Singgah juga aku akhirnya. Sudah berbulan-bulan aku tidak berkunjung ke Barakhon. Apa salahnya kalau aku singgah. Singgah sebentar sahaja pun, jadilah, fikirku. Biasanya, jarang benar aku tidak singgah membelek buku-buku di situ.
Satu-persatu buku-buku yang ada kuperhatikan. Buku berbahasa Inggeris menjadi tumpuanku. Pantas saja 'Mysterious Asia' menarik perhatianku. Kemudian, 'Young Temur' pula. Dua buku itu kucapai satu demi satu. Kubelek-belek lembarannya. Menarik.
Lalu, kutanyakan harganya. Aduh! punah segala harapanku yang baru mula berputik sebentar tadi untuk memiliki buku-buku tersebut. Perlahan-lahan, bagai putik yang tidak jadi berkembang, kuletakkan 'Young Temur' perlahan-lahan ke tempat asalnya semula. Mahu tawar-menawar pun hatiku jadi tawar.
Lambat-lambat pula aku meletak kembali 'Mysterious Asia'. Kutatap lagi muka hadapannya. Barulah ternampak 'Forgotten legends of the Great Silk Road'. Kuselak kembali lembarannya.
'Aku mahu buku ini,' desis hati kecilku.
Apabila balik ke tanahair kelak, tentulah tidak mudah bagiku untuk mencari buku-buku dari sebelah sini. Jikalau pun ada, entah-entah melihat harganya sahaja, hatiku jadi tawar.
Aku pandang penjual buku yang kuyakin sejak tadi menunggu aku bersuara. Kuagak-agak, lelaki di hadapanku itu dalam lingkungan empat puluhan usianya. Kami sudah saling mengenali. Sebelum ini, aku sudah pernah singgah membelek-belek buku yang disusun rapi di meja yang terletak di hadapan kedai. Dan, pernah juga aku membeli buku-buku yang dijualnya.
Sesi tawar-menawar pun bermula. Harganya kurang sehingga hampir mencapai empat puluh lima peratus! Mahu saja kutawar sehingga lima puluh peratus tetapi tidak adil pula baginya. Aku sedar, dalam musim sejuk begini, bukannya mudah menjalankan perniagaan.
Dia sanggup menjual dengan harga yang kumahu pun sudah mencukupi bagiku. Kesanggupannya itu yang diiringi senyum yang tidak lekang di bibirnya menandakan yang dia tidak mengalami sebarang kerugian pun. Entah-entah dia mendapat keuntungan seratus peratus! (Kalau betul pun, itu bukan urusanku.)
Selesai sudah urusanku di Barakhon. Di pintu utamanya, aku berhenti sambil memandang ke hadapan. Sempat kurakamkan gambar ini sebagai kenangan. Masjid Hast Imam.
Selepas itu, aku berjalan merentasi dataran. Langkahku tidak lagi melaju. Akhirnya, aku dapat apa yang kumahu ....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan