Sabtu, 20 Disember 2008

Anak-anak Kecil dan Ibu Mereka

Di sebuah bandaraya yang baru mula hendak bernafas, seorang ibu berjalan sambil memimpin tangan anak-anaknya. Anaknya ada tiga, yang dipegang cuma dua. Anak yang sulung memegang tangan adik perempuannya. Sambil berjalan itu, mata si ibu memandang ke satu arah dengan penuh minat. Menyedari langkah yang kian perlahan, anak sulung mula bertanya apa yang dipandang oleh ibunya.
''Orang itu. Dia sudah ada di sini sejak kalian belum lahir. Sejak Mama belum bertemu Abah.''
Anak yang paling kecil, pantas bersuara, ''Orang yang mana? Yang berjalan dengan tangannya itukah?''
Kakak yang dua orang, cepat-cepat menegur adik, ''Adik, usah berkata begitu. Kasihan dia, tidak boleh berjalan macam kita.''
Adik berkata lagi, ''Itu kakinya, kan....'' Sambil menuding jari ke arah orang itu. Segera pula si ibu menurunkan tangan kiri anaknya yang terus-terusan menuding jari ke arah orang itu. Orang yang berjaya menarik perhatian mereka berempat. Si ibu bersyukur kerana orang itu tidak melihat perlakuan anaknya yang menuding jari ke arahnya. Semasa jari kecil dituding, orang itu sedang memejam mata menghayati alunan bunyi gemersik dari alat muzik yang sedang dimainkannya. Kalaulah ketika itu matanya tidak dipejam, pasti dia dapat melihat betapa merah wajah si ibu dipantul sinar mentari pagi.

Tiada ulasan: