Rabu, 16 April 2014

Mahu

Dia minat melukis. Dia suka melukis. Berhampiran kediaman kami, setahu saya tiada kelas khusus untuk belajar melukis. Oleh itu, saya sarankan agar gunakan kemudahan internet sebaik mungkin.

"Mama pun tak pernah pergi kelas memasak. Mama belajar melalui internet," sedikit panduan mula dikongsi. Pernyataan itu merujuk kepada resepi-resepi asing yang baru dicuba buat pertama kali. Resepi-resepi mudah yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi. Kemahuan yang kuat sahaja sudah memadai.

Mulanya, dia melukis kartun. Melakar. Komen daripada kawan-kawannya selalu membuat dia teruja. Selalu memberi semangat untuk dia terus melukis. Tidak kurang juga yang memberi komen sebaliknya. Itu perkara biasa. Lebih biasa lagi apabila yang memberi komen negatif itu biasanya kelompok yang sama setiap kali. Pun begitu, dia selalu terasa. Ada riak kecewa di wajahnya. 

Perlahan-lahan dia tetap meneruskan minatnya. Selain kawan-kawan di sekolah, ibu saudaranya turut memberi dorongan -- meminta dilukis gambar wajahnya. Cabaran itu diterima dengan senang hati.

Kemudian, dia beralih melukis 'doodle'. Biarlah, asalkan dia gembira. Sokongan berterusan diberi. Teguran turut diselit di mana patut. Minatnya turut dikongsi dengan adik perempuannya.

Pelajaran diutamakan, minat yang baik usah ditinggalkan.


Tiada ulasan: