Sabtu, 9 Mei 2009

Ibu

Saat ini, sebak menemaniku. Saat ini, aliran jernih menuruni pipiku. Saat ini, aku ingin berkisah. Di kalbuku penuh keharuan. Di kalbuku penuh kerinduan. Ibu, sebentar tadi kita berbicara. Melepas rindu yang tak pernah hilang. Jika dicongak usiaku kini, kita sebumbung hanya sehingga dua pertiga usiaku. Dan, kemudian kita berjauhan. Berbeza rumah. Kemudian, berbeza negeri. Dan, sekarang berbeza negara.

Walau jarak dan masa memisahkan kita, rinduku padamu tidak pernah sirna. Hanya rinduku sering kusembunyi di tempat paling istimewa di ruang kalbuku. Rindu itu akan berbunga, kembang dan mengharum tika tiba waktunya kita hampir bertemu. Aku sengaja menyembunyikan rindu yang ada agar aku bisa meneruskan hari-hariku tanpamu di sisiku.

Oh, Ibu yang kusayang. Tidak mungkin aku melupakan hari-hari kelmarin, kita bergurau senda bersama. Kita berkongsi kisah kelmarinmu. Kisah kelmarinmu yang turut mengakrabkan kita. Tidak mungkin aku melupakan hari-hari kelmarin, tatkala dirimu dihimpit gundah mengenang diriku yang sering sakit-sakitan. Sungguh aku berasa berdosa kerana sering menyebabkan titis-titis jernih bergenang menuruni pipimu.

Ibu, aku sayang padamu. Aku sedar kini. Kesukaranku meluah bicara, kesukaranku mengungkap kata yang lahir dari hatiku yang tulus buatmu semata-mata kerana aku tidak cukup kuat. Aku tidak cukup kuat. Setiap kali aku melayan rinduku, aku pasti kalah. Aku cuba berdiri dan bertahan. Sering aku malu sendiri.

Aku anak yang sulung. Sepatutnya aku kuat, aku tabah. Tetapi, rindu yang mengisi kalbuku sering berjaya membuatku kalah. Aliran jernih pasti akan menjadi temanku yang setia. Sebak yang tidak mampu kutahan pasti bertandang. Hanya doa yang sering kutitipkan menjadi penawar rinduku ini.

Sempena Hari Ibu ini, aku mengucapkan Selamat Hari Ibu buatmu Ibuku yang tercinta. Juga buat Ibu Mertuaku yang dikasihi. Buat Adik Perempuanku yang telah bergelar Ibu. Buat Adik-adik Lelakiku sayangilah wanita dalam hidup kalian...Buat Ibu-ibu Saudara, Sepupu-sepupuku.

Buat sahabatku yang seramai 30 orang dalam M.I...Selamat Hari Ibu kutujukan untuk kalian dan juga untuk wanita-wanita hebat dalam hidup kalian.

Buat pengunjung M.I...Selamat Hari Ibu buat anda dan wanita-wanita hebat dalam hidup anda.

Untuk Ayah, usah salah sangka terhadapku. Hebatnya rinduku untuk Ibu, begitulah juga hebat rinduku untukmu, Ayahku yang tercinta...kurang sepurnama lagi kita bertemu. Bersabarlah menanti kepulangan kami, anakmu, menantumu, dan cucu-cucumu yang bertiga. Nantikan kami.

Cintaku
untuk Ibu
ada pada setiap hari
ada pada setiap detik
ada pada zahir dan batin
mengalir dan bernafas
bersamaku.

Tetapi
hari ini
detik ini
dalam getar
rindu yang sarat
dalam titis
rindu yang mengalir
bergenang di pipi
aku berani
aku kuat
untuk
mengungkapkan
kata-kata
yang sering bermain
dalam kalbuku
kata-kata
yang sering tidak bisa
aku ungkapkan
kata-kata
yang sering gagal
aku jalinkan
menjadi luahan rasaku
untukmu
Ibuku yang amat kusayang.


8 ulasan:

Shasha berkata...

Aranam...sendunya rasa...maaf...catatan anda mengejutkan saya mengenai ibu, saya fikir saya dekat dengan ibu tetapi jauh. Dan dalam jauh itu jugalah saya menjadi dekat dengan ibu...
selamat hari bapa juga kepada anda...

Pa'al berkata...

aranam..

salam untuk ibu mu. doa-doa kita untuk semua ibu yang tak pernah jemu menjadi ibu, dengan kasih teragung..semulianya..infiniti... :)

Kabasaran Soultan berkata...

Wow ..Dahsyat.
Terima kasih. tulisan ini sungguh sangat sama dengan apa yang saat ini ada dalam lubuk hati saya yang paling dalam tentang ibunda tercinta.
Ibu adalah telaga jernih yang airnya selalu menyejukkan dahaga kita.
selamat hari ibu dan titip salam serta doa buat ibumu sobat.
Sekali lagi terima kasih telah menuliskan apa yang sebenarnya juga mengalir deras di perasaan terdalam saya.

ILHAM HAMDANI berkata...

Salam,

Aduh, sendu di pagi hari!

Di bawah syurga atas, ada syurga bawah ... di bawah telapak kakinya.

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

hafizahiszahanid berkata...

Aranam,
Selagi ibu masih ada, lakukan yang terbaik untuknya :D

NONG berkata...

Salam Aranam...
apa khabar?sudah agak lama saya tidak berkunjung kemari.terasa rindu sekali.
Bagitu dalam dan syahdu sekali
bait2 bicara aranam.
Ibu adalah insan yang tiada galang gantinya.
Keikhlasan ibu dalam mendidik kita tidak dapat dinilai dengan apa benda berharga pun di dunia ini.
CINTAILAH dan SAYANGILAH ibu anda sementara mereka masih hidup.
Dan kenang dan ingatlah segala jasa dan pengorbanan ibu yang telah pergi selamanya..Hidupkan segala kenangan mereka dalam lipatan ingatan.
aku sayang mama.

aranam berkata...

Salam kembali, Nong... :)
Khabar baik. Saya pun sama, rindu pada Nong.
Begitulah Nong...semakin dekat waktu bertemu, semakin rindu itu menggigit-gigit... :)
Mencintai Ibu, itulah tanggungjawab kita sebagai anak.
:)

aranam berkata...

Kakchik
Terima kasih... :)
Sama-samalah kita menunjukkan kasih kepada orang tua. Mereka pasti senang sekali seperti senangnya kita apabila anak-anak menunjukkan kasih mereka kepada kita... :)

Pa'al
Terima kasih. Waktu untuk kita merenung diri... :)

Sdr. Kabasaran,
Kita saling menampakkan suatu hakikat yang kadang kala tidak bisa kita tonjolkan. Mahu diluah tapi tidak tahu bagaimana, begitulah selalunya... :)

Ibu adalah telaga jernih yang airnya selalu menyejukkan dahaga kita...setuju sekali.

Salam sudah dikirim dan terima kasih atas doamu, sobat.

Sdr. Ilham Hamdani
Di bawah syurga atas, ada syurga bawah...kita bawa ke hati, dan langsung ke atas... :)

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini... :)

Hafizah,
Benar dan setuju amat. Sedang menghitung hari...mahu merawat rindu dan mahu merawat Ibu... :)

Aranam, doktor yang tidak bertauliah... :D