Khamis, 30 April 2009

Asap

Catatan ini mungkin akan lama di sini. Mungkin lebih daripada tiga hari, catatan ini akan kekal berada di bahagian atas ini. Kali ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita yang dikutip daripada pengalaman hari ini, dan juga hari sebelum hari ini.

- i -

Warna Kenangan, saya cipta awal pagi tadi. Sebenarnya, bait-baitnya ataupun mungkin keseluruhan isinya, bukanlah mewakili diri saya sepenuhnya. Kalau pun ada, mungkin sedikit cuma. Kalau saya masih 'akur pada kelmarin', maka tidak wujudlah saya di sini hari ini, selama beberapa bulan ini sebagai Aranam... :)

- ii -

Tengahari tadi, saya keluar. Ketika pemandu teksi sedang menunggu saya di tempat letak kereta, dia sempat menyalakan dan menghisap sebatang rokoknya di bawah sinar matahari yang terik membahang di dalam teksi yang semua tingkapnya diturunkan. Udara nyaman musim bunga tidak begitu terasa tengahari tadi. Tidak seperti semalam dan kelmarin. Hari ini cuaca terik sekali. Langit biru bersih, indah pada pandangan saya.

Dalam keadaan yang kurang senang, saya masuk juga ke dalam teksi dan cuba bertahan dengan kepulan asap yang berkali-kali singgah ke wajah saya, dan begitu mengganggu saya. Beberapa kali saya terbatuk-batuk. Sebenarnya, batuk itu sebagai isyarat. Isyarat supaya pemandu teksi itu berhenti menikmati rokoknya yang entah bila akan tinggal puntung.

"Ya ne magu, izvinitye," kata saya. Maksudnya, saya tidak boleh, maafkan saya.

"Ya ne magu," saya ulang lagi. Saya tidak boleh, begitu kata saya sambil saya memberi isyarat seperti memegang rokok.

Dengan pantas, dia membuang rokoknya. Lantas, dia berkata pada saya kenapa saya tidak memberitahunya dari awal lagi. Dan, dia meminta maaf.

- iii -

Lama dulu, ketika kurang separuh daripada usia saya sekarang ini, saya sering menaiki bas untuk ke bandar Kota Kinabalu. Ada di kalangan penumpang yang sering mengambil kesempatan menghantar nikotin dan lain-lain lagi memasuki sistem badan mereka tanpa mempedulikan pelekat larangan merokok yang ditampal di dalam bas yang boleh dilihat dengan jelas.

Bukan tidak pernah saya berkata dengan hormat, meminta mereka supaya tidak menyalakan rokok milik mereka, yang mereka beli dengan duit sendiri...pernah. Tetapi, pada kebanyakan waktu juga, saya terpaksa berdiam dan menahan diri daripada bersuara. Menahan nafas ketika asap menyinggahi wajah saya. Melepaskannya dengan pantas. Kemudian, menarik nafas ketika tiba waktunya udara yang patut saya hirup itu telah bersih. Begitulah...begitulah selalunya.

- iv -

Dulu, saya fikir saya benci perokok. Tetapi, sekarang saya sedar yang saya benci itu sebenarnya ialah rokok. Rokok yang dinyalakan. Rokok yang diasapkan. Asap rokok yang singgah ke ruang pernafasan saya. Asap rokok yang singgah ke ruang pernafasan keluarga saya. Kalaulah ramai orang boleh membenci rokok seperti saya membenci rokok, kan bagus!

Pernah suatu ketika, di sebuah kedai di Kerteh, salah seorang anak saya yang waktu itu baru berumur dua tahun menarik-narik baju saya. Dia mengatakan begini,

"Nanti otak Pakcik tu berdarah," katanya dengan wajah risau.

"Kenapa Adik cakap macam tu," saya tanya dengan wajah hairan.

"Sebab dia hisap rokok," begitu jawabnya dengan yakin.

- v -

Masa berlalu terlalu pantas. Tinggal lapan bulan saja lagi, tahun 2009 akan jadi sejarah. Memang, masa tidak pernah berubah. Tetap bergerak seperti dulu-dulu juga. Tetapi, dalam sedar ataupun tidak, kitalah yang sebenarnya menjadikan masa itu semakin tidak boleh dikejar-kejar. Semakin jauh meninggalkan kita. Benarkah begitu?

6 ulasan:

abd naddin berkata...

Saya dapat melihat asap yang berkepul dari pemandu teksi di tashkent itu dihembuskan oleh orang yang agak beradab. Sementara di negeri kita ini, orang orang misalnya dalam bas tidak mempedulikan orang lain kerana mereka tidak dapat melihat orang melainkan orang-orangan. Sebab itu, mereka menghisap rokok sesuka hati mereka seakan di sekitar mereka, tiada orang lain.

aranam berkata...

Begitulah...saya berharap semoga selepas ini jika saya terpaksa berdepan dengan perokok, biarlah saya berdepan dengan perokok yang beradab supaya kebencian saya terhadap rokok, tidak beralih kepada perokok pula. Ataupun, kalaulah angan-angan saya suatu ketika dulu jadi kenyataan lagi baik. Hidup dalam dunia tanpa rokok dan asapnya.

Kabasaran Soultan berkata...

Setuju ..semestinya yang harus kita benci adalah rokoknya sementara si perokok sendiri meskinya kita kasihani kerana dia dengan sadar maupun tidak sadar telah menganiaya diri sendiri serta lingkungannya.
nice sharing

hafizahiszahanid berkata...

Betul, saya juga alah dengan asap rokok. Kadang2 saya minta dengan sopan, supaya mereka tidak merokok di tempat awam.
Tapi biasalah manusia, ego ada kalanya menyebabkan mereka tidak peduli pun tentang orang lain. Jadi walaupun kita sudah beri isyarat atau minta baik2 jgn merokok, emmm... tetap juga merokok (ini pengalaman di Malaysia).
Mujur saya bukan ultraman, kalau tak saya 'fire' mereka !

Shasha berkata...

Arwah bapa saya juga 'tewas' oleh rokok selain ajalnya sudah sampai..susah untuk menegur mereka yang menjadi 'naga' dalam dunia manusia..pengalaman saya untuk mengajar suami saya supaya berhenti menjadi naga ialah saya turut menjadi naga seperti beliau. Pada suatu hari, sambil duduk tengok tv, saya tengok dia begitu khayal menjadi naga selepas selesai hidangan tengahari. Tanpa kata, saya menyalakan sebatang dan menghembus seperti dia juga, menjadi naga instant walaupun tekak saya rasa terbakar! Tiba-tiba dia jeling dan membuang puntung itu. Kini saya tahu dia masih menjadi naga tetapi tidak di hadapan saya....(maaf mencuri ruang aranam untuk bercakap pasal saya mengajar naga supaya tidak menjadi naga di hadapan saya dan di dalam rumah...hehe)

aranam berkata...

Saudara Kabasaran,
Benar. Perokok wajar dikasihani, lebih-lebih lagi jikalau sedang cuba untuk berhenti. Mudah-mudahan berjaya... :)

Hafizah,
Ultraman apa tu? Daina atau Gaia...?
:)

Kakchik,
Tidak mengapa. Saya gembira kerana Kakchik sudi berkongsi pengalaman di sini... :)