Ahad, 14 Jun 2015

Last Minute Plan, Selalu Menjadi

Baru-baru ini, berpeluang menjejakkan kaki di Alexandria yang selalu disebut Alex sahaja. Sepertimana kita menyebut Kuala Lumpur sebagai KL, Kota Bharu di Kelantan sebagai KB, Kota Belud di Sabah sebagai KB ataupun Kota Kinabalu di Sabah sebagai KK. Begitulah, Alexandria disebut Alex sahaja. Pertama kali saya mendengar Alex disebut, sangka saya Alex itu nama orang. Rupanya, bukan.

Sejak tiba di sini beberapa minggu yang lalu, teringin benar melawat piramid. Mungkin kerana piramid sangat sinonim dengan Mesir ataupun Egypt ini. Minggu pertama, tak jadi. Minggu kedua pun sama, tak jadi. Maka, kata sepakat akhirnya dicapai, lawatan ke piramid ditunda pada musim sejuk. Last minute plan, ke Alexandria. Sebagaimana biasa, yang last minute itulah yang paling kerap menjadi. 


Piramid, Sungai Nil, dan Kedai Buku Opera

Dari Cairo ke Alexandria mengambil masa kira-kira tiga jam. Seperti lazimnya, sekiranya lalu lintas sesak, tempoh perjalanan akan mengambil masa lebih lama lagi. Semasa menuju ke Alexandria, berpeluang melihat piramid dari jauh dan melintasi Sungai Nil dengan kelajuan hampir 100 km sejam. Melimpas jak ... nda ada singgah-singgah, bak kata orang Sabah. Lagipun, kami mengejar masa.  Mesti tiba di Alexandria tepat pukul satu. Misi utama ke Alex bukanlah berjalan-jalan semata-mata. Biasanya begitulah. Dua dalam satu. 

Sebelum meneruskan perjalanan, kami berhenti rehat.  Kami mengambil kesempatan singgah ke kedai buku.  Sebelum masuk ke kedai buku, ada antara anak yang bertanya, kita nak beli buku apa? Mesti semua buku bahasa Arab kan? Jawapan kepada soalan berbentuk andaian itu, kita masuk saja. Tengok-tengok dulu. Dan, kami pun melangkah masuk ke Opera.

Benar. Hampir sembilan puluh peratus daripada buku yang terdapat dalam Opera adalah buku berbahasa Arab.  Mujur ada buku berbahasa Inggeris.  Buku berbahasa Melayu, sah tak nampak bayang. Buku bahasa Inggeris itulah yang menjadi pilihan sebagai tambahan kepada koleksi buku sedia ada. Buku bahasa Arab mudah, buku masakan, buku bergambar untuk anak paling kecil dan buku bacaan ringkas untuk abangnya. Cukuplah.

Selepas mengalas perut dengan pizza vegetarian dan tiga jenis kek yang sedap, kami meneruskan perjalanan ke Alex. Kemungkinan kami akan tiba sedikit lewat dari masa yang sepatutnya. Lambat menunggu pizzalah jawabnya sampai boleh jadi begitu.


Misi Utama

Kami akhirnya tiba di Alexandria. Selepas bertemu dengan kenalan yang akan memandu arah ke destinasi pertama, perjalanan pun diteruskan. Kenderaan kami mengekori kenderaan kenalan dari belakang. Selang beberapa minit kemudian, kami tiba di destinasi pertama. Anak-anak tinggal di dalam kereta kerana kemungkinan besar mereka tidak akan dibenarkan masuk.

Di luar bilik rawatan rapi, seorang pengawal keselamatan mengawal pelawat yang masuk dan keluar. Sementara menunggu giliran, saya lihat di sekeliling, pelawat yang datang berwajah muram. Mungkin ada saudara-mara ataupun sahabat-handai mereka sedang bertarung nyawa atau masih menunggu keputusan sama ada sudah boleh dipindahkan ke wad biasa atau belum.

Seperti kami juga yang ingin bertemu kenalan. Kenalan kami itu terpaksa bertugas jauh di negara orang tanpa keluarga tercinta di sisi. Tidak boleh saya bayangkan andai diri sendiri berada dalam situasi sedemikian. Hati mula simpati walau tidak pernah bertemu dengan 'kenalan' itu sebelum ini. Sekadar mendengar cerita sahaja. Ya, kenal melalui cerita.

Tiba giliran kami dibenarkan masuk. Kami tiba di bilik rawatan rapi yang menempatkan pesakit. Saya tidak sempat dan tidak berpeluang mengira. Saya anggarkan dalam bilik itu terdapat antara lapan hingga sepuluh orang pesakit. Saya andaikan begitu kerana sebaik melangkah masuk ke dalam bilik rawatan rapi itu, saya lihat semua katil pesakit dipisahkan dengan langsir berwarna putih yang bertutup rapat dengan rel langsir berasingan. Setiap baris ada lebih kurang empat atau lima katil bertentangan di kiri dan kanan saya.

Kenalan kami ditempatkan berhampiran dengan pintu masuk, di hadapan meja doktor, yang sedang sesak, yang saya kira pada ketika itu antaranya tidak mustahil terdiri daripada ahli keluarga yang bertanyakan tentang situasi atau perkembangan pesakit. Saya tidak dapat menangkap sepatah pun perkataan yang mereka tuturkan.

Manakala, di hadapan saya, kenalan yang pertama kali ditemui itu mengangguk dan menggeleng sebagai jawapan balas kepada setiap patah perkataan yang ditujukan kepadanya.

Dan, pada kebanyakan masa, saya akhirnya tertunduk. Tidak tahu apa yang mahu dibicarakan. Lebih baik diam daripada berkata-kata hal yang tidak perlu, saya kira.

:(

Tiada ulasan: