Jumaat, 3 April 2009

Debar

Kota Kinabalu

Matanya terpaku pada iklan di surat khabar di hadapannya. Surat khabar tempatan. Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Oh, tarikh tutupnya hari ini! desis hati kecilnya. Udara panas yang membahang sedikit mengganggunya. Bunyi kenderaan membingit, hon bertalu-talu, memang begitulah lumrah sebuah kota.

Dia segera menyeluk poket seluar panjangnya. Seluar jeans, biru lusuh. Mujurlah, ada beberapa keping duit syiling. Matanya melilau tercari-cari. Pondok telefon awam. Dia segera menuju ke situ. Kebetulan tidak ada sesiapa yang menggunakannya. Gagang diangkat, duit syiling dimasukkan. Dia menekan-nekan, enam nombor. Dia mahu segera bercakap dengan Emak, untuk meminta izin. Dia teringin menyertai Minggu Penulis Remaja!

"Terima kasih, Mak. Terima kasih," dia kelihatan begitu gembira. Hatinya berbunga, riang. Sungguh, dia tidak menyangka begitu mudah keizinan diperolehi. Lazimnya, tidak begitu. Biasanya sesudah mendapat keizinan Emak, dia perlu mendapatkan keizinan Bapa pula.

Hmm...mungkin Bapa ada berhampiran Emak. Mungkin Bapa sudah memberikan isyarat setuju kepada Emak. Mungkin saja begitu, tidak mustahil. Dia tersenyum, lega. Pun begitu, rasa tidak percaya masih lagi menguasai dirinya.

Kemudian, dia memasukkan pula duit syiling dua puluh sen, dan mula mendail nombor-nombor yang baru dihafalnya sebentar tadi. Dia berharap agar dapat bercakap sendiri dengan Encik Matlin Dullah. Ya, itulah nama yang tertera di dalam iklan yang baru dilihatnya sebentar tadi.

Sebenarnya, dia boleh pergi terus ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dari pondok telefon awam tempat dia berada, dia boleh melihat dengan jelas bangunan itu. Di tangannya pun dia sedang menjinjing beg plastik. Di dalamnya ada beberapa buah buku yang baru dibelinya. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, dia memilih untuk menelefon sahaja. Lebih baik begitu fikirnya.

Sementara menanti panggilannya dijawab, debaran dadanya bertambah kencang. Dia risau kalau-kalau penyertaan sudah ditutup. Bermacam-macam lagi yang berlegar-legar di fikirannya. Dia belum pernah menulis karya kreatif.

Dia risau kalau-kalau tidak diterima. Menyumbang suara untuk drama atau sandiwara di radio pasti tidak mencukupi. Pasti mereka memerlukan sesuatu yang lain, yang lebih besar fikirnya.

'Aku akan cuba juga,' tekadnya bulat. Dia tidak akan berundur walau selangkah sebelum mencuba. Lagi pun, tidak ada ruginya mencuba. Tidak cuba, tidak tahu.

Dalam debar, dia terus menanti. Dan debar itu semakin kencang. Debar menanti panggilan telefon dijawab.

11 ulasan:

abd naddin berkata...

Sekadar respon,
Paling akhir saya bertemu dengan Sdr. Matlin Dullah atau Cik Mat ialah beberapa bulan lalu. Beliau kini, kalau tak silap menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah di Sipitang. Sdr.Matlin merupakan salah seorang personaliti yang berjasa terhadap perkembangan penulisan di sabah.

aranam berkata...

Terima kasih. Sebenarnya, sudah lama saya tidak pernah bertemu beliau. Selepas MPR, pernah sesekali terserempak. Tetapi, setakat itu sahaja. Beliaulah yang bertanggung jawab membuka peluang agar saya dapat menyertai MPR. Dan, perkenalan kita juga bermula di sana. Ingat lagi...sebuah cerpen budak-budak yang tajuknya begitu klise? Tajuk yang saya beri Menanti Sinar Fajar atau Menanti Fajar, kalau tidak silap. Isinya juga mungkin. Mungkin klise dan keanak-anakan...Dan, saya tidak pernah lupa jasa baik Saudara... :)

hafizahiszahanid berkata...

Aranam,

Rupanya 'adik beradik' kita ya.. pandai betul menyimpan rahsia.
Kisah ini mengingatkan saya pada debar yg sama waktu dijemput menghadiri MPR 1993.
Mengapa tidak link dgn MPR? Lebih ramai kenalan penulis, lebih tinggi semangat penulisannya.

aranam berkata...

