Khamis, 4 Februari 2010

Sesi Sembang Sihat

Dup! Dup!

"Pastikan bunyinya begini.  Itu tandanya nasi sudah cukup masak."  begitu katanya sambil menepuk-nepuk nasi yang ditanak dengan senduk.  

Kami mengangguk tanda faham.  Masing-masing berpeluang menghasilkan sendiri bunyi 'dup' itu.  Seorang demi seorang mencubanya termasuklah saya.

Kemudian, periuk yang dipanggil 'kazan' itu ditutup selama dua puluh minit dan api dikecilkan.

Kelas memasak plov siang tadi benar-benar sempurna!  Berkomunikasi dengan bahasa yang difahami, itu sudah cukup melegakan. 

Alangkah beruntungnya kami kerana tuan rumah begitu baik hati.  Saya senang sekali dengannya.  Dan, sudah pasti kawan-kawan lain pun begitu juga.  Tuan rumah yang serba boleh dalam hal memasak, menjamu kami dengan pau berinti kacang merah dan muffin pisang.  Sungguh sedap!


Sebelum beras dimasukkan, sebelum 'kazan' itu ditutup, kami dibekalkan dengan pelbagai tips memasak plov, makanan tradisi masyarakat Uzbek.

Antaranya adalah beras yang dipanggil 'alanga' perlu berada di bahagian atas sahaja tanpa perlu digaul.  Selama beberapa minit, beras 'alanga' itu dikacau dan pada masa yang sama beras itu tetap kekal berada di bahagian atas juga. Begitu jugalah jika kita menggunakan beras lain sebenarnya.

Selain itu, selepas memasukkan kacang kuda (yang merupakan salah satu bahan yang ada di dalam plov), api mestilah dikecilkan supaya kacang kuda itu cepat lembut.

Seperkara lagi yang masih melekat dalam ingatan adalah selepas tempoh dua puluh minit berlalu, penutup 'kazan' mesti dibuka, tidak boleh tidak.  Kemudian, bolehlah nasi digaul dengan daging yang ada di bahagian bawah.  Itu langkah terakhir sebelum plov dihidang.  

Menurut guru kelas memasak kami, majoriti masyarakat mereka berpendapat bahawa plov yang dimasak oleh golongan lelakilah yang lebih sedap.  Dia ada menjelaskan juga sebabnya majoriti mereka beranggapan sedemikian.  

Katanya, jikalau lelaki yang memasak plov, mereka menumpukan sepenuh perhatian dari mula proses memasak sehinggalah selesai.  Mereka tidak akan berganjak ke mana-mana.  

Manakala jikalau wanita pula, sentiasa sibuk dengan aktiviti lain dan kurang menumpukan perhatian pada masakan mereka.  Kebarangkalian terlebih membubuh garam agak tinggi dan begitu jugalah sebaliknya, katanya lagi.

Setengah jam sebelum jam dua belas, plov siap.  Kami menikmatinya bersama-sama sambil meneruskan sesi sembang sihat.  Bertukar-tukar maklumat berguna tentang ilmu masakan.  Suasana begini pasti akan saya rindui kelak.

Di bawah ini, resepi penuh yang saya catat semasa mengikuti kelas masakan siang tadi.  Semoga ada manfaatnya untuk kita.

Bahan-bahan :
  • 1 kg beras
  • 2 senduk minyak masak
  • 1 labu bawang besar - dihiris
  • 1/2 kg lobak - dipotong nipis memanjang
  • 1/2 kg tulang - direbus
  • 1/2 kg daging
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 1 sudu besar kismis
  • 1 sudu kecil lada hitam biji
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak.  Tumis bawang besar hingga kekuningan ataupun sehingga garing (ikut suka).
  2. Masukkan daging dan tulang.  Kacau rata sehingga mati air.
  3. Masukkan lobak.  Kacau rata sehingga sedikit lembut.  Masukkan sedikit garam.
  4. Sesudah lobak benar-benar lembut, masukkan air.  Lebihkan seinci dari paras daging.
  5. Masukkan kacang kuda yang sudah direndam.  Kecilkan api.
  6. Masukkan kismis, lada hitam, dan serbuk kunyit.
  7. Masukkan jintan putih yang baru ditumbuk.
  8. Sesudah daging lembut, masukkan beras sehingga menutupi bahagian permukaan sahaja.  Paras air hendaklah sama rata dengan beras.  Bubuh garam secukup rasa.
  9. Kuatkan api.  Kacau beras sahaja. Kawal api, jikalau perlu, kecilkan sedikit.
  10. Apabila tanak, ratakan nasi.  Tepuk dengan sudu.  Jikalau bunyi 'dup! dup!' kedengaran, nasi sudah cukup masak.
  11. Tutup 'kazan', kecilkan api.  Buka penutup selepas dua puluh minit.  Sekarang, bolehlah gaul nasi dan daging.
  12. Sedia untuk dihidang.

Tiada ulasan: