga kini, sebenarnya saya lebih betah di kampung. Kedamaian kampung begitu dekat di hati saya. Cuma satu inilah yang agak mengganggu. Binatang-binatang ternakan yang berkeliaran, selain binatang liar yang memang lazim terdapat di tempat yang namanya kampung.

Masalah ini mengganggu ibu bapa saya. Masalah binatang berkeliaran ini. Tidak adil rasanya, membiarkan penduduk kampung yang ramai, memagar kawasan kebun atau kawasan rumah sendiri. Belanja yang diperlukan bukannya kecil. Tidak adakah satu cara yang dapat difikirkan supaya binatang ternakan itu tidak dibiarkan berkeliaran lagi?

Baru-baru ini ibu nekad memagar sedikit kawasan (mungkin halaman belakang) untuk membolehkan ibu berkebun. Kasihan ibu. Kerja-kerja yang dilakukan itu membuat ibu jatuh sakit selama hampir dua minggu. Apabila saya pulang nanti, itulah antara perkara yang ingin saya lakukan. Menolong ibu berkebun. Dan, mungkin juga saya boleh menolong membesarkan kebun ibu. Menolong ibu memagar kebun.

Mudah-mudahan saya cukup kuat dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk membantu ibu. Sekiranya berpeluang, saya juga akan bertemu dengan pihak yang berkenaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut sama ada mereka mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah kerbau-kerbau berkeliaran yang dihadapi oleh penduduk kampung atau tidak. Saya berharap akan mendengar sesuatu yang lebih baik daripada kerbau dilepas, kebun dipagar, b*** ditembak.


3 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Ungkapan “kerbau dilepas, kebun dipagar, b*** ditembak” menggambarkan pemikiran masyarakat Melayu tradisional.

Saya berkebun-kebun juga sebagai meneruskan kegemaran arwah nenek dan arwah ibu. B*** datang pada waktu malam. Yang ditinggalkannya untuk kami nikmati hanya sepokok dua. Monyet pula datang dalam kumpulan ketika kami berpergian. Pucuk betik habis dipatahkan; langsung tidak berhasil. Terung muda digigit-gigit dan dipatah-patahkannya juga. Alhamdulillah, masih ada beberapa jenis pokok yang mendatangkan hasil, termasuklah limau kasturi.
Berkebunlah dengan niat yang baik. Niat itu termasuklah reda apabila tanam-tanaman kita dikongsi oleh mana-mana makhluk Allah. Ikhtiar untuk menyekat kemaraan makhluk itu boleh dan memang perlu dilakukan, termasuklah menembak b*** dan tupai. Semasa melalukan ikhtiar itu, jangan sekali-kali disertai oleh sumpah seranah. Banyak orang tidak sedar akan perkara ini. Apabila direnungi, pemakan tanam-tanaman kita itu ada penciptanya. Penciptanya juga yang mencipta diri kita. Kita khuatir, apabila kita menyumpah pemakan tanam-tanaman kita itu, bagaikan kita menyumpah pencipta kita.

Teruskan menulis.

Wallahuaklam. Wassalam.

Kabasaran Soultan berkata...

he-he-he .... lucu juga ya ..kerbau dilepas sementara kebun dipagar

aranam berkata...

Salam kembali Cikgu,

Alhamdulillah. Ikhtiar yang ibu lakukan dengan memagar kebun tidaklah sia-sia. Setakat ini, ibu belum pernah bercerita tentang sebarang masalah setelah kebun dipagar. Terima kasih atas ingatan Cikgu tentang berkebun dengan niat yang baik dan reda apabila tanam-tanaman kita dikongsi oleh mana-mana makhluk Allah.

Terima kasih juga atas sokongan dan dorongan Cikgu supaya saya terus menulis. Saya amatlah menghargainya. Dua perkataan itu memberi makna yang cukup besar bagi saya.

KABASARAN

Saya sebenarnya berasa simpati terhadap kedua orang tua.