Sikap Bertangguh. Tulisan Ruhani Matdarin ini menarik perhatian saya dan membawa ingatan saya kepada pengalaman sendiri beberapa tahun yang sudah.
Menurut beliau, 'mengetahui itu lebih baik daripada tertanya-tanya' dan kebanyakan kita tidak terlepas daripada keinginan ini termasuklah saya.
Keinginan mahu melihat sahabat sendiri menemui jawapan pada persoalan yang lama bermukim dalam fikiran dan perasaannya menyebabkan saya dengan sukarela menjadi orang tengah, si penggali jawapan. Penggali yang berusaha menggali dalam diam. Mahu menggali kerana simpati. Mungkinkah ini simpati yang keterlaluan?
Perigi tidak mungkin mencari timba, itu prinsip sahabat saya. Prinsipnya saya hormati. Buat seketika, saya meminggir silu dan menyandang persoalan sehingga memungkinkan saya berhadapan dengan si pemilik jawapan.
Alangkah! Jawapan yang saya perolehi membuat saya terkedu.
Saat itu, saya tahu penantian bukanlah pilihan yang tepat. Saat itu, saya mahu sahabat saya mengerti bahawa saya mahu dia berhenti menanti, berhenti menunggu. Saya berusaha menyampaikan pendapat saya tentang penantiannya itu dengan berhati-hati supaya hatinya tidak terguris.
Namun, siapalah saya. Kalaupun dia mahu terus menanti, tiada apa lagi yang mampu saya lakukan. Mungkin jikalau jawapan yang diluah oleh si pemilik jawapan itu didengar sendiri oleh sahabat saya yang mahu terus menanti, barulah sahabat saya itu mengerti. Mengerti bahawa dia harus berhenti menanti.
Yang terdaya saya lakukan, hanyalah tersenyum (pahit tentunya) mendengar kisah demi kisah tentang si pemilik jawapan yang jawapannya sudah berada dalam genggaman saya. Yang jawapannya, tidak berani saya pindahkan secara langsung ke dalam genggaman sahabat saya.
Saya terus menangguh dan menangguh sambil berdoa agar sahabat saya itu menyedari hakikat bahawa dia harus berhenti menanti.
Akhirnya, penantian itupun berakhir. Mereka memilih jalan hidup yang berbeza. Sesungguhnya si pemilik jawapan itu tidak berdusta.
Salam Maulidur Rasul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan