Sabtu, 14 Mei 2011

Kepala




Pohon Tidak Berdaun

Pandanganku
selalu singgah ke pohon itu
walaupun dahan-dahannya tidak dihiasi dedaunan
apatah lagi bunga-bungaan ataupun buah-buahan.

Di pohon itu
selalu kulihat beburung hinggap 
melepas lelah
mengumpul tenaga
kadang-kadang seekor
kadang-kadang sepasang
kadang-kadang sekawan.

Di balik pohon itu
sering kusaksikan wajah langit nan luas terbentang
berubah-ubah warnanya
kadang-kadang umpama langit musim luruh, juga musim sejuk
dipenuhi awan putih kelabu
kadang-kadang umpama langit musim panas
birunya indah bersih memikat
namun tak pernah sekalipun kulihat langit musim bunga
tiada daun, tiada bunga, tiada buah di sana.

Pohon itu
entah-entah tidak lama lagi
kan menjadi ranting-ranting cuma
kerana tanahnya akan diratakan
dibangunkan binaan; mungkin kedai, mungkin rumah.

Entah besok entah lusa
tiada lagi pohon itu ....

Kepala

Awal pagi ini, aku dikejutkan dengan berita bahawa ada kepala orang (?) di luar jendela rumahku. Rambutnya hitam, tak nampak mata.  Entah kepala itu kepala siapa. Jawapan tetap juga tiada, hingga terasa meremang bulu roma. Sempat menyedapkan hati sendiri ... Ah! Entah-entah itu bukan kepala siapa-siapa. Dan, kalau itu bukan kepala, yang hitam itu tentu juga bukan rambut siapa-siapa. Entah-entah itu hanyalah burung yang suka hinggap di tepi jendela!

Selori Papan

Pagi ini juga. Tetapi tidaklah seawal kisah tentang kepala di luar jendela. Sedikit lewat kisah ini muncul. Aku mendengar bunyi kenderaan lalu di hadapan rumah. Lalu kuintai lewat jendela kamar.  Sangkaku itu bunyi lori sampah. Hampa. Lori itu bukan lori sampah. Lori itu, muatannya papan. Mungkin sekadar mengambil jalan pintas. Eh! lori itu berpatah balik menuju ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menebas, membakar (kalau boleh kusebut belukar) berhampiran kawasan rumah yang kudiami ini. Sekonyong-konyong lori itu berhenti, sekumpulan lelaki itu berhenti melakukan kerja-kerja membersih yang mereka lakukan sebelumnya. Mereka memunggah papan dari lori itu dan menghimpunnya satu demi satu. Kemas. Teratur. Untuk apa selori papan itu? Soalan yang bermain di fikiranku itu terjawab beberapa jam kemudian. Kini, di kawasan itu sudah terbina sebuah pondok (mungkin pondok pekerja --- cepatnya!). Mungkin ada bangunan yang lebih besar yang mahu mereka bina. Lalu, bertalu-talu tanya demi tanya meluru di benakku.

Keris di Hujung Cinta

Ini adalah judul puisi tokoh penyair Sabah, Hasyuda Abadi. Di dalamnya ada perkataan api yang berulang-ulang (sebenarnya, pengulangan itu tidaklah terlalu banyak). Membaca puisi itu, menghimbau kembali zaman kecilku. Zaman sekolah rendah. Api menarik minatku. Zaman itu zamanku riang bermain bunga api. Mancis dan lilin menjadi temanku. Senang bagiku bermain bunga api.  Mudah bagiku jikalau bermain masak-masak.  Bekalan mancis dan lilinku selalu ada.  Asal saja habis, kedai runcit berhampiran rumah tempat kutuju. Zaman itu sudah berlalu.  Sekarang ini, api teman rapatku di dapur. Tiada suara ibu melarang. Tiada suaraku memberi alasan. Hmm ... jikalau sekarang di tangan anak-anakku sentiasa ada mancis dan lilin, tentu mulutku tak henti-henti melarang.  Betapa kasihannya ibuku dulu, melarangku tak henti-henti. Keris Di Hujung Cinta. Puisi itu adalah tentang kisah hidup yang lebih besar kalau mahu dibandingkan dengan kisah gadis kecil yang suka bermain api (api yang benar-benar wujud sebagai api; panas, bahaya). Puisi itu mengingatkan aku tentang zaman kecilku. Zaman kecilku yang merunsingkan ibuku.  Maafkan anakmu ini, wahai ibuku sayang.

Tiada ulasan: