Ahad, 14 Februari 2010

Si Buta

Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Allah yang menciptakan segala yang ada di langit dan bumi.

Cinta yang lahir antara lelaki dan wanita, yang dicipta Allah untuk manusia adalah salah satu bentuk nikmat yang tidak ternilai. Gemersik halus yang menggetar sukma, sukar diungkap dengan kata-kata. Saat cinta itu hadir, seluruh alam bagai berlagu, menari bersama mengikut rentak irama hati yang sedang diulit bahagia belaka. Setiap detik, setiap ketika, mahu bersama insan yang dicintai.

Perasaan cinta itu hadir tanpa dapat dipaksa-paksa. Pertemuan yang kerap adalah salah satu sebab memutikkan bibit-bibit cinta tanpa diduga. Jikalau dua hati yang saling mengasihi itu belum menjadi milik orang, kata sepakat menuju bahagia, pelamin idaman destinasi tujuan, tidaklah jauh dari genggaman. Lebihlah lagi tambah membahagiakan apabila dua hati bertaut kasih mendapat restu orang tua tercinta. Tertunailah hasrat yang lama diimpi. Alangkah indahnya apabila impian menjadi nyata.

Pun begitu, ada juga segelintir insan yang dilamun cinta, gagal menuju ke pelamin idaman. Pelbagai sebab muncul tanpa diduga sehingga menjadi penghalang untuk mereka bersatu. Antaranya, apabila seorang lelaki bergelar suami mengasihi wanita lain dan ingin menyuntingnya sebagai suri. Hubungan begitu sering kali mencetuskan percik-percik api yang bila-bila masa sahaja boleh marak membakar; hangatnya yang membahang bisa menggugah ketenangan.

Apabila situasi ini berlaku, tipikalnya masyarakat akan menyalahkan orang ketiga yang sering dianggap sebagai perosak rumahtangga orang lain. Saat konflik ini wujud, jiwa yang terlibat bukan cuma dua ataupun tiga malah lebih daripada itu.  

Hidup bermadu adalah keadaan yang tidak pernah hadir 'dengan rasa manis' dalam benak majoriti wanita. 'Bertuahlah' sang isteri andai wanita yang baru hadir dalam hidup suaminya berpegang teguh pada prinsip 'takkan berkahwin dengan suami orang'. Tiga jiwa yang sedang berhadapan dengan kemelut cinta tiga segi ini tentu sekali hebat geloranya, tidak ubah bagai dihempas badai yang tidak diketahui bila waktunya akan reda.

Dalam jiwa sang isteri pasti terdampar sejuta persoalan. Apatah lagi jikalau mahligai yang dibina sudah mencecah belasan tahun malah berpuluh tahun lamanya. Janji seia sekata, hidup bersama selagi hayat ada tentulah tiba-tiba terasa bagai bicara kosong tanpa makna.

Bagaimana pula dengan pasangan yang bertaut kasih mereka pada saat mereka tidak menduga. Pada saat sang suami dilimpahi kebahagiaan dengan keluarga tercinta. Ada waktunya, kasih sayang yang wujud dalam hati insan, tidak dapat dimengerti oleh insan lain. Mata tidak buta, hati tidak buta, cinta juga tidak buta. Usah dicari siapakah yang buta sebenarnya. Mencari si buta pada ketika hati disinggahi cinta adalah pencarian yang sia-sia ....

Itulah sebenarnya salah satu bentuk dugaan yang datang dalam hidup insan.  Jodoh pertemuan kuasa Allah.  Setiap insan, dugaan yang diterima adalah berbeza-beza. Tidak sama. Lain orang, lain dugaannya. Ada yang diduga dengan kebahagiaan, ada yang diduga dengan kesengsaraan. Ada yang diduga dengan keindahan, ada yang diduga dengan kehodohan. Dan senarai itu semakin panjang sehingga ada masanya tidak terjangkau dek akal fikiran.

Semoga kita semua sentiasa tabah ketika berhadapan dengan dugaan. Semoga kita semua menjadi insan yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Dan, semoga kita semua berada dalam lindunganNya.

*** Hari ini, aku mendengar sebuah kisah. Kisah yang membuat bulu romaku meriding. Aku seperti sedang berhadapan dengan sebuah novel dengan cerita segar yang digarap rapi sehingga berdaya menyentuh naluriku. Dan, kisah itu membuatkan aku terharu. Dia ... sanggup berkongsi kisah suka dukanya denganku walhal belum setahun pun dia mengenaliku.

Sahabat,
kuhargai kepercayaanmu
kukagumi ketabahanmu
kusenangi kamu seadanya.

Semoga
dirimu terus tabah
menghadapi liku-liku
hidup ini.

Semoga
dirimu terus kuat
merintis jalan yang telah
kau pilih.

Semoga
dirimu sentiasa
dalam lindunganNya.

Amin ya Rabb.


Tiada ulasan: