Khamis, 19 Mac 2009

Cikakak di Rumah Nenek (3)

Sebelum membaca dengan lebih lanjut Cikakak di Rumah Nenek (3), anda dipelawa singgah di sini terlebih dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Malam ini, Mama, aku, dan adik-adik, makan malam bersama-sama tanpa Abah, sama seperti beberapa malam sebelum ini. Mama kelihatan ceria sangat. Mungkin kerana sebentar tadi Abah menelefon. Dapatlah bergilir-gilir bercakap dengan Abah, termasuk aku.

Mungkin Mama telah memberitahu Abah yang Adik kurang sihat sejak beberapa hari ini. Siang tadipun, Adik dinasihatkan oleh guru kelasnya supaya balik ke rumah untuk berehat. Kepala adik sakit sangat. Aku kasihan melihat Adik. Selera makannya pun tidak menentu sejak dua tiga hari ini.

Ada sesuatu yang menghairankan aku. Tadi, Mama bercerita lagi tentang Cikakak. Cerita yang sama sekali berbeza berbanding kisah Cikakak yang ingin kusampaikan kepada Adik. Adik berkali-kali bertanya Mama,

''Mama, ini cerita betulkah?''

Banyak kali Adik bertanya. Dan, setiap kali sebelum Mama menjawab soalan Adik, Mama mensyaratkan supaya Adik makan sesuap bubur nasi daging yang sudah semakin sejuk di hadapan Adik.

Mungkinkah cerita Mama kali ini semata-mata ikhtiar Mama supaya Adik mahu menjamah makanan. Dalam keadaan sihat pun, Adik agak sukar menghabiskan makanan, apatah lagi dalam keadaan kurang sihat seperti sekarang. Agaknya Mama menyedari yang pujukan Mama tidak memberi kesan seperti yang Mama harap-harapkan.

Setiap kali Mama berhasil memujuk adik, hanya sesuap dua sahaja yang mahu dikunyahnya. Aku yakin, Mama memang amat menyedari perangai Adik yang suka bertanya itu. Ai pula, aku tengok wajahnya pasti akan berubah setiap kali Mama bercerita tentang Cikakak.

Kenapa dengan Ai? Apa yang mengganggunya apabila mendengar tentang Cikakak versi baru yang diceritakan Mama. Sesungguhnya, Adik dan Ai tidak mengetahui bahawa cerita Mama itu merupakan versi baru yang diolah Mama sehingga membuatkan kening Ai berkerut semacam. Ai kenapa? Kenapa dengan Ai?

Aku sedar dan ingat dengan pasti, cerita Cikakak Mama pada malam ini, langsung tidak sama dengan Cikakak yang pernah kujeritkan ketika usiaku sembilan bulan dulu, seperti yang pernah diceritakan oleh Mama kepadaku, seperti yang hampir kuceritakan kepada Adik beberapa hari yang lalu, sebelum Adik jatuh sakit. Kasihan Adik....

Kenapa cerita Mama tentang Cikakak tiba-tiba berubah? Aku sendiri terbayang-bayang Cikakak yang baru diceritakan Mama. Aku cuba melukisnya di dalam fikiranku. Aku cuba melukis rupa Cikakak seperti yang diceritakan Mama di atas kertas yang ada di hadapanku.

Kebiasaannya, aku memang tidak ada masalah menghabiskan makanan yang disediakan Mama. Selepas menghantar pingganku yang telah licin ke dapur, aku segera mengambil pen dan kertas. Aku memang suka menconteng-conteng di atas kertas, lebih-lebih lagi aku ingin benar melakarkan bagaimana sebenarnya kewujudan Cikakak versi baru ini.

Sejujurnya, aku lebih suka mendengar versi baru Cikakak. Kalau Mama teruskan cerita ini dengan lebih lanjut lagi, lagilah aku suka. Sesekali Aku, Adik yang berjaya menghabiskan bubur nasi dagingnya, dan Mama yang bercerita dengan penuh penghayatan berkongsi rasa di meja makan yang biasanya sunyi sahaja sejak beberapa hari ini. Cuma aku simpati melihat Ai. Ada sesuatu yang mengganggunya. Ketika kami bertiga ketawa, Ai sekadar memandang sahaja.

''Ai, Ai kenapa dik?''

Ai tidak menjawab walau sepatah pun. Dia sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandangku dengan kerut yang masih menghiasi wajah comelnya, dengan mulut yang sedikit dimuncungkannya. Mahu sahaja aku tergelak melihat telatahnya. Tetapi, aku menahan tawaku kerana simpatiku terhadapnya lebih mengatasi perasaan geli hati yang tiba-tiba sahaja sirna.

''Mama, Cikakak tu betul-betulkah ada?''

Mama tersenyum mendengar soalan Ai. Mama mengatakan kepada Ai, bukankah Ai sudah melihat Cikakak yang Mama lukis di atas kertas, petang tadi. Menurut Mama, petang tadi Ai bukan main lagi ketawa melihat wajah Cikakak yang Mama lukis.

Selepas Mama menjelaskan tentang Cikakak yang ditanya oleh Ai, kali ini giliran Aku dan Adik pula yang saling berpandangan sesama sendiri.

Baru sahaja kami berdua mahu membuka mulut untuk bertanya, Mama segera meletakkan jari telunjuk kanan di bibir Mama, syyy...nanti kita sambung lagi....


3 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Saya baca masukan 1 (3 kali), masukan 2 (2 kali). Teruskan dengan masukan empat. Jikalau lama sangat menunggu masukan 4, kenalah saya baca sekali lagi masukan 3. Yang penting, teruskan catatan ini. Apabila ada kelapangan, Insya-Allah, suntingan dapat dilakukan dan satu cerita lengkap dapat diketengahkan.

Wassalam.

aranam berkata...

Wa'alaikumsalam warahmatullah Cikgu,

Saya akan cuba meringkaskan masukan 1-3 dalam masukan 4 kelak, Insya-Allah.

Cerita ini wujud mengikut suasana berbeza yang dekat dengan saya sebenarnya. Buat masa ini, saya tidak tahu selepas masukan 4, akan adakah lagi masukan yang seterusnya. Mungkin juga masukan ini akan berakhir setelah saya memulakan sesuatu yang baru bertitik tolak dari cerita ini.

Maafkan saya kerana telah menyebabkan Cikgu terpaksa membaca berulang kali, mencuri masa Cikgu dalam keadaan yang tidak saya sedari.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Tidak mengapa. Lagipun sudah ada pautan. Teruskan sahaja menulis.

Wassalam.