Sebelum bulan Mac tahun ini, kisah tentang lasik sering mengisi perbualan. Setiap kali bercerita tentang lasik, ada rasa ngilu mengusik tangkai hati. Seram.
Apabila diimbas kembali beberapa tahun ke belakang -- sebelum kemajuan dalam memperbaiki kemampuan mata yang berdepan dengan situasi rabun dekat, rabun jauh dan silau ini -- lasik umpama mimpi jadi nyata, umpama angan-angan jadi realiti. Kemustahilan yang bukan lagi mustahil.
Kembali mengenang zaman persekolahan, belahan jiwa saya bercerita. Pernah beliau bertanya pada gurunya tentang kaedah penyelesaian bagi masalah rabun. Ganti dengan mata lembu! Kisah itu disambut dengan tawa yang turut menyambung kepada kisah baru.
"Akak tak suka bila kita tanya kena jawab begitu pula," puteri sulung menyatakan pendiriannya.
"Betul. Mama pun. Cikgu bergurau saja tu. Dulu ya la ganti dengan mata lembu. Sekarang, boleh buat lasik. Janji ada duit," serentak itu dia tersenyum dengan kening sedikit terangkat.
"Ganti dengan mata lembu? Betulkah mama?" Sampuk adik perempuannya.
"Mata lembu?" Adik lelakinya pula mula bersuara.
"Mata 'libu'?" Anak bongsu yang masih pelat turut tidak mahu ketinggalan.
Ketika abah mereka bercerita, berkemungkinan besar anak-anak kurang memberi tumpuan. Tambahan pula kereta sedang bergerak laju. Tumpuan lebih diarahkan keluar. Ke arah pokok-pokok yang sedang terbakar. Asap berkepul-kepul mencemari udara. Musim tengkujuh berundur seketika. Musim kering mengambil tempatnya kini. Sehingga sekarang, hujan sering kali dirindui dan ditunggu-tunggu kehadirannya
"Libu? Mata libu?" Tanya diulang lagi.
"Cuba tengok di sana tu. Ada lembu tak? Nampak tak mata lembu?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan