Jumaat, 15 Mei 2009

Ingin Bertemu

Tahun ini saya akan berjumpa dengan ramai orang. Itulah yang sering saya fikir-fikirkan. Seingat saya, tahun terakhir saya bertemu dengan ramai orang...kalau tidak silap saya ialah pada tahun 2006. Mana tidaknya, kebetulan ketika itu, saya sekeluarga berpeluang menyambut hari raya Aidilfitri dengan keluarga di Sabah. Ramailah sanak saudara yang dapat saya temui.

Kali ini, apabila saya mengatakan yang saya akan menemui ramai orang, bukanlah bermakna selama ini saya langsung tidak bertemu dengan sesiapa. Orang-orang yang saya maksudkan ialah mereka yang sudah lama tidak saya temui.

Saya merancang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat lama ketika di bangku sekolah dalam reunion yang bakal berlangsung pada Jun 7 kelak. Saya merancang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat penulis yang pernah saya temui ketika baru menapak ke dunia penulisan; dunia yang sudah agak lama saya tinggalkan, yang baru saya geluti kembali pada ketika ini.

Penulisan, hanya minat yang mendalam yang saya ada. Sesungguhnya, bekalan ilmu yang saya ada tentang penulisan amat cetek. Cetek amat.

Ada antara sahabat penulis saya itu yang sedang penasaran ketika ini. Saya minta maaf, bukan niat saya sebenarnya. Situasi itu wujud semata-mata kerana kewujudan saya dalam M.I...yang masih berselindung di balik selendang yang berlapis-lapis. Pun begitu, selendang yang berlapis-lapis itu sedang menunggu masa saja untuk ditiup angin; sama ada terbang terus ataupun sekadar tersingkap sedikit-sedikit sahaja.

Dan lagi, saya ingin bertemu dengan Sifu saya. Di blog beliaulah saya banyak menghabiskan masa sama ada menanti tugasan diperiksa, beramah mesra dengan sahabat sesifu (gelaran yang saya beri untuk anak-anak didik beliau, yang saya anggap sebagai sahabat sesifu bagi saya) ataupun membaca catatan-catatan dalam blog beliau.

Saya yakin, ada di antara sahabat-sahabat saya di dalam M.I yang tahu ke mana saya sering menghilang dan membiarkan M.I sepi tanpa masukan terkini.

Bagi yang kurang pasti atau meneka-neka dalam kesamaran, saya sering berkunjung ke blog Sifu Azmah Nordin. Beliau sedang berusaha memberi bimbingan dalam dunia penulisan. Sesekali, jenguk-jenguklah ke sana dan mudah-mudahan kita sama-sama beroleh manfaat.

Sejak saya mula belajar menulis dengan beliau, masukan di dalam M.I hanya saya buat apabila selesai menamatkan tugasan. Namun, kali ini berbeza benar. Tugasan terakhir belum saya siapkan, M.I pula yang saya dahulukan.

Mungkin untuk merawat sedih kerana sesi pertama pembelajaran dengan Sifu akan tamat tidak lama lagi. Mungkin juga untuk merawat sedih kerana M.I akan menyepi, agak lama, sepanjang bulan Jun dan Julai.

Kalaupun sesekali ada masukan, mungkin kerana saya berpeluang mengunjungi internet kafe. Tetapi, saya tidak berjanji. Bagi saya, janji itu berat. Amat berat. Bagi saya, selagi perkataan janji tidak saya sebut, lebih baik tidak ada anggapan bahawa saya sudah membuat janji. Janji itu hanya wujud jika perkataan janji itu saya sebut.

Pada setiap pertemuan, saya akan cuba merakam kenangan. Saya berharap agar mereka yang saya temui sudi wajah mereka dirakam dengan lensa saya, lensa aranam... :)


4 ulasan:

Surinit berkata...

selamat pulang ke kampung halaman.

Fizahanid berkata...

adoi.. romantisnya tulisan hendak mengatur pertemuan! heheheheh

Az berkata...

aranammm,

KK sekarang moden sudah, di mana2 juga ada cyber cafe.. hari2 juga boleh join M.I. ni balik, dan hantar posting2 yg menggamit rasa mcm ni :)

aranam berkata...

Surinit
Terima kasih... :)

Hafizah,
Err...tang mana romantisnya... :)

Sifu,
Mmm...masalahnya...saya bukan selalu ada di KK... :)