Isnin, 1 Februari 2010

Bukan Untukku

Siang tadi, aku menelusuri bandar Tashkent mencari-cari sesuatu yang berkenan di hati.  Langit membiru dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dingin menyapa wajah.  Pun begitu tetap juga terasa terik mentari memesrai wajah dan menyilau mataku.

Dua hari sudah, pencarianku sia-sia.  Yang dicari tidak muncul, yang tidak dicari pula kubawa pulang.  

Dari pasaraya Soum, aku menuju ke Barakhon.  Sambil itu, fikiranku masih teringat-ingat beg-beg comel yang diperbuat daripada kain denim dan dihias indah dengan jahitan sulaman mesin dengan benang yang berwarna-warni.  Ada juga yang diperbuat daripada kain baldu.  Kemas sekali buatannya.  

Sebaik sahaja kereta berhenti, langkahku melaju menuju ke Barakhon.  Semakin hampir ke tempat yang dituju, langkahku kian perlahan.  Hatiku sedikit lega kerana kedai yang kutuju beroperasi.  Misi seterusnya adalah mencari.  Mencari yang cantik dan menarik.  

Sejak mula tiba di sini, hasil seni sulaman Uzbek dengan mudah menarik perhatianku.  Hasil seni sulaman ini lebih dikenali sebagai suzane.  Perkataan suzane itu sendiri bermaksud jarum.  Suzane yang sudah siap ada yang dibuat sarung kusyen, alas meja, hiasan dinding, beg ataupun dibingkai mengikut selera masing-masing. 

Ada waktunya, aku berminat dengan sulaman berwarna-warni yang terang dan garang pada kain baldu berwarna hitam.  Ada waktunya, aku lebih berminat dengan sulaman berwarna-warni yang lembut pada kain berwarna putih.  

Yang pasti, setiap kali mataku terpaku lama pada hasil seni yang ada di depan mata ... aku tahu, itulah yang kumahu.  Ataupun jikalau ada sepuluh pilihan tetapi yang kerap kusentuh suzane yang sama, itulah juga yang kumahu.  Jikalau aku perlu memilih antara suzane sulaman mesin ataupun sulaman tangan, pilihan utamaku adalah suzane sulaman tangan.

Tidak sukar untukku memilih kerana tidak banyak suzane yang berjaya memikat hatiku.  Kebetulan hari ini, aku mencari yang terang dan garang.  Yang terang dan garang boleh dihitung dengan jari banyaknya.  Jikalaulah ada banyak pilihan, pasti aku akan sukar membuat pilihan sedangkan masa yang aku ada amatlah terhad.  Lagi satu yang paling aku risaukan adalah kalau-kalau aku rembat satu untuk diriku! 

Pun begitu, ada juga yang mahu kujadikan koleksi peribadi.  Yang kulakukan hanyalah mengambil gambar suzane itu sahaja.  Memadailah buat sementara waktu.  


Sesudah puas tawar-menawar, suzane yang kumahu kini dalam genggaman.  Yang sudah berada dalam genggamanku, bukanlah suzane yang ada dalam gambar di atas ini.

Niat di hati ingin segera meninggalkan Barakhon kerana ada tempat lain yang ingin kutuju.  Aku pandang ke kanan.  Singgah ataupun tidak?  Perlukah aku singgah?  Kenapa aku mesti singgah?

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam aranam....
lama tidak berkunjung ke mari.
apa khabar?

abd naddin berkata...

Setiap kali saya sampai di halaman ini, saya mesti singgah untuk membaca catatan perjalanan yang ditenun dengan menarik. saya suka membacanya.Saya fikir akan ada gunanya jika ada editor majalah di tanahair yang boleh memuatkan tulisan ini dalam majalah mereka.teruskan aranam, teruskan menulis

aranam berkata...

Surinit,

Salam kembali. Saya baik-baik saja. Surinit apa khabar? Semoga sentiasa sihat di samping keluarga tercinta.

Abd Naddin,

Terima kasih kerana sudi singgah membaca catatan yang tidak seberapa ini. Insya-Allah dan terima kasih sekali lagi. Saya amat menghargainya.