Khamis, 23 April 2009

Andai Tujuh Dekad, Aku

IMG_3684

Aku duduk di tepi jendela
Mengenang nasib diri
Mengusung sesal
di sudut kalbu.

Cita-citaku berciciran
Tertinggal di halaman
Warna-warni kenangan
Hendak kukutip
Kudrat tiada
Telah lenyap
dimamah waktu.

Kini
Usiaku
Tujuh dekad
Kataku alangkah
Moleknya jikalau
Kini usiaku setengah abad.

Pastilah
Ada peluang untukku
Memeluk impian.

Berundur usiaku dan
Kini aku berusia
Setengah abad
Kataku alangkah
Bertuahnya jikalau
Usiaku tiga dekad.

Pastilah
Peluang untukku
Terbentang megah
Seluas lautan.

Terpana aku seketika
Usiaku kini
Tiga dekad
Kataku lagi alangkah
Bertuahnya jikalau
Aku menjadi kecil semula
dibelai ibu dimanja ayah
Makan dan pakai semua dijaga.

Kicau burung pulang ke sarang
Mengusik gegendang telingaku lantas
Menyedarkan aku dari lamunan.

Mataku menangkap
Keindahan lembayung senja.

Dan aku
Tetap juga duduk di sini
Aku duduk di tepi jendela
Mengiringi mentari
Yang baru saja
Hendak beradu.


2 ulasan:

Justiffa berkata...

Aranam, I can so easily relate to this. dalam usia sebegini, regrets, what if's, if only's semua menjadi mainan minda yg berperanan untuk melemahkan akak. bila kesalan datang bertimpa akak cuba sedaya upaya menghala pandangan terus ke depan walaupun kadangkala amat sukar.

Its hard but we must learn from the past, not dwell on it.. life must be lived kan ?! ;p

aranam berkata...

Setuju sekali. Kita mesti belajar daripada pengalaman lalu. Pengalaman yang wujud dalam diri kita pada hari ini. Tanggungjawab kita untuk belajar tidak pernah habis selagi hayat dikandung badan.

Sama-samalah kita berjuang walau berapa pun umur kita pada hari ini.

:)