Hafizah,

MPR...saya menyertainya di Kota Kinabalu. Hafizah KL, kan? Segan, rasa tidak setaraf. Kalau kita menyertainya di tempat yang sama pada waktu itu, pasti kita pernah bertemu... :)

Hasyuda Abadi berkata...

MPR? Dulu dan sekarang jauh bagai langit dan bumi dalam konteks Sabah. Jika konsisten tentu boleh menubuhkan alumni seperti penulis2 MPR di Semenanjung dan dapat dikenalpasti perkembangan pesertanya. Diharapkan MPR di Sabah dapat dipulihkan dan mendapatkan pegawai DBP sebaik Sdr Matlin Dullah. MPR yang konsisten yang mampu melahirkan penulis muda yang konsisten menulis walaupun di mana dia berada. Konsisten juga termasuklah programnya yang perlu dibuat berterusan mengikut fasa2 yang ditentukan. Memang beruntung jika mantan peserta MPR terus menimba ilmu, contoh usaha yang dilakukan novelis Azmah Nordin. Bukan mudah menemui Azmah, melalui 'kelas siber' rasanya alhamdulillah. Jika Azmah boleh menubuhkan konsep latihan seperti Kapezi (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) tentu banyak pengikutnya.

abd naddin berkata...

Saya bersyukur kerana berpeluang bertemu dengan sebahagian besar peserta Minggu Penulis Remaja MPR di Sabah walaupun sebentar cuma.Jika bertemu saya masih yakin dapat mengenali mereka.Cuma nama saya kurang ingat.Tapi mungkin saya masih boleh cam aranam.
Terima kasih.
O ya.Hampir kesemua gambar dalam flickr itu, sempat saya lihat.Terima kasih kerana sungguhpun belum pernah sampai ke Taskhent dan Samarkand,saya dapat melihat jejakjejak imam bukhari di sana.Saya suka melihat gambar musim bunga,arsitektur bangunan, jalan yang lebar dan lengang, halaman yang luas dan kehidupan yang jauh dari kebingungan warga kota.Mungkin tak ada masalah kesesakan lalu lintas di sana, dan lalulintas fikiran kita juga lebih selesa mentelaah nikmat kehidupan.Salam

ILHAM HAMDANI berkata...

Salam,

Cemburu juga dengan ahli-ahli MPR, maklumlah saya ini tak pernah berkesempatan untuk ke MPR, malah ke mana-mana seminar penulisan pun.

Selamat maju jaya untuk MPR!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

lintang berkata...

Salam kenal Untuk saudara di sebrang,cerpen bagus loh.

aranam berkata...

Hasyuda Abadi
---> 'Kelas Siber' Sifu Azmah Nordin wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya, boleh menjadi suatu permulaan yang tidak ternilai harganya. Sejak sekian lama, itulah yang saya cari-cari. Saya juga masih baru di situ, belum boleh bicara lebih tentang itu. Saya berharap dalam tempoh terdekat ini, ada pegawai DBP sebaik Sdr. Matlin Dullah. Ketandusan itu tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan.

abdnaddin
---> Saya yakin Saudara dapat mengenal dan mengecam saya dengan baik sekali. Insya-Allah... jika kita ditakdirkan bertemu, saya akan tegur.

ILHAM HAMDANI
---> Salam kembali buat Saudara. MPR...pernah berada di dalamnya, memang meninggalkan kenangan yang manis. Namun, tetap ada jalan lain jika kita benar-benar meminati dunia kepenulisan. Dan, tulisan Saudara memang menarik. Saya ada membaca tentang buli-membuli bab makan ketika Saudara berada di Jepun. Menarik sekali.

lintang
---> Salam kenal juga untuk Saudara. Terima kasih kerana berkunjung ke Menelusuri Ilham.

ILHAM HAMDANI berkata...

Salam Aranam,

Saya penulis? Aha, saya tidak lebih adalah penulis yang baru merangkak dan harus banyak berguru, termasuk dengan tuan hamba!

Salam persahabatan dari benua bawah!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

aranam berkata...

Salam kembali Ilham Hamdani,

Saya juga sebenarnya baru tersedar dari lena, santai, dan selesa yang panjang. Sekarang ini, saya juga seperti tuan hamba, merangkak dan harus banyak berguru... :